Pages

Tuesday, April 10, 2012

Hamas rancang culik askar Israel



GAZA CITY 9 April - Pergerakan Hamas menyeru semua kumpulan pejuang Palestin supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi merancang cara untuk menculik askar Israel yang kemudian boleh ditukarkan dengan rakyat Palestin yang dipenjarakan oleh rejim Zionis.
Semua militia perlu menyertai jawatankuasa perjuangan puak- puak Palestin itu, kata seorang pemimpin kanan Hamas, Ahmed Bahar, hari ini.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media untuk melancarkan beberapa aktiviti sebagai tanda sokongan terhadap tahanan Palestin di penjara-penjara Israel.
Katanya, menculik askar Israel akan memaksa rejim Yahudi itu membebaskan tahanan Palestin.
Bahar juga menggesa pegawai keselamatan di Tebing Barat yang diperintah oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) supaya jangan lagi membebaskan askar dan orang awam Israel yang tersesat jalan dan memasuki kawasan Palestin.
PA di Tebing Barat selalunya menghantar mereka balik ke Israel.
Israel kini menahan lebih 4,200 tahanan Palestin di dalam penjaranya, kebanyakan mereka kerana 'kesalahan keselamatan' seperti menyerang Israel atau berkomplot untuk berbuat demikian.
Pada Oktober dan Disember lepas, Israel membebaskan sejumlah 1,027 tahanan Palestin sebagai pertukaran dengan seorang askarnya, Gilad Shalit yang diculik dalam satu serangan ke seberang sempadan oleh pejuang Palestin di Gaza pada Jun 2006. - dpa

Emel PM Tunisia digodam?



TUNIS 9 April - Sekumpulan penggodam yang mendakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan penggodam antarabangsa, Annonymous mengakui telah menggodam 2,725 emel milik anggota dan parti pemerintah Tunisia, Parti Ennahda termasuk Perdana Menteri, Hamadi Jebali (gambar), cabaran terbaru yang dihadapi kerajaan yang dipimpin oleh parti berhaluan Islam itu.
Dalam satu rakaman video yang disiarkan dalam akaun laman web Facebook milik Anonymous TN, seorang penggodam memakai topeng dengan lambang kumpulan penggodam itu berkata, emel itu didedahkan sebagai bantahan terhadap kegagalan Parti Ennahda melindungi penganggur dan artis yang diserang oleh Parti Salafi, baru-baru ini.
Penggodam itu berkata, emel tersebut termasuk nombor telefon, transaksi bank dan invois yang dibayar ketika kempen pilihan raya Tunisia pada Oktober lalu di mana Parti Ennahda menang 40 peratus daripada kerusi Parlimen yang dipertandingkan dan membentuk kerajaan. - Reuters

Aktivis Israel gagalkan arahan hantar pulang




Sheikh Raed Saleh (tengah) ditemani penyokongnya selepas keluar dari bangunan Ttribunal Imigresen dan Orang Pelarian di London, semalam. - agensi


LONDON 9 April - Seorang aktivis Israel berketurunan Arab berjaya membatalkan arahan penghantarannya pulang ke Israel dari Britain, kata Kementerian Luar negara ini, semalam.
Satu tribunal Imigresen pada Oktober lalu memutuskan aktivis pro-Palestin itu, Sheikh Raed Saleh yang ditangkap selepas memasuki Britain walaupun diharamkan, perlu dihantar pulang.
Bagaimanapun, seorang jurucakap kementerian itu berkata, tribunal rayuan meluluskan rayuan yang dibuat Shaikh Raed terhadap keputusan tersebut.
''Kami kecewa Upper Tier Tribunal membatalkan keputusan yang dibuat oleh First Tier Tribunal dengan meluluskan rayuan Shaikh Raed.
''Kami sedang menyemak maklumat keputusan tersebut dan kami akan melakukan rayuan jika boleh,'' katanya.
Menteri Dalam Negeri, Theresa May sebelum ini berkata, kehadiran aktivis tersebut yang merupakan ketua sayap Pergerakan Islam di utara Israel, akan mengganggu keamanan awam.
Hakim tribunal berkenaan, Mark Ockelten berkata, berlaku salah faham di pihak May dan tiada bukti menunjukkan bahaya berlaku di mana-mana negara yang dikunjungi pemohon.
Shaikh Raed ditangkap di London pada Jun lalu, beberapa hari selepas dia tiba di Britain untuk lawatan selama 10 hari. - AFP

Rusuhan agama di Gujarat, 23 dibebas




Gambar fail, sekumpulan perusuh Hindu membakar rumah penduduk Islam di Ahmedabad semasa rusuhan agama pada 28 Februari 2002. - agensi


