Pages

Wednesday, August 10, 2011

Kereta rempuh bilik tidur, warga emas hampir pengsan


TINGKAP rumah warga emas yang tertanggal akibat dirempuh kereta Proton Wira di Jalan Kamarudin, semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 9 Ogos - Seorang warga emas tidak dapat melupakan detik-detik cemas apabila sebuah kereta terbabas dan merempuh bilik tidurnya dalam kejadian di Jalan Kamaruddin dekat sini, semalam.
Kejadian pada pukul 10.30 malam itu berlaku ketika Jamillah Abdul Rahman, 63, menuju ke ruang dapur rumahnya untuk mendapatkan segelas minuman.
Katanya, hanya selepas beberapa saat meninggalkan bilik itu satu rempuhan kuat kedengaran hanya beberapa meter dari tempat dia berada.
"Saya hampir pengsan apabila melihat sebuah kereta Proton Wira berada di dalam bilik saya.
"Namun saya bersyukur kerana tiba-tiba sahaja saya mahu ke dapur beberapa saat sebelum kejadian. Jika tidak pasti saya menjadi mangsa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut mangsa yang masih trauma, dia juga bersyukur kerana suaminya, Wan Harun Awang, 64, tidak berada di dalam bilik berkenaan kerana baru sahaja pulang dari menunaikan sembahyang terawih.
Jamilah berkata, pada kebiasaannya, setelah pulang dari masjid suaminya akan terus masuk ke bilik, namun pada hari tersebut dia terus menuju ke ruang tamu untuk menonton televisyen.
Dalam pada itu, Wan Harun yang bekerja sebagai penjual akhbar bersyukur kerana isterinya juga selamat dan membuat laporan polis mengenai kejadian itu hari ini.
Sementara itu pemandu kereta berkenaan, Mohd. Shah Isniza Ismail, 20, mendakwa dia tergesa-gesa untuk menuju ke suatu tempat sebelum hilang kawalan dan terbabas ke rumah tersebut.-utusan

No comments: