Pages

Wednesday, May 30, 2012

Remaja bawah umur dicekup di bilik rahsia

Remaja bawah umur dicekup di bilik rahsia
Remaja berusia 16 tahun ini (kiri) dipercayai bekerja sebagai tukang urut di sebuah
rumah urut, “Macam-macam ada’ di Jalan Ladang, Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU-Seorang remaja perempuan bawah umur antara lima warga Thailand yang dicekup dalam sebuah bilik rahsia selepas digeledah selama dua jam oleh anggota Jabatan Imigresen Terengganu dalam satu operasi ‘OPS Sayang’ 8 Mei lalu jam 3 pagi di sebuah rumah urut “Macam-macam ada’ di Jalan Ladang, di sini.

Bagaimanapun, remaja berusia 16 tahun itu yang berasal dari Narathiwat Thailand diarahkan dijaga di bawah pengawasan Rumah Perlindungan Kanak-kanak sementara menunggu siasatan penuh laporan Jabatan Imigresen Terengganu atas pertuduhan Anti Pemerdagangan Orang 2007 oleh Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin.

Majistret Noradila Ab Latif mengeluarkan perintah perlaksanaan dikuatkuasa selama 14 hari manakala empat lagi wanita yang berusia dari 26 tahun hingga 37 tahun itu diperintah dijaga di bawah pengawasan rumah perlindungan wanita.

Terdahulu, laporan Jabatan Imigresen Terengganu mengenal pasti kelima-lima mereka dicekup ketika itu menggunakan pasport lawatan sosial serta tidak mempunyai permit sah bekerja di premis berkenaan.

Mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut yang turut menawarkan khidmat urutan ‘istimewa’ serendah RM50 dengan berpakaian seksi bagi menarik pelanggan.

Ikan ganjil

Foto MenarikKERTEH: “Saya terkejut melihat rupa bentuk ikan berkenaan sebelum membuat keputusan membelinya,” kata Othman Abu Bakar, 63, yang membeli ikan mempunyai fizikal ganjil sepanjang tiga meter dan berat sembilan kilogram daripada seorang nelayan di jeti Kuala Kerteh, di sini, kelmarin.
Othman berkata, ikan berkenaan berwarna putih dan mempunyai kulit keras serta tajam seperti pari dan berkepala seperti naga, manakala siripnya berwarna merah dan di kepala serta bawah mulutnya mempunyai sesungut panjang berwarna merah selain bintik tajam di bawah badan.

Katanya, ikan berkenaan dibawa pulang nelayan terbabit jam 11 pagi kelmarin dan dia yang secara kebetulan berada di jeti berkenaan tertarik hati untuk membelinya.
“Orang ramai yang ada di situ hairan melihat ikan berkenaan yang menyerupai naga, tetapi berwarna putih dan mempunyai kulit kasar seperti pari, namun tidak bersisik manakala sirip dan kepalanya seperti naga serta badannya lembik seolah-olah tidak bertulang.

“Saya meminta kebenaran nelayan berkenaan membeli ikan itu kerana selain tidak pernah melihatnya sebelum ini, saya juga berhajat membawanya pulang bagi ditunjukkan kepada penduduk kampung,” katanya yang enggan memaklumkan harga dibayarnya bagi membeli ikan berkenaan.

Menurutnya, sebaik pulang ke rumah di Kampung Telaga Papan, di sini, dia dimaklumkan beberapa jirannya mereka juga tidak pernah melihat ikan berkenaan.
“Bagaimanapun, ketika ikan itu dibawa naik ke darat, sebahagian kepalanya sudah hancur mungkin kerana tersangkut pada pukat yang digunakan nelayan.

“Seumur hidup saya, inilah kali pertama saya melihat ikan sedemikian rupa dan rakan nelayan di kampung ini juga tidak pernah mendapat tangkapan sepelik itu,” katanya yang bekerja sebagai pengeluar minyak urut.
Othman berkata, dia mungkin mengeringkan ikan itu dan cuba dijadikan ramuan menghasilkan minyak urut.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Departmen Penyelidikan dan Pengurusan Sumber Perikanan Marin, Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, ikan itu dikenali sebagai ikan naga daripada keluarga Regalecidae yang juga ikan bertulang terpanjang di dunia.

“Laut China Selatan adalah satu daripada habitat ikan berkenaan dan bukan mustahil ia tersangkut pada pukat nelayan.

“Mengikut rekod jabatan, pihak kami pernah menerima ikan spesies itu daripada nelayan tempatan sekitar tahun 1990-an,” katanya yang memberitahu ikan naga terpanjang pernah ditangkap di Vietnam sepanjang 10 meter.

Susu campur air longkang

MUMBAI: Polis berkata, mereka menahan dan mendakwa empat lelaki di Mumbai kerana dituduh menjual susu dicampur air longkang dalam paket plastik yang dicari di tong sampah.
Empat peniaga yang ditahan kelmarin, disyaki menjual susu tercemar sejak enam bulan lalu dan dituduh meletakkan kesihatan pembeli dalam risiko kerana menjualnya di pinggir bandar. 
Akhbar Mid Day melaporkan, “Anggota polis menahan penjual susu dalam paket yang dicampur air longkang kepada pembeli.”

Anggota polis berkata, “Mereka bermain dengan nyawa pembeli, terutama kanak-kanak. Ia bukan saja tercemar tetapi ia adalah racun perlahan kepada pembeli.”

Katanya penjual itu ditahan di Vile Parle.