ANAND, India 9 April - Seramai 23 orang didapati bersalah oleh sebuah mahkamah di India hari ini kerana membunuh 23 orang penduduk Islam dalam satu rusuhan agama di Gujarat pada 2002.
Seramai 23 orang lagi dibebaskan kerana tidak mempunyai bukti yang cukup dalam kes sekumpulan perusuh di perkampungan Ode mengunci pintu sebuah rumah di mana beberapa keluarga penduduk Islam berlindung sebelum membakarnya.
Kejadian itu dikenali sebagai 'pembunuhan besar-besaran Ode'.
Keganasan di Gujarat itu berpunca daripada pembunuhan hampir 60 orang penduduk beragama Hindu dalam sebuah kereta api yang dibakar oleh sekumpulan orang.
Seramai 31 orang didapati bersalah pada tahun lepas selepas didakwa membunuh dan bersubahat dalam pembakaran kereta api tersebut.
Sekumpulan perusuh beragama Hindu yang mahu membalas dendam merusuh di beberapa kawasan kediaman orang Islam di beberapa bandar raya di Gujarat selama tiga hari, keganasan agama terburuk sejak India mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1947.
Lebih 2,000 orang, kebanyakan mereka beragama Islam, ditetak, dipukul atau dibakar sampai mati.
Pembunuhan besar-besaran Ode merupakan satu daripada kes disiasat oleh pasukan siasatan khas yang dilantik oleh Mahkamah Agung India.
Dakwaan yang dikemukakan termasuk membunuh, bersubahat, merusuh, mengadakan perhimpunan haram, cubaan membunuh dan memusnahkan bukti. - AFP

Korea Utara sedia ujian nuklear




Kumpulan wartawan lalu di hadapan roket UNHA-3 (Milky Way 3) yang sudah bersiap sedia untuk dilancarkan di Tapak Pelancaran Satelit Laut Barat semasa lawatan wartawan yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa Korea Utara di barat laut Pyongyang, kelmarin. – REUTERS


SEOUL 9 April – Korea Utara dipercayai sedang menggali sebuah terowong baru bawah tanah sebagai persiapan untuk menjalankan ujian nuklear ketiga.
Imej satelit, baru-baru ini menunjukkan kerja menggali di tapak Punggye-ri, timur laut Korea Selatan, di mana ujian nuklear dijalankan pada 2006 dan 2009, sudah berada pada peringkat akhir, menurut laporan perisikan Korea Selatan yang disiarkan kepada Associated Press (AP), hari ini.
Penyiaran itu dibuat ketika Korea Utara sedang bersiap sedia untuk melancarkan sebuah roket jarak jauh yang disyaki oleh Washington dan negara lain sebagai helah untuk menguji teknologi peluru berpandu yang boleh digunakan untuk menyerang Amerika Syarikat (AS).
Pemerhati khuatir berulangnya apa yang berlaku pada 2009, apabila kritikan antarabangsa terhadap pelancaran roket jarak jauh Korea Utara sebelum itu mendorong Pyongyang meninggalkan meja rundingan pelucutan senjata nuklear dan beberapa minggu kemudian, menjalankan ujian nuklear keduanya.
Setahun kemudian, 50 rakyat Korea Selatan terbunuh dalam serangan yang didakwa angkara Korea Utara.
“Korea Utara secara diam-diam sedang membuat persiapan untuk menjalankan ujian nuklear ketiga, yang akan menjadi satu lagi provokasi besar,” menurut laporan yang berdasarkan gambar satelit komersial AS pada 1 April lalu.
Pyongyang pada bulan lepas mengumumkan rancangan untuk melancarkan sebuah satelit pemantau menggunakan sebuah roket tiga peringkat sempena sambutan ulang tahun ke-10 kelahiran pengasas Korea Utara, Kim Il Sung pada pertengahan bulan ini.
AS, Jepun, Britain dan negara lain menggesa Korea Utara membatalkan pelancaran roket jarak jauh itu kerana ia melanggar resolusi PBB, dan janji Pyongyang sendiri untuk tidak terlibat dengan aktiviti nuklear dan peluru berpandu – Agensi

Syria dakwa sudah mula laksana pelan damai Annan




10 April 2012
MOSCOW — Menteri Luar Syria, Walid Muallem memberitahu Moscow hari ini bahawa Damsyik sudah mula menerima pelan damai diusahakan oleh Kofi Annan tetapi Rusia menegaskan rejim itu perlu lebih komited dalam melaksanakan inisiatif itu.

