Pages

Friday, August 8, 2014

Mencari pasangan hidup di 'pasar cinta'

Mencari pasangan hidup di 'pasar cinta'
Vang Thi Xo meniup daun di
pekan Sapa. - Foto AFP 
Sapa: Temujanji memang bukan perkara mudah tetapi untuk mencari pasangan sesuai apabila menetap di perkampungan kecil dan terpinggir di kawasan pergunungan di Vietnam, ia hampir mustahil.

Penyelesaiannya cuma dengan satu cara: pasar cinta.

Selama beberapa generasi, penduduk muda daripada etnik minoriti di utara Vietnam mengunjungi pekan Sapa setiap malam Sabtu dengan harapan menemui bakal pasangan hidup.
“Ia sungguh mengujakan. Saya mahu melihat jika berpeluang menemui gadis yang baik,” kata pemuzik tradisi Hmong, Giang A Vang, 50, mengenai lawatan pertamanya ke pasar cinta tiga dekad lalu. Seorang gadis kelihatan menonjol di kalangan ramai pengunjung ketika itu.

“Apabila melihatnya buat kali pertama, saya memainkan biola saya. Saya bertanya sama ada beliau menyukainya, menyukai saya. Saya agak gemuruh,” katanya.

Vang tidak bertepuk sebelah tangan. Beberapa minggu kemudian, beliau kembali ke pasar itu untuk bertemu kekasihnya, Vang Thi Xo dan bermain muzik bersama-sama sebagai tanda upacara percintaan Hmong, Vang memainkan biola dan kekasihnya meniup daun.

Minoriti Hmong meniupkan daun, selalunya daun pisang, dengan menggulungkan ia dan meletakkan ia pada mulut supaya ia bergegar apabila ditiup yang menghasilkan bunyi kuat.
Pasangan itu berkahwin tidak lama kemudian dan masih bersama sejak itu. - AFP

Terkahwin kakak sendiri


Sao Paulo, Brazil: Seorang wanita yang mencari ibunya selepas terpisah sejak kecil terkejut apabila mendapat tahu dia sebenarnya bersekedudukan dan berkahwin dengan adik lelaki kandungnya.

Adriana, 39, dan suaminya Leandro, 37, yang sudah berkahwin sejak tujuh tahun lalu juga mempunyai seorang anak perempuan berusia enam tahun.

Pasangan itu yang enggan mendedahkan nama keluarga masing-masing berusaha mencari ibu mereka sebelum ini yang dianggap kebetulan bernama Maria.

Mereka ditinggalkan ibu ketika masih kecil.



Namun kedua-duanya jauh sekali tidak menyangka ‘Maria’ sebenarnya orang sama.

Adriana yang juga jurujual kosmetik kali terakhir melihat ibunya ketika berusia setahun dan sejak itu dibesarkan ayahnya.

Pada masa sama, pemandu lori Leandro yang dibesarkan ibu tirinya tahu dia ditinggalkan ibu kandung ketika berusia lapan tahun.

Leandro membesar di Sao Paolo manakala Adriana meninggalkan bandar itu bekerja sebagai pembantu rumah dan selama 15 tahun dan mempunyai tiga anak.

Dia menemui Leandro 10 tahun lalu selepas bercerai dengan bekas suaminya lalu pulang ke Sao Paolo.

Mereka hidup bersama tidak lama kemudian dan Adriana menghubungi stesen radio tempatan untuk terus mendapat bantuan mencari ibunya.

Adriana dan Maria akhirnya ditemukan dalam rancangan temu bual radio namun pada akhir rancangan berkenaan, si ibu mendedahkan dia juga mempunyai anak lelaki bernama Leandro.

Mereka akhirnya menyedari Leandro adalah kekasih Adriana menyebabkan dia menangis.

“Saya tidak percaya ini berlaku.

Sekarang saya takut pulang kerana bimbang Leandro membenci saya sedangkan saya terlalu mencintainya,” katanya.


Bagaimanapun, Leandro dan Adriana kemudian berkata mereka tidak akan berpisah.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Baiki jalan di lereng gunung di China



SEBUAH trak melalui jalan yang sempit itu.