Jurucakap Polis Mumbai, Nisar Tamboli yang mengesahkan laporan akhbar Mid Day berkata, mereka dihadapkan di mahkamah di mana mereka menghadapi beberapa tuduhan termasuk menjual makanan atau minuman beracun dan ditahan reman sehingga 31 Mei.

Polis merampas 181 paket susu tercemar dan 160 liter susu tercemar daripada penjual itu dan sekarang menyiasat sekiranya mereka sebahagian daripada sindiket besar.

Mereka berkata, seorang daripada penjual itu sedang menyelongkar tong sampah dan mengutip paket susu, di mana mereka akan isi dengan 60 peratus susu dan 40 peratus air longkang sebelum mengedapkan paket itu dengan lilin yang dibakar.

Serbuan itu dibuat selepas mesyuarat dengan penternak lembu tenusu India bulan ini yang meminta supaya undang-undang tegas untuk membendung masalah penjualan susu tercemar kepada pengguna.

Kajian daripada pemerhati kerajaan India yang diterbitkan Januari lalu mendapati, lebih daripada dua pertiga susu di negara itu dicemari dengan bahan lain termasuk garam, bahan pencuci, serbuk susu skim, lemak, glukos dan air. - AFP

Virus komputer ditemui di Iran

BOSTON 29 Mei - Pakar-pakar keselamatan di sini menemui sejenis virus komputer canggih di Iran dan negara-negara Asia Barat yang dipercayai telah digunakan sejak lima tahun lalu bagi tujuan pengintipan.
Bukti-bukti menunjukkan bahawa virus yang digelar Flame itu mungkin dicipta oleh negara yang mengarahkan cecacing Stuxnet untuk menyerang program nuklear Iran pada 2010.
Menurut makmal Kaspersky, pembuat perisian keselamatan siber Rusia telah mengaku bertanggungjawab kerana menemui virus tersebut.
Penyelidik Kaspersky semalam dipetik berkata, mereka tidak dapat memastikan sama ada Flame mempunyai matlamat yang sama seperti Stuxnet dan menolak untuk menamakan negara yang menciptanya.
Iran menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Israel bertanggungjawab menyebarkan Stuxnet.

Bekas PM era Mubarak ke pusingan kedua pilihan raya Presiden Mesir


SEORANG lelaki menunjukkan kesan kebakaran yang dilakukan penunjuk perasaan di ibu pejabat kempen calon Presiden, Ahmad Shafiq di Kaherah, semalam. - REUTERS
KAHERAH 29 Mei - Penunjuk perasaan membakar ibu pejabat kempen pilihan raya Presiden Mesir yang juga bekas Perdana Menteri, Ahmad Shafiq di sini, semalam, selepas jawatankuasa pilihan raya mengumumkan beliau berjaya ke pusingan kedua pilihan raya tersebut.
Kejadian berlaku beberapa jam selepas pegawai pilihan raya mengumumkan Shafiq yang merupakan Perdana Menteri era rejim Presiden yang digulingkan, Hosni Mubarak, akan berdepan dengan calon Ikhwan Muslimin, Mohammed Mursi dalam pilihan raya Presiden pusingan kedua bulan depan.
Seorang pegawai polis berkata, lapan suspek ditahan berhampiran ibu pejabat itu, yang juga sebuah vila yang terletak di kejiranan Dokki.
Beberapa penunjuk perasaan kembali ke Dataran Tahrir dan mengedarkan risalah kempen yang diambil dari ibu pejabat Shafiq ke jalan-jalan raya.
Kebanyakan penunjuk perasaan itu dipercayai penyokong kepada seorang calon sayap kiri yang tidak berjaya ke pusingan kedua yang turut menentang Mursi.
Setakat ini belum ada laporan kecederaan dibuat dan pasukan bomba berkata, kebakaran itu berjaya dikawal dengan cepat.
Sebelum kejadian itu, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir untuk membantah penyertaan Shafiq dalam pilihan raya Presiden Mesir pusingan kedua yang akan diadakan pada 16 dan 17 Jun ini.
Ketua Jawatankuasa Pilihan Raya, Faruq Sultan yang mengumumkan keputusan itu semalam berkata, tidak ada seorang calon pun yang memperolehi undi majoriti dalam pilihan raya Presiden pada 23 dan 24 Mei lalu.
"Mursi dan Shafiq memperolehi undian tertinggi masing-masing sebanyak 24.77 peratus dan 23.66 peratus, sekali gus melayakkan mereka ke pusingan kedua," katanya dalam satu sidang akhbar semalam. - AFP

Calon Presiden Mesir hantar rayuan

Pilihan raya kali ini adalah yang paling telus dan dianggap adil.
Pilihan raya kali ini adalah yang paling telus dan dianggap adil.
KAHERAH - Tiga calon utama pilihan raya Presiden Mesir menfailkan rayuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya di atas pertuduhan beberapa pencabulan dalam pusingan pertama mengundi iaitu didakwa telah mengubah bilangan undi.

Rayuan terhadap dakwaan penipuan difailkan kelmarin iaitu tarikh akhir untuk mereka.

Keputusan awal pilihan raya minggu lalu meletakkan calon daripada Pergerakan Ikhwannul Muslimin, Mohammed Morsi dan Perdana Menteri terakhir, Ahmed Shafiq sebagai dua calon ke pusingan pada 16 dan 17 Jun depan.

Calon teratas, Morsi hanya menerima undian sebanyak 25 peratus, menurut keputusan awal sekali gus memperlihatkan anak kelahiran Mesir yang berpengaruh, Sheikh Yusuf al-Qaradawi mendesak pengundi agar calon Pergerakan Ikhwan Muslimin itu sepanjang pilihan raya.

