Pages

Thursday, April 14, 2011

Penentang Gaddafi mahu diiktiraf dunia

Kumpulan muncul pertama kali di depan pemimpin antarabangsa
DOHA: Para pemberontak Libya semalam tampil buat pertama kali di depan para pemimpin dunia bagi mendapatkan pengiktirafan antarabangsa dan sokongan bagi mengguling Presiden Muammar Gaddafi.
Mesyuarat 'Kumpulan Kontak Libya' di Qatar itu dihadiri oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, dan para menteri luar negara Barat serta Arab, bagi menyusun tindakan antarabangsa dalam konflik itu.Berucap di pembukaan mesyuarat yang disertai sekurang-kurangnya 20 negara itu, Setiausaha Luar Britain, Encik William Hague, berkata sidang semalam akan memberi tekanan kepada Encik Gaddafi agar meletak jawatan.Beliau menggesa para wakil agar bersetuju 'mengekalkan tekanan ke atas rejim Gaddafi dengan melaksanakan ketetapan Majlis Keselamatan dan menguatkuasakan sekatan... dan bagi memberi gambaran jelas bahawa Gaddafi harus berundur'.Awal dari itu, ketika ditemui wartawan bagi mengulas agenda mesyuarat, Encik Hague, berkata: 'Salah satu perkara yang akan kami bincangkan ialah pembentukan satu mekanisme dana bagi menerima derma dari negara yang ingin membantu mengekalkan perkhidmatan asas di timur Libya - kawasan yang dikawal oleh pemberontak - agar kehidupan di situ dapat diteruskan.'Kami akan bincangkan bagaimana membantu kawasan yang didiami orang awam, bagaimana mendapatkan dana bagi mereka, misalnya dari beberapa negara Arab.'Sementara itu, dalam ucapannya pula, Encik Ban berkata sekitar 3.6 juta penduduk Libya yang kini memerlukan bantuan kemanusiaan.Beliau lantas menggesa masyarakat antarabangsa 'bersatu suara' berkaitan krisis itu yang dijangka semakin buruk.Awal dari itu, jurucakap pemberontak, Encik Mahmud Shammam, berkata pihaknya mahu Majlis Nasional Peralihan (TNC) diiktiraf sebagai pemerintah sementara yang sah.Ini bagi membolehkan majlis itu meminta bantuan dana bernilai AS$1.5 bilion ($1.8 bilion) daripada pemerintah Barat bagi memenuhi keperluan penduduk setempat di kawasan yang dikawal pemberontak.Beliau juga akan mengulangi pendirian TNC bahawa mereka hanya akan setuju melaksanakan gencatan senjata jika Encik Gaddafi dan sekutunya meninggalkan Libya.Kelmarin, pemimpin Afrika cuba merundingkan gencatan senjata tetapi ditolak pihak pemberontak yang mendesak Encik Gaddafi melepaskan kuasa serta-merta.Encik Shammam juga menggesa agar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menggiatkan kempennya untuk menyerang pasukan pro-Gaddafi bagi melindungi orang awam.Ini selain meminta Amerika Syarikat lebih melibatkan diri dalam operasi antarabangsa itu.Kelmarin, jurucakap pemberontak, Encik Ali Al Isawi, berkata tentera yang setia kepada Encik Gaddafi telah membunuh sekitar 10,000 orang awam, dengan 20,000 lagi hilang dan 30,000 cedera. -- AFP, AP, Reuters, Cyberita

AS sokong kebebasan bersuara dan beragama


MENUNTUT KEBEBASAN: Seorang wanita yang memakai purdah mengadakan bantahan ke atas tindakan Perancis melarang pemakaian purdah, di luar Kedutaan Perancis di London, pada Isnin lalu. -- Foto REUTERS