Lawatan Menteri Luar veteran itu ke  Moscow itu secara kebetulan diadakan pada hari akhir negara itu perlu menerima damai Annan.

Di bawah pelan damai itu, Kerajaan Syria perlu menarik balik anggota tentera dari bandar-bandar yang berhadapan dengan protes.

Barat pula risau pelan damai itu menemui kegagalan dengan sikap Syria.

"Saya memberitahu rakan sejawatan saya di Rusia langkah-langkah yang diambil oleh Syria untuk menunjukkan semangat baik dalam pelaksanaan pelan damai Annan," kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan Sergei Lavrov di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa gencatan senjata akan berkuat kuasa selari dengan kehadiran pembantau antarabangsa.
Beberapa negara antarabangsa seakan ragu-ragu dengan tindakan Presiden Bashar al-Assad untuk menamatkan kekacauan di negara itu kerana sekurang-kurangnya 105 dilaporkan terkorban akibat ditembak oleh pasukan keselamatan di sempadan Turki-Lebanon, kelmarin.

Semalam, pasukan tentera turut dilaporkan membedil beberapa kampung, kawasan sempadan dan melakukan pembunuhan secara beramai-ramai beberapa jam  sebelum tarikh akhir tersebut.

Ketua pemerhati, Rami Abdel Rahman berkata, Assad terlalu yakin dapat melaksanakan apa yang dipersetujui dalam pelan damai itu  tetapi sebenarnya jika ia gagal, Syria akan terjerumus ke dalam perang saudara.

‘Sampai bila pun dia tetap perempuan’



KHALILAH GUSTI HASSAN
10 April 2012
muka depan
KUALA LUMPUR – Teka-teki berhubung jantina pengusaha produk kecantikan, Sri Wani Choo Abdullah, akhirnya terungkai dengan pengesahan bahawa dia adalah seorang perempuan.
Pengesahan itu dibuat secara eksklusif kepadaSinar Harian oleh ibu saudara Sri Wani, Connie Chee, 45, seorang kerani di sebuah syarikat swasta, di sini, semalam.
Connie memberitahu, Sri Wani diserahkan kepada ibu bapanya (Connie) sejak lahir dan anak saudaranya itu membesar sebagai seorang perempuan.
“Sampai bila-bila pun dia tetap perempuan kerana itu adalah dia. Saya ada bukti kukuh. Saya dan adik-beradik lain membesar bersamanya, malah saya yang mandikan dia.
“Dari kecil sampai sekarang, Sri Wani tidak rahsiakan apa-apa dengan saya. (Oleh itu) hentikanlah fitnah. Kasihankan dia,” katanya dalam nada sedih mengenangkan nasib Sri Wani.
Connie menambah, MyKad Sri Wani bukan sahaja tertera perkataan perempuan, malah kad perakuan Islam Sri Wani juga mencatat Sri Wani sebagai perempuan.

Menceritakan zaman kanak-kanak Sri Wani, Connie berkata, dia seorang pelajar pintar dan aktif di sekolahnya di Bentong, Pahang.

Anak saudaranya itu juga gemar bercampur dengan pelajar Melayu.

“Dia bijak subjek Bahasa Melayu, malah pertuturannya dalam Bahasa Melayu sangat fasih. Jadi, bila dia dewasa dan maklumkan mahu memeluk Islam, keluarga tidak terkejut.

“Mula-mula, atuk dan nenek dia memang marah. Tapi itu hak dia, asalkan dia bahagia,” kata Connie.

Ditanya reaksinya mengenai tindakan suami Sri Wani, Bahrom Sanugi, 61, memfailkan permohonan pemeriksaan jantina terhadap Sri Wani di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, Connie menyifatkannya sebagai memeranjatkan.

“Saya tidak faham kenapa selepas lebih setahun berumahtangga, timbul isu mengenai jantina.

"Kalau dia (Sri Wani) betul-betul lelaki, kenapa suami pertamanya tidak mempertikaikannya dulu?.

“Bab rumah tangga, dia jarang cerita. Katanya semua baik dan saya kira dia bahagia. Kalau ada pun pergaduhan dalam rumahtangga, itu perkara biasa,” kata ibu dua anak itu.

Connie turut memaklumkan akan mengambil tindakan saman terhadap sebuah akhbar tempatan yang menyiarkan gambar tempat tinggal dan premis perniagaan Sri Wani.

Menurutnya, gambar itu dirakam tanpa kebenaran beliau mahupun Sri Wani.

“Perkara itu bukan sahaja menjejaskan maruah keluarga, malah membahayakan keselamatan Sri Wani.