Shafiq yang berada di belakang Morsi, turut menfailkan rayuan kepadasuruhanjaya pilihan raya, mengatakan undi-undi yang dibuang untuknya dalam sebuah wilayah tidak dikira.

Lain pula bagi pejuang sosialis dan masyarakat miskin, Hamdeen Sabahi yang membuat tindakan mengejut meminta satu undi separa dikira semula selepas berada di tempat ketiga oleh kiraan margin sebanyak 700,000 undi selepas Shafiq.

Bagaimanapun, keseluruhan pemilihan presiden itu dipertimbangkan sebagai perayaan dan paling nyata dalam dekad ini yang mana amat berbeza dengan corak pilihan raya di era Mubarak.

Ibu pejabat calon Presiden Mesir diserang

DOKKI - Ibu pejabat calon Presiden Mesir, Ahmed Shafiq diserang dan stesen televisyen Mesir menyiarkan rakaman kebakaran di bangunan daerah Dokki.
Tiada kecederaan serius dilaporkan. Api dapat dipadamkan dengan cepat dan tiada tanda-tanda kerosakan serius.
Kejadian dilaporkan ada kaitan dengan bantahan terhadap keputusan pusingan pertama pilihan raya.
Menurut polis, lapan suspek berjaya ditangkap berhampiran ibu pejabat.

Laporan media juga menyebut
 penyerang juga mengambil beberapa poster kempen dan  beberapa komputer dari bangunan itu.

P
enyokong Ahmed mengutuk serangan tersebut.

Thailand: Pampasan untuk empat orang awam dibunuh renjer

BANGKOK - Kerajaan Thailand hari ini membayar sejumlah lagi pampasan kepada keluarga empat orang awam yang dibunuh oleh renjer pada Januari lepas.
   
Setiausaha Pusat Pentadbiran Sempadan Wilayah Selatan Tawee Sodsong berkata setiap keluarga menerima 3 juta Baht (RM300,000) hari ini sebagai tambahan kepada 500,000 Baht (RM50,000) yang diterima sebelum ini.
   
Baki 4 juta Baht (RM400,000) akan disalurkan secara berperingkat kemudian, katanya selepas menyampaikan pampasan itu kepada keluarga mangsa berkenaan di sini.
   
Kerajaan bersetuju membayar pampasan 7.5 juta Baht (RM750,000) kepada setiap keluarga selepas siasatan khas terhadap kejadian 29 Jan itu merumuskan renjer berkenaan telah tersilap menembak mati empat orang awam itu dalam satu sekatan jalan di Pattani.
   
"Saya bersyukur kerana pampasan ini dapat meringankan bebanan keluarga saya berikutan kematian bapa kami," kata Fasiah Sani, 40, anak kepada seorang daripada mangsa Hama Sani, 65.

Tawee berkata kerajaan juga bersetuju membayar pampasan 7.5 juta Baht (RM750,000) kepada setiap keluarga yang anggota keluarga mereka dibunuh secara salah oleh pihak berkuasa sejak lapan tahun lepas termasuk insiden Tak Bai dan Krue Se.
   
Pada 21 April, 2004, sejumlah 32 orang ditembak mati dalam masjid Krue Se di Pattani oleh tentera.
   
Dalam kes Tak Bai, 85 orang yang ditahan semasa berdemonstrasi di luar balai polis Tak Bai di Narathiwat, mati akibat sesak nafas semasa dibawa dalam kenderaan ke sebuah kem tentera di Pattani, pada 24 Okt, 2004.
   
Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan yang disyaki puak pemisah menyambung semula perjuangan bersenjata mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas. - Bernama

Krisis Syria: Barat mula usir diplomat kanan Syria

houla
Sebahagian daripada jenazah mangsa yang mati dibunuh di kawasan Houla, Jumaat lalu. - Foto ihsan BBC
DAMSYIK - Kuasa-kuasa Barat utama mula mengambil keputusan untuk mengusir diplomat-diplomat Syria dari negara masing-masing ekoran kematian 108 orang di kawasan Houla, Jumaat lalu.
Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Jerman, Itali, Sepanyol, Kanada, Australia dan Belanda mengambil tindakan diplomatik ke atas kedutaan Syria di negara masing-masing.
Kebanyakan mangsa di Houla dipercayai dihukum mati, kata laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Presiden Syria, Bashar al-Assad memberitahu duta PBB bahawa "pengganas" harus dipersalahkan atas keganasan terbaru minggu lalu.
Bashar memberitahu Utusan PBB, Kofi Annan yang mengadakan lawatan ke Damsyik bagi pihak PBB dan Liga Arab bahawa pengganas telah mempertingkatkan kegiatan mereka di seluruh Syria termasuk membunuh dan menculik.

Jaguh tinju dunia ditemui mati

Tapia dalam salah satu perlawanan yang dimenanginya.
Tapia dalam salah satu perlawanan yang dimenanginya.
New Mexico - Jaguh tinju dunia, Johnny Tapia ditemui mati di kediamannya di Albuquerque, New Mexico, kelmarin.

Jurucakap polis, Robert Gibbs berkata, setakat ini kematian jaguh tinju sebanyak lima kali itu tidak menimbulkan apa-apa  curiga dan masih menunggu keputusan bedah siasat.

Tapia, 45, terkenal dengan perlawanan merentasi bandar bersama Danny Romero, Paulie Ayala dan Marco Antonio Berrera.

