Pages

Monday, May 7, 2012

Wanita Islam terima pampasan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


KANSAS CITY 6 Mei - Mahkamah Daerah Jackson, di sini, Khamis lalu mengarahkan sebuah syarikat membayar ganti rugi berjumlah AS$5 juta (RM15 juta) kepada seorang pekerja wanita beragama Islam yang mendakwa syarikat tersebut melakukan diskriminasi terhadapnya.
Ganti rugi tersebut termasuk sebanyak AS$120,000 (RM360,000) bagi kehilangan sumber pendapatan dan kerosakan-kerosakan lain.
Susann Bashir, yang memeluk Islam pada 2005 mendakwa, syarikat telekomunikasi AT&T memalukannya dengan memaksa dia menanggalkan tudung kepala dan mendedahkan rambutnya.
Akhbar The Kansas City, semalam melaporkan, ia merupakan keputusan terbesar dalam sejarah di Missouri membabitkan kes diskriminasi di tempat kerja.
Susann dalam dokumen mahkamah mendakwa, persekitaran tempat kerjanya berubah seakan-akan memusuhinya setelah dia memeluk Islam, dengan rakan sekerjanya sering mempersendakan tindakannya serta agama yang dianutinya.
"Saya terperanjat apabila mereka mempersendakan tudung kepala yang saya pakai. Sebelum ini tiada sesiapa yang pertikai agama yang saya anuti, tiada siapa yang mempersoalkan pakaian saya?" katanya kepada akhbar tersebut.
Susann bekerja di syarikat tersebut selama 10 tahun sebagai pembina rangkaian fiber optik sebelum dipecat daripada jawatannya dengan menerima pendapatan sebanyak AS$70,000 (AS$210,000) setahun.
Dia juga mendakwa berdepan diskriminasi agama hampir setiap hari selama tiga tahun terakhir bekerja di situ, dengan ada pekerja yang menggelarnya sebagai pengganas.
Sementara itu, jurucakap syarikat AT&T kelmarin berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan tersebut dan bercadang untuk mengemukakan rayuan. - AGENSI

Pemimpin Al-Qaeda di Yaman terbunuh dalam serangan udara AS

Berita Harian Online | Pemimpin Al-Qaeda di Yaman terbunuh dalam serangan udara AS: "ADEN: Pemimpin Al-Qaeda di Yaman, Fahd al-Quso, yang dikehendaki kerana terbabit dengan pengeboman kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS), USS Cole pada 2000, terbunuh dalam serangan udara di timur Yaman lewat malam tadi, kata ketua puak.

Al-Qaeda, yang mempunyai kubu kuat di selatan dan timur Yaman, mengesahkan kematian Quso menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada pemberita.
"Fahd al-Quso, yang dikehendaki AS kerana serangan terhadap USS Cole, dibunuh malam ini dalam serbuan udara yang dilancarkan di wilayah Rafadh jajahan Shabwa," kata Ketua Suku Abdel Magid Farid al-Awlaki.
Dalam serangan terhadap kapal pemusnah Tentera Laut AS, USS Cole pada Oktober 2000 di pelabuhan Aden, Yaman, seramai 17 anak kapal terbunuh manakala lebih 40 lagi cedera. - AFP"

'via Blog this'

Al-Qaeda siar video tebusan AS

Berita Harian Online | Al-Qaeda siar video tebusan AS: "WASHINGTON: Al-Qaeda hari ini menyiarkan video seorang tebusan warga Amerika Syarikat, Warren Weinstein, bahawa berkata beliau akan dibunuh melainkan Presiden Barack Obama bersetuju memenuhi permintaan kumpulan militan terbabit.

“Nyawa saya terletak di tangan anda, tuan presiden. Jika anda menerima permintaan mereka, saya akan hidup tetapi jika anda menolak permintaan maka saya akan mati,” katanya.
Weinstein diculik Ogos lalu di Lahore, Pakistan selepas lelaki bersenjata menipu pengawal dan memecah masuk ke kediamannya.
Warren Weinstein, 70 yang berasal dari Rockville, Maryland adalah pengarah firma J.E. Austin Associates yang berpangkalan di Pakistan bagi memberi nasihat kepada pelbagai syarikat perniagaan dan sektor kerajaan.

