Pages

Wednesday, April 15, 2015

Mesej untuk ayah di angkasa

Mesej untuk ayah di angkasa
Lakaran yang berjaya dirakam
TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Apabila anda ingin menulis mesej yang boleh dilihat dari angkasa lepas, mesej yang perlu dilakarkan itu haruslah sangat besar.

Stephanie, 13, dari Texas, Amerika Syarikat mempunyai impian untuk menyampaikan mesej kepada bapanya yang bekerja sebagai angkasawan di International Space Station (ISS).

"Saya sangat rindukannya, alangkah baiknya jika saya mampu menulis satu mesej yang besar supaya dia dapat melihatnya dari angkasa,” katanya.

Impian gadis itu direalisasikan oleh sebuah syarikat pengeluar kereta Korea Selatan, Hyundai menggunakan kereta sedan Genesis miliknya "melakar" mesej tersebut di atas padang pasir di Nevada's Delamar Dry Lake.

Malah lakaran mesej  'Steph love you" telah dicatatkan sebagai imej trek tayar terbesar di dunia oleh Guinness World Records.

Pakar dari Korea, Eropah dan Amerika Syarikat bekerjasama dan berjaya merealisasikan impian gadis berkenaan.

Sementara itu, berkomunikasi melalui pautan video dari ISS, bapa Stephanie menunjukkan imej lakaran yang diambilnya dari kameranya.

"Hai, Stephanie, ayah hanya mahu mengatakan saya sayang anda dan terima kasih", kata bapanya sambil menunjukkan lakaran mesej tersebut

Video yang berdurasi 4.03 minit bertajuk Hyuandai: A Message to space" dimuatnaik 9 April lalu dan kini ditonton hampir 4 juta pelayar.

Niloofar tak gentar ugutan bunuh oleh keluarga


Niloofar Rahmani
Niloofar Rahmani

AFGHANISTAN - Juruterbang wanita Afghanistan, Niloofar Rahmani, 23, tidak gentar apabila menerima ugutan bunuh dari pengganas, Taliban.

Menurut Dailymail, Niloofar dan enam lagi ikon wanita dari serata dunia dianugerahkan  Anugerah Keberanian Wanita 2015 dalam sebuah majlis di Amerika Syarikat, minggu lalu.

Menurut Niloofar, sememangnya bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang menghabiskan hampir setahun mempelajari bahasa Inggeris untuk memasuki kolej.

Beliau akhirnya menyertai Program Latihan Pegawai Afghan Air Force pada 2010 dan tamat pengajian pada 2012 dengan pangkat Leftenan Kedua.

Niloofar dikatakan mengingkari sebuah arahan selepas menemui beberapa askar Afghanistan yang cedera ketika sebuah misi dan menerbangkan mereka ke hospital.

Pegawai atasan membuat keputusan untuk tidak menghukum Niloofar kerana mengingkari arahan tersebut.

Selepas kejayaan Niloofar menyelamatkan askar-askar berkenaan diketahui umum, beliau menerima ugutan bunuh daripada Taliban dan ahli keluarganya sendiri kerana pilihan kerjayanya itu.

“Anda tidak boleh melihat diri anda sebagai seorang wanita sahaja, anda perlu percaya kepada diri anda sendiri,” kata Niloofar ketika ditemuramah WTKR.

Beliau bertegas akan terus meneruskan kerjayanya dan bercita-cita untuk menjadi tenaga pengajar untuk menggalakkan lebih ramai wanita menceburi pekerjaan tersebut.

CEO potong gaji sendiri, naikkan gaji pekerja


CEO potong gaji sendiri, naikkan gaji pekerja
Pekerja syarikat Gravity Payments meraikan pengumuman Dan Price. (Gambar kecil) Dan Price
SEATTLE - AMERIKA SYARIKAT. Seorang CEO membuat keputusan untuk memotong gajinya sendiri dan menaikkan gaji 120 orang pekerjanya, Isnin lepas.

Menurut Dailymail, Dan Price, CEO kepada syarikat Gravity Payments, sebuah syarikat pemprosesan kad kredit memperoleh pendapatan sebanyak USD 1 juta (RM3.7 juta) setahun sebelum pengumuman berkenaan.

