Pages

Saturday, September 17, 2011

Dua wanita belasah penyamun



Rohani Sulong memegang rantai yang cuba disamun oleh lelaki bersama Nur Fatihah Mohd. Bidin selepas mendapat rawatan di di Hospital Sultanah Nur Zahirah semalam. – Utusan/AZLAN BAHRUM


KUALA TERENGGANU 16 Sept. – Seorang penjenayah bukan sahaja gagal mendapatkan hasil ketika cuba menyamun rantai emas seorang pemilik kedai runcit, malah terpaksa bergelut dan dibelasah dua wanita dalam kejadian di Kampung Kuala Bekah dekat sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang ketika mangsa, Rohani Sulong, 49, didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal sebelum berhenti di depan kedainya.
Salah seorang daripada mereka kemudian masuk ke dalam kedai berkenaan dan berpura-pura ingin membeli penyedut minuman.
Menurut Rohani, selepas memaklumkan bahawa kedainya tidak menjual barangan itu, lelaki berkenaan memberitahu pula mahu membeli gula-gula yang berharga 20 sen sebelum dia tiba-tiba cuba menarik rantai leher yang dipakainya.
Ketika itu, berlaku pergelutan antara Rohani dan suspek menyebabkan anak perempuannya, Fatihah Mohd. Bidin, 22, datang membantu.
“Sebaik sahaja mendengar jeritan saya, Fatihah terus datang ke arah makcik dan membawa sebatang penyapu lalu memukul lelaki berkenaan.
“Lelaki tersebut yang terkejut dengan anak makcik itu terus meluru kepadanya dan kemudian menendang perut Fatihah pula,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini semalam.
Menurut Fatihah, lelaki itu menendang perut dan mengacukan pisau ke lehernya, namun dia dan emaknya terus bergelut dengan penyamun itu sehingga lelaki tersebut meminta pertolongan daripada rakannya yang berada di luar kedai.
“Tolong aku... tolonglah aku... macam tu lah rayuan penyamun itu namun rakannya yang menunggu di luar kedai bertindak melarikan diri apabila melihat semakin ramai orang datang membantu kami,” ujarnya.
Berikutan kejadian itu, Nur Fatihah dan Rohani cedera di bahagian tangan dan badan manakala suspek iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun yang turut cedera dibelasah orang ramai berjaya ditahan.

Buku teks Eropah burukkan Islam

BERLIN 16 Sept. - Hasil kajian di lima negara terhadap buku-buku sekolah di Eropah menunjukkan ia mengandungi gambaran yang mencemarkan nama baik Islam dengan menggunakan stereotaip yang mencetuskan kesangsian terhadap Islam dan penganutnya.
Seorang daripada penyelidik institut buku teks Jerman, Georg Eckert yang menganalisis 27 buku yang digunakan di sekolah-sekolah di Britain, Perancis, Austria, Sepanyol dan Jerman, menyifatkan pandangan negatif tersebut sebagai 'perkauman budaya'.
Laporan yang dibentangkan di pejabat Kementerian Luar di Berlin itu merupakan antara yang pertama diterbitkan di Eropah.
"Islam sering digambarkan sebagai agama yang ketinggalan dan tidak berubah sejak ia disebarkan," kata pengarah projek institut berkenaan, Susan Krohnert-Othman.
Dalam pada itu, kumpulan pengkaji turut menyimpulkan Islam kerap digambarkan sebagai sebuah entiti bangsa yang seragam tanpa mencerminkan sebarang kepelbagaian di dalam semua aspek di dunia.
Laporan itu bagaimanapun tidak menemui perbezaan utama antara lima negara yang dikaji.
Buku-buku teks yang digunakan di peringkat sekolah menengah pula memaparkan Islam merupakan agama yang kuno dan menentang pemodenan Eropah serta bersifat bercanggah antara satu sama lain.
Melalui pendedahan sedemikian, sikap fobia terhadap Islam di kalangan pelajar sukar ditangkis.
Para pengkaji menyeru pihak sekolah untuk membentangkan maklumat mengenai reformasi yang diperjuangkan oleh ulama dan intelektual Islam serta proses pemodenan dalam agama.
"Penganut Islam tidak lagi boleh disifatkan sebagai kumpulan asing yang terdiri daripada pendatang bukan Eropah yang secara tradisinya menghalang integrasi," ujar kumpulan tersebut. - AFP