PERANCIS LARANG PURDAH DAN BURKA
Bagaimanapun Washington tidak bidas tindakan Perancis
WASHINGTON: Amerika Syarikat semalam menyokong hak rakyat untuk 'menzahirkan kepercayaan agama melalui pakaian keagamaan' selepas Perancis menyaman seorang wanita kerana memakai purdah.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Mark Toner, berkata negara itu memperjuangkan kebebasan bersuara dan beragama.Beliau bagaimanapun tidak membidas tindakan Perancis melarang pemakaian purdah dan burka.'Saya perlu merujuk anda kepada pemerintah Perancis bagi memberi penjelasan terperinci berkaitan undang-undangnya tetapi kami menyokong kebebasan beragama dan bersuara dan ini termasuk hak untuk menzahirkan amalan agama melalui pakaian keagamaan,' katanya sambil menekankan Perancis merupakan sekutu rapat Amerika.Isnin lalu, seorang wanita berusia 28 tahun didenda 150 euro ($273) setelah didapati memakai purdah di sebuah pusat beli-belah di Mureaux, di barat laut Paris.Kelmarin, polis di bandar Saint-Denis telah meminta seorang lagi wanita membuka purdahnya tetapi beliau enggan berbuat demikian.Wanita berusia 35 tahun itu telah dibawa ke balai polis dan beliau membuka purdahnya.Beliau kemudian dibebaskan selepas diberi peringatan bahawa pemakaian purdah tidak lagi dibenarkan di tempat awam.Perancis telah menguatkuasakan larangan memakai purdah dan burqa sejak Isnin lalu, menjadikannya negara pertama di Eropah melaksanakan undang-undang itu.Hanya selang beberapa jam pengharaman itu, dua wanita berpurdah ditangkap semasa menyertai satu protes di bandar raya negara itu.Demonstrasi di dataran berbatu menghadap gereja Notre Dame itu penuh simbolik sejarah zaman pertengahan Perancis dan semangat memberontak yang biasa ditunjukkan oleh warganya pada zaman moden.Sesetengah pihak melihat pengharaman itu sebagai menandakan sentimen Islamofobia yang semakin menular.Namun, pemerintah Presiden Nicolas Sarkozy mempertahankan undang-undang itu sebagai benteng yang melindungi identiti Perancis daripada ketidaksamaan dan fahaman pelampau.Dianggarkan hanya 2,000 wanita Islam di Perancis yang memakai purdah atau burka.Sebelum ini, pihak polis Perancis melahirkan kebimbangan undang-undang baru itu sukar dikuatkuasakan.Namun, Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri Perancis, Encik Claude Gueant, menegaskan bahawa larangan itu akan dikuatkuasakan sepenuhnya bagi menegakkan 'sekularisme dan kesaksamaan di antara wanita dengan lelaki... dua prinsip yang kita tidak akan bertolak ansur.' - AFP, AP, Reuters, Cyberita

Polis, tentera Yemen bertempur



KAUM wanita menyertai tunjuk perasaan mendesak pengunduran Presiden Ali Abdullah Saleh di Taiz, Yemen, kelmarin. - REUTERS


SANAA 13 April - Sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk empat anggota polis terbunuh dalam pertempuran dengan anggota tentera yang memberontak, kata sumber tentera dan perubatan hari ini.
Pegawai berkata, polis menyerang pos pemeriksaan tentera di wilayah Amran, 170 kilometer dari Sanaa, malam tadi, menyebabkan seorang pegawai mati dan dua askar cedera.
Di selatan negara itu, askar hari ini menembak mati dua penunjuk perasaan antirejim dan mencederakan beberapa orang yang lain di bandar Aden, kata saksi.
Mereka berkata, tentera melepaskan tembakan ketika penunjuk perasaan cuba membentuk sekatan jalan raya bagi mengadakan demonstrasi sehingga pengunduran Presiden Ali Abdullah Saleh. - AFP, Utusan

Kuwait gantung eksport minyak akibat ribut pasir



PAPAN tanda elektronik tertera ayat 'Perlahan. Pandangan Tidak Jelas' semasa ribut pasir melanda Kuwait, semalam. - AFP


KUWAIT CITY 13 April - Anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Kuwait hari ini menggantung eksport minyak sebagai 'langkah berjaga-jaga' selepas ribut pasir melanda negara Teluk ini.
Eksport minyak dari terminal, operasi kemudahan untuk menerima kapal dan beberapa kerja penyelenggaraan di loji penapis minyak 'dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga', kata jurucakap Kuwait Petroleum Corp. (KPC), Sheikh Talal Al-Sabah.
Menurutnya, langkah itu tidak akan menjejaskan komitmen Kuwait kepada pelanggan kerana eksport akan disambung semula apabila ribut pasir reda.
Kementerian Pendidikan turut menggantung kelas di semua sekolah dan universiti disebabkan ribut yang mengurangkan jarak penglihatan kepada kurang 200 meter.
Lalu lintas udara sebahagiannya terjejas kerana penerbangan masuk dilencongkan ke lapangan terbang lain manakala penerbangan berlepas beroperasi seperti biasa, kata Jabatan Penerbangan Awam.
Operasi di tiga pelabuhan komersial negara ini juga digantung kerana jarak penglihatan terhad.
Penggantungan eksport minyak dan operasi lalu lintas udara itu adalah yang kedua dalam masa seminggu berpunca daripada ribut pasir.
Kuwait, pengeluar minyak kelima terbesar dalam OPEC, mengepam kira-kira 2.3 juta tong minyak mentah sehari menerusi kemudahan eksport di selatan negara ini. - AFP, Utusan