Dia memperoleh gelaran dunia dalam kelas flyweight , bantaweight dan featherweight yang turut dijadikan sebagai kerjaya profesionalnya sejak 1988.

Pada 2007, Tapia telah dimasukkan ke hospital selepas menggunakan dadah secara berlebihan dan ketika berperang dengan ketagihan, juara tinju itu berjaya mengumpul 59 rekod kemenangan yang berakhir pada Jun 2011.

Pejabat berita Internet diserang: 9 wartawan cedera

DHAKA: Sembilan wartawan cedera apabila anggota geng yang tidak dikenali bersenjatakan parang, merempuh masuk pejabat media Internet terkenal dan menyerang pekerja, kata polis semalam.
Penolong Pesuruhjaya Polis Dhaka, Lutful Kabir berkata, kira-kira lapan pemuda masuk ke pejabat bdnews24.com, petang semalam dan melancarkan serangan berdarah sebelum melarikan diri. 
“Tiga pekerja cedera parah dan dimasukkan ke klinik. Keadaan mereka stabil,” katanya.

Motif serangan itu tidak diketahui, katanya.

Gambar serangan dimuat naik ke dalam laman web berita itu menunjukkan kesan darah di atas lantai bilik berita.

Menteri Dalam Negeri, Sahara Khatun mengarahkan siasatan dibuat selepas melawat pejabat itu di kawasan Mohakhali.

Editor berita Bdnews24.com, Gazir Nasir Uddin Ahmed berkata, dia tidak pasti sama ada serangan itu dirancang.

“Kami terperanjat. Kami mahu tangkapan dibuat dan penyerang itu dihadapkan ke mahkamah,” katanya. - AFP 

Ketua kampung antara suspek sindiket pelacuran bawah umur

SHANGHAI: Polis di timur China, menahan enam orang kerana disyaki terlibat dalam rangkaian pelacur bawah umur dan akan mendakwa kerajaan tempatan.
Menurut akhbar China Daily, lebih 20 kanak-kanak dalam umur persekolahan, diambil bekerja oleh sindiket di bandar Yongkang di wilayah Zhejiang dan antara suspek yang turut terlibat adalah ketua kampung. 
Kenyataan polis Yongkang berkata, penganjur mengambil kanak-kanak bekerja sebagai pelacur sejak Februari tahun lalu dan mencarikan pelanggan untuk mereka, termasuk ahli perniagaan kaya.

Polis berkata, mereka menyerbu premis itu bulan lalu, menahan 10 orang, tetapi tidak menyatakan berapa orang yang didakwa secara rasmi.

Mereka boleh didakwa merogol kerana Undang-Undang Jenayah China tidak membenarkan seks dengan remaja bawah umur 14 tahun. - AFP

Ketua Hakim Filipina bersalah terima rasuah

MANILA: Barisan senator Filipina semalam menjatuhkan hukuman bersalah kepada Ketua Hakim Negara atas tuduhan rasuah, dan mungkin boleh dipecat, dalam satu kemenangan besar untuk kempen anti-rasuah Presiden Benigno Aquino.
Berikutan perbicaraan tuduhan yang mengambil masa empat bulan, Ketua Mahkamah Agung, Ketua Hakim Renato Corona, didapati bersalah kerana melanggar perlembagaan dan mengkhianati kepercayaan awam dengan gagal mendedahkan asetnya. 
Dua pertiga daripada 23 senator diperlukan untuk mensabitkan Corona dan beliau secara rasmi didapati bersalah dalam undian mencecah 16-3, iaitu satu hari bersejarah dalam politik di Filipina. - Manila Times 

Sindiket China curi duit penumpang dalam pesawat

SINGAPURA: Polis memberi amaran terdapat anggota sindiket jenayah China dipercayai mencuri duit daripada beg penumpang yang tertidur ketika menaiki pesawat untuk masuk atau meninggalkan negara itu.
Ketua Divisyen Polis Lapangan Terbang, Penolong Pesuruhjaya Sam Tee berkata, lapan belas laporan mengenai kecurian dalam pesawat telah difailkan tahun ini, iaitu peningkatan dari hanya satu kes pada 2011. 
“Siasatan mendedahkan ada antara pencuri itu dipercayai anggota sindiket dari China yang beroperasi dalam kumpulan antara tiga atau empat orang untuk satu penerbangan,” katanya.

“Mereka akan mencuri ketika operasi menaiki pesawat atau ketika penumpang tertidur atau pergi ke tandas.

“Matlamat mereka adalah mencuri wang tunai yang disimpan oleh penumpang di dalam beg mereka atau beg komputer riba yang disimpan di tempat letak barang di bahagian atas,” katanya.

Katanya, pencuri terbabit menjalankan operasi mereka dalam beberapa pesawat penerbangan serantau.

Minggu lalu, seorang rakyat China, Fu Xinping, dipenjara empat minggu kerana mencuri S$800 (RM1,973) dan HK$3,000 (RM1,217) daripada beg seorang penumpang China ketika menaiki pesawat Penerbangan Singapura ke Hong Kong, April lalu.

Syarikat Penerbangan Singapura enggan mendedahkan jumlah kecurian dalam penerbangan baru-baru ini, tetapi berkata kru kabin telah dinasihatkan untuk berjaga-jaga. - Straits Times 

Kedai henti jual rokok

BANDAR SERI BEGAWAN: Sejak minggu lalu perokok di Brunei tidak dapat merokok kerana peruncit utama kehabisan bekalan rokok, disebabkan polisi kesihatan awam yang ketat dan sebab lain.
Akhbar Borneo Bulletin melawat beberapa kedai runcit utama dan kedai serbaneka di kawasan komersial di Gadong, Kiulap, Kiarong dan pusat bandar dan mereka berkata akan berhenti menjual rokok bermula awal bulan depan kerana “lesen menjual rokok tidak akan diperbaharui”. 
Beberapa peruncit berkata, penjualan rokok sudah tidak menguntungkan kerana kos lesen yang tinggi dan margin keuntungan yang sedikit.