Anakonda 5.5m ditangkap




PASUKAN ahli biologi dari United Kingdom mempamerkan ular anakonda sepanjang 5.5 meter seberat 100 kg yang ditangkap di hutan Guyana, kelmarin. - AGENSI


GEORGETOWN, Guyana 16 Sept. - Sepasukan ahli biologi menangkap seekor ular anakonda sepanjang 5.5 meter dengan berat sebanyak 100 kilogram dalam satu ekspedisi hutan hujan tropika di sini, semalam.
Ular gergasi itu mempunyai ukur lilit sepanjang satu meter.
Ahli biologi dari Cardiff, Niall McCann, 29, berkata, kumpulannya berjaya menangkap reptilia gergasi itu ketika ia menyeberangi Sungai Rewa.
"Saya selalu berharap untuk menemui anakonda dan bekerja di Gcondauyana akan memberi peluang kepada kami untuk menemui spesies tersebut.
"Saya hampir digigit reptilia itu ketika menangkapnya dan ia mempunyai kekuatan yang luar biasa sehingga mampu 'menggetarkan' pasukan kami," katanya.
Anakonda merupakan spesies ular terbesar di dunia dan mampu mencapai berat sehingga 250 kilogram.
Reptilia itu akan membelit mangsanya sehingga mati sebelum menelan dan memuntahkan balik mangsanya, manusia dan harimau kumbang antara yang sering menjadi mangsa haiwan ganas itu. - AGENSI

Perjanjian Kem David boleh diubah: PM Mesir

KAHERAH: Perdana Menteri Mesir, Essam Sharaf, semalam berkata perjanjian negara itu dengan Israel yang ditandatangani pada 1979 “bukan suci.”
Memetik kenyataan Essam dalam temu bual dengan stesen televisyen Turki, agensi berita Mena melaporkan, Perjanjian Kem David sentiasa terbuka untuk dibincangkan atau diubah suai jika ia memberi manfaat kepada rantau berkenaan serta keadilan.

“Perjanjian itu bukan sesuatu yang suci dan perubahan boleh dilakukan,” katanya.

Hubungan Kaherah - Tel Aviv tegang minggu lalu selepas penunjuk perasaan menyerbu Kedutaan Israel di Mesir, memaksa duta dan kakitangannya dipindahkan.

Serangan itu menyaksikan penunjuk perasaan mengoyakkan bendera Israel.

Ia adalah kejadian terburuk sejak Israel membuka kedutaannya di Mesir - negara Arab pertama menandatangani perjanjian damai dengan rejim Zionis berkenaan.


Kenyataan Essam itu dibuat selepas wartawan bertanya kepadanya mengenai lawatan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, ke Mesir minggu ini.

Hubungan Ankara - Tel Aviv memang semakin buruk sejak akhir-akhir ini.

Kata Essan, lawatan Recep memang tepat pada masanya kerana ia dibuat ketika rantau Timur Tengah mengalami perubahan. - AFP

15 peratus tentera rejim lama masih berfungsi

PARIS: Kira-kira 15 peratus tentera Muammar Gaddafi didapati masih berfungsi sehingga kini.
Jeneral Nato, Vincent Tesniere, berkata penyokong setia bekas pemimpin Libya itu bertumpu di jajaran Tripoli hingga bandar padang pasir Sebha di selatan, serta bandar pesisir pantai Sirte.

Ditanya mengenai langkah Nato menjejak lokasi Gaddafi, Tesniere berkata, pertubuhan itu tidak bertindak untuk “mencari sesiapa.” Ketika ini, pejuang kerajaan baru