OIC kritik Perancis haramkan purdah

WASHINGTON 13 April - Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, tindakan Perancis mengharamkan purdah membesar-besarkan isu berhubung pakaian yang dikenakan oleh hanya segelintir wanita Islam di Barat.
Perancis menjadi negara pertama di Eropah menguatkuasakan undang-undang yang mengharamkan pakaian yang menutup muka termasuk purdah dan burqa, Isnin lalu.
"Mereka yang memakai burqa, terutamanya di Eropah atau negara Barat, adalah minoriti yang sangat kecil dan saya tidak faham mengapa anda meluluskan undang-undang untuk mengharamkannya," kata Ihsanoglu kepada wartawan pada forum Amerika Syarikat (AS)-Dunia Islam di sini.
Katanya, pengharaman itu mengalihkan perhatian kepada sebilangan kecil orang dan menjadikannya isu besar.
"Saya fikir ini isu kecil dan tidak wajar tidak diberi perhatian sebegitu rupa," katanya.
Sejak undang-undang itu berkuat kuasa di Perancis, hanya segelintir wanita telah didenda atau diberi amaran bertulis mengenai pemakaian purdah dan burqa di tempat awam, tetapi mereka telah diberi publisiti meluas.
Pihak berkuasa Perancis menganggarkan hanya 2,000 wanita, berbanding jumlah penduduk Islam kira-kira enam juta orang, yang memakai purdah atau burqa.
Parlimen Belgium juga telah meluluskan undang-undang yang mengharamkan purdah di tempat awam tetapi belum menguatkuasakannya, manakala pemimpin berhaluan kanan di Belanda mengesyorkan pengharaman burqa dan parti berhaluan kanan Liga Utara di Itali melobi supaya pengharaman seperti di Perancis dikuatkuasakan.
"Eropah sudah mula menjadi bumi pengharaman, dan bukan lagi bumi kebebasan," kata Ihsanoglu pada forum di sini, yang bertujuan untuk meningkatkan persefahaman antara umat Islam dengan rakyat AS. - AFP, Utusan

Bayar tebusan RM10j



HUTAN MELINTANG: Nelayan dan pemilik bot pukat tunda tempatan mendakwa hampir muflis akibat terpaksa membayar wang tebusan hampir RM10 juta kepada lanun atau pihak berkuasa Indonesia bagi membebaskan anak kapal atau bot mereka yang dirampas sebelum ditawan di negara jiran.
Difahamkan, kegiatan lanun dan pihak berkuasa negara jiran yang sengaja menceroboh perairan Malaysia sebelum merampas bot pukat tunda nelayan tempatan bukan perkara baru berikutan berlarutan sejak puluhan tahun lalu.


Perkara itu didedahkan Setiausaha Kerja Koperasi Nelayan Bagan Datoh Berhad, Keh Jeh Hai, yang mendakwa pemilik bot pukat tunda di Hutan Melintang, di sini, kerugian besar akibat kegiatan pemerasan berlanjutan sejak 30 tahun lalu. Menurutnya, masalah bot nelayan Hutan Melintang diganggu lanun dan pihak berkuasa negara jiran itu banyak terjadi dan hampir setiap bulan menimpa nelayan tempatan.


“Setiap bot pukat tunda dirampas bernilai antara RM500,000 hingga RM1 juta bergantung kepada jenis peralatan penangkapan ikan dan peralatan komunikasi canggih digunakan.


“Biasanya, pemilik bot pukat tunda yang menjadi mangsa perlu membayar antara RM50,000 hingga RM100,000 bagi membebaskan anak kapal dan bot pukat tunda dirampas,” katanya.


Menurutnya, aktiviti jenayah itu menyebabkan pemilik bot nelayan tempatan hampir gulung tikar akibat kerugian besar selain takut turun ke laut.


Beliau berkata, kawasan nelayan di Hutan Melintang di sini, mempunyai kira-kira 500 bot pukat tunda dengan jumlah 4,000 nelayan.