“Sekarang sudah ada orang yang berani mengekori Sri Wani hingga ke rumah. Dia juga ada beritahu banyak terima panggilan daripada orang yang tak dikenali; ajak berkenalan, ajak kahwin dan macam-macam lagi.

“Setiap orang ada privasi. Tolonglah hormatilah privasi Sri Wani,” katanya.

Mati tersepit belakang van


REMUK...keadaan van JHEAT rosak teruk selepas terbabit kemalangan. Gambar kecil, Nor Asma.
REMUK...keadaan van JHEAT rosak teruk selepas terbabit kemalangan. Gambar kecil, Nor Asma.


KUALA TERENGGANU: Seorang kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) daerah Kemaman maut manakala lima lagi rakannya terselamat apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Marang, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 8.10 pagi di Kilometer 27, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Pulau Kerengga, Marang, Nor Asma Abdullah, 43, yang juga adik Mufti Terengganu, Datuk Dr Alias Abdullah, meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang mangsa terselamat, Mohd Nazmy Mohd Zawawi, 26, ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini memberitahu, mereka berenam dalam perjalanan dari pejabat di Kemaman untuk menghadiri kursus bahasa isyarat di ibu pejabat JHEAT di Kompleks Seri Iman, di sini.

“Saya di tempat duduk hadapan bersebelahan pemandu van, Mohd Rozi Bakar, 45, bagaimanapun, setibanya di lokasi kemalangan tiba-tiba van dinaiki hilang kawalan lalu terbabas.

“Saya sempat berpaut pada pemegang di atas pintu van sebelum kenderaan itu terbalik dan merempuh batu penanda kilometer jalan dan sebatang pokok di tepi jalan,” katanya.

Menurutnya, selepas van itu tersadai di sebatang pokok di tepi jalan, dia bergegas mencari telefon bimbit untuk menghubungi individu terdekat memaklumkan kejadian.


Katanya, akibat kemalangan itu, tiga penumpang van tercampak keluar, tetapi mengalami cedera ringan, seorang maut tersepit di bahagian tempat duduk belakang, manakala dia dan pemandu van yang duduk di bahagian hadapan van hanya cedera ringan.

Mohd Nazmy berkata, ketika kejadian hujan renyai di kawasan itu dan permukaan jalan licin mengakibatkan van dinaiki gagal dikawal lalu terbabas.
Kakak ipar mangsa, Toh Puan Razaini Wazairkhan, 44, ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ berkata, pada Khamis ini sepatutnya arwah pulang ke kampungnya di Besut bagi menemui ibunya yang bakal ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah.

“Kali terakhir saya bertemu arwah dua minggu lalu selepas dia pulang dari mengerjakan umrah dan saya sekeluarga reda dengan apa yang berlaku kerana ia ketetapan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan kejadian dan menasihati pengguna jalan raya lebih berhati-hati terutama pada hari hujan.

Omar kecam Ikhwan

KAHERAH: Bekas Ketua Perisik Mesir, Omar Suleiman semalam mengecam Ikhwanul Muslimin dan menegaskan, pencalonannya untuk pilihan raya presiden ialah untuk memastikan keselamatan dan kestabilan di negara itu terjamin.
Kumpulan Ikhwan yang menguasai Parlimen dan dikatakan mungkin memenangi pilihan raya itu disifatkan oleh Omar sebagai sudah hilang populariti.
Omar menjadi Ketua Perisik ketika pemerintahan Hosni Mubarak yang digulingkan tahun lalu.


“Terdapat perubahan di kalangan rakyat Mesir. Cara Ikhwan yang memonopoli sudah tidak dapat diterima dan menukar pendapat orang awam,” katanya.


Omar yang menjadi musuh ketat pergerakan Islam itu sebelum revolusi yang menggulingkan Hosni, berikrar tidak akan menarik diri daripada pilihan raya pada 23-24 Mei ini, walaupun menerima ugutan bunuh.

Israel gembira jika bekas Ketua Perisik Mesir menang

BAITULMAQDIS: Seorang ahli Parlimen Israel yang mempunyai hubungan rapat dengan rejim Mesir berkata, bekas Ketua Perisik, Omar Suleiman merupakan calon terbaik menjadi Presiden Mesir.
Binyamin Ben-Eliezer berkata, calon daripada Ikhwanul Muslimin hanya akan mengancam perjanjian damai 1979 antara rejim Zionis itu dengan Mesir sekiranya mereka menang.
Ben-Eliezer memberitahu Radio Tentera Israel, bekas Omar menganggap hubungan dengan Israel sebagai amat penting.