Dalam pesanan video yang disiarkan di laman web militan itu pada Disember lalu, ketua Al-Qaeda, Ayman Al-Zawahri, berkata Weinstein akan dibebaskan jika Amerika Syarikat menghentikan serangan udara di Afghanistan, Pakistan, Somalia dan Yaman.

Beliau juga mendesak pembebasan semua suspek al-Qaeda dan Taliban di seluruh dunia. - AP"

'via Blog this'

Terkejut warga Nepal mabuk tidur sekatil

Berita Harian Online | Terkejut warga Nepal mabuk tidur sekatil:
KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri dari Flet Awam Jalan Hiliran di sini, terkejut apabila terjaga daripada tidur awal pagi semalam dan mendapati seorang warga Nepal yang dipercayai mabuk tidur sekatil dengan mereka. 

Kehadiran suspek disedari mangsa yang juga anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada jam 4.15 pagi selepas anak mereka yang berusia dua tahun menangis kerana dihimpit suspek yang tidur sekatil bersama keluarga berkenaan.
Suspek berusia 31 tahun yang dipercayai mabuk menceroboh masuk rumah anggota polis terbabit sebelum tertidur bersama keluarga terbabit.
Anggota terbabit dipercayai masuk tidur bersama isteri dan anaknya berusia dua tahun kira-kira jam 1.20 pagi tetapi terjaga apabila mendengar tangisan anaknya yang dipercayai berasa tidak selesa akibat dihimpit suspek. 

Sebaik terjaga, mangsa yang terkejut dengan kehadiran suspek sedang lena tidur di katilnya, menahan lelaki itu dan memaklumkan kepada Rakan Cegah Jenayah Terengganu sebelum dibawa ke Balai Polis Chabang Tiga untuk siasatan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin yang dihubungi di sini, semalam, berkata, suspek yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya di bandar raya ini dipercayai tersilap masuk ke kediaman mangsa akibat mabuk. 

Katanya, suspek dipercayai memasuki rumah mangsa melalui pintu utama sebelum tidur di bilik sama dengan keluarga terbabit.

Remaja maut taufan landa Jepun

Berita Harian Online | Remaja maut taufan landa Jepun:
SEBAHAGIAN penduduk memeriksa kerosakan rumah mereka selepas puting beliung  melanda Tsukuba  di Ibaraki,   semalam.
SEBAHAGIAN penduduk memeriksa kerosakan
rumah mereka selepas puting beliung
 melanda Tsukuba di Ibaraki, semalam.



TOKYO: Puting beliung melanda timur Jepun semalam, mengorbankan seorang remaja dan mencederakan sekurang-kurangnya 30 lagi selain memusnahkan berpuluh-puluh rumah serta menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada 20,000 penduduk.

“Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun maut akibat puting beliung,” kata jurucakap ibu pejabat bencana di bandar raya Tsukuba di Ibaraki, yang terletak 67 kilometer ke barat laut Tokyo.
Punca kematian belum diketahui tetapi mangsa antara 12 orang yang dikejarkan ke hospital oleh pasukan penyelamat selepas bencana itu, kata jurucakap berkenaan.
“Perangkaan itu sementara. Kami percaya bilangan kes kecederaan akan meningkat,” katanya.

Pasukan bomba dan kecemasan Tsukuba berkata 30 hingga 50 rumah musnah akibat bencana itu.

Beberapa kes kecederaan ringan turut dilaporkan di Togichi manakala sebahagian besar timur Jepun turut dilanda angin kencang, hujan batu, petir dan hujan lebat.

Rakaman televisyen dari Tsukuba menunjukkan rumah musnah, kereta terbalik, serpihan kaca bertaburan dan tiang elektrik tumbang. Gambar yang diambil dari udara menunjukkan kemungkinan ratusan rumah dan pangsapuri dengan kaca tingkap yang berselerak, kebanyakannya tiada bumbung diterbangkan puting beliung. 
Agensi cuaca Jepun mengeluarkan amaran bagi wilayah di timur negara itu, meminta penduduk mencari tempat berlindung jika angin kencang bertiup.

Angin kencang menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada hampir 20,000 penduduk di wilayah berkenaan, kata jurucakap Bekalan Elektrik Tokyo.

