LONDON 30 Jun - Tabiat tidur terlalu lama dalam kalangan individu pertengahan umur mampu memberi kesan buruk kepada otak, menurut satu kajian Universiti Warwick yang dipetik laman web, Mail Online kelmarin.
Hasil kajian yang diterbitkan dalam jurnal, Plos One membabitkan seramai 9,000 orang itu mendapati, individu berusia antara 50 hingga 64 tahun yang tidur kurang daripada enam jam atau melebihi lapan jam sehari boleh menyebabkan keupayaan otak terhadap memori dan kebolehan membuat keputusan merosot.
Namun, keupayaan otak hanya berkurangan bagi orang dewasa berumur antara 65 hingga 89 tahun sekiranya mereka tidur terlalu lama.
Penyelidik, Dr. Michelle Miller berpandangan, hasil kajian turut menunjukkan tempoh masa tidur yang kita perlukan dan kesannya terhadap tubuh badan serta otak berubah mengikut usia.
Pembantu penulis, Profesor Francesco Cappuccio mendakwa, tempoh tidur yang sesuai dalam kalangan golongan tua boleh mengelakkan keupayaan mental merosot yang mampu menyebabkan penyakit nyanyuk.
"Tidur adalah penting bagi menjamin kesihatan tubuh badan dan mental. Mengutamakan masa tidur pada usia tua boleh membantu mengelakkan mental menjadi semakin lemah," katanya.
Tambah Miller, masa tidur selama enam hingga lapan jam setiap malam juga amat penting untuk golongan muda.
"Hasil kajian yang terdahulu turut menunjukkan masa tidur yang cukup memberi manfaat kepada fizikal badan, termasuk mengurangkan risiko obesiti, darah tinggi, jantung dan strok," katanya.
Namun, tidak dapat dipastikan mengapa tidur terlalu lama boleh mengakibatkan kesan buruk.
Satu teori mengatakan, tidur lama menyebabkan kualiti tidur berkurangan dan menjadikan individu berasa resah, manakala tidur yang terganggu boleh menjejaskan memori, mengecutkan otak dan menyebabkan tekanan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140701/lu_10/Tidur-lama-beri-kesan-buruk#ixzz36ABEW3bU
© Utusan Melayu (M) Bhd