Pages

Friday, August 27, 2010

Banjir ancam tiga lagi bandar selatan Pakistan




2010/08/27


<strong>SEORANG kanak-kanak menunjukkan juadah berbuka puasa untuk pelarian banjir di Nowshera.</strong>
Penduduk belum keluar diarah pindah selepas air sungai melimpah


KARACHI: Pegawai Pakistan menggesa penduduk yang masih tinggal di tiga bandar selatan negara itu supaya berpindah dengan segera kerana air melepasi sebuah benteng menyebabkan banjir dibimbangi melanda beberapa lagi kawasan yang bebas daripada bencana alam sejak sebulan lalu.Air Sungai Indus melimpahi benteng di Sur Jani, wilayah Sindh lewat kelmarin sekali gus mengancam bandar Sujawal, Daro dan Mir Pur Batoro, kata Mansoor Sheikh, pegawai kanan kerajaan di daerah Thatta.Kebanyakan daripada 400,000 penduduk di kawasan berkenaan dipercayai sudah keluar tetapi masih ada lagi yang belum berpindah dan mereka diarah berbuat demikian, katanya.

Banjir sejak sebulan lalu berlaku ketika musim hujan bermula dan memusnahkan banyak kawasan di Pakistan meliputi pergunungan utaranya hingga ke kawasan pusat pertanian.

Selain itu, lebih lapan juta penduduk memerlukan bantuan kecemasan menyebabkan masyarakat antarabangsa menggembleng tenaga mengumpul bantuan berjuta-juta dolar.

Angka kematian akibat banjir itu masih 1,500 tetapi dipercayai lebih kerana ia adalah bencana terburuk dalam sejarah Pakistan khususnya dari segi ekonomi. 
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) awal minggu ini memberitahu, 800,000 lagi penduduk terputus hubungan kerana banjir dan hanya boleh dibantu menerusi udara.

Meskipun paras air sudah surut di sebelah utara Pakistan, keadaan masih teruk di selatan kerana air beberapa sungai terus melimpah.

Pakar kaji cuaca Pakistan, Arif Mahmood, berkata air pasang menghalang Sungai Indus daripada membawa lebihan air terus ke Laut Arab.

“Kami berharap keadaan ini akan berkurangan selepas 48 jam,” katanya.
Kerajaan Pakistan menyatakan, masyarakat antarabangsa berjanji menyumbang AS$800 juta (RM2.5 bilion) dalam bentuk bantuan kecemasan. – AP

UPM cipta alat kesan pengawet


Oleh Hazwan Faisal Mohamad
bhnews@bharian.com.my
2010/08/27


DR. FATIMAH (kiri) menunjukkan cara menggunakan alat pengesan bahan pengawet mayat dalam ikan di Universiti Putra Malaysia, di Serdang, semalam.
DR. FATIMAH (kiri) menunjukkan cara menggunakan alat pengesan bahan pengawet mayat dalam ikan di Universiti Putra Malaysia, di Serdang, semalam.

Formaldehid dalam ikan punca kanser
 

SERDANG: Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta alat pengesan bahan pengawet formaldehid dalam ikan dan makanan laut yang hanya mengambil masa 10 minit berbanding kaedah konvensional sehari.Penyelidiknya, Prof Madya Dr Fatimah Abu Bakar berkata, alat menggunakan teknologi biosensor berperantarakan enzim menggantikan penggunaan sedia ada membabitkan analisis pakar di makmal.Katanya, keputusan yang diperoleh tepat kerana ia sensitif dalam mengesan kandungan kadar formaldehid antara 0.1 hingga 20 bahagian perjuta (bpj) dalam produk makanan yang diuji. 

Sehubungan itu, katanya, penemuan tersebut memudahkan agensi pengawasan dan pemantauan termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia membuat pemeriksaan. 

“Pengawasan itu sekali gus memantau penyalahgunaan bahan kimia terlarang,” katanya pada sidang media mengenai penyelidikan pantas mengesan penggunaan formaldehid dalam ikan dan makanan laut di sini, semalam. 

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UPM, Prof Datuk Dr Abu Bakar Salleh yang juga ketua penyelidik. 
Dr Fatimah berkata, harga peralatan itu bergantung kepada pengilang yang mengeluarkannya tetapi purata harga satu kit bio sensor RM50 dan boleh digunakan selama 60 kali. 

