Pages

Monday, April 7, 2014

Perangkap sang bedal makan orang


Sang bedal berukuran 5.5 meter panjang dan berat kira-kira setan ditangkap selepas penduduk tempatan mendesak pegawai hidupan liar memburunya. 
Mangsa terbarunya dipercayai bapa dua anak, Bosco Nyansi, nelayan tempatan. 
Baju Bosco yang koyak rabak ditemui terapung di tasik berkenaan oleh penduduk tempatan. 
Foto
BUAYA gergasi yang ditangkap penduduk tempatan.
Tidak ada kesan lain ditemui dan rakannya percaya dia dibaham buaya berkenaan. 
Reptilia berkenaan dipercayai berusia lebih 80 tahun. Ia diyakini memakan dan mencederakan beberapa nelayan sebelum ini kerana minatnya terhadap daging manusia. 

Pegawai hidupan liar memerangkap buaya berkenaan dengan mengguna umpan daging besar ketika memburunya selama empat hari. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Bayi dituduh rancang bunuh


Muhammad Mosa Khan didakwa bersama 29 anggota keluarga lain berikutan serbuan pihak polis yang menyasarkan penangkapan pencuri gas di sini.
Sepanjang prosiding, Muhammad dilihat duduk di pangkuan bapanya sambil memegang botol susu.

Bayi berkenaan dibenarkan jaminan dan kes akan disebut semula pada 12 April ini.
Foto
MUHAMMAD duduk di pangkuan ayahnya sambil memegang botol susu ketika didakwa.

Mengikut akhbar Express Tribune, keluarga itu didakwa cuba membunuh pegawai polis yang melakukan serbuan apabila membaling batu terhadap mereka.

Laporan polis dibuat terhadap datuk bayi terbabit, Muhammad Yassen, serta keseluruhan keluarganya termasuk Muhammad. 

Menurut ayah Muhammad, mereka sekeluarga memprotes terhadap kekurangan bekalan elektrik di kawasan mereka.

Sementara itu, pegawai polis Sub Inspektor Kashif Ahmed kini digantung kerja kerana mendaftarkan kes berkenaan terhadap Muhammad.

Hakim tidak dapat membatalkan kes terhadap bayi itu kerana di luar bidang kuasanya. 

Sementara itu, Ketua Menteri Punjab Shahbaz Sharif sudah mengarahkan Ketua Polis memastikan laporan baru difailkan.

Dia turut dilaporkan menuntut tindakan tegas terhadap pegawai yang membawa kes berkenaan.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Isteri sakit minta suami kahwin lain


Dubai: Dua wanita tempatan yang menghidap penyakit teruk memberi gambaran jelas mengenai cinta dan pengorbanan apabila meminta suami mereka berkahwin lagi.

Suami mereka bagaimanapun menolak permintaan isteri masing-masing.


Dalam dua kes berasingan dikendalikan Pusat Panduan Keluarga Kerajaan Dubai menyatakan ia terharu dengan apa yang berlaku kepada kedua-dua pasangan berkenaan. Kes pertama membabitkan seorang wanita yang menghidap barah dan mahu suaminya berkahwin lagi kerana merasakan dia tidak mampu melayan suaminya lagi.



“Wanita itu menemui kami selepas gagal memujuk suaminya untuk berkahwin. Katanya, suaminya sudah membawa dia ke pelbagai klinik dan hospital namun doktor gagal mengubatinya.


“Apabila kami memberitahu perkara itu pada suaminya, dia sekali lagi menolak dan memberitahu isterinya, ‘Saya gembira hidup bersama kamu, saya mahu melihat kamu pulih seperti sedia kala dan akan sentiasa berada di sisi kamu selamanya. Saya takkan mengahwini wanita lain,’” kata pengarah pusat berkenaan, Abdul Aziz Al Hammadi.