“Taufan dan guruh yang berlaku sekitar 12.46 tengah hari waktu tempatan dipercayai punca gangguan bekalan elektrik kepada 19,300 penduduk Tsukuba dan kawasan sekitarnya,” katanya. – AFP

"sudah tiba masanya....." {tolong jangan baca kisah ini kalau anda rasa ALLAH hanya untuk disembah, bukan untuk dicinta}

Dengan nama ALLAH yang maha pemurah lagi maha penyayang..              

alkisah..suatu hari 3 orang lelaki didatangkan kepada mereka 3 naskah surat khabar negara kita yang bertarikh sama, dari syarikat sama, dan yang tidak memihak kepada mana2 parti politik.. ketiga-tiga tokoh ini disuruh menghabiskan membaca surat khabar ini, dan menyimpulkan apa yang yang mereka ingin katakan setelah menghabisi bacaan mereka..

setelah dua jam berlalu..

lelaki pertama ditanya, " apa yang tuan dapat simpulkan?"

katanya.. " akhbar ini terlalu berat dan besar, tidak mesra pembaca.. terlalu banyak iklan, ini menguntungkan penerbit, dan merugikan pembaca.."

lalu lelaki kedua pula ditanya.. " apa pendapat tuan pula?"

"bagi saya, banyak berita yang disampaikan oleh akhbar ini. bagus.. namun, mengapa ruangan hiburan terlalu banyak, kenapa tak perluaskan ruangan ilmu, agar kita dapat manfaat, pada ruangan sukan pula, majoritinya, sukan luar negara, bagaimana pula dengan sukan kita sendiri?"

setelah itu, lelaki ketiga pula ditanya.. "bagaimana pula dengan tuan? apa yang tuan dapat simpulkan?"

lelaki itu diam sebentar, menarik nafas panjang, dan berkata...

"hanya tujuh perkataan yang mampu saya katakan. namun cukup untuk menyimpulkan semuanya.."

"apakah perkataan itu?" soal penerbit tadi.

"sudah tiba masanya, kita guna hukum ALLAH.." balas lelaki itu ringkas.

"mengapa???" semua yang berada disitu tertanya2..

lelaki itu membaca basmalah, lalu menerangkan...

"wahai manusia, tidak perlu pemerhatian lama, cukup sekadar senaskah akhbar, dan cukup hanya dengan satu tarikh..kalian dapat melihat, muka depan tersebar aib manusia, tuduh menuduh.. umpat mengumpat, fitnah memfitnah.. si pemberita pula mencetus api perbalahan, ibarat menuang minyak pada api yang marak..kalian lihat didalam lagi.. ada berita, anak membunuh ibu bapa kandung sendiri.. kalian lihat juga, si bapa membakar anaknya yang masih kecil lalu ditanam tulangnya..kalian selak lembaran lain pula, lihat.. si gadis dirogol bergilir-gilir oleh 10 jejaka..lihat pula, besi2 penutup longkang dicuri.. bank dirompak, wanita diragut, rumah dipecah masuk.. seorang lelaki dipukul 13 samseng..kalian lihat lagi.. sudut ekonomi, ekonomi dunia kapitalis, terjejas teruk.. ramai yang hidup melara, ramai dibuang kerja..

kalian lihat pula, ruangan antarabangsa, negara islam satu demi satu ditindas, diserang.. kalian lihat pula ruangan hiburan..artis mendedah aurat, celupar berkata lantang.. bagai mereka yang paling arif.. lihat aksi artis kita berpelukan lelaki perempuan, jadi tajuk utama ruangan hiburan.. ada pula ruang gossip, medan paling luas menabur fitnah dan dengki..

buka pula ruangan agama.. hanya 1/2 dari satu helaian.. mereka bertikam lidah, yang mana sunnah yang mana bida'ah.. isu murtad.. dan pelbagai lagi..

lihat ruang surat pembaca,semuanya masalah, terlanjur dengan kekasih, makan hati dengan mertua, dibuang anak2 setelah berusia.. 

belum puas membaca ruangan agama, selak helaian sebelah, ada pula keputusan judi nombor ekor.. wah.. mereka "hidup berjiran" nampaknya..

pergi lembaran sukan.. isu rasuah tidak pernah sudah.. sesudah perlawanan, berlaku pergaduhan, baling membaling objek, harta awam dimusnahkan.. 

"lalu, apa lagi yang boleh saya simpulkan atas segaka kekacauan ini? hanya SATU penyelesaiannya, sudah tiba masanya kita guna Hukum ALLAH.."