Perjanjian damai Mesir-Israel yang ditandatangani pada 1979 dianggap sebagai asas kestabilan kedua-dua negara.
Bagaimanapun, rejim Zionis itu mula bimbang dengan peningkatan parti Islam di Mesir.

Ikhwan berkata, ia merancang melakukan perubahan pada perjanjian itu tetapi tidak akan membatalkan perjanjian damai itu.

Ben-Eliezer adalah rakan baik Hosni Mubarak.
Dia mengumumkan pencalonannya dalam pilihan raya Presiden Mesir, kelmarin. - AP 

AS hantar kapal pengangkut pesawat perang kedua ke Teluk Parsi

DUBAI: Tentera Laut AS berkata, mereka menghantar kapal pengangkut pesawat kedua ke Teluk Parsi semalam, ketika ketegangan berhubung isu program nuklear Iran semakin meningkat.
Pegawai pemerintah armada kelima yang berpangkalan di Bahrain, Amy Derrick-Frost, berkata penghantaran kapal USS Enterprise berkuasa nuklear itu akan menyertai USS Abraham Lincoln. Katanya, sejak sedekad lalu, hanya empat kali dua kapal pengangkut pesawat perang ditugaskan serentak di rantau berkenaan. “Dua kapal berkenaan akan menyokong operasi ketenteraan AS di Afghanistan dan usaha antilanun di perairan Somalia dan Teluk Aden,” katanya. Kedua-dua kapal berkenaan turut meronda laluan strategik minyak di Teluk yang pernah diancam untuk ditutup oleh Teheran sebelum ini. - AP

Kumpulan pemisah bakar 18 CCTV di Yala

BANGKOK: Kumpulan pemisah semalam didakwa membakar 18 kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di tiga daerah di Yala, selatan Thai.
Ketua Polis di balai polis Kotabaru, Leftenan Kolonel Somprat Kankanon bersama skuad pemusnah bom dan pakar forensik mengumpulkan bukti di lokasi di Jalan YalaKotabaru selepas kumpulan pemisah dikatakan membakar CCTV. Sebanyak 18 CCTV di Kotabaru, Noen Ngam dan Ba Ngoy didapati rosak.

Sementara itu, Ketua Polis Yala, Mejar Jeneral Pira Boonliang meminta anggotanya supaya memeriksa rakaman CCTV untuk mengenal pasti mereka yang terbabit. - The Nation

Model bunuh diri lepas dikutuk dalam Internet

VELLMAR: Seorang model membunuh diri selepas dicemuh orang ramai di Internet sejak dia muncul dalam pertandingan memasak di televisyen Jerman.
Claudia Borner ditemui mati di apartmennya di Vellmar, selepas mengambil bahagian dalam rancangan The Perfect Dinner - sama seperti rancangan popular Britain “Come Dine With Me”.

Jiran melaporkan terhidu bau gas yang kuat di blok apartmen di mana Claudia tinggal.

Tidak dapat dipastikan bagaimana dia mati tetapi selepas kemunculannya di televisyen bulan lalu, model itu menerima kritikan di e-mel dan rangkaian media sosial.

Claudia dituduh gemar mencari perhatian dan menunjuk-nunjuk di depan kamera.

Terdapat beberapa komen buruk mengenai payudaranya yang dikatakan palsu dan penampilannya. Jurucakap stesen televisyen Vox, Corrina Teuner berkata: “Kami tidak tahu sama ada pengguna Internet memainkan peranan utama dalam kes ini. Kami mengucapkan simpati kepada teman dan keluarganya.” - DM

Padah cinta Facebook

TAIPEI: Seorang lelaki yang dihantui rasa cemburu menyerang seorang pengguna Facebook yang menggoda isterinya dalam talian, membelasahnya hingga mati dengan kayu besbol, kata polis.
Chou You-huang, 34, penduduk di Pingtung, di selatan Taiwan memberitahu polis dia ingin bertemu dengan mangsa, Chuang Shih-chang, 40, selepas mendapat tahu mengenai hubungan mangsa dengan isterinya di Internet. Apabila Chuang muncul di tempat dijanjikan di luar restoran awal pagi Sabtu lalu, Chou dan dua rakannya menyerang mangsa dengan kayu besbol.

Ketiga-tiga lelaki itu membelasah mangsa habis-habisan sebelum meninggalkannya di situ. Mereka percaya kecederaan mangsa tidak akan membawa maut. Bagaimanapun, Chuang ditemui mati sejurus selepas itu dan polis kemudian menahan tiga suspek berkenaan. - AFP

Pegawai kanan polis dipecat kerana miang

MARK Brew.
Mark Brew.