“Namun ia masih dalam peringkat prapengkomersialan dan menunggu syarikat berminat memasarkannya,” katanya. 

Formaldehid adalah bahan pengawet mayat yang banyak digunakan dalam sektor perkilangan seperti pembuatan kertas, papan lapis dan pengawetan tisu spesimen. 

Kajian mendapati tahap penggunaan bahan itu dalam ikan dan makanan laut yang selamat tidak melebihi lima bpj dan di Amerika Syarikat ia menjadi toksik apabila mencapai kadar 20bpj. 

Formaldehid berbahaya kepada manusia kerana boleh menyumbang kepada risiko penyakit barah paru-paru, otak dan leukemia. 

Puasa tanpa tahu juadah berbuka





SETIAP kali tibanya Ramadan, Fatima Bibi akan menyediakan pelbagai hidangan tradisi yang lazat dan menyelerakan untuk berbuka puasa.
Antara hidangan yang menjadi kegemaran keluarganya ialah Khyber Pakhtunkhwa, Balochistan dan Gilgit-Baltistan yang terkenal di barat, Pakistan. Ia dimakan bersama roti naan dan nasi, tidak terkecuali hidangan pencuci mulut seperti buah-buahan, yogurt dan lasi.
Kemeriahan yang sama turut dirasai di sekitar perkampungan wanita berusia 50 tahun itu yang terletak di pinggir bandar Multan. Berbuka puasa beramai-ramai disertai kunjungan ke masjid untuk menunaikan solat fardu dan Tarawih sudah menjadi satu tradisi.
Bagaimanapun, hujan lebat monsun yang berterusan sejak pertengahan Julai lalu mengubah kehidupan Fatima sekeluarga. Mereka kini hidup sehelai sepinggang dengan rumah, tanaman dan haiwan ternakan hilang dalam sekelip mata.
Banjir pertama berlaku di wilayah Baluchistan pada 22 Julai lalu, sebelum ia merebak ke wilayah-wilayah berhampiran. Limpahan air dari Sungai Indus menyebabkan satu pertiga daripada negara itu termasuk wilayah barat laut sehingga ke Punjab dan Sindh yang menempatkan bandar raya terbesar dan pusat komersial, Karachi, ditenggelami air.



Lebih memilukan, ketika lebih satu bilion umat Islam di seluruh dunia memulakan ibadah puasa pada 11 Ogos lalu dengan penuh kegembiraan, kira-kira 20 juta rakyat di Pakistan kini menderita akibat banjir terburuk dalam tempoh 80 tahun.
"Ramadan kali ini amat berbeza. Dulu saya mampu menyediakan pelbagai jenis makanan untuk berbuka, kini kami hanya bergantung kepada nasi yang diberikan oleh pekerja bantuan.
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana kami sekeluarga terselamat," kata Fatima yang menetap di sebuah khemah penempatan mangsa-mangsa banjir.
Sistem komunikasi rosak teruk manakala jalan raya yang menghubungkan kebanyakan wilayah masih ditenggelami air dan sukar dilalui kenderaan biasa. Sebanyak 700,000 kediaman, beratus ribu hektar kawasan pertanian dan 200,000 haiwan ternakan musnah dalam bah besar itu.
Jumlah angka korban juga semakin meningkat. Dianggarkan seramai 1,600 orang maut dalam kejadian itu manakala ribuan yang lain cedera.
Kebanyakan mangsa yang terselamat dan menetap di khemah-khemah sementara berdepan dengan kekurangan makanan dan sumber air bersih serta terdedah dengan pelbagai jenis penyakit.
Jurucakap operasi bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Maurizio Guiliano berkata, sekurang-kurangnya 36,000 orang dipercayai berpotensi dijangkiti cirit-birit dan menerima rawatan bagi mengelakkan penularan wabak taun.
"Ia adalah gelombang pertama kematian disebabkan banjir. Jika kita tidak bertindak pantas akan ada gelombang kedua kematian berpunca daripada kekurangan air bersih, makanan dan penyakit yang disebarkan melalui air dan haiwan," katanya.

