Pages

Wednesday, June 12, 2013

Azab dua tahun tamat

Foto
Las Vegas: Azab yang dilalui Wesley Warren kini semakin berkurangan.
Foto
WESLEY sebelum menjalani pembedahan.
Lelaki berusia 48 tahun itu yang berasal dari Las Vegas ialah bekas pemilik buah zakar seberat 45 kilogram dan muncul dalam dokumentari baru mengenai azab mempunyai kantung zakar sebesar itu.


Program yang menitiskan air mata itu meninjau secara unik mengenai kesusahannya menjalani kehidupan harian, termasuk terpaksa kencing di tempat duduknya serta memakai pakaian berpenutup kepala sebagai seluar dalam. Dokumentari itu turut memaparkan detik Warren menjalani pembedahan hidup atau mati selama 13 jam yang akan membawanya semula kepada kehidupan normal.

Warren menghidap penyakit yang dikenali sebagai crotal lymphedema, menyebabkan kantung zakarnya membesar dalam masa tidak sampai dua tahun. Penyakitnya itu menyebabkan dia pernah diundang menjadi tetamu dalam rancangan televisyen Howard Stern Show dan Comedy Cental.

Foto
BUAH zakar yang berjaya dibuang.
Warren yang kini menjalani pemulihan di sebuah hospital di California berkata: “Tubuh saya kini menjalani proses penyesuaian. Saya sungguh berterima kasih kepada peminat yang membantu saya. Saya masih belum boleh banyak bergerak, memandu atau keluar makan malam. “Namun saya berhasrat melakukannya selepas ini. “Semua ini sebahagian daripada kehidupan menyayat hati yang perlu dilalui untuk pulih daripada kecacatan yang amat teruk.” - The Sun




Terowong bawah tanah ditemui

TEROWONG bawah tanah di Kampung Kalai didakwa pernah menjadi laluan kepada pelarian PULO untuk masuk ke Kelantan.


KOTA BHARU - Pada tahun lalu orang ramai dikejutkan dengan penemuan misteri kononnya terdapat sebuah terowong bawah tanah di Kampung Palekbang, Tumpat dekat sini.
Bagaimanapun, kewujudan terowong tersebut dinafikan penduduk kerana ia sebenarnya hanya sebuah telaga yang di bawahnya terdapat saluran air yang mengalir ke Sungai Kelantan.
Baru-baru ini, cerita mengenai kewujudan sebuah terowong bawah tanah di Kelantan timbul lagi tetapi kali ini ia benar-benar wujud di Kampung Kalai, Jeli dekat sini baru-baru ini.
Presiden Kelab Pencinta Sejarah Kelantan, Mohd. Idham Rashid berkata, terowong itu dipercayai digali pada zaman sebelum kedatangan British dan ditemui pihaknya sejak Februari lalu.
Menurutnya, terowong tersebut juga dipercayai boleh menembusi sehingga ke sempadan Thailand.
"Mungkin ramai yang tidak mengetahui Kampung Kalai adalah sebuah pekan lama dan satu-satunya sempadan darat di Kelantan yang memisahkan Malaysia dengan Thailand.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz2Vwpg3qIv 
Hakcipta terpelihara 

China hantar tiga angkasawan ke angkasa lepas

YAPING (kiri), Xiaoguang dan Haisheng (kanan) melambaikan tangan sebelum mereka berlepas ke angkasa lepas.- REUTERS


BEIJING - China melancarkan roket Long March 2-F yang membawa kapal angkasa lepas Shenzhou-10 ke angkasa lepas semalam.
Tiga angkasawan yang berada di dalam kapal angkasa tersebut berlepas dari pusat pelancaran Jiuquan di padang pasir Gobi, wilayah Gansu.
Kapal angkasa itu yang telah berpisah dengan roket tersebut selepas dilancarkan akan berlabuh di stesen angkasa lepas milik China, Tiangong-1.
Jurucakap Program Kejuruteraan Manusia ke Angkasa Lepas China, Wu Ping berkata, seorang wanita yang menyertai misi itu, Wang Yaping, 33, akan memberikan kuliah tentang graviti dari angkasa lepas.
Dia merupakan wanita kedua China yang berlepas ke angkasa lepas.
Pemimpin Parti Komunis dan Presiden China, Xi Jinping menyaksikan pelancaran roket tersebut di pusat angkasa lepas itu.
Perdana Menteri, Li Keqiang dan beberapa pemimpin tentera dan awam berjabat tangan dengan para saintis dan juruteknik di pusat angkasa lepas tersebut selepas roket berkenaan berjaya dilancarkan.
Keqiang turut bercakap dengan ketiga-tiga angkasa itu.
"Anda menyebabkan penduduk China berasa bangga dengan diri mereka," kata Keqiang.
Selain Yaping, dua angkasawan lain yang menyertai misi tersebut ialah Nie Haisheng dan Zhang Xiaoguang.
Mereka akan berada di angkasa lepas selama 15 hari.
China menghantar manusia ke angkasa lepas buat kali pertama pada tahun 2003.
Kejayaan itu sekali gus meletakkan China menjadi negara ketiga di dunia yang menghantar angkasawan ke angkasa lepas selepas Rusia dan Amerika Syarikat.
China telah melancarkan lima misi ke angkasa lepas yang membawa manusia dengan menggunakan kapal angkasa tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2VwoS8Fgt 
Hakcipta terpelihara 