“Kawasan ini pusat pendaratan ikan basah terbesar di Semenanjung Malaysia dengan mencatat purata 28 peratus keseluruhan hasil tangkapan ikan negara setahun .
“Kami berharap Kementerian Pertahanan mengarahkan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia (APMM) membuat rondaan lebih kerap di perairan negara terutama membabitkan kawasan sempadan perairan antarabangsa,” katanya.


Menurutnya, langkah berkenaan diharap dapat menghalang kegiatan terbabit yang jelas mengganggu kegiatan dan pendapatan nelayan tempatan.


“Bagaimanapun kami berterima kasih terhadap campur tangan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berusaha menyelesaikan kes penahanan lapan bot nelayan Hutan Melintang oleh pihak berkuasa lndonesia, baru-baru ini,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Koperasi Nelayan Bagan Datoh Berhad, Chia Soon Fook, berkata, pihaknya mendapat laporan dua bot pukat tunda dirampas dan ditarik ke perairan Indonesia semasa nelayan terbabit menangkap ikan di perairan negara ini kira-kira 45 batu nautika dari perairan antarabangsa 4 April lalu.


“Kes berkenaan kejadian terbaru selepas enam bot pukat tunda nelayan Hutan Melintang turut menerima nasib sama ketika sedang menangkap ikan di perairan tempatan beberapa bulan lalu,” katanya.

Israel bimbang konvoi flotilla



BAITULMAQDIS: Israel menyatakan kebimbangan mereka terhadap rancangan Turki mengirim kapal bantuan kemanusiaan terbaru ke Gaza untuk mencabar kepungan Zionis ke atas wilayah Palestin itu bulan depan.
Jurucakap Kementerian Luar Israel, Yigal Palmor, berkata kebimbangan itu dinyatakan duta negara terbabit di Ankara Penganjur misi itu berkata, konvoi Freedom Flotilla II disertai sukarelawan dari 50 negara yang cuba ke Gaza bulan depan, genap setahun selepas cubaan mereka digagalkan tentera Zionis tahun lalu yang turut mengorbankan sembilan aktivis Turki akibat ditembak.


Dipercayai, misi terbaru itu membabitkan 15 kapal berbanding enam tahun lalu.


Kata Palmor, inisiatif Turki itu boleh mendorong keganasan.


Amaran sama dibuat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Isnin lalu. - AFP
metro

Gamal, Alaa tolak makanan penjara



KAHERAH: Dua anak lelaki Hosni Mubarak, Gamal dan Alaa tiba di Penjara Tora di Kaherah untuk ditahan selama 15 hari bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan pembabitan mereka dalam aktiviti pembunuhan penunjuk perasaan dan rasuah.
Polis Mesir berkata, Gamal dan Alaa disyaki mendesak penunjuk perasaan ditembak ketika rakyat Mesir bangkit menuntut Hosni disingkirkan sejak 25 Januari lalu.


Hampir 800 orang terbunuh dalam kebangkitan rakyat itu.


Penjara Tora turut menempatkan ramai bekas menteri dan pegawai kanan rejim Hosni yang kini direman atau ditahan sebelum dibicarakan.


Sebelum revolusi rakyat Mesir tercetus, Gamal disebut-sebut sebagai pengganti Hosni.


Gamal dan abangnya diberi pakaian putih penjara selepas menyerahkan telefon bimbit masing-masing, tetapi enggan menerima hidangan sarapan, sebaliknya meminta beberapa botol air. - AFP, metro

Kate kecilkan cincin Diana


SEJARAH BERULANG...pasangan Charles - Diana (kiri) dan Kate - William bersama cincin pertunangan yang kini bernilai hampir RM158 juta.
SEJARAH BERULANG...pasangan Charles - Diana (kiri) dan Kate - William bersama cincin pertunangan yang kini bernilai hampir RM158 juta.

LONDON: Disebabkan badannya susut melampau, Kate Middleton terpaksa meminta tukang emas diraja menambah beberapa manik pada cincin pertunangannya bagi mengelak ia terjatuh dari jarinya.
Cincin bernilai RM157.6 juta itu pernah dipakai ibu Putera William, Puteri Diana.

Kate, 29, mempamerkan cincin berkenaan pada jari tirusnya ketika melakukan lawatan rasmi terakhir kelmarin sebelum disahkan menjadi isteri William akhir bulan ini.

Menurut sumber, Kate mahu cincin berkenaan diubah suai sedikit kerana bimbang ia menggelongsor ketika berkahwin nanti.