Seorang pemilik kedai serbaneka di Gadong, berkata, “Kami sekarang menghabiskan stok yang ada dan tidak akan mengambil stok baru... bermula bulan depan kami tidak akan menjual rokok.”

Seorang peruncit di Kiulap berkata, sejak kos lesen dinaikkan, mereka hanya menjual rokok untuk “kemudahan pelanggan di kedai mereka” dan tidak mendapat untung dari hasil jualan rokok.

Pengurus di sebuah kedai terkemuka di Gadong berkata, mereka tidak mendapat lesen menjual rokok kerana mereka berada dalam satu kilometer radius dari sekolah dan beberapa peruncit di Kiulap dan Kiarong mendakwa, ia mungkin sebab mengapa lesen mereka tidak diperbaharui.

Pengurus itu berkata, “Sekiranya dilihat dari suduh positif, polisi itu harus dipuji kerana kita tidak mahu murid sekolah mudah membeli rokok dan ini menunjukkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan komited untuk mewujudkan zon awam bebas rokok.” - Brunei Times 

Budak 10 tahun pandu kereta selepas bergaduh

KERETA Suzuki Alto yang dipandu oleh seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun tersadai di tepi pokok, semalam.
KERETA Suzuki Alto yang dipandu oleh seorang kanak-kanak lelaki 10 tahun tersadai di tepi pokok, semalam.
NORTHAMPTONSHIRE: Sebuah kereta curi yang musnah tersadai di tepi pokok selepas seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun memandunya sejauh 3.2 kilometer, semalam.
Pemandu dan pejalan kaki terkejut melihat kenderaan itu “bergerak tidak menentu” di jalan raya yang sibuk, tanpa pemandu kerana kanak-kanak itu sukar dapat dilihat berada di stereng.
Kereta Suzuki Alto itu dikatakan diambil daripada ibu bapa angkatnya selepas satu pergaduhan, akhirnya merempuh kereta lain ketika ia dipandu secara bertentangan arah di laluan sehala.

Kanak-kanak lelaki itu yang mengalami kecederaan ringan cuba melarikan diri. Dia memberitahu penduduk tempatan yang menangkapnya di Bellinge, Northants: “Jangan hubungi polis, beritahu bapa saya.” Sementara itu, polis masih menyiasat kejadian itu.

Gunung Everest alami kesesakan

RATUSAN pendaki dilihat dalam pendakian ke puncak Gunung Everest.
RATUSAN pendaki dilihat dalam pendakian ke puncak Gunung Everest.
KASHMIR: Satu gambar memaparkan barisan ratusan pendaki yang cuba mendaki Gunung Everest menunjukkan kesesakan teruk pada paras ketinggian 30,000 kaki.
Pakar daki gunung percaya laluan tirus yang sama di Hillary Step, tembok batu 40 kaki pada ketinggian 28,740 kaki, sekurang-kurangnya menjadi sebahagian punca terhadap kematian empat pendaki hujung minggu lalu.
Ha Wenyi, 55, dari China; warga Kanada, Shriya Shah-Klorfine, 32; warga Jerman, Eberhard Schaaf, 61, dan Song Won-bin yang berusia 40 tahun dari Korea Selatan, semuanya berhenti hampir tiga jam di altitud yang memeningkan itu - terpaksa membakar bekalan oksigen berharga milik mereka ketika menunggu sekumpulan 150 pendaki untuk meninggalkan tempat itu.

Foto yang diambil oleh Ralf Dujmovits untuk majalah Outside adalah gambar yang jelas menunjukkan betapa sesaknya puncak tertinggi di dunia itu dipenuhi dengan kebanyakannya pendaki amatur yang membayar sherpa bagi melakukan tugas berat untuk mereka.

Cuaca tidak menentu di gunung itu berkeadaan baik hanya sebentar, memberi peluang tipis untuk pendaki cuba ke puncak.

Kebanyakan lelaki dan wanita ini terdesak meraih pulangan daripada AS$75,000 (RM236,523) yang telah dibayar untuk mendaki Everest.

Ramai daripada 220 orang yang mati di Gunung Everest adalah pendaki amatur yang meneruskan pendakian melanggar nasihat sherpa atau pendaki lain.

Menurut Outside, seorang pendaki wanita, Shah-Klorfine adalah pendaki yang tidak menghiraukan kedua-duanya.

Apabila dua pendaki bertembung dengannya ketika turun dari puncak, mereka menyedari dia berkelakuan pelik. Mereka menggesanya supaya berpatah balik. Dia menggelengkan kepalanya dan memberi isyarat untuk meneruskan pendakian.

Pemandu arah juga menggesanya berpatah balik.

“Tidak, saya perlu teruskan. Saya perlu teruskan,” katanya kepada mereka.

Dia berkeras untuk meneruskan pendakian dan hanya dengan sedikit oksigen yang tersisa, dia berjaya sampai ke puncak.