MERSEYSIDE: Seorang polis berpangkat tinggi dipecat kerana memuat turun video porno di telefon, menghantar mesej berbaur lucah dan berasmara bersama kekasihnya ketika bertugas.
Cif Inspektor Mark Brew, 47, turut mendorong seorang polis bawahan memandu melebihi 370 kilometer sejam untuk menjemputnya daripada persidangan sebelum menghantarnya pulang.

Brew adalah pegawai atasan kepada lebih 100 anggota polis di unit antisenjata dan serangan samseng di balai polis Merseyside.

Namun, dia dipecat minggu lalu kerana berkelakuan buruk selepas empat tuduhan disahkan ekoran perbicaraan disiplin selama dua hari.

Panel siasatan bimbang apabila dia mengarahkan seorang konstabel memandu dari Liverpool ke London untuk membawanya pulang daripada menghadiri persidangan dan tidak menaiki kereta api. Brew mengakui menggunakan iPhone dan Blackberry yang milik polis untuk melayari pornografi dan menghantar mesej kepada dua wanita.

Dia bagaimanapun menafikan tuduhan mengadakan seks dengan kekasihnya ketika dia bertugas.


Bagaimanapun, wanita itu, isteri orang memberi keterangan, mereka melakukan seks sebelum Brew bergegas kembali bertugas. - DM

Anonymous lancar lebih serangan





2012/04/10

SHANGHAI: Kumpulan aktivis penggodam Anonymous merancang untuk melancarkan lebih banyak serangan ke atas halaman web Kerajaan China dalam usaha untuk mendedahkan amalan rasuah dan melobi bagi hak kemanusiaan, kata seorang ahli kumpulan terbabit semalam. 

Anonymous yang melakukan serangan terhadap halaman web kerajaan dan kewangan di seluruh dunia, menggodam beberapa halaman web Kerajaan China minggu lalu, lapor media.
Kumpulan itu menggunakan akaun Twitter ‘Anonymous China’ untuk memaklumkan mengenai serangan, menghantar pautan ke fail data yang mengandungi kata laluan dan maklumat peribadi lain dari halaman web yang digodam.
“Mula-mula kami mahu memberi amaran kepada Kerajaan China bahawa kami tidak takut dan kami akan menunjukkan kebenaran dan berjuang untuk keadilan,” kata penggodam Anonymours ‘f0ws3r’. 

Penggodam terbabit yang enggan memberikan sebarang maklumat peribadi dihubungi melalui halaman Twitter Anonymous China. F0ws3r berkata, kumpulan itu merancang serangan lebih serius terhadap halaman web China. 

“Ya, kami merancang lebih banyak serangan, beberapa kali dalam satu masa,” kata f0ws3r, sambil menambah rancangan itu untuk melumpuhkan ‘Great Firewall of China.’ – Reuters

Rejim Assad buat tuntutan baru





2012/04/10

Pemberontak diminta beri jaminan bertulis letak senjata sebelum askar kerajaan undur

DAMSYIK: Perjanjian damai yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Syria mungkin musnah selepas pentadbiran Bashar al-Assad membuat tuntutan baru supaya penentang memberi jaminan bertulis meletak senjata sebelum askar kerajaan berundur.
Gesaan itu yang sepatutnya berkuat kuasa esok, segera ditolak pemberontak utama Syria, ketika keganasan meningkat dan semalam saja, hampir 180 orang terkorban.
Perjanjian itu dirundingkan antara PBB dan wakil Liga Arab, Kofi Annan bertujuan menamatkan krisis di negara itu yang sudah mengorbankan 9,000 orang.

Minggu lalu, Annan berkata, Bashar menerima pelan itu dan menggesa tentera berundur dari kawasan bandar.

Bagaimanapun kelmarin, jurucakap Kementerian Luar Syria, Jihad Makdessi, mereka memberi satu lagi syarat bahawa penentang bersetuju menulis secara rasmi untuk menghalang semua bentuk keganasan dan sedia meletakkan senjata.

Pemerintah Tentera Syria Merdeka (FSA), Riyadh al-Assad (gambar kanan) berkata, kumpulannya sedia mematuhi perjanjian Annan tetapi menolak tuntutan baru Bashar. 
“FSA tidak mengiktiraf pemerintah dan oleh sebab itu kami tidak akan beri jaminan,” katanya ketika dihubungi dari Turki.

Sebaliknya, mereka menuntut kerajaan mengundurkan tentera selain menamatkan pos pemeriksaan polis.

Persetujuan Annan menetapkan pengunduran askar kerajaan daripada kawasan penduduk esok diikuti gencatan senjata penuh pada 6 pagi Selasa.