Kata sumber itu, Kate agak keberatan menerima cincin itu kerana dilihat terlalu besar untuk jarinya.

“Justeru, Kate meminta tukang emas diraja, G Collins and Sons, menambah dua manik kecil platinum di bahagian dalam cincin berkenaan,” katanya.

Hasil ubah suai itu, katanya, cincin berkenaan kini lebih kemas dipakai Kate.

Kata sumber itu, cincin berkenaan memang menarik perhatian Kate dan pengubahsuaian berkenaan dibuat semata-mata kerana bakal puteri itu enggan menimbulkan kekecohan nanti.
“Kebimbangan paling besar Kate nanti adalah melihat cincin pertunangannya jatuh dalam majlis perkahwinan dengan bakal raja England,” katanya.

Cincin itu bernilai tinggi kerana nilai sejarahnya yang pernah dipakai Diana ketika dia bertunang dengan Putera Charles.

Ia dihadiahkan William, 28, kepada Kate bagi memastikan Diana menjadi ‘sebahagian’ daripada majlis penuh bersejarah pada 29 April nanti. - TS

Dilarang rakam gambar selepas tawaf wida


Dianggap melengahkan perjalanan pulang 


KUALA LUMPUR: Jemaah haji dan umrah di negara ini dilarang mengambil gambar di sekitar Tanah Haram, Makkah selepas melakukan tawaf wida kerana ia boleh membatalkan tawaf itu dan menyebabkan ibadat yang dilakukan tidak sempurna.
Persoalan berhubung perbuatan mengambil gambar selepas tawaf wida itu dikemukakan pembimbing ibadat haji pada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Ke-27 kerana ada jemaah yang musykil sama ada perbuatan itu boleh memberi kesan kepada ibadat mereka atau sebaliknya.
Susulan itu, larangan terbabit disenaraikan antara 11 resolusi pada muzakarah yang dihadiri ulama, tokoh agama dan pembimbing ibadat haji di Pulau Pinang, Februari lalu. 

Pembimbing Ibadat Haji, Sapawi Che Mat, berkata larangan itu sememangnya wajar kerana tindakan mengambil gambar selepas tawaf wida tiada kaitan dengan urusan ibadat. 

“Malah, jemaah juga dianggap melengahkan perjalanan pulang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Beliau yang juga penceramah bebas, berkata resolusi yang disenaraikan itu wajar disebarkan untuk manfaat jemaah haji dan umrah negara ini bagi mengelak melakukan perbuatan yang dilarang hukum syarak. 
Malah, beliau juga mengambil inisiatif menyediakan bahan yang sesuai berkaitannya untuk kursus haji yang sedang berjalan sekarang, selain untuk makluman jemaah umrah. 

Sementara itu, bekas Pengurus Besar Bimbingan Haji Tabung Haji, Datuk Daud Che Ngah, berkata mengikut hukum, tawaf wida adalah langkah terakhir bagi jemaah untuk meninggalkan Masjidil Haram. 

“Selepas tawaf wida, jemaah hanya boleh melakukan solat sunat, mengucup Hajar Aswad dan berdoa, jadi mengambil gambar boleh menyebabkan tawaf wida jemaah terbatal dan wajib melakukannya semula atau membayar dam,” katanya. 

Daud yang juga Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, berkata walaupun ibadat sah, jemaah berdosa kerana melanggar hukum syarak. 

Beliau berkata, syarikatnya yang menjalankan kursus haji dan umrah turut mencatatkan perkara itu dalam buku peraturan ibadat berkenaan, serta menjelaskan secara terperinci kepada semua jemaah yang menghadiri kursus anjuran syarikat terbabit. 

“Menjadi tanggungjawab untuk memaklumkan mengenai larangan ini bagi mengelak jemaah melanggar hukum syarak hingga wajib melakukan tawaf wida semula,” katanya. 

