Pages

Friday, November 22, 2013

Makan kacang kurangkan risiko sakit jantung


Kekerapan memakan kacang boleh mengurangkan risiko kematian akibat penyakit kanser atau sakit jantung. - AGENSI
DALLAS 21 Nov. - Satu kajian perubatan mendapati, kekerapan makan kacang boleh mengurangkan risiko kematian akibat penyakit kanser atau sakit jantung.
Kajian yang dijalankan selama 30 tahun oleh Universiti Harvard dengan kerjasama Hospital Wanita dan Brigham di Boston menunjukkan, individu yang makan kacang setiap hari dapat mengurangkan tahap risiko kematian sebanyak 20 peratus berbanding mereka yang tidak pernah makan kacang.
Seorang pakar, Dr. Ying Bao berkata, risiko kematian akibat penyakit jantung boleh dikurangkan sebanyak 29 peratus, manakala risiko akibat kanser dapat dikurangkan sebanyak 11 peratus bagi mereka yang makan kacang setiap hari.
Bao berkata, manfaat itu boleh diperolehi dengan makan kacang jenis pistasio, badam, walnut dan kacang lain tanpa mengira bagaimana kacang tersebut dimasak.
"Kebiasaannya orang ramai akan memberi persepsi bahawa kacang boleh mengakibatkan kegemukan.
"Namun, kajian yang kami jalankan menunjukkan individu yang gemar makan kacang akan kekal kurus, selain risiko kematian akibat kanser dan sakit jantung dapat dikurangkan," katanya.
Namun, kajian berkenaan masih tidak dapat mengenal pasti khasiat sebenar yang terdapat pada kacang sehingga boleh membawa kebaikan tersebut.
Menurut Bao, mungkin disebabkan kandungan kacang yang tidak tepu asid lemak, mineral dan beberapa elemen nutrien rendah kolestrol boleh mengurangkan risiko penyakit berbahaya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131122/lu_08/Makan-kacang-kurangkan-risiko-sakit-jantung#ixzz2lJgzneUa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bayi berusia setahun mampu menari


Jonathan Thorpe mampu menari, bermain komputer dan bercakap biarpun baru berusia setahun. - AGENSI
BIRMINGHAM, England 21 Nov. - Biarpun baru berusia setahun, namun seorang bayi lelaki di sini mampu belajar menari, bermain komputer dan bercakap.
Heather Thorpe, 24, melahirkan Jonathan Thorpe kira-kira lima minit selepas dia dimasukkan ke dalam bilik bersalin di sebuah hospital di sini pada November tahun lalu.
Tempoh kelahiran yang dianggap 'cepat dan mudah' itu mempengaruhi perkembangan tumbesaran Thorpe.
Hal ini kerana, ketika dia berusia tujuh bulan, Thorpe sudah mampu berjalan dan bercakap.
Sejak itu, bayi comel tersebut mula belajar menari, dan dia kini dilaporkan boleh menari gaya Gangnam Style yang dipopularkan oleh penyanyi dari Korea Selatan, Psy.
Selain boleh menari, Thorpe dilihat cenderung menggunakan gajet teknologi termasuk telefon dan komputer.
Menurut ibunya, Thorpe juga boleh menukar saluran televisyen menggunakan alat kawalan jauh, perbuatan yang mungkin mustahil dilakukan oleh kanak-kanak sebaya dengannya.
"Thorpe merupakan seorang bayi yang bijak, kuat dan tidak banyak ragam.
"Kami pada mulanya sangsi dengan kebolehan Thorpe, namun dia benar-benar membuktikan bahawa dia seorang bayi yang istimewa," katanya.
Saiz fizikal Thorpe turut berkembang cepat apabila ketinggian dan bentuk badannya kini membesar seperti kanak-kanak berusia dua tahun. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131122/lu_06/Bayi-berusia-setahun-mampu-menari#ixzz2lJfMepe8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kembar tujuh rai ulang tahun ke-16 di Iowa

YOUTUBE
GAMBAR menunjukkan tujuh orang anak kembar McCaughey. (Depan dari kiri), Kelsey, Alexis dan Nathan manakala (belakang dari kiri), Joel, Kenneth, Nathalie dan Brandon.