#@ demikianlah yang mampu saya persembahkan.. saya tidak ada kuasa suara untuk berkata, saya tidak ada kuasa politik untuk merombak segala.. namun, hanya dengan bakat penulisan yang ALLAH kurniakan ini, saya gunakan sebaik mungkin, agar sahabat semua dapat mesej yang ingin saya smpaikan.. sudah tiba masanya... kita tidak bercakap politik.. kerana hukum ALLAH bukan milik manusia, ia milik Yang Esa.. kita tidak peduli siapa, kita membantu perjuangan sesiapa shaja yang ingin menegakkan semula hukum ALLAH.. bukan kerana warna mereka hijau, atau kuning, bukan kerana mereka berlambang dacing.. sebaliknya kerana manhaj perjuangan mereka itu.. ibarat kata seorang isteri pada suaminya, "aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika hilang agama dari dirimu, maka hilanglah cintaku padamu.."begitu juga kita.. bantulah perjuangan mereka yang ingin menegakkan hukum tuhan.. jika mereka tinggalkan, maka mereka kita tinggalkan.. mudah.. saya tidak menyebut mana2 parti, saya menyebut, perjuangan menegakkan hukum Ilahi.. kalau perjuangan itu tidak datang dari parti politik, jika ia datang dari saluran lain.. maka bantulah saluran lain itu.. apa sahaja.. asalkan matlamat jelas mahu menegakkan hukum ALLAH.. maka BANTULAH...

persaksikanlah YA ALLAH.. hamba-MU ini telah menjalankan amanah-MU.. telah daku sampaikan sedaya yang ada padaku.. sekarang, ku serahkan amanat ini pula pada kalian pembaca.. lakukanlah sedaya mu.. kongsikan kisah ini.. agar semua mengerti.. usah "like" seorang diri.. kerana hanya menekan butang itu, mesej tetap tidak smpai pada yang lainnya.. sebarkan.. sebarkan.. kerana hanya itu yang kita mampu sebagai awam.. moga ia menjadi saham.. biar jutaan dapat membaca kisah ini.. agar mereka yang berkuasa membuka mata, betapa kita hari ini mahukan HUKUM ILAHI..

mudah2an dapat amal dan SAMPAIKAN...

wasalam..

Pelajar maut digilis jentera pembajak

Pelajar maut digilis jentera pembajak - Semasa - Sinar Harian:


Pelajar maut digilis jentera pembajak
Jentera pembajak . Gambar kecil: Muhammad Fariz Najmi Nurizan.
KUALA NERANG - Kemalangan tragis jentera pembajak berulang kembali dalam tempoh sembilan hari. Kegembiraan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun menaiki jentera pembajak berakhir dengan tragedi maut setelah kepalanya digilis bilah pembajak di Kampung Kubang Palas, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa, Muhammad Fariz Najmi Nurizan beria-ia mahu mengikuti bapa saudaranya, Habibullah Halim, 27, membajak tanah sawah dengan duduk di bahagian tepi jentera kira-kira jam 10 pagi.

Ketika kejadian, Habibullah yang memandu jentera jenis Ford 6600 tidak menyedari Muhammad Fariz terjatuh dan mangsa cedera parah di kepala akibat digilis bilah pembajak.

Bagaimanapun, Habibullah hanya mengetahui kemalangan itu selepas menyedari anak saudaranya tiada di bahagian tepi sebelah kiri jentera iaitu setelah memandu kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

Sementara itu, datuk saudara mangsa, Yusof Awang, 53, memberitahu, kejadian yang berlaku amat mengejutkan seluruh keluarganya kerana mangsa maut dalam keadaan mengerikan.

“Kepalanya cedera teruk kerana dikisar bilah jentera dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Palas, di sini,hari ini.

Yusof berkata, kedua ibu bapa mangsa, Nurizan Halim, 46, dan Razamah Abdullah, 46, serta bapa saudara, Habibullah masih trauma dan enggan bercakap mengenai kejadian itu.

“Arwah seorang yang peramah dan kehilangannya dalam kemalangan ngeri itu memberi kesan mendalam kepada seluruh keluarga,” katanya.

Menurutnya, arwah sering mengikuti bapa saudaranya membajak tanah di sawah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya dan sudah biasa menaiki jentera pembajak itu.

“Bagaimanapun, pada hari itu, mangsa dipercayai terjatuh ketika jentera baru sahaja turun dari jalan kampung ke sawah sebelum bapa saudara menyedari kemalangan berkenaan.