SEBUAH keluarga menikmati juadah berbuka puasa dengan berkongsi roti, kurma dan air di sebuah kem penempatan.


Rindu bertukar juadah
Seorang mangsa, Sheraz memberitahu setiap hari dia dan keluarganya berharap diberikan makanan untuk membolehkan mereka menjalani Rukun Islam ketiga itu.
Dia yang merupakan seorang tukang masak, kini kehilangan segala-galanya. Bukan sahaja rumahnya dihanyutkan banjir, restoran tempatnya bekerja turut rosak teruk.
"Kami bukan berasal daripada golongan kaya, tetapi mempunyai rumah yang dibuat daripada lumpur. Banjir bagaimanapun memusnahkan kampung kami. Saya tidak pernah terfikir ada di antara kami yang akan merempat dan terpaksa berpuasa di tepi jalan raya," katanya.
Lelaki itu bagaimanapun bernasib baik berbanding mangsa banjir yang lain kerana dibantu oleh saudara-maranya.
"Kami diberi tempat tinggal tetapi mereka juga miskin dan tidak mampu menyediakan makanan secukupnya kepada kami sekeluarga," tambahnya.
Isterinya, Nazia yang masih trauma bercerita tentang pengalaman yang dilalui semasa rumah mereka dinaiki air.

SEKUMPULAN mangsa menunaikan solat Maghrib secara berjemaah selepas berbuka puasa di kem penempatan sementara di Charsadda, Pakistan.


"Saya bangun pada tengah malam apabila mendengar suara orang menjerit. Saya memegang anak-anak dan meninggalkan rumah kami apabila air sudah mencecah ke paras lutut.
"Situasi itu sangat sukar dengan air mulai meningkat ke paras dada dan arus semakin deras. Saya gagal mengimbangi diri kerana ditolak arus kuat sehingga terjatuh ke dalam air bersama anak-anak," ceritanya yang bersyukur kerana berjaya diselamatkan oleh suaminya.
Nazia memberitahu dia akan merindui jiran-jirannya dan tradisi bertukar juadah berbuka puasa yang sering dilakukan setiap kali ketibaan Ramadan.
"Perkongsian dan bersedekah merupakan amalan yang digalakkan sepanjang bulan ini. Kini semuanya tinggal kenangan, ada di antara mereka yang menetap di khemah pelarian dan menumpang di rumah saudara-mara," jelasnya.
Tetap berpuasa
Penderitaan mangsa-mangsa banjir turut mendapat perhatian Mufti Pakistan, Muneebur Rehman yang menyatakan kelonggaran berpuasa dibenarkan namun ia perlu diganti semula selepas Ramadan berakhir.
Bagaimanapun, majoriti penduduk tetap tabah meneruskan ibadah berkenaan.
"Kami akan terus berpuasa, tetapi kami tidak tahu bagaimana untuk berbuka nanti, sama ada kami berjaya mendapat makanan atau tidak. Hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui," kata Nusrat Shah yang menjadikan sebuah jambatan di Sukkur sebagai penempatan sementara dia dan keluarganya.
"Berdoalah untuk kesejahteraan kami," ujarnya, sambil menjerang teh di bawah timbunan kayu api.

SEORANG wanita terpaksa menggunakan tudungnya untuk menadah nasi yang dihulurkan oleh aktivis bantuan sebagai juadah berbuka puasa.


Naseer Somroo yang diselamatkan oleh sebuah bot tentera laut selepas rumahnya di wilayah Sindh ditenggelami air memberitahu, dia dan keluarganya sakit serta kelaparan selepas tidak makan selama berhari-hari.
Namun apa yang berlaku tidak langsung menjejaskan keimanan mereka untuk tidak berpuasa.
"Kami telah berpuasa sejak hari pertama. Kami menghayati bulan ini dan menjalankan ibadah yang ditetapkan tetapi tidak pasti bagaimana sambutan Aidilfitri nanti," katanya.
Kebanyakan mangsa banjir juga semakin terhimpit berikutan banyak kedai yang ditutup. Harga makanan meningkat berkali ganda di beberapa kawasan sepanjang bulan Ramadan ini atas alasan kesukaran mendapat bekalan.
"Bila saya bertanya kepada pekedai mengenai harga sayur yang dijual, saya seperti terkena kejutan elektrik. Semuanya mahal," jelas Zahida Khatoon, 46, ketika membeli-belah di sebuah pasar di tengah Islamabad. "Apa yang hendak dibeli di sini pun saya tidak pasti. Saya tidak mampu membayar harganya."

