MELIHAT arnab sebesar seorang kanak-kanak berusia 6 tahun, ia mungkin akan membuatkan sesiapa yang menemuinya melarikan diri kerana terkejut.
Tetapi binatang itu benar-benar wujud di Worcester, England dan Guinness World Records menilai arnab tersebut sebagai yang terbesar pernah ditemui setakat ini.
Arnab yang dinamakan sebagai Darius itu mempunyai ketinggian 1.3 meter dan seberat 22.2 kilogram (kg).
Pemiliknya Annette Edwards, 62, berkata, Darius yang merupakan arnab biasa telah diberikan 12 batang lobak merah sehari atau 4,000 batang setahun.
Jelasnya, selain itu, Darius juga diberikan sayur-sayuran, buah epal dan dua mangkuk besar susu arnab setiap hari. Kesemua kos makanan arnab itu bernilai £2,400 (RM13,00) setahun.
"Saya juga agak sukar untuk mempercayai bahawa Darius kini seberat 22 kg dan setinggi seorang kanak-kanak berusia 6 tahun.
"Kerana dimanjakan dengan makanan, arnab itu juga kini menjadi tamak dan mahukan makanan yang lebih banyak," katanya.
Tambahnya, walaupun Darius sering mencuri makanan namun dia tidak akan memarahi arnab itu kerana terlalu sayangkannya.