DES MOINES, Iowa - Kembar tujuh yang dilahirkan pada tahun 1997 telah meraikan hari jadi mereka yang ke-16 tahun kelmarin.
Ibu kembar itu, Bobbi McCaughey yang merupakan seorang kakitangan sebuah sekolah berkata, dia kini menerima hakikat bahawa anak-anak kembarnya semakin dewasa.
"Salah satu perkara penting kini adalah mengenai hubungan mereka dengan rakan dan kawan berlainan jantina," katanya yang melahirkan mereka di sebuah pusat perubatan di sini.
Kembar itu terdiri daripada empat lelaki dan tiga perempuan.
Nama mereka ialah Kenneth, Kelsey, Natalie, Brandon, Alexis, Nathan dan Joel.
Semua kembar itu yang tinggal di Carlisle, Iowa, Amerika Syarikat mempunyai seorang kakak, Mikayla yang berusia 18 tahun.
Bapa mereka, Kenny bekerja di sebuah kilang logam.
McCaughey memperoleh anak kembar tujuh itu selepas dia menjalani rawatan kesuburan.
Rumah kembar itu mengandungi tujuh buah bilik tidur yang didermakan kepada mereka.
Namun, dua kembar tersebut, Alexis dan Nathan menghidap palsi serebrum iaitu pergerakan otot-otot mereka mengalami kerosakan.
Brandon kini merancang untuk memasuki perkhidmatan ketenteraan, Kenneth mahu bekerja dalam bidang pembinaan, Nathan mahu menceburi bidang sains, Joel berhasrat mendalami bidang komputer, Kelsey meminati bidang solekan manakala Alexis serta Natalie mahu melibatkan diri dalam bidang perguruan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2lJacAiJf 
Hakcipta terpelihara 

Anjing laut ada pemancar satelit



AP
KEPALA seekor anjing laut dipakaikan dengan sebuah alat pemancar semasa ia berenang 
di Porteau Cove kelmarin.


PORTEAU COVE, British Columbia - Seekor anjing laut dipakaikan dengan sebuah alat pemancar satelit di kepalanya oleh sekumpulan saintis di sini kelmarin.
Anjing laut itu dipakaikan alat tersebut selepas ia dilepaskan ke laut.
Haiwan itu dirawat selama beberapa bulan di Pusat Menyelamat Mamalia Marin Vancouver, Kanada selepas ia diselamatkan dari laut.
Alat itu akan membantu pergerakan haiwan itu di laut dan dipantau oleh para saintis. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz2lJaQqFec 
Hakcipta terpelihara 

Motosikal dicuri 45 tahun lalu ditemui semula di Los Angeles



AP
DEVAULT (kiri) dan seorang mekanik, Dough Manley melihat enjin motosikal Triumph Tiger 100 yang dicuri pada Februari 1967 di Omaha, Nebraska kelmarin.


OMAHA, Nebraska - Seorang lelaki Amerika Syarikat, Donald DeVault memperoleh semula motosikal Triumph Tiger 100 buatan tahun 1953 yang dicuri pada Februari 1967.
Pihak berkuasa di Los Angeles, California menyerahkan semula motosikal tersebut kepada DeVault yang berusia 73 tahun kelmarin.
DeVault hanya mengetahui tentang motosikal tersebut yang berada dalam simpanan pihak berkuasa Los Angeles, dua minggu lalu.
Menurut laporan, pihak berkuasa di bandar raya tersebut menemui motosikal itu di Pelabuhan Los Angeles ketika ia mahu dihantar ke Jepun dengan menggunakan sebuah kapal.
Ejen-ejen kastam yang melakukan pemeriksaan ke atas motosikal itu mendapati ia pernah dilaporkan hilang pada tahun 1967.
Motosikal itu bernilai AS$300 (RM961.90) pada tahun 1967.
Kini, nilai motosikal tersebut dianggarkan kira-kira AS$9,000 (RM28,856). - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2lJaBsn7C 
Hakcipta terpelihara 

Kawah berapi di Turkmenistan



YOUTUBE
KAWAH berapi yang terdapat dekat Kampung Derweze, Turkmenistan.