Benci Islam bertukar cinta


Sebelum memeluk Islam, Daniel Streich begitu agresif melancarkan kempen anti-Islam termasuk menentang pembinaan masjid di Switzerland.


DAN mereka tidak sekali-kali berhenti memerangi kamu sehingga mereka dapat mengembalikan kamu daripada agama kamu (kepada kekafiran). (al-Baqarah: 217)
Kaum Yahudi dan Nasrani tidak akan reda kepada kamu sehinggalah kamu mengikut agama mereka. (al-Baqarah: 120)
Maka ini tidak menghairankan apabila sehingga hari ini umat Islam sentiasa dicabar dan tercabar dek pelbagai tindak tanduk Barat yang tidak pernah senang dengan Islam.
Bagi mereka tidak ada sisi yang positif dan baik kecuali yang hitam dan gelap sahaja mengenai Islam.
Justeru, menghapuskan Islam adalah satu agenda dan matlamat yang dilancarkan dalam apa juga bentuk.
Daripada soal yang remeh termasuk purdah, janggut, menara masjid, azan dan sebagainya lagi mereka jadikan isu dan polemik.
Ini sebagaimana yang menjadi misi dan visi kepada ahli politik Switzerland, Daniel Streich yang mencipta populariti murahan supaya negaranya bersih daripada sebarang binaan suci yang bernama masjid.
Atau sekurang-kurangnya masjid yang dibina tidak perlu sempurna dengan struktur kubah atau menara.
Alasannya, warga Barat kini hidup dalam ketakutan ekoran siri-siri keganasan dan serangan yang kononnya didalangi oleh umat itu. Oleh itu dengan adanya menara dan masjid itu akan menambahkan lagi ketakutan sehingga mereka tidak mampu meneruskan kehidupan yang sebagaimana biasa.
Streich adalah orang pertama yang mencetuskan larangan yang tidak berasas itu di Switzerland supaya negara yang terkenal dengan soal kebebasan amalan dan gaya hidup itu menuruti saudara-saudara mereka di negara Eropah lain yang mengenakan pelbagai larangan ke atas umat Islam seperti larangan berpurdah di Perancis, larangan azan dan sebagainya.
Di saat umat Islam masih begitu kecewa, marah dan sedih terhadap fitnah-fitnah jahat Barat seperti filem Fitna dan karikatur menghina Rasulullah SAW, Streich menambahkan lagi pedih itu tanpa langsung memikirkan perasaan umat Islam.
Semua itu mengingatkan kita kepada kata-kata bekas Perdana Menteri Britain, Galdstone (William Ewart Gladstone 1809-1898) yang berucap dalam satu persidangan Parlimen Britain sambil tangannya mengangkat senaskhah al-Quran iaitu: "Selagi al-Quran ini berada di tangan kaum Muslimin, selagi itulah Eropah tidak akan dapat menguasai Timur dan selagi itulah Eropah tidak akan dapat hidup dalam keadaan aman dan damai."
Bekas instruktor tentera yang kemudian bertukar karier sebagai ahli politik untuk Parti Rakyat Swiss (SVP) dari Bandar Bulle itu menjalankan propaganda gerakan yang berbau anti-Islam dengan begitu meluas ke serata negeri.
Baginya penduduk Islam perlu mengorbankan kepentingan agama mereka jika ingin terus menetap di Switzerland.
Namun tahukah anda pada 10 November tahun lalu, Streich akhirnya meninggalkan parti SVP akibat tidak tahan dengan pendirian parti itu yang bagaikan seorang perempuan sihir jahat memburu Islam.