Price mendapat ilham berkenaan selepas sebuah penyelidikan bagaimana kenaikan gaji mampu memberi kegembiraan untuk pekerja yang memperoleh pendapatan USD 70,000 (RM260,000) setahun.

"Adakah anda terkejut? Saya sendiri terkejut," beritahu Price kepada kakitangannya yang bersorak gembira dalam sebuah mesyuarat.

Price memberitahu THe Times bahawa beliau tertekan dengan kesusahan yang dialami oleh kawan-kawannya dan ahli keluarganya yang memperoleh pendapatan kurang USD 70,000 setahun.

"Mereka menceritakan kesusahan mereka kepada saya hampir setiap minggu. Saya terharu dan rasa tertekan," kata Price.

Price mengasaskan syarikat Gravity Payments pada 2004 ketika berusia 19 tahun.

Kanak-kanak lima tahun temui fosil dinosaurus

Kanak-kanak lima tahun temui fosil dinosaurus
Gambar fail Wylie Brys bersama bapanya.
TEXAS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun berjaya menemui fosil dinasaur setelah seringkali mengikut ayahnya menggali tanah untuk mencari ‘benda’ tersebut.

Washington Post melaporkan Wylie Brys menemui  fosil dinosaurus di halaman sebuah kawasan berhampiran pusat membeli belah  di Mansfield, Texas, AS, pada September 2014 lalu.

Pengkaji percaya, fosil ini berasal dari tulang belulang dinosaurus yang hidup sekitar 100 juta tahun lalu.

Sementara itu, menurut saintis dari Southern Methodist University (SMU) pihaknya akan membantu mengekstrak fosil dinosaurus tersebut. Kerja-kerja mengenainya sudah dimulakan pada Selasa lalu.

"Fosil dinasour  jarang ditemui di daerah seperti ini," ujar salah seorang saintis dari SMU.

Sementara menurut ayah kanak-kanak tersebut, selain menemui fosil dinosaurus itu, mereka juga telah menemui beberapa tulang ikan di lereng bukit. Kini fosil-fosil tersebut sudah dipindahkan ke SMU untuk menjalani proses ‘pengesanan’.

Pesawat Komersial Lakukan Bentuk 'Love' Gergasi Di Udara


Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 7:52 AM

SEBUAH pesawat komersial Air Malta dikesan melakukan dua bentuk 'love' gergasi di udara yang berjaya dikesan oleh Flightradar24 di Kepulauan Mediterranean.
Berikutan tindakan itu, ramai pemerhati penerbangan bingung dengan tindakan juruterbang pesawat jenis AMC14JC itu.
Terdapat juga daripada mereka yang menyifatkan tindakan itu sebagai publisiti merbahaya yang dianjurkan oleh syarikat penerbangan tersebut.
Tindakan itu dipercayai dilakukan secara sengaja oleh Air Malta kerana syarikat itu telah mengadakan promosi 'Penerbangan Cinta' pada Februari lalu sebagai cara istimewa dan unik untuk menyambut hari kekasih.
Ketika pesawat itu dirakam melakukan dua bentuk 'love' gergasi, terdapat dua penerbangan komersial lain menuju ke lokasi tersebut dan ia boleh menimbulkan bahaya.
Syarikat Air Malta yang diminta memberi respon terhadap insiden itu bagaimanapun dilapor mendiamkan diri ketika ini.

Wanita Cedera Selepas Peluru Melantun Dari Kulit Armadillo


Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 8:38 AM

SEORANG wanita cedera selepas sebutir peluru yang terkena kulit armadillo melantun kepadanya.
Kejadian yang berlaku di Lee County, Georgia, Amerika Syarikat itu berlaku apabila menantu Marry McElroy, 54, menembak seekor armadillo di belakang rumah mereka.
Lelaki itu, Carrol Johnson dilapor telah menembak armadillo berkenaan dengan menggunakan sepucuk pistol 9mm sebelum peluru yang membunuh binatang berkenaan melantun mengenai ibu mertuanya.
Marry bagaimanapun dilaporkan stabil dan polis setakat ini hanya mengambil keterangan Carrol tanpa menahannya.
Armadillo merupakan seekor binatang yang hidup liar di hutan tropika dan boleh mempertahankan dirinya seperti tenggiling.
Armadillo telah dipilih sebagai maskot bagi Piala Dunia Brazil pada 2014.