Pesawat era Perang Dunia Kedua diangkat dari dasar laut

PESAWAT itu diletakkan di atas sebuah tongkang.- AP


LONDON - Sebuah pesawat pengebom tentera Jerman pada era Perang Dunia Kedua dikeluarkan dari dasar laut dengan menggunakan kren di Selat Inggeris kelmarin.
Pesawat Dornier Do-17 itu ditembak jatuh di perairan Kent lebih 70 tahun lalu.
Pesawat itu tenggelam pada kedalaman 15 meter di dasar laut.
Ia kemudian diletakkan di atas sebuah tongkang.
Sepasukan pakar Muzium Tentera Udara Diraja Britain melakukan persiapan selama lima minggu untuk mengeluarkan kapal terbang pengebom tersebut dari dasar laut. -
Pesawat itu ditemui oleh sekumpulan penyelam pada tahun 2008.
Beberapa pegawai merancang untuk memulihkan semula pesawat tersebut dan dipamerkan di muzium itu.- Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2VwoHpHn9 
Hakcipta terpelihara 

Artifak kaum Maya ditemui di tapak pembinaan

DUA ahli arkeologi menemui sebuah kubur di tapak pembinaan sebuah bangunan kediaman di Colon pada 6 Jun lalu.


SAN SALVADOR - Beberapa pekerja yang membina sebuah bangunan kediaman menemui beberapa pasu, serpihan seramik dan artifak lain, kata seorang pegawai kelmarin.
Penemuan itu dibuat di Colon, 25 kilometer ke barat San Salvador.
Sebahagian rangka manusia turut ditemui di tapak persebut.
Barang-barang dan rangka manusia yang ditemui beberapa ahli arkeologi Jepun dan Salvador itu mungkin berasal dari zaman kebudayaan kaum Maya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm#ixzz2Vwnb0X34 
Hakcipta terpelihara 

Perkhidmatan dulang terbang di restoran sushi

SEORANG pelanggan wanita mengambil makanan di atas dulang terbang itu.- REUTERS


LONDON - Rangkaian restoran Britain, Yo! Sushi melancarkan perkhidmatan dulang terbang yang didakwa sebagai yang pertama di dunia untuk menghantar hidangan sushi ke meja pelanggan dengan pantas.
Perkhidmatan yang dinamakan sebagai iTray itu menggunakan dulang yang diletakkan pada pesawat dron kawalan jauh yang dilengkapi kamera dan bilah kipas.
Dron yang dikawal menggunakan komputer iPad itu boleh bergerak selaju 40 kilometer sejam.
Ia yang dikawal oleh pekerja restoran berkenaan digunakan untuk menerbangkan sushi dari dapur premis tersebut ke meja pelanggan.
Seorang pelanggan yang menerima hidangan menggunakan iTray berkata, dia kagum dengan konsep tersebut.
"Apabila saya memesan makanan, saya tidak menyangka ia akan diterbangkan ke meja saya," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2VwnApvuo 
Hakcipta terpelihara 

Wanita berusia 127 tahun meninggal dunia di China

SEORANG cucu Meizhen melihat gambar neneknya, Meizhen di Kampung Longhong, wilayah Guangxi semalam.- AFP


LONGHONG - Seorang wanita China berusia 127 tahun yang didakwa oleh beberapa pegawai di negara itu sebagai wanita tertua di dunia telah meninggal dunia pada hujung minggu lalu.
Kematian wanita tersebut, Luo Meizhen didedahkan oleh beberapa orang saudaranya semalam.
Satu dokumen rasmi menyatakan Meizhen telah dilahirkan pada tahun 1885, sekali gus menjadikan dia sebagai wanita paling lama pernah hidup di dunia.
Seorang anak lelakinya, Huang Youhe menyatakan, ibunya telah meninggal dunia pada hujung minggu lalu selepas beberapa bulan dia jatuh sakit.
Tarikh lahir itu mungkin menjadikan dia sebagai wanita tertua di dunia mengatasi seorang warga emas Jepun, Jiroemon Kimura yang meninggal pada usia 116 tahun.
Kesangsian turut didorong dengan kenyataan seorang anak Meizhen yang memberitahu, dia dilahirkan oleh ibunya ketika wanita itu berusia 61 tahun.
Menurut Guinness World Records, manusia paling tua pernah hidup di dunia ialah Jeanne Calment dari Perancis yang berusia 122 tahun dan 164 hari.
Dia meninggal dunia pada tahun 1997.
Agensi berita rasmi China, Xinhua turut melaporkan tentang sambutan hari lahir yang ke-127 wanita tersebut di laman webnya pada Oktober lalu sekali gus menggambarkan dia sebagai wanita tertua di China.
Wanita berkenaan bekerja sebagai petani sepanjang hidupnya dan telah melahirkan lima orang anak.
Dia turut mempunyai beberapa cicit di Kampung Longhong, di Guangxi, wilayah selatan China. Beberapa saudaranya menyatakan mayatnya akan disimpan di sebuah gunung dekat dengan rumah mereka.
Menurut mereka, mayatnya itu akan dikebumikan pada satu tarikh yang dianggap bertuah pada lewat bulan ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0612&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2VwmgQJBv 
Hakcipta terpelihara