Malah Streich juga turut meninggalkan agama Kristian. Sebaliknya dia memilih Islam yang selama ini dia hina dan keji. Islam akhirnya menjadi anutan dan kepercayaannya yang sejati.
Dahulunya dia seorang yang rajin membaca kitab Injil dan sering beribadat di gereja-gereja akan tetapi kini, Streich adalah individu Muslim yang tidak sahaja membaca al-Quran, mendirikan solat lima waktu sehari semalam, malah yang lebih 'indah'nya beliau sering beribadat di masjid.
Tanpa diduga sama sekali segala pemikiran anti-Islamnya telah bertukar 360 darjah kepada memeluk agama itu.
Malah azamnya kini untuk membina dan membangunkan sebuah masjid yang tidak sahaja paling indah di Switzerland malah di seluruh Eropah.
Iaitu masjid kelima yang pernah dibina di Switzerland.
"Pastinya sebuah masjid yang lengkap dan sempurna binaannya terutama menara yang paling tinggi dan kubah yang paling besar dan indah," katanya.
Mengharapkan agar pembinaan masjid itu sebagai satu pengampunan atas segala dosa-dosanya, ternyata Streich adalah sebagaimana penduduk Eropah lain pada mulanya mempelajari al-Quran dan cuba memahami Islam dengan tujuan untuk dijadikan senjata 'membunuh' Islam itu sendiri.
Pasti ada keburukan dan kekurangan dalam ajaran Islam yang boleh beliau gunakan sebagai senjata, tetapi ternyata sebagaimana yang akhirnya terpaksa beliau akui, Islam tidak lebih sebuah agama yang benar dan bersih daripada sebarang unsur keganasan dan kejahatan.
"Saya belajar mengenai Islam secara komprehensif semata-mata untuk memfitnah Islam. Tetapi akhirnya yang saya temui Islam merupakan sebuah kumpulan ajaran yang sangat logik yang memberikan jawapan yang masuk akal dalam apa jua persoalan penting dalam kehidupan.
Akhirnya beliau bersikap antipati terhadap pemikiran jahatnya selama ini terhadap Islam dan daripada kegiatan politik itu sendiri.
Begitupun, beliau dikatakan dalam usaha untuk menubuhkan sebuah parti baru, iaitu Parti Demokratik Konservatif Sivil (CCDP) berpusat di Freiburg.
"Penubuhan ini tidak lain sebagai menyaingi SVP sebagai satu tanggungjawab saya untuk membersihkan semula segala kekotoran yang saya taburkan selama ini," katanya.
Beliau mempunyai pengaruh yang kuat dalam SVP menyebabkan saranan mengenai larangan beliau bagi mendiskriminasi Islam itu telah memasuki ke peringkat penggubalan undang-undang yang kini cuba dihalang oleh Streich sendiri.
"Jika inisiatif jahat saya itu diterima, ia pasti merupakan satu tamparan yang sangat hebat buat saya yang menyebabkan saya bertanya pada diri sendiri, alangkah sia-sianya selama ini saya bergelumang dalam arena politik," katanya.
Kontrasnya kini, Switzerland memerlukan lebih banyak masjid bagi menampung keperluan umat Islam yang semakin ramai di negara itu.
"Adalah tidak wajar Switzerland memaksa umat Islam mengamalkan kepercayaan, ajaran dan ibadat mereka di lorong-lorong belakang," kata Streich.
Islam kini merupakan agama kedua terbesar di Switzerland selepas agama Kristian iaitu terdiri lebih dari 350,000 penganut.