Pesakit Jantung Hidup Semula Selepas Direndam Dalam Ais


Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 10:40 AM

SEORANG bapa kepada dua anak yang dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung, didakwa hidup semula selepas doktor memasukkan jasadnya ke dalam kolam ais.
Doktor tersebut memasukkan jasad Bulent Sonmez ke dalam ais selepas mereka gagal menghidupkan semula dengupan jantung lelaki itu yang terhenti.
Dalam kejadian itu, Bulent telah jatuh pengsan selepas mengalami serangan jantung dan doktor gagal menyelamatkannya melalui kaedah biasa.
Berikutan itu, doktor bertindak menggunakan rawatan therapeutic hypothermia dengan merendamkan jasadnya di dalam kolam ais bagi menurunkan suhu badan.
Sebaik sahaja jantungnya kembali berdegup, doktor bertindak mengekalkan dengupan itu selama 24 jam termasuk menjaga suhu badan bapa berusia 40 tahun itu.
Selepas lapan bulan kejadian itu berlaku, Bulent dari Ankara, Turki, kini kembali hidup bahagia bersama keluarganya.

Pengantin lelaki Arab Saudi dikehendaki solat 5 waktu

Calon pengantin lelaki yang ingin mendapat bantuan perkahwinan
CALON pengantin lelaki yang ingin mendapat bantuan perkahwinan daripada pertubuhan kebajikan di Arab Saudi disyaratkan menunaikan solat lima waktu secara berjemaah di masjid. AGENSI

RIYADH 14 April - Pertubuhan-pertubuhan kebajikan di Arab Saudi yang membantu pasangan muda di negara ini berkahwin ‘dikehendaki’ memastikan setiap calon pengantin lelaki supaya mengerjakan sembahyang lima waktu secara berjemaah di masjid.
Arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Sosial Arab Saudi itu antara lain memerlukan imam di sesebuah kawasan perumahan yang didiami calon pengantin lelaki itu supaya menyediakan bukti tentang pelaksanaan ibadah berkenaan oleh lelaki muda tersebut.
Timbalan Pengarah Kementerian Hal Ehwal Sosial bagi Wilayah Timur, Mohammad Rajab Al-Zahrani berkata, mereka yang memohon bantuan perkahwinan itu akan disiasat termasuk perlu menyediakan jiran atau rakan bagi menjadi saksi tentang ibadah mereka.
Katanya, pertubuhan kebajikan perlu mempunyai anggota yang akan memeriksa ketulenan dokumen, dan sama ada calon pengantin lelaki melakukan sembahyang secara berjemaah di masjid di kawasan kediaman mereka.
‘’Pemeriksa itu yang akan berurusan dengan kementerian berkenaan juga perlu memastikan lelaki yang menerima bantuan kewangan itu telah berkahwin,’’ katanya menurut laporan media tempatan yang dipetik portal Arab News.
Kementerian Hal Ehwal Sosial kini menyelia sebanyak 650 pertubuhan kebajikan dengan 21 daripadanya mempunyai pengkhususan dalam kebajikan perkahwinan dan keluarga.
Sementara itu, Ketua Pengarah bagi Persatuan Perkahwinan dan Kebajikan di Al-Ahsa, Adel Al-Khoufi berkata, pertubuhannya tidak memerlukan imam untuk menyediakan bukti itu dan kelonggaran itu tidak bermakna mereka tidak mahu calon supaya tidak menunaikan solat.
Katanya, banyak orang tidak dapat bersembahyang pada setiap masa di masjid dan mungkin mereka mengerjakan solat di tempat kerja.
Bagaimanapun, katanya, pemohon perlu menyediakan kontrak perkahwinan mereka bagi membuktikan mereka serius untuk berkahwin.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pengantin-lelaki-arab-saudi-dikehendaki-solat-5-waktu-1.81024#sthash.td5NIK3K.dpuf