ASHGABAT - Sebuah kawah gergasi masih terbakar dekat Kampung Derweze, Turkmenistan, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Kawah seluas 70.10 meter itu terbakar sejak tahun 1971 lagi.
Ia terbentuk semasa pemerintah Kesatuan Soviet yang menawan Turkmenistan ketika itu mahu menggali tanah untuk mencari minyak.
Bagaimanapun, tanah di bawah sebuah pelantar minyak runtuh sekali gus mewujudkan sebuah kawah yang luas.
Kawah itu mengeluarkan gas metana dalam jumlah yang banyak sekali gus membahayakan penduduk kampung.
Beberapa saintis kemudian memutuskan bahawa cara yang selamat untuk menyelesaikan masalah tersebut adalah dengan membakar gas tersebut.
Para saintis itu menganggap cara itu akan menyebabkan gas berkenaan hilang dalam tempoh beberapa hari.
Namun, selepas empat dekat kemudian, kawah itu masih lagi terbakar sehingga kini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2lJZtNs7f 
Hakcipta terpelihara 

Letusan gunung berapi wujudkan pulau baharu



AFP
ASAP keluar dari sebuah gunung berapi yang mewujudkan pulau kecil dekat Kepulauan Ogasawara, Jepun kelmarin.


TOKYO - Letusan gunung berapi di laut telah mewujudkan sebuah pulau kecil di perairan Jepun, kata beberapa pegawai semalam.
Ia merupakan kejadian pertama yang berlaku dalam tempoh beberapa dekad di negara ini.
Anggota-anggota tentera laut Jepun mengesan pulau tersebut menerusi asap yang menjulang tinggi ke langit di sekitar Kepulauan Ogasawara yang terletak 1,000 kilometer ke selatan Tokyo.
Pulau itu wujud akibat letusan gunung berapi di laut.
"Asap masih keluar dari pulau tersebut. Kami mengeluarkan amaran pelayaran bahawa pulau tersebut wujud dari debu yang jatuh di kawasan tersebut," kata seorang jurucakap sebuah agensi maritim Jepun.
Menurutnya, pulau itu tidak akan kekal lama kerana ia akan lenyap disebabkan hakisan.
Diameter pulau itu ialah 200 meter.
Beberapa letusan berapi pada tahun 1970-an dan 1980-an telah mewujudkan beberapa buah pulau kecil di Jepun.
Namun, sebahagian pulau kecil itu turut lenyap akibat ditengelami laut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2lJZbKO4r 
Hakcipta terpelihara 

Pemuda gemuk pulang ke Perancis


AP
GAMBAR menunjukkan Chenais dibantu beberapa kakitangan perubatan menaiki ambulans itu.


LONDON - Seorang pemuda gemuk yang merupakan warga Perancis yang seberat 230 kilogram, Kevin Chenais akhirnya dapat pulang ke tanah airnya kelmarin.
Dia sebelum ini, terkandas di Amerika Syarikat selepas dilarang menaiki sebuah pesawat penerbangan dan kereta api.
Chenais yang berusia 22 tahun mengalami masalah berat badan berlebihan akibat hormonnya yang tidak stabil.
Dia tiba di Pelabuhan Calais, Perancis dengan menaiki sebuah feri dari Dover, England.
"Dia mengembara seperti yang dijadualkan atas semangat Britain pada pukul 4.40 petang," kata seorang jurucakap sebuah perkhidmatan feri.
Pemuda itu kemudian menaiki ambulans ke bandar Ferney-Voltaire di sempadan Switzerland.
Pada mulanya, dia dirawat di Klinik Mayo, Minnesota, AS berhubung masalah kegemukannya.
Namun, dia terkandas di AS selepas syarikat penerbangan British Airways enggan membenarkannya menaiki pesawat.
AP
CHENAIS menaiki sebuah skuter di depan sebuah ambulans di St. Pancras, London kelmarin.


Pemuda itu juga tidak dibenarkan untuk sebuah kapal persiaran Queen Mary 2.
Chenais perlu kerap untuk menyedut oksigen.
Namun, pemuda berkenaan akhirnya tiba di London selepas syarikat penerbangan Virgin Airlines bersetuju membawanya pada Selasa lalu bersama keluarganya.
Apabila tiba di Britain, dia juga tidak dibenarkan untuk menaiki sebuah kereta api bawah tanah ke Perancis atas alasan keselamatan.
Chenais dan keluarganya kemudian bermalam di sebuah hotel dekat Terminal Eurostar di London selepas tidak dibenarkan menaiki kereta api tersebut.
Kos penginapannya di hotel itu ditanggung oleh pihak pengurusan Eurostar.
Menerusi bantuan beberapa kakitangan konsulat Perancis, Chenais meninggalkan London tengah hari kelmarin dengan menaiki sebuah ambulans ke Dover.
Dia kemudian menaiki sebuah feri menyeberangi Selat Inggeris ke Perancis. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2lJYzOdXb 
Hakcipta terpelihara