Al-Quran tetap terpelihara


SHEIKH al-Maraghi berkata: "Setelah Allah SWT menerangkan kisah dan keadaan Ashab al-Ukhdud dan menggambarkan bagaimana mereka menganiayai orang-orang yang beriman, seterusnya Allah SWT menyambungkan dengan keterangan tentang perilaku orang kafir pada setiap masa dan tingkah laku mereka terhadap para nabi dan sahabat-sahabatnya seperti cara ini.
Iaitu mereka menyeksa orang-orang yang beriman dan selalu memusuhinya. Allah SWT tidak mengutuskan seorang nabi melainkan pasti menghadapi kaumnya seperti yang dialami nabi-nabi dahulu dengan kaumnya. Tujuan kisah ini adalah untuk menghiburkan hati Nabi SAW dan para sahabat baginda, meneguhkan kemahuan mereka bersabar menghadapi tentangan. Dan memberitahu bahawa kaumnya yang kafir akan mengganggunya sebagaimana yang telah dilakukan oleh para penguasa yang mempunyai tentera seperti Firaun dan Thamud.
Firman Allah SWT: Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal (kebinasaan yang telah menimpa) kaum-kaum yang menentang (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka)?
Sheikh al-Maraghi berkata: "Ayat ini bermaksud bahawa berita mereka itu sudah sampai kepadamu dan engkau tahu apa yang engkau perbuatan dan bagaimana seksaan Tuhanmu kepada mereka.
"Justeru, peringatkanlah kaummu terhadap hari-hari seksaan Allah SWT dan berilah kepada mereka ancaman bahawa mereka akan menerima seksaan orang dahulu yang sesat."
Firman Allah SWT: (Dan Mereka itu ialah kaum) Firaun, dan Thamud (kaum Nabi Soleh).
Syed Qutub berkata: "Kebinasaan kaum-kaum itu merupakan dua kebinasaan yang berlainan dari segi bentuk dan kesannya, dan menyembunyikan di sebalik keduanya cahaya-cahaya yang jauh bersama peristiwa parit api itu. Pada akhirnya, dijelaskan kedudukan orang-orang kafir dan kepungan Allah yang ketat terhadap mereka, sedangkan mereka tidak sedar.
Firman Allah SWT: (Kaummu Wahai Muhammad, bukan sahaja menolak ajaranmu), bahkan orang-orang yang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan mendustakan kebenaran, sedang Allah, dari belakang mereka, melingkungi mereka (dengan kekuasaan-Nya)!
Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya mereka selalu dalam keraguan, kekufuran dan pembangkangan. Seterusnya beliau berkata lagi: "Yakni Dia berkuasa atas mereka, Maha Perkasa, tidak ada yang dapat terlepas dari seksaan-Nya, serta mereka tidak juga dapat membuat-Nya lemah.
Firman Allah SWT: (Sebenarnya apa yang Engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah al-Quran yang tertinggi kemuliaannya, (lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.
Syed Qutub berkata: "Adakah lagi yang lebih mulia, lebih tinggi dan lebih luhur dari ayat Allah yang Maha Besar? Al-Quran itu tertulis di Luh Mahfuz. Kita tidak tahu hakikat Luh Mahfuz, kerana ia dari urusan alam ghaib yang hanya diketahui oleh Allah sahaja".
Kita hanya dapat memahami dari bayangan ayat ini dan daripada ilham yang ditinggalkan dalam hati kita bahawa al-Quran tetap dipelihara kukuh. Keterangannya merupakan sumber rujukan muktamad dala segala perkara yang dibicarakannya.
Segala kata-kata yang lain akan hilang, hanya ayat-ayat al-Quran sahaja yang terkawal dan terpelihara. Al-Quran telah pun memberi penjelasannya tentang peristiwa parit api dan hakikat yang wujud di sebaliknya, dan penjelasan itu merupakan penjelasan yang muktamad.

Al-Quran dalam bahasa dunia


Nooraini Ismail menunjukkan koleksi terbaru e-quran yang terdapat di Perpustakaan UIAM, Gombak.