Namun, sejak beberapa hari lali, tentera Syria meningkatkan serangan mortar dan bedilan ke atas beberapa bandar menyebabkan 100 maut pada hari Sabtu, katanya.

Sementara itu, askar Syria melepaskan tembakan ke arah kem pelarian di sempadannya dengan Turki, menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang cedera.

Aktivis berkata dua orang terbunuh, tetapi maklumat itu tidak dapat disahkan.

Askar terbabit dipercayai cuba menembak kumpulan pemberontak yang melarikan diri ke kem pelarian selepas menyerang sebuah pusat pemeriksaan tentera.

Turki kini menempatkan beribu-ribu pelarian melarikan diri dari Syria ketika pasukan kerajaan cuba menghapuskan tentangan pemberontak ke atas pemerintahan Presiden Assad. – AFP/Agensi

2 reaktor nuklear Jepun mahu operasi





2012/04/10

 GAMBAR fail menunjukkan reaktor nombor 3 (kanan) dan nombor 4 di Loji Ohi, di wilayah Fukui, di Barat Jepun.
GAMBAR fail menunjukkan reaktor nombor 3 (kanan) dan nombor 4 di Loji Ohi, di wilayah Fukui, di Barat Jepun.
Tokyo kini berdepan krisis tenaga kritikal

TOKYO: Sebuah syarikat pengendali elektrik Jepun, Kansai Electric Power Co, semalam mengemukakan permohonan bagi memulakan kembali operasi dua reaktor nuklear walaupun beberapa langkah penambahbaikan untuk menghalang krisis nuklear daripada berulang, akan mengambil masa tiga tahun.
Syarikat tenaga elektrik Kansai Electric Power Co menyerahkan pelan keselamatan untuk dua reaktor di loji Ohi di Fukui semalam dan kerajaan dijangka membuat keputusan akhir sama ada membenarkan loji terbabit beroperasi semula akhir minggu ini.
Kami menyasarkan pelan keselamatan kelas dunia bagi loji kami. - Makato Yagi, Presiden Kansai Electric Power Co
“Kami menyasarkan pelan keselamatan kelas dunia bagi loji kami,” kata Presiden Kansai Electric Power Co, Makato Yagi selepas penyerahan pelan penambahbaikan loji Ohi kepada Menteri Ekonomi dan Industri, Yukio Edano.

Kecuali satu, semua 54 reaktor nuklear di Jepun kini menghentikan operasi untuk pemeriksaan keselamatan berkala dan yang terakhir akan dihentikan pada Mei. 
Penduduk Jepun amat bimbang satu lagi bencana seperti krisis Fukushima akan berlaku tetapi Jepun berdepan krisis tenaga yang amat teruk jika reaktor terbabit tidak kembali beroperasi.

Kerajaan mengeluarkan garis panduan baru keselamatan reaktor nuklear bagi menangani kebimbangan penduduk tetapi tidak memberi tarikh tepat bila penambahbaikan itu akan berakhir.
Pegawai berkata, usaha penambahbaikan keseluruhan akan mengambil masa tiga tahun.

Bagaimanapun pegawai berkata, lebih satu pertiga daripada penambahbaikan yang disenaraikan masih belum dilengkapkan.

Peralatan penapis yang boleh mengurangkan kebocoran radiasi jika kemalangan yang mungkin menyebabkan letupan, bangunan pengurusan krisis bebas radiasi dan tembok yang dapat menyekat sisa radiasi daripada mengalir ke laut, tidak akan siap hingga 2015.

Setakat ini, tidak ada satu pun daripada 54 loji terbabit dilengkapi penapis, walaupun syarikat pengendali memberi jaminan akan memasangnya dalam tempoh beberapa tahun lagi. 

Ini bermakna loji, pekerja dan penduduk tidak dilindungi sepenuhnya daripada kebocoran radiasi, jika kerosakan dan kemalangan yang sama seperti di loji Fukushima berulang semula.

Pegawai Kansai Electric berkata, pada masa ini ibu pejabat pengurusan krisis di loji Ohi, terletak di tingkat bawah tanah yang akan banjir jika dilanda gelombang tsunami.

“Pihak kami akan memindahkan bahagian itu ke sebuah bilik berhampiran bilik kawalan bagi kedua-dua reaktor,” katanya. – AP

Isteri nusyuz dituntut bayar RM1 juta




CINTA FACEBOOK... Gambar perkahwinan Muhammad Sem dan Norlysalfarina pada 12 November 2010 di Terengganu.