QIAOJIA, China - Sejumlah orang pekerja menggunakan beberapa buah jentera membaiki sebatang jalan sempit di lereng sebuah gunung di daerah Zhaotong, wilayah Yunaan semalam.
Jalan yang dibaiki itu menghubungkan kampung Hongshiyan di kawasan perbandaran Qiaojia di daerah Zhaotong, barat laut Yunnan.
Jalan raya itu rosak akibat gempa bumi kuat yang berskala 6.1 pada skala Richter menyebabkan hampir 600 orang terbunuh. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0808&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz39kPXP351 
Hakcipta terpelihara 

Beri makan ikan jerung tanpa memakai pakaian perlindungan



ZENATO (kiri) memberi ikan sebagai makanan kepada beberapa ekor ikan jerung di dalam Akuarium S. E. A di Singapura kelmarin.


SINGAPURA - Seorang aktivis alam sekitar, Cristina Zenato melakukan aksi berbahaya apabila dia memberi makan sekawan ikan jerung menggunakan tangannya, lapor akhbar MailOnline kelmarin.
Wanita itu dirakamkan mengambil ikan dari dalam sebuah baldi lantas dihulur ke mulut beberapa ekor ikan jerung yang berenang di dasar Akuarium S.E.A di sini baru-baru ini.
Dia hanya memakai sut berantai sebagai perlindungan semasa melakukan aksi berisiko tersebut.
Penyelam Itali itu menyelam bersama ikan jerung sejak hampir 20 tahun lalu.
Namun, dia masih memakai sut selam berantai sebagai persediaan jika ikan pemangsa tersebut bertindak untuk menggigitnya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0808&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz39kOvjRO5 
Hakcipta terpelihara 

Guna duit syiling bayar saman


GAMBAR bertarikh 31 Julai lalu merakamkan Andres Carrasco bergambar bersama beberapa baldi yang mengandungi duit syiling, sebahagian daripada ganti rugi yang dimenanginya dalam tuntutan ke atas syarikat insurans, Adriana. - AGENSI
LOS ANGELES 7 Ogos - Sebuah syarikat insurans Amerika Syarikat menggunakan duit syiling bagi menyelesaikan sebahagian daripada tuntutan saman seorang lelaki warga emas di sini, kata peguambelanya, semalam.
Lelaki itu, Andres Carrasco, 76, menerima kira-kira 17 buah baldi yang mengandungi ribuan duit syiling 25 sen, lima sen, 10 sen dan satu sen daripada syarikat perkhidmatan insurans, Adriana yang dianggarkan berjumlah kira-kira AS$20,000 (RM64,053).
Ganti rugi itu hasil daripada saman yang difailkan Carrasco ke atas firma yang beribu pejabat di Rancho Cucamonga tersebut pada 2012.
Lelaki dari Los Angeles Timur itu mendakwa, semasa dia cuba mendapat penjelasan daripada syarikat berkenaan berhubung pembatalan insuransnya secara automatik, seorang ejen firma itu bertindak mengasari dan menghalaunya dari pejabat syarikat tersebut.
Syarikat itu kemudiannya mencapai penyelesaian dengan warga emas berkenaan berhubung kes tersebut pada Jun lalu dan mula membayar sebahagian daripada ganti rugi yang tidak dinyatakan pada minggu lalu dalam bentuk cek serta meninggalkan beberapa buah baldi di pejabat peguam tersebut.
Peguambela itu, Antonio Gallo berkata, dia enggan menerima baldi berkenaan kerana tidak dapat mengesahkan jumlah sebenar wang di dalam baldi tersebut, namun baldi itu diletakkan semula di pejabatnya pada keesokan harinya semasa dia berada di mahkamah.
"Menurut pembantu saya, sebanyak lapan lelaki datang dan meletakkan baldi-baldi itu di ruang lobi pejabat.
"Terdapat kira-kira 17 buah baldi dan setiap satu baldi dianggarkan seberat 31 kilogram hingga 45 kilogram. Saya hanya mengandaikan kerana saya tidak mampu meng­angkatnya," kata Gallo yang enggan mendedahkan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Adriana dan menganggarkan kesemua baldi itu mengandungi wang berjumlah AS$20,000 (RM64,053).
Sementara itu, Carrasco berkata, dia berasa kecewa dengan cara Adriana melayan pelanggannya lebih-lebih lagi warga emas sepertinya.
"Kami mungkin orang miskin, namun kami juga manusia," kata Carrasco kepada KNBC-TV manakala cubaan untuk menghubungi peguam Adriana, Edvin Flores gagal. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140808/lu_14/Guna-duit-syiling-bayar-saman#ixzz39kJwUJsD
© Utusan Melayu (M) Bhd