INILAH ayat-ayat al-Quran yang pertama sekali diturunkan Allah SWT melalui perantaraan Malaikat Jibril ketika Nabi Muhammad SAW sedang bersendirian di Gua Hira’.
Peristiwa itu yang dikenali sebagai Nuzul al-Quran disambut setiap kali tibanya 17 Ramadan.
Al-Quran telah disampaikan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun, iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
Malah apabila Rasulullah SAW menghembuskan nafas yang terakhir, mukjizat agung tinggalan baginda adalah kitab suci al-Quran, selain hadis yang menjadi pedoman dan panduan umat Islam seluruh dunia sehingga ke akhir zaman.
Hakikatnya, penguasaan ayat-ayat al-Quran penting untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Menerusi al-Quran manusia mengenali tujuan mereka dihidupkan di atas muka bumi ini dan menjalani cara hidup sebagaimana dituntut syarak.
Allah berfirman yang bermaksud: ‘‘Dan Kami telah menurunkan kepadamu sebuah Kitab yang menjelaskan tentang setiap perkara (di samping itu) ia merupakan petunjuk serta rahmat dan berita gembira bagi mereka yang Muslim. (an-Nahl: 89)”
Lantas, menguasai al-Quran perlu bermula dengan mempertingkatkan kemampuan seseorang untuk membaca nya dengan baik. Dalam surah Fatir ayat 29-30 pula Allah berfirman: ‘‘Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta mendermakan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan secara bersembunyi atau terang-terangan, mereka mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. Supaya (dengan itu) Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan kepada mereka kurniaannya. Allah Maha Pengampun lagi sentiasa membalas sebaik-baiknya.”
Al-Quran bukan sekadar perlu dibaca tetapi ia perlu difahami kerana di dalamnya terdapat panduan dalam segala aspek kehidupan.
Inilah yang diperintahkan Allah dalam surah an-Nisa ayat 82 yang bermaksud: Apakah mereka tidak tadabur Al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah tentulah mereka akan mendapati percanggahan yang banyak di dalamnya.
Meskipun al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, namun usaha untuk memahami pengertiannya menjadi milik semua umat manusia.
Justeru, terhasillah berbagai-bagai naskhah terjemahan al-Quran dalam pelbagai bahasa di dunia ini.
Harapannya, kalam Allah itu dapat lebih dihayati dan bukan sekadar dibaca untuk santapan halwa telinga .
Tetapi tidak siapa tahu dengan tepat jumlah bahasa di mana al-Quran telah diterjemah.
Namun, Perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Kuala Lumpur telah mengambil inisiatif menghimpunkan terjemahan-terjemahan al-Quran ini.
Menurut Ketua Pustakawan UIAM, Nooraini Ismail, setakat ini pihak UIAM sudah dapat mengesan naskhah terjemahan al-Quran dalam 40 bahasa.
Antaranya Albania, Melayu, Indonesia (Basa Mandar), Burma, China, Belanda, Inggeris, Perancis, Jerman, Hungary, Filipina (Iranon), Jepun, Portugis, Korea, Kazakhstan, Macedonia dan Rusia. Malah ada juga al-Quran terjemahan dalam bahasa Rusia, Bosnia, Somali, Urdhu, Zulu, Thailand, Icelandic, Inca (Peru), Yunan, Tamil, Sind, Malayalam, Telugu, Turki dan beberapa lagi.
Kata Nooraini, idea mengumpulkan naskhah tersebut timbul pada pertengahan 2007 ketika beliau mengunjungi Mesir dan Jordan.
“Saya mula menyedari bahawa tidak pernah ada usaha untuk menghimpunkan aneka terjemahan al-Quran pelbagai bahasa secara khusus.
“Kebanyakan al-Quran terjemahan ini diperolehi dengan membelinya daripada pengeluar al-Quran, kompleks al-Quran King Fahd di Madinah, selain sumbangan daripada pihak-pihak tertentu termasuk pelajar.
“Koleksi ini sekali gus membuktikan betapa luasnya syiar Islam dan terdapatnya kehendak untuk memahaminya.
“Siapa sangka malah kami sendiri terkejut apabila berjaya memperoleh terjemahan al-Quran dalam bahasa Inca di Peru,” kata Nooraini yang mahu menambah koleksi sedia ada.
Ditanya kaedah penyimpanan koleksi terjemahan al-Quran itu, Nooraini memberitahu, pihak perpustakaan tidak mempunyai masalah penjagaan kerana ia merupakan naskhah cetakan moden dan bukannya manuskrip lama.
Terangnya, terjemahan al-Quran yang berada dalam simpanan mereka telah mendapat permit daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dirujuk terlebih dahulu dengan pihak agama di negara asal naskhah tersebut bagi memastikan kesahihannya.
Selain memiliki koleksi terjemahan al-Quran, pada tahun ini pihak perpustakaan UIAM juga telah menambah koleksi dalam bentuk elektronik iaitu e-quran yang mengandungi 30 juzuk dan terjemahan dalam 40 bahasa.
“e-quran ini memaparkan ayat al-Quran lengkap dalam format digital. Malah terdapat juga terjemahan beserta bacaan dalam bentuk audio dengan pelbagai pilihan surah, ayat, terjemahan dan pembacaan.
“Selain itu ia juga mengandungi hadis-hadis dalam empat bahasa, koleksi tafsir dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Urdu.
“Satu lagi kelebihannya ialah kemudahan untuk mencari waktu solat dan mencari arah kiblat bagi bandar-bandar utama di seluruh dunia,” kata beliau