Dalam perjalanan turun ke bawah, dia kekurangan udara dan sherpa terpaksa mendukungnya hingga dia menemui ajal, lapor Outside. - DM

Lelaki China jual daging manusia

BEIJING: Polis di barat daya China menahan seorang lelaki yang disyaki membunuh lebih berbelas-belas kanak-kanak dan remaja lelaki sebelum memotong anggota tubuh mangsa dan menjual daging mereka kepada pelanggan yang tidak sedar ia daging manusia, menurut laporan semalam. 

Pihak polis membuat penemuan ngeri itu semasa menyiasat kehilangan sekumpulan remaja lelaki di wilayah Yunnan sejak beberapa tahun lalu, menurut laporan media China dan Hong Kong.
Suspek utama dikenali sebagai Zhang Yongming, 56, yang ditahan dua minggu lalu di kampungnya di Nanmen, Yunnan.
Dia mulanya disiasat beberapa bulan lalu atas pembunuhan seorang pemuda berusia 19 tahun penghujung April dan beberapa lagi orang lain yang hilang, lapor laman web Guangxi News. 

Ketika anggota polis memeriksa rumah Zhang, mereka menemui telefon bimbit lelaki itu, kad bank dan bukti lain, menurut web berita itu yang turut melaporkan bahawa lebih berpuluh-puluh remaja lain hilang dari kampung sama sejak beberapa tahun lalu. 

Zhang dikatakan suka menyendiri dan tidak pernah bercakap dengan jirannya. Dia pernah dipenjara 20 tahun kerana membunuh dan dikenali di kampungnya sebagai ‘raksasa pemakan daging’. 

Penduduk juga memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka sering melihat beg plastik hijau mengandungi tulang putih tergantung di rumahnya. 
Akhbar Hong Kong, The Standard melaporkan anggota polis menemui biji mata manusia yang diawetkan dalam botol ‘seperti arak ular’ dan beberapa cebisan daging manusia tergantung dipercayai untuk dikeringkan sebaik mereka memasuki rumah Zhang. – AFP

Ikan tuna AS ada unsur radioaktif

WASHINGTON: Ikan tuna sirip biru yang ditangkap di perairan Amerika Syarikat didapati mengandungi bahan radioaktif dari loji nuklear Fukushima. 

Penyelidik mendapati isotop radioaktif itu berada pada ‘tahap pertengahan’ dalam 15 tuna sirip biru yang ditangkap di perairan San Diego, California pada Ogos 2011.
Kajian terbaru mengenai penemuan itu disiarkan dalam talian oleh jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS).
Penyelidik berkata, tahap radioaktif meningkat itu tidak menjejaskan kesihatan umum kerana ia lebih rendah daripada tahap keselamatan Jepun dan isotop semula jadi lain. 

Kajian ditulis oleh Daniel Madigan dari Universiti Stanford, California dan Zofia Baumann serta Nicholas Fisher dari Universiti Stony Brook, New York. 

Kajian mendapati tahap radioaktif cesium-134 dan cesium-137 yang tinggi sedikit dalam 15 ikan tuna itu berbanding tuna sirip biru yang ditangkap di perairan sama sebelum bencana nuklear Fukushima dan pada tuna sirip kuning di timur Pasifik, ditangkap sebelum dan selepas bencana di Fukushima. 

Kajian itu menunjukkan bukti sahih bahawa ikan terbabit membawa bahan radioaktif loji Fukushima merentasi lautan ketika perpindahan mereka. 
“Penemuan ini menunjukkan bahawa tuna sirip biru Pasifik boleh memindahkan radioaktif dari satu kawasan di Jepun ke tempat lain yang lebih jauh dan menunjukkan haiwan yang berpindah penting sebagai satu alat pengangkutan,” katanya. 

Penyelidik menekankan, isotop cesium tidak membahayakan kesihatan umum terutama ia membawa kadar radiasi jauh lebih rendah berbanding potassium-40, unsur isotop semula jadi yang ditemui dalam semua spesies ikan. 

Gempa magnitud 9 menyebabkan tsunami pada 11 Mac 2011 membunuh beribu-ribu penduduk dan melumpuhkan sistem penyejukan loji Fukushima. – AFP

Bendera Israel dikibar dalam al-Aqsa

BAITULMAQDIS: Tentera Israel sengaja menimbulkan kemarahan penduduk Palestin dan umat Islam semalam apabila bertindak mengibar bendera kebangsaan negara Zionis itu dalam masjid al-Aqsa di timur Baitulmaqdis. 

Provokasi terbaru askar Yahudi itu didedahkan oleh organisasi yang memantau kawasan itu, Yayasan Wakaf Islam. Agensi berita Barat, bagaimanapun, melaporkan tindakan askar Israel berlaku di luar masjid berkenaan.
“Lebih daripada 180 anggota tentera unit khas Israel hari ini mengibarkan bendera besar Israel bertentangan dengan Masjid Kubah Emas yang juga satu provokasi besar,” kata Sheikh Azzam al-Khatib yang dipetik agensi berita Agence France Presse (AFP). Agensi berita Palestin pula melaporkan, anggota tentera Israel itu mengibarkan bendera yang panjangnya tiga meter sebelum mengambil gambar dalam masjidil Aqsa.

Sheikh Azzam berkata, seorang pengawal masjid itu menyuruh askar Yahudi menurunkan bendera negara mereka dan keluar dari situ tetapi mereka enggan dan sebaliknya memarahinya. 

Ini kali pertama askar Israel bertindak mengibarkan benderanya dalam masjid al-Aqsa sejak menawan Baitulmaqdis lebih enam dekad lalu. 