“Fariz yang ditemui berlumuran darah kemudian diangkat oleh bapa saudaranya ke jalan kampung sebelum mayat dibawa polis trafik ke Hospital Kuala Nerang untuk bedah siasat,”  katanya.

Menurutnya, dia diberitahu mengenai kemalangan terus ke tempat kejadian.

Bagaimanapun kedua ibu bapa mangsa tidak dibenarkan ke lokasi kerana dikhuatiri tidak sanggup melihat keadaan mangsa.

“Mangsa menunjukkan perubahan apabila bertukar menjadi pendiam kira-kira seminggu sebelum kejadian,” katanya.

Mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan bersekolah di Sekolah Rendah Kubang Palas, di sini dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Kubang Palas, pada petang hari kejadian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Ku Yaacob Ku Hamad memberitahu, polis mengambil keterangan pemandu jentera pembajak itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada 26 April lalu, seorang peniaga pasar malam, Mohd Hishamudin Yusof, 22, meninggal dunia sewaktu membantu bapanya mengeluarkan jentera pembajak dari bawah rumah, maut setelah badan tersepit antara mesin berkenaan dengan lantai rumah neneknya di Batu Lapan, Simpang Empat, Alor Setar.

Ustaz Budak: Saya difitnah

Ustaz Budak: Saya difitnah - Nasional - Sinar Harian:


Ustaz Budak: Saya difitnah
Ustaz Budak atau nama sebenarnya Shamsul Zaman Sukri
MACHANG - Setelah lima bulan, Ustaz Budak atau nama sebenarnya Shamsul Zaman Sukri, 24, tampil memberi penjelasan dakwaan beliau menyamakan Menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Nabi Muhammad SAW.
Shamsul Zaman yang baru pulang dari Yaman berkata, beliau tidak pernah menyamakan Mursyidul Am Pas itu dengan Nabi, sebaliknya menerangkan kepimpinan dan pemerintahannya yang mencontohi Rasulullah SAW.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat semasa ceramahnya di Johor tiga tahun lalu itu dimanipulasi pihak tertentu demi kepentingan politik.
”Saya bukan menyamakan Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dengan Nabi, tetapi memberi contoh atau perumpamaan kepimpinan yang dilaksanakan oleh Tok Guru sama seperti nabi. Ulama adalah pewaris Nabi, maknanya ulama ini pengganti Nabi tetapi bukan Nabi secara fizikal.
”Jika saya menyamakan Tok Guru dengan Nabi, maka sesatlah saya, kafirlah saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Paloh Rawa di sini, semalam.
Akhir tahun lalu, rakaman video ceramah Shamsul Zaman yang dikatakan melabelkan ulama dan Mursyidul Am Pas itu seperti Nabi itu disiarkan sebuah portal sebelum mendapat reaksi pelbagai pihak.
Malah, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan menyerahkan memorandum kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan berhubung ceramah itu dan meminta penyiasatan­ dilaksanakan bagi mengelak akidah umat Islam terpesong.
Dalam masa sama Mufti Kelantan, Datuk Syukri Mohamad meminta Syamsul Zaman bertaubat kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan akidah.
Sementara itu, Syamsul Zaman turut mempertikaikan kenapa rakaman­ kuliah agama itu tidak disiarkan secara keseluruhan, tetapi tertumpu kenyataan itu sahaja.
Katanya, penyebaran video itu menyebabkan salah faham dan menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai terutamanya apabila ia membabitkan soal akidah.
”Apa yang pasti, video itu telah ditokok tambah, malah saya sendiri tidak tahu macam mana video itu boleh tersebar sedangkan tiada sebarang rakaman dilakukan ketika itu.
”Saya bukan penceramah Pas seperti yang didakwa. Saya penceramah bebas. Kalau Umno jemput saya sekalipun, saya terima, namun apa yang saya perjuangan dengan apa yang dilakukan Menteri Besar ketika ini selari” katanya yang berceramah di merata tempat, termasuk masjid dan surau sejak 12 tahun lalu.
Shamsul Zaman berkata, beliau agak terkejut dengan penyebaran video itu namun menerimanya secara terbuka dan menganggapnya sebagai ujian ALLAH SWT.
Katanya, beliau bersedia memberi penjelasan kepada khalayak termasuk Kerajaan Kelantan jika diminta berbuat demikian bagi mengelakkan salah faham yang berterusan.
“Saya tidak gementar dengan ujian­ ini dan bersedia (hadapi) setiap yang berlaku, malah ia memberi kekuatan untuk terus berdakwah,. Namun jika diberikan peluang kepada saya untuk berada di petas umum termasuk bersama Menteri Besar dan ulama lain untuk menerangkan apa saya ucapkan sebelum ini,” katanya.
Wawancara bersamaUstaz Budak akan disiarkan esok.