Penduduk mahu pampasan



MONITOR radiasi menunjukkan bacaan 0.41 microsievert   di sebuah ladang ternakan lembu  perah  Mutsuo Mito di Shinchimachi, Wilayah Fukushima, utara Jepun.
MONITOR radiasi menunjukkan bacaan 0.41 microsievert di sebuah ladang ternakan lembu perah Mutsuo Mito di Shinchimachi, Wilayah Fukushima, utara Jepun.
Ancaman radiasi di Fukuishima sebabkan ramai tidak bekerja
TOKYO: Penduduk berhampiran loji nuklear Fukuishima Dai-ichi yang berdepan dengan masalah kebocoran radiasi selepas dilanda gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu, mengadakan tunjuk perasaan di depan ibu pejabat syarikat pengendali loji itu kerana berang tidak mendapat bantuan untuk meneruskan kehidupan mereka.
“Saya tidak boleh bekerja dan ini bermakna saya tidak ada wang,” kata Shigeaki Konno, 73, seorang mekanik kereta yang tinggal 11 kilometer dari loji berkenaan.
“Kami hanya mendengar cakap-cakap mengenai pampasan. Kami memerlukannya sekarang,” kata Konno yang tergolong di kalangan beribu penduduk yang tinggal dalam lingkungan zon pemindahan 20 kilometer yang ditetapkan kerajaan Jepun. 


Bantahan semalam oleh kira-kira 20 pemilik perniagaan kecil berhampiran loji nuklear itu menggambarkan kemarahan yang meningkat terhadap Tokyo Electric Power Co. (TEPCO) yang setakat ini gagal membendung kebocoran radiasi dari loji nuklearnya itu. 


Presiden TEPCO, Masataka Shimizu dan pegawai syarikat yang lain tunduk memohon maaf kepada penunjuk perasaan sambil berjanji akan berusaha memberi pampasan kepada penduduk yang tidak dapat kembali berkerja. 


“Pemberian tunai sedang diusahakan secepat mungkin,” kata Shimizu. 
Beliau berkata, syarikat itu akan melakukan sedaya upaya bagi mengawal reaktor yang rosak itu dan cuba membendung kebocoran radiasi. 


“Anda dapat menikmati sajian panas setiap hari, manakala kami hanya diberi dua keping roti setiap hari di pusat perlindungan sementara,” kata Konno. 


“Saya tidak meminta lebih daripada apa yang berhak kepada saya,” kata Ichijiro Ishikawa, 69, seorang pekerja pembinaan yang tinggal 13 kilometer dari loji nuklear terbabit. – AP , bharian

Airbus 380 Air France rempuh ekor pesawat kecil


KEADAAN sayap Airbus  380  Air France rosak selepas merempuh pesawat lebih kecil di lapangan terbang John F  Kennedy di New York, semalam.
KEADAAN sayap Airbus 380 Air France rosak selepas merempuh pesawat lebih kecil di lapangan terbang John F Kennedy di New York, semalam.

WASHINGTON: Pesawat Airbus 380 Air France – kapal terbang penumpang terbesar dunia – merempuh ekor sebuah pesawat lebih kecil di lapangan terbang John F Kennedy di New York malam semalam, ketika berada di landasan. 


Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat berkata, tiada penumpang cedera dalam kejadian berkenaan.
“Penerbangan 007 Air France yang sedang berlepas ke Paris, dan sebuah pesawat Comair, perkhidmatan penerbangan serantau, terbabit dalam kejadian berkenaan,” kata jurucakap FAA Laura Brown. Comair adalah anak syarikat Delta Air Lines. “Pesawat Airbus 380 itu melanggar pengimbang menegak pesawat Comair yang menyebabkan pesawat berkenaan bergerak.


“Anak kapal pesawat Comair yang baru tiba dari Boston itu dan sedang menunggu untuk kekosongan di bangunan terminal bertindak segera mengeluarkan semua penumpang di dalam pesawat itu,” kata Brown. 


Seorang wartawan rangkaian televisyen Amerika Syarikat, CNN yang berada di dalam pesawat Air France berkenaan berkata pesawat besar itu bergegar seperti melanggar landasan tidak rata. 


Juruterbang bertindak serta-merta menghentikan pesawat dan sejurus kemudian kereta bomba tiba menghampiri pesawat terbabit, kata Jim Bitterman. 
Pesawat Airbus 380 yang mempunyai dua tingkat boleh membawa lebih 500 penumpang, manakala pesawat Comair itu hanya boleh memuatkan 100 orang penumpang. – Reuters 
-kosmo

Budak empat tahun hisap rokok dalam kereta api



LAMAN web Netease.com menunjukkan dua budak dipercayai berusia tiga dan empat tahun menghisap rokok di atas sebuah kereta api di China.