KUALA LUMPUR – Terkilan dan sedih dengan tindakan isteri yang didakwa lari bersama teman lelakinya, seorang mualaf memfailkan permohonan nusyuz terhadap jururawat sebuah hospital kerajaan selain menuntut ganti rugi RM1 juta kerana memungkiri perjanjian perkahwinan.
Pembantu arkitek, Muhammad Sem Yap Abdullah, 39, selaku plaintif mengemukakan permohonan tersebut terhadap isterinya, Norlysalfarina Zainal, 30, di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 16 Januari lalu.
Plaintif dalam afidavit permohonan tersebut berkata, sebelum berkahwin, mereka telah membuat perjanjian perkahwinan bertarikh 7 November 2010 iaitu sekiranya defendan mungkir janji syarat-syarat perkahwinan, dia perlu membayar ganti rugi RM1 juta kepada plaintif.
Jelas plaintif, dia dan Norlysalfarina berkenalan menerusi laman sosial Facebook sebelum mengambil keputusan bernikah di Kerteh, Terengganu pada 12 November 2010 demi menyelamatkan wanita itu yang didakwa ketika itu mempunyai masalah dalaman. Hantaran perkahwinan pasangan itu berjumlah RM15,000.
“Namun selepas bernikah kami terpaksa tinggal berasingan atas alasan kerja dengan defendan menetap di Kerteh. Bagaimanapun, pada Jun 2011, atas usaha saya, defendan berpindah ke Hospital Selayang,” kata Muhammad yang memeluk agama Islam sejak 1994.

Ratusan pengamal voodoo berhimpun




BEBERAPA pengamal voodoo mandi di sebuah kolam yang dianggap suci di Souvenance.


SOUVENANCE, Haiti - Beratus-ratus pengamal voodoo mengadakan upacara ilmu hitam itu di sebuah kampung di sini kelmarin.
Upacara yang berlangsung itu diadakan bagi menunjukkan kesetiaan ke atas roh.
Pada hari tersebut, pengamal-pengamal voodoo itu menari, menyembelih haiwan sebagai korban dan mandi di sebuah kolam yang dianggap suci oleh mereka.
Voodoo menular ke Haiti disebabkan kedatangan hamba dari Afrika Barat.
Ia diiktiraf sebagai agama di negara tersebut. - Agensi

Pelagak ngeri gagal cipta rekod



Gaya Barone semasa dia mengayuh basikal.- AFP


PARIS – Seorang pelagak ngeri, Eric Barone gagal dalam percubaannya untuk mencatatkan rekod menunggang basikal paling laju di kawasan bersalji.
Basikalnya gagal mencecah kelajuan 158 kilometer sejam (km/j) semasa menuruni sebuah bukit di resort Les Arcs, Bourg-Saint-Maurice, timur Perancis semalam.
Dia pernah membuat catatan peribadinya apabila basikalnya mencecah kelajuan 222.22km/j di trek yang sama 12 tahun dahulu.
"Saya agak kecewa tetapi saya masih optimis. Saya akan mencuba lagi,” katanya. – Agensi

Pasukan peronda cegah maksiat di Aceh




SEORANG anggota polis peronda pencegah maksiat memeriksa kad pengenalan satu pasangan yang belum berkahwin di Banda Aceh kelmarin.


BANDA ACEH - Anggota-anggota polis pencegah maksiat di sini melakukan rondaan dengan menaiki trak dan kenderaan lain bagi memastikan penduduk beragama Islam tidak melakukan perbuatan yang menyalahi ajaran agama itu.
Mereka akan menghampiri pasangan yang dilihat berdua-duaan dan memberi nasihat kepada mereka supaya pulang ke rumah.
Aceh merupakan sebuah wilayah di Indonesia yang menguatkuasakan undang-undang syariah.
Terdapat 1,000 anggota polis itu yang dikenali sebagai Wilayatul Hisbah di sini.
Pada minggu lalu, seorang wanita memakai tudung dengan tergesa-gesa manakala satu pasangan kekasih yang menaiki motosikal beredar di sebuah kawasan di tepi pantai apabila melihat anggota-anggota peronda Wilayatul Hisbah menghampiri mereka.
Namun, satu pasangan kekasih lain yang bersembunyi di belakang sebuah batu besar ditahan oleh anggota-anggota polis itu.
"Adakah kamu sudah berkahwin?" soal seorang anggota polis tersebut yang bermisai tebal.
Pasangan kekasih itu kemudian menggelengkan kepala mereka.
"Perbuatan ini tidak dapat diterima di Aceh. Kita mempunyai undang-undang syariah di sini. Pergi pulang sekarang," kata anggota polis tersebut selepas memeriksa kad pengenalan pemuda dan gadis itu. - AFP