Berhemah di Ramadan


KITA sudah memasuki pertengahan Ramadan yang merupakan bulan pentarbiah diri seluruh umat Islam agar mencari seberapa banyak pahala dari pengisian ibadat yang amat unik dan istimewa ini.
Salah satu hikmat kedatangan Ramadan adalah menganjurkan umat Islam agar bersederhana dalam berbelanja terutama untuk persiapan berbuka dan bersahur.
Dalam situasi ekonomi negara yang masih lagi berdepan dengan harga minyak yang masih tinggi dan harga barangan keperluan yang telah meningkat, maka pada bulan inilah kita perlu mempraktikkan sikap berhemah ketika berbelanja.
Jika sebelum Ramadan, kita makan empat kali sehari, pada bulan ini kita hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk dua kali makan sahaja iaitu waktu berbuka dan bersahur.
Namun, bagi segelintir daripada kita, perkara sebaliknya pula yang berlaku. Perbelanjaan dapur meningkat berganda berbanding hari-hari biasa.
Ramai yang tunduk pada nafsu hingga menyebabkan kepelbagaian juadah berbuka yang disediakan berlebihan sehingga berlaku pembaziran.
Makanan adalah sesuatu yang amat bernilai kerana ia adalah rezeki Allah yang harus dihargai. Semua agama di dunia ini menolak penganutnya dari boros dan melakukan pembaziran.
Menurut kajian, pada tahun 2006, lebihan makanan membentuk hampir separuh buangan pepejal di negara ini.
Daripada hampir 20,000 tan buangan pepejal yang dihasilkan setiap hari, 45 peratus terdiri daripada makanan yang dibuang.
Juadah berbuka
Jika difikirkan menyediakan sendiri juadah berbuka di rumah lebih menjimatkan.
Buat apa lagi kita membeli makanan di Bazar Ramadan yang harganya mahal.
Bagi yang berkeluarga berbuka puasa di rumah dapat mengeratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga.
Sesedap mana makanan itu sekalipun, yang penting ialah keredaan Allah kepada kita dalam menjalani ibadah puasa secara keseluruhannya.
Pada bulan puasa ini juga terdapat segelintir daripada kita terutama yang tinggal di bandar-bandar besar menjadikan amalan berbuka puasa di hotel dan restoran mewah sebagai gaya hidup sungguhpun bayaran bufet Ramadan mencecah RM128 bagi orang dewasa di sebuah hotel lima bintang.
Tidak salah berbuka puasa di luar, sekiranya dirancang dengan sebaik-baiknya. Ini termasuklah memilih tempat berpatutan harganya, ingin mengubah selera pada hari-hari tertentu dan yang penting juga ia menyediakan kemudahan untuk bersembahyang.
Ramadan juga bukan setakat menyediakan juadah berbuka dan sahur. Ia bukan untuk kita bermuhasabah diri.
Tidak akan lengkap sekiranya kita tidak membuat penilaian terhadap perbuatan atau perilaku yang dilakukan sehari-harian dalam bulan Ramadan.
Aspek yang perlu kita tanyakan kepada diri kita ialah sejauh mana amalan nilai-nilai murni telah meresap dalam jiwa seterusnya menjadi amalan perlakuan seharian.
Muhasabah pemikiran yang paling mudah ialah berfikir sama ada kita telah memenuhi tuntutan dalam menghargai nikmat yang diperolehi dan bersyukur dengan apa yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT.
Puasa di bulan Ramadan mengajar kita merenungi bahawa betapa banyak nikmat yang telah kita terima selama hayat ini dan sejauh mana kita telah bersyukur dengan kenikmatan tersebut.
Secara mudah, dalam melaksanakan ibadah puasa sendiri, kita dapat melaksanakannya tanpa terlalu banyak rintangan fizikal yang dilalui.
Bahkan suasana bulan Ramadan di Malaysia menunjukkan betapa damai dan melimpahnya rezeki, sehingga kadang-kala timbulnya pembaziran.
Ini berbeza dengan suasana Ramadan di kalangan umat Islam di negara-negara yang terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah bencana alam, pergolakan dan krisis dan keamanan.