BEIJING - Satu klip video di sebuah laman web di China menunjukkan dua kanak-kanak dipercayai berusia tiga dan empat tahun ketawa semasa mereka merokok di dalam kereta api, lapor sebuah akhbar semalam.
Dua budak itu berdiri di ruang yang kerap dikhaskan untuk penumpang yang merokok.
Dalam klip video tersebut, salah seorang budak itu menghembuskan rokok ke arah rakannya.
Klip video itu mencetuskan perdebatan terbaru mengenai amalan merokok di China yang mempunyai kira-kira 300 juta perokok dewasa.
Imej itu mencetuskan kemarahan daripada penonton yang melihat gelagat budak tersebut di laman Netease.com yang merupakan web portal terbesar di China.
Namun, tiada maklumat yang diberikan berhubung ibu bapa budak tersebut dan destinasi kereta api tersebut. - Agensi, kosmo

Anak remukkan kereta bapa RM1.35 juta


kereta sport Gumpert Apollo


BROKDORF, Jerman - Seorang remaja berusia 20 tahun hilang kawalan menyebabkan kereta sport bapanya yang berharga £275,000 (RM1.35 juta) remuk akibat terbabas di sebatang jalan raya di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Namun, remaja tersebut dan seorang penumpang wanita berumur 19 tahun hanya mengalami cedera ringan selepas kereta sport Gumpert Apollo itu terbabas baru-baru ini.
Seorang jurucakap polis berkata: "Kereta itu remuk sepenuhnya dan hanya bahagian penumpang yang masih berada dalam keadaan baik."
Pihak berkuasa kini melakukan siasatan bagi mengetahui sama ada remaja itu memandu dengan laju di kawasan yang mempunyai had kelajuan 80 kilometer sejam.
Kereta sport itu merupakan salah sebuah kereta yang paling laju di dunia.
Ia mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam dalam tempoh 2.8 saat. - Agensi, kosmo

Ulat bulu serang Bali


SEORANG petani menunjukkan ulat bulu yang berada di lengannya di Denpasar, Bali semalam.


DENPASAR - Sejumlah ulat bulu yang boleh menyebabkan kegatalan pada kulit menyerang Pulau Bali, Indonesia, kata seorang pegawai semalam.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pelancong yang terkena serangan ulat tersebut.
Ketua sebuah agensi pertanian di Bali, Made Putra Suryawan berkata, ulat bulu itu pada mulanya menyerang sebuah kampung pada Jumaat lalu dan ia kini menyerang enam buah daerah termasuk bandar Denpasar.
"Situasi kini berada dalam keadaan terkawal. Sejak Jumaat lalu, para pekerja telah menyembur ubat racun serangga dan membakar sampah di kawasan yang terjejas bagi menghalang penyebaran serangan haiwan itu," katanya.
Ribuan ulat bulu dilaporkan menyerang sebahagian wilayah di Pulau Jawa sejak dua minggu lalu.
Haiwan itu didapati menyerang ladang buah-buahan dan menceroboh kawasan penduduk. - AFP, kosmo

Kuasa dunia mahu Gaddafi berundur


SEBUAH trak pemberontak yang membawa pelancar roket mengawal pintu masuk ke bandar Ajdabiya, Libya semalam.


DOHA - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi perlu segera meninggalkan negara itu manakala pihak pemberontak yang menentang kepimpinannya perlu diberikan bantuan material, kata para menteri luar kuasa dunia pada persidangan di sini semalam bagi membincangkan masa depan negara Afrika Utara itu.
"Para delegasi sebulat suara dan tegas dalam membuat resolusi ini," kata mereka dalam kenyataan terakhir dan muktamad yang diperoleh agensi berita Reuters.
"Gaddafi dan rejimnya tidak lagi diiktiraf dan beliau perlu menyerahkan kuasa dan membiarkan rakyat Libya menentukan masa depan sendiri," tambah kenyataan itu lagi.
Para menteri luar berkenaan yang akan bersidang sekali lagi pada Mei depan, menyatakan, mereka akan bekerjasama dengan kepimpinan pemberontak iaitu Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) bagi mewujudkan mekanisme bantuan kewangan sementara bagi membolehkan NTC menggunakan aset Libya yang telah dibekukan.
Para menteri luar itu terdiri daripada 20 buah negara termasuk Perancis, Belgium, Kuwait, Itali dan Britain selain beberapa pertubuhan antarabangsa yang membincangkan mengenai Libya.
Amerika Syarikat (AS) tidak menghantar Setiausaha Negara, Hillary Clinton tetapi ia dilaporkan menghantar delegasi yang disertai Pengarah Politik Jabatan Negara AS, William Burns.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai pemberontak, Ali Al Isawi mendakwa, tentera yang setia kepada Gaddafi telah membunuh 10,000 orang dalam pertempuran di Libya setakat ini.
Beliau yang mewakili NTC pada pertemuan para menteri luar Kesatuan Eropah (EU) di Luxembourg kelmarin memberitahu, 20,000 lagi rakyat Libya masih hilang manakala 30,000 yang lain cedera dengan satu perempat daripada mereka parah.
Sementara itu, satu letupan kuat didengar di ibu kota Libya, Tripoli semalam tetapi punca letupan masih tidak dapat dipastikan. Stesen televisyen Al Arabiya melaporkan dua letupan berlaku berhampiran lapangan terbang Tripoli.
Pemberontakan di Libya bermula pada 15 Februari lalu ekoran para penunjuk perasaan menuntut kebebasan hak asasi manusia.
Ia kemudian bertukar menjadi pertempuran di antara kumpulan tentera Gaddafi dengan para pemberontak sebelum tentera bersekutu diketuai AS mengebom bandar-bandar utama di Libya bagi menguatkuasakan larangan terbang di negara tersebut selepas diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Agensi

