Pages

Monday, December 7, 2015

Harta karun RM8.4b ditemui

Cartagena: Pihak berkuasa semalam mengumumkan ia menemui rangka kapal Sepanyol yang sarat dengan emas, perak dan batu berharga, 300 tahun selepas ia dikaramkan Britain di Laut Caribbean.
“Ia penemuan harta karun paling bernilai pernah ditemui dalam sejarah kemanusiaan,” kata Presiden Juan Manuel Santos, semalam.
Dia berkata demikian di bandar pelabuhan Cartagena, berhampiran tempat pakar menemui harta itu.
Pemburu harta karun berusaha mencari kapal itu sejak puluhan tahun lalu yang disifatkan oleh beberapa pihak sebagai ibu kepada semua kapal yang karam.
Jumlah harta yang dipercayai berada dalam rangka kapal itu dianggarkan bernilai sekitar AS$2 bilion (RM8.4 bilion).
Nilainya sepatutnya lebih tinggi tetapi menurun kerana kejatuhan mendadak harga perak, menurut Sea Search Armada (SSA) yang berpejabat di Amerika Syarikat.
SSA yang mendakwa menemui tempat rangka kapal itu terdampar pada awal 1980-an, terbabit dalam pertelingkahan sengit dengan kerajaan Colombia mengenai hak ketuanan terhadap harta itu.
Kapal itu, San Jose, karam pada Jun 1708 berhampiran Islas del Rosario, di pesisir pantai Colombia ketika bertempur dengan kapal Britain yang cuba merampas kargonya, sebahagian daripada Perang Rebut Takhta Sepanyol.
San Jose kapal utama mengetuai sekumpulan kapal membawa emas, perak dan barangan berharga lain dari tanah jajahan Sepanyol di benua Amerika untuk Raja Philip V.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 5:09 AM


GAMBAR yang dirakam di dasar laut menunjukkan antara artifak ditemui dalam kapal San Jose.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98379#sthash.hPeM9DIQ.dpuf

Guna kayu api ganti petrol, diesel


Antara pemandu di Ukraine yang mengubahsuai kenderaan mereka untuk menggunakan kayu api sebagai sumber kuasa enjin. AGENSI
KIEV 6 Dis. - Harga minyak yang tidak menentu di serata dunia mendorong sekumpulan pemandu di Ukraine mencari alternatif dengan menggunakan kayu sebagai sumber kuasa menggerakkan ken­deraan mereka, sekali gus tidak bergantung lagi kepada petrol atau diesel sebagai sumber bahan api.
Menurut laporan Oddity Central, jumlah pemandu di Ukraine yang mengubah kenderaan mereka semakin meningkat walaupun teknologi itu bukan sesuatu yang baharu kerana pernah digunakan secara meluas semasa Perang Dunia Pertama.
Sebagai contoh, Eugene Chernigov, 36, sanggup menukarkan kereta model Opel miliknya menjadi kenderaan yang menggunakan kuasa pembakaran kayu api sejak tahun lalu.
Bekerja sebagai guru matematik, Chernigov mempelajari kaedah terbabit menerusi Internet dan menghabiskan masa selama dua bulan untuk membaca topik bagi memahami teknologi yang pernah digunakan pada tahun 1939 itu.
Menurutnya, tugas untuk membina sistem minyak alternatif me­rupakan perkara mudah sekiranya konsep teknologi itu difahami.
“Saya menyambungkan alat pembakar kayu api dengan bahagian enjin dan gas yang terhasil daripada pembakaran kayu api akan terkumpul dalam bekas besi yang diletakkan di belakang kereta.
“Gas yang terkumpul itu menjadi bahan api alternatif dan mampu bergerak sejauh 100 kilometer bagi pembakaran kayu seberat 18 kilogram,” katanya.
Selain kayu api, Chernigov turut menggunakan botol plastik untuk dibakar dan menyifatkan teknologi terbabit sebagai menjimatkan serta mesra alam kerana hanya mengeluarkan wap air dan karbon dioksida berbanding asap tercemar yang dikeluarkan oleh kenderaan yang menggunakan petrol atau diesel.
Idea Chernigov dan beberapa pemandu lain mendapat perhatian media, sekali gus mendorong lebih ramai orang mengubah kenderaan mereka menggunakan kaedah yang sama bagi menjimatkan minyak.
Namun Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Ukraine menyatakan penggunaan sistem tenaga yang tidak berdaftar merupakan satu kesalahan dan kaedah terbabit masih lagi dikaji supaya keselamatan orang ramai terjamin.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/guna-kayu-api-ganti-petrol-diesel-1.166287#sthash.QkcoH2pP.dpuf

Biawak gergasi ‘ceroboh’ rumah


Seekor biawak gergasi mengejutkan seorang warga emas apabila bertindak memanjat dinding rumahnya, satu perbuatan yang jarang dilakukan oleh reptilia jenis itu. AGENSI
ALBURY, Wales 6 Dis. – Seorang warga emas terkejut dan tergamam seketika selepas melihat kelibat seekor biawak gergasi berlegar-legar di kawasan persekitaran rumahnya di sini, baru-baru ini.
Laman web mirror.co.uk me­laporkan, Eric Holland, 80, berkata, apa yang lebih mengejutkan adalah biawak berkenaan bertindak memanjat dinding rumahnya, satu perbuatan yang jarang dilakukan oleh reptilia jenis itu.
Kata Holland, dia mula menyedari kehadiran biawak yang mempunyai kuku sepanjang kira-kira 40 milimeter itu selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumahnya.
“Kejadian tersebut begitu mengejut dan mengerikan saya. Saya belum pernah melihat seekor biawak memanjat dinding sebelum ini.
“Saya dapat lihat dengan jelas bagaimana biawak tersebut mencengkam batu-bata dinding dengan ekornya bergerak mengetuk batang paip yang kebetulan terletak berhampiran dinding yang dipanjat,” jelasnya.
Tambahnya, dia sempat menangkap gambar biawak berkenaan sebelum binatang liar tersebut melarikan diri.
“Sejak hari itu saya tidak pernah melihatnya lagi. Sebagai langkah berjaga-jaga, saya akan memakai kasut but dan seluar panjang setiap kali keluar dari rumah, bimbang diserang oleh biawak tersebut,” ujarnya lagi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/biawak-gergasi-8216-ceroboh-8217-rumah-1.166306#sthash.aJdSeSrl.dpuf