Kawasan bersiar-siar yang luas merangkumi Masjid al Aqsa yang bersebelahan masjid Kubah Emas di Kota Lama, Kota Suci ketiga umat Islam, selepas Makkah dan Madinah di Arab Saudi. 
Ia turut menjadi kota suci bagi Yahudi yang merujuknya sebagai ‘Temple Mount’ atau Haram al-Sharif bagi penduduk Palestin, atas dakwaan ia terletak di Kuil Kedua yang dimusnahkan oleh tentera Rome pada 70 Selepas Masehi. 

Sheikh Azzam memberitahu, tentera Yahudi memasuki al-Aqsa ketika melakukan lawatan di situ atas tujuan bersiar-siar yang dilulus dan dianjurkan polis Israel. 

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat laporan kepada polis Israel dan pihak berkuasa Jordan. Jordan yang mempunyai perjanjian perdamaian dengan Israel pada 1994, adalah penjaga Kota Suci Muslim di Baitulmaqdis. 

Jurucakap polis, Luba Samri mengesahkan kejadian itu tetapi berkata ia hanya membabitkan bendera kecil dan pegawai kanan di tempat kejadian segera campur tangan untuk mengusir tentera dari kawasan itu. 

Beliau juga memberitahu, anggota tentera berkenaan akan berdepan dengan tindakan disiplin. Israel menakluk di timur Baitulmaqdis ketika Perang Enam Hari 1967 sebelum mengisytihar wilayahnya, langkah yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa. 

Bagi warga Israel, Baitulmaqdis adalah ibu negara mereka tetapi rakyat Palestin mendakwa bahagian timur Baitulmaqdis sebagai ibu kota masa depan negara Palestin. – AFP/Agensi 

Pembunuhan di Syria: Kofi Annan temui Assad


DAMSYIK 29 Mei - Presiden Syria, Bashar al-Assad menemui Duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)-Liga Arab, Kofi Annan di sini hari ini berhubung pembunuhan beramai-ramai di bandar Houla yang menyebabkan sekurang-kurangnya 180 orang terbunuh dan 300 lagi cedera sejak Jumaat lalu.
Syria menuduh kumpulan militan yang melakukan pembunuhan beramai-ramai itu, sementera pemantau PBB mendakwa ia dilakukan tentera kerajaan.
Annan cuba menyelamatkan pelan damai PBB-Liga Arab yang diusahakannya dan telah dikuatkuasakan sejak enam minggu lalu walaupun ia tidak dapat menghentikan pertumpahan darah di Syria.
Beliau juga dijangka menggesa Assad supaya mematuhi perjanjian gencatan senjata.
Semalam, Annan menggesa pihak berkuasa Syria supaya bertindak menghentikan pembunuhan selepas insiden di Houla itu yang disifatkannya sebagai 'jenayah kejam'.
Sementara itu, Australia hari ini mengusir dua diplomat Syria termasuk ketua misi ke negara itu sebagai tanda mengutuk pembunuhan beramai-ramai tersebut.
Menteri Luar Australia, Bob Carr berkata, diplomat tertinggi Syria di negara itu, Jawdat Ali dan seorang lagi diplomat telah dimaklumkan mengenai pengusiran mereka.
"Ini adalah cara terbaik untuk menghantar mesej kepada Syria dan kami berharap lebih banyak negara akan mengambil tindakan sama," katanya kepada wartawan.
Carr berkata, kedua-dua diplomat itu diberi masa 72 jam untuk meninggalkan Australia. - REUTERS/AFP

Sepanyol usir duta Syria


MADRID 30 Mei - Sepanyol semalam mengusir duta Syria di Madrid sebagai protes menentang kekejaman rejim Presiden Bashar al-Assad.
"Kerajaan membuat keputusan untuk mengusir duta Syria ke Sepanyol, Hussam Edin Ali termasuk empat lagi diplomat negara itu," menurut kenyataan Kementerian Luar Sepanyol.
Britain, Jerman, Perancis, Kanada, Bulgaria dan negara lain turut mengambil langkah yang sama selepas mengkritik serangan tentera Syria pada hujung minggu lalu yang menyebabkan 108 penduduk terbunuh. - AFP

Lebih 150 orang sertai maraton tertinggi



PARA peserta memulakan larian Maraton Tenzing Hillary di bes kem Gunung Everest Everest semalam.


KATHMANDU, Nepal - Lebih 150 pelari lasak mengambil bahagian dalam Maraton Everest Tenzing-Hillary yang merupakan larian tertinggi di dunia di sini semalam, kata pihak penganjur.
Acara tahunan itu diadakan bagi memperingati pendakian bersejarah manusia pertama yang berjaya menawan puncak Everest setinggi 8,848 meter.
Puncak tertinggi di dunia itu ditakluki oleh Edmund Hillary dan pemandu arah warga Nepal, Tenzing Norgay pada 29 Mei 1953.
Larian ekstrem itu bermula pukul 7 pagi (waktu Nepal) di Bes Kem pada ketinggian 5,356 meter dan berakhir di Namche Bazaar setinggi sekitar 2,000 meter dari aras laut.
Peserta terpaksa melalui laluan yang sempit, gunung berbatu dan oksigen yang terhad sepanjang larian sejauh 42 kilometer tersebut.
"Peserta terdiri daripada 93 rakyat asing dan 62 warga tempatan," kata penganjur Shikhar Pandey.
Pemenang pertandingan kali ini ialah peserta Nepal, Phurba Tamang yang menamatkan larian dalam tempoh tiga jam, 41 minit dan 31 saat.
Catatan tersebut cuma 11 saat lebih perlahan berbanding rekod kemenangannya dua tahun lalu. - AFP

600,000 orang sertai latihan gempa



BERIBU-RIBU orang berjalan ke kawasan lebih tinggi dalam latihan gempa bumi dan tsunami di bandar Valparaiso, Chile kelmarin.