Hosni ditahan selepas diserang sakit jantung


BEBERAPA anggota polis mengawal sebuah hospital yang menempatkan Hosni Mubarak di Sharm el-Sheikh, Mesir semalam.


KAHERAH - Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, diserang sakit jantung kelmarin semasa beliau disoal siasat di pusat peranginan Sharm El Sheikh, pesisir Laut Merah kelmarin, kata beberapa pegawai keselamatan.
Pemimpin berusia 82 tahun itu memasuki sebuah hospital di Sharm el-Sheikh untuk mendapatkan rawatan.
Pejabat pendakwa raya menyatakan, ketua pendakwa raya, Abdel Maguid Mahmud mengarahkan Hosni dan dua anak lelakinya ditahan selama 15 hari untuk disoal siasat berhubung arahan menyerang para penunjuk perasaan.
Penahanan tiga anak beranak itu dibuat berhubung dakwaan bahawa mereka mengarahkan pasukan keselamatan menembak para penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat Mesir pada Januari dan Februari lalu.
Protes menentang Hosni berakhir dengan peletakan jawatan presiden itu pada 11 Februari lalu dengan hampir 800 orang maut dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.
Seorang saksi memberitahu, Hosni tiba di hospital berkenaan dengan memakai baju dan seluar trek.
Sebuah akhbar tempatan, Al-Ahram yang memetik beberapa sumber melaporkan bahawa Hosni pergi ke hospital itu dengan berpura-pura sakit bagi mengelak daripada disoal siasat.
Namun, beliau mengalami serangan jantung semasa ditahan kelmarin.
Beberapa pegawai berkata, Hosni akan dipindahkan ke Pusat Perubatan Antarabangsa di pinggir ibu kota Mesir, di sini, untuk menjalani rawatan lanjut semasa berada dalam tahanan polis.
Turut ditahan ialah dua anak lelaki beliau, Gamal dan Alaa Mubarak.
Agensi berita rasmi MENA melaporkan kawalan keselamatan diperketatkan di bilik hospital Sharm El Sheikh, tempat Hosni ditahan.
MENA melaporkan bahawa Gamal dan abangnya Alaa diberikan pakaian seragam banduan, tilam dan selimut selepas mereka menyerahkan telefon bimbit masing-masing di sebuah penjara.
Adik beradik berkenaan kelihatan terkejut dan enggan memakan sarapan yang diberikan kepada mereka.
Menteri Kehakiman, Abdel Aziz al-Guindi berkata, pihak pendakwa raya mula menyoal siasat Hosni dan dua anak lelakinya kelmarin.
Stesen televisyen melaporkan bahawa Hosni enggan makan dan minum sejak diberitahu pada pagi kelmarin bahawa beliau akan disoal siasat.
Menurut Abdel Aziz, soal siasat terhadap anak beranak itu berhubung kekayaan mereka yang didakwa diperoleh menerusi salah guna kuasa dan rasuah masih belum bermula.
Selepas beliau meletak jawatan, Hosni dan keluarganya berpindah ke Sharm el-Sheikh.
Walaupun dikenakan larangan ke luar negara, beliau sebelum ini tidak dikenakan sebarang tahanan.
Bantahan bagi menuntut Hosni dibicarakan diadakan pada setiap minggu dengan disertai puluhan ribu orang dan berakhir dengan pertempuran berdarah antara kumpulan penunjuk perasaan dan tentera pada Sabtu lepas.
Keadaan itu berlaku apabila tentera bertindak bagi menyuraikan para penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di sini. - AFP