Netanyahu dikecam lagi

myMetro | Netanyahu dikecam lagi:

BAITULMAQDIS: Ketua Parti Buruh Israel semalam mengecam perdana menteri negara itu, Benjamin Netanyahu, kerana menjadikan program nuklear Iran sebagai ancaman terbesar rejim Zionis.
Menurut Shelly Yacimovitch, tindakan menjadikan ancaman Iran itu sebagai masalah utama Israel dianggap satu kesilapan.

“Sekatan ke atas Iran sepatutnya diberi lebih masa untuk memberi kesan, selain ia juga perlu dijalankan dengan penyelarasan sepenuhnya dengan Amerika Syarikat,” katanya.
Yacimovitch membuat kenyataan itu ketika ditemu bual stesen televisyen swasta Israel, Channel 2.

Menurut Yacimovich lagi, serangan tentera ke atas Iran sepatutnya menjadi pilihan terakhir untuk rejim berkenaan menyelesaikan kemelut isu program nuklear Iran.

Parti Buruh yang diketuai Yacimovitch kini bertindak sebagai pembangkang di Israel dan mereka akan berhadapan dengan Netanyahu dalam pilihan raya yang dijangka diadakan September nanti.
Sebelum ini, Netanyahu berkali-kali menyatakan, program nuklear Iran adalah ancaman terbesar ke atas Israel.

Baru-baru ini, Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Ehud Barak, dikritik bekas ketua agensi keselamatan dalam negeri kerana “mengelirukan rakyat Israel dengan meyakinkan orang awam bahawa serangan ke atas Iran dapat menghalang negara itu memiliki bom nuklear.” Dianggap satu-satunya kuasa nuklear di Timur Tengah, Israel percaya Iran menjadi ancaman jika memiliki bom atom.
Tel Aviv juga tidak pernah menolak kemungkinan akan melancarkan serangan mengejut ke atas Iran bagi menghalang negara terbabit memiliki senjata nuklear. - AFP

Teheran kritik Google hapus nama Teluk Parsi dalam peta

myMetro | Teheran kritik Google hapus nama Teluk Parsi dalam peta: "TEHERAN: Iran semalam mengkritik Google kerana membiarkan perairan yang memisahkan Semenanjung Arab tanpa nama dalam perkhidmatan peta dalam taliannya.

Timbalan Menteri Kebudayaan dan Bimbingan Islam, Bahman Dorri, berkata tindakan itu menjejaskan kredibiliti syarikat berkenaan.


“Google menyebar penipuan dan ia tidak memberi sebarang kesan kecuali penggunanya hilang kepercayaan terhadap maklumat disediakan syarikat itu,” katanya.

Iran bertegas menamakan perairan itu sebagai Teluk Parsi, manakala negara Arab menggunakan istilah Teluk Arab atau Teluk saja.


Menurut Teheran, sejarah menunjukkan perairan itu sentiasa dinamakan Parsi dan teluk itu sebahagian daripada identiti kedaulatan wilayah Iran. - AFP"

'via Blog this'

Orang utan dibedah

Kosmo! Online - Dunia:


SEEKOR orang utan dibaringkan sebelum dibedah di sebuah pusat pemuliharaan haiwan itu di Batu Mbelin kelmarin.


BATU MBELIN, Indonesia - Seekor orang utan berumur tujuh tahun menjalani pembedahan tendon di sebuah pusat pemuliharaan haiwan itu di sini kelmarin.
Orang utan itu ditemui cedera dipercayai akibat diikat selepas ditangkap oleh beberapa pekerja sebuah ladang kelapa sawit di Sumatera Utara pada Mac lalu.
Tendon merupakan serat tisu kenyal yang menyambungkan otot dengan tulang. - Agensi

Perarakan desak ganja dibenarkan

Kosmo! Online - Dunia:


GAMBAR menunjukkan seorang lelaki memegang pokok ganja dalam perarakan yang diadakan di bandar Prague kelmarin.