VALPARAISO, Chile - Lebih setengah juta penduduk pesisir pantai termasuk di bandar raya ini menyertai latihan gempa bumi dan tsunami kelmarin, kata beberapa pegawai.
Menteri Dalam Negeri Chile, Rodrigo Hinzpeter berkata, latihan pada lewat pagi selama 20 minit tersebut berlangsung dengan jayanya.
"Kami tidak boleh terganggu dan mesti sentiasa fokus bagaimana melindungi diri kami," kata Hinzpeter kepada pemberita.
"Tiada cara lebih baik untuk membuat persediaan selain latihan," tambahnya.
Pada Februari 2010, satu gempa bumi kuat melanda kawasan tengah Chile, Maule yang menghasilkan ombak besar tsunami.
Bencana tersebut telah mengorbankan lebih 500 orang dan menyebabkan kerugian berbilion-bilion dolar.
Sejak itu, gempa bumi berikutnya menyebabkan kebimbangan tentang situasi yang bakal menimpa.
Latihan kelmarin merupakan simulasi gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter yang disusuli ombak tsunami.
Latihan tersebut melibatkan sejumlah 600,000 penduduk di kawasan terbabit bergegas mencari perlindungan di 300 lokasi berhimpun seperti diarahkan pihak berkuasa.
Chile terletak dalam kawasan lingkaran api di Pasifik dan sering dilanda gempa bumi. - AFP

13 kanak-kanak terkorban



BEBERAPA kenderaan kecemasan dilihat di luar pusat beli-belah Villagio yang terbakar di Doha kelmarin.


DOHAR, Qatar - Kementerian Dalam Negeri Qatar menyatakan, 13 kanak-kanak adalah antara sekurang-kurangnya 19 korban kebakaran sebuah pusat beli belah popular di negara Teluk berkenaan.
Angka kematian dalam kebakaran di pusat beli-belah Villagio di sini diumumkan di laman web kementerian berkenaan petang kelmarin.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Syeikh Abdullah bin Nasser Al-Thani berkata, sebahagian mangsa mati ketika pasukan penyelamat berusaha memasuki tempat jagaan harian kanak-kanak di dalam bangunan itu.
"Kami berusaha sedaya upaya tetapi apabila kami sampai di tempat kejadian, kanak-kanak terbabit telah terperangkap. Kami memohon maaf atas yang berlaku," katanya di sini.
Media tempatan dan asing melaporkan, antara mangsa yang maut termasuk empat kanak-kanak Sepanyol, seorang warga Perancis dan pasangan kembar tiga berusia dua tahun dari New Zealand.
Turut hilang nyawa dalam tragedi ngeri tersebut ialah empat orang guru dan dua petugas pertahanan awam, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan.
Kenyataan sama menyebut, 17 orang lagi, kebanyakannya merupakan pekerja penyelamat, cedera dalam kebakaran tersebut.
Terdahulu, beberapa saksi berkata, mereka melihat asap tebal naik ke udara dari pusat beli-belah berkenaan sekitar tengah hari kelmarin.
Kementerian Dalam Negeri memberitahu, kebakaran dapat dipadamkan beberapa jam kemudian. - Agensi

15 terbunuh gempa bumi di Itali


SEBUAH bangunan runtuh di bandar Cavezzo selepas gempa bumi melanda utara Itali semalam.


FELICE SUL PANARO, Itali - Satu gempa bumi kuat menggegarkan utara Itali semalam dengan menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh, beberapa hari selepas rantau berkenaan dilanda gempa bumi yang membawa banyak kematian dan kemusnahan.
Angka korban tersebut disahkan oleh Pihak Berkuasa Perlindungan Awam Itali dengan pasukan penyelamat masih mencari sekitar empat atau lima orang yang dikhuatiri masih hilang.
"Saya terpaksa keluar dari bangunan, kami digegarkan dengan gempa yang kuat dan lama," kata seorang jurucakap agensi berkenaan di Mantua.
Pihak berkuasa memberitahu, bahagian utara Itali dilanda tiga gegaran dengan kekuatan hingga 5.3 pada skala Richter antara pukul 10.56 pagi hingga 11.01 pagi (waktu tempatan).
Siri gegaran tersebut menyusul selepas gempa bumi kuat bermagnitud 5.8 berlaku pada pukul 7 pagi ketika orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja.
"Setiap bangunan di bandar ini runtuh," kata seorang anggota bomba di bandar Cavezzo kepada akhbar tempatan, Corriere della Sera.
Menurut Institut Geografi Modena, gempa bumi pertama berlaku sekitar 60 kilometer ke timur Parma dengan menyebabkan orang awam berlari ke jalan-jalan raya untuk menyelamatkan diri.
Selain Parma, gegaran turut dirasakan di bandar raya Pisa dan Venice.
Pihak berkuasa Itali memberitahu, lebih 5,000 orang telah dipindahkan dari kediaman mereka manakala kediaman sementara bagi menempatkan 4,000 mangsa bencana itu akan siap didirikan pada hari yang sama.
Gempa bumi semalam menyusul selepas gempa bumi kuat bermagnitud 6.0 melanda utara negara itu pada 20 Mei lalu yang meragut enam nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk terpaksa bermalam di khemah-khemah sementara. - AFP