Akhbar Emarat Al Youm melaporkan, Abdul Aziz menyatakan seorang lagi wanita menderita penyakit tulang dan darah turut memujuk suaminya berkahwin lain kerana tidak mampu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri.

Dia juga merasakan yang dia tidak berlaku adil pada suaminya.


“Wanita itu memberitahu suaminya ‘Tolonglah berkahwin lagi. Saya gembira dan mahu kamu juga gembira,’ namun suaminya menjawab ‘terima kasih atas keprihatinan kamu terhadap saya, tetapi saya sudah berpuas hati dengan kehidupan bersama kamu. Apa yang penting kini adalah kesihatan kamu,’” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/07

Nenek mati dalam penyejuk beku


California: Sebuah hospital berdepan saman apabila pesakitnya yang juga nenek berusia 80 tahun mati selepas dimasukkan ke dalam penyejuk beku bilik mayat secara tidak sengaja.

Keluarga Maria de Jesus Arroyo memfailkan saman terhadap hospital di California itu selepas wanita berkenaan tersilap diisytiharkan meninggal dunia akibat serangan jantung sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk berkenaan.


Kesilapan itu hanya disedari apabila kakitangan hospital yang menyediakan mayatnya untuk proses pengebumian melihatnya dalam keadaan lebam pada muka dipercayai akibat mangsa cuba keluar dari peti sejuk itu.

Laporan pakar patologi menunjukkan dia sebenarnya masih hidup ketika dimasukkan ke situ namun tersedar dan berusaha keluar. Akibatnya Maria mati kesejukan.


Suami dan lapan anak Maria pada mulanya memfailkan saman terhadap rumah mayat yang mengendalikan upacara pengebumian itu sejurus selepas kematiannya pada Julai 2010.


Namun hasil laporan patologi berkenaan yang diperoleh pada Disember 2011, mereka memutuskan menyaman hospital berkenaan kerana kecuaian perubatan sehingga mengakibatkan kematian Maria.

Hospital terbabit bagaimanapun menafikan dakwaan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06

Larang makanan halal di sekolah


Paris: Pemimpin parti Barisan Kebangsaan Perancis Marine Le Pen berkata semalam, ia akan menghalang sekolah daripada menawarkan makanan alternatif bukan daging babi kepada pelajar Islam di 11 bandar yang dimenanginya dalam pilihan raya majlis tempatan baru-baru ini.

Marine ketika memberitahu demikian berkata, penawaran seumpama itu bertentangan dengan nilai sekular Perancis.
Negara berkenaan mempunyai undang-undang ketat mengenai tradisi sekular tetapi tuntutan berkait dengan agama semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan, khususnya daripada penduduk minoriti Islam yang berjumlah lima juta orang.

“Kami tidak akan melayan sebarang tuntutan berkait dengan agama dalam penyajian makanan di sekolah.


“Tidak ada alasan untuk memasukkan agama dalam kehidupan orang awam. Itu undang-undang Perancis,” kata Marine.


Agama Islam dan Yahudi mengharamkan penganutnya memakan daging babi.

Datuk Bandar Arveyres, Benoit Gheysens memberitahu AFP, langkah itu diambil kerana kos menyediakan makanan alternatif yang tinggi dan kebanyakannya membazir.

Di Hayanges, bandar di timur Perancis, datuk bandar dari parti berkenaan, Fabien Engelmann bercadang mengadakan ‘Pesta Daging Babi’ di pusat bandar.

Dia mendakwa pesta berkenaan bukan bertujuan untuk menghina masyarakat Islam tetapi untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran yang tinggi.

Barisan Kebangsaan yang mempunyai dasar antipendatang sering menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan pengaruh Islam dalam kehidupan seharian di Perancis.

Kontroversi sering tercetus di negara itu mengenai sekolah yang menyediakan makanan alternatif - daging lembu atau ayam sebagai ganti kepada babi - dalam menu untuk pelajar beragama Islam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/06