PRAGUE, Republik Czech - Sejumlah besar penunjuk perasaan menyertai Perarakan Ganja Global yang diadakan di ratusan buah bandar di dunia termasuk di sini kelmarin.
Perarakan itu diadakan bagi meminta supaya penggunaan ganja dibenarkan oleh pihak berkuasa di negara masing-masing.
Sebahagian penunjuk perasaan itu turut menghisap rokok ganja semasa mereka berarak di bandar Valparaiso, Chile termasuk di bandar raya Mexico, Mexico.
Perarakan yang sama turut diadakan di bandar raya Medellin, Colombia selain di Buenos Aires, Argentina. - Agensi

Gambar fenomena bulan besar

Kosmo! Online - Dunia:



SEORANG lelaki berjoging ketika bulan penuh terbentuk di Taman Papago, Phoenix, Amerika Syarikat kelmarin.


NEW YORK - Imej bulan penuh yang paling besar dan cerah pada tahun ini dapat dilihat kelmarin selepas ia berada dekat dengan Bumi.
Pakar-pakar berkata, bulan itu kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah berbanding pada hari biasa.
Jarak bulan dengan Bumi ketika itu ialah 357,000 kilometer.
Beberapa jurugambar agensi berita antarabangsa berjaya merakamkan gambar bulan itu di beberapa buah bandar raya utama.
Seorang penulis buku 50 Great Myths of Popular Psychology, Scott Lilienfeld dari Universiti Emory di Atlanta, Amerika Syarikat menyatakan terdapat kepercayaan tinggi bahawa kelakuan ganjil akan berlaku ketika bulan penuh. - Agensi

Khalid didakwa rancang serangan pengganas

Kosmo! Online - Dunia:



LAKARAN artis Janet Hamlin menunjukkan Khalid (kanan) berbual dengan peguamnya, David Nevin dalam tribunal tentera yang diadakan di Hospital Gua Cay, Teluk Guantanamo, Cuba kelmarin.


TELUK GUANTANAMO, Cuba - Lima lelaki yang dituduh merancang serangan pengganas pada 11 September 2001 di Amerika Syarikat (AS) didakwa secara rasmi di sini kelmarin.
Ia termasuk Khalid Sheikh Mohammed yang pernah membuat pengakuan merancang serangan itu.
Mereka didakwa dalam satu tribunal tentera AS yang diadakan di Hospital Gua Cay, Teluk Guantanamo, Cuba kelmarin.
Khalid, 47, dan empat tertuduh lain didakwa melakukan konspirasi, menyerang orang awam, pembunuhan dan pelanggaran undang-undang perang.
Dakwaan lain termasuk kemusnahan, rampasan dan keganasan serangan yang mengorbankan 2,976 orang.
Khalid yang merupakan warga Pakistan didakwa bersama anak saudaranya, Ali Abd al-Aziz Ali.
Tertuduh lain ialah, Mustapha al-Hawsawi, Yemenis Ramzi Binalshibh dan Walid bin Attash. Jika didapati bersalah, kesemua mereka akan dihukum mati. - AFP

Puting beliung landa bandar Jepun

Kosmo! Online - Dunia:

SEJUMLAH bangunan rosak akibat puting beliung.

TOKYO - Seorang terbunuh apabila puting beliung melanda bandar Tsukuba di timur laut Jepun semalam manakala puluhan lagi mengalami kecederaan.
Sejumlah bangunan dan rumah musnah dalam kejadian itu yang berlaku 60 kilometer dari Tokyo.
Bandar Tsukuba itu merupakan sebuah pusat sains yang menempatkan beberapa institut akademik dan penyelidikan.
Bagaimanapun, puting beliung itu melanda di kawasan kediaman penduduk.
Mangsa yang terbunuh itu merupakan seorang remaja yang berusia 14 tahun.
Menurut Pusat Perubatan Tsukuba, dia mati selepas mengalami kecederaan.
Lebih 30 orang cedera dengan sepuluh daripadanya dirawat di hospital, kata beberapa pegawai bomba.
Stesen televisyen NHK menunjukkan imej sejumlah rumah tidak mempunyai bumbung.
Kira-kira 200 buah rumah dilaporkan rosak.
Kira-kira 24,000 kediaman tidak mendapat bekalan elektrik.
Kejadian puting beliung jarang berlaku di kawasan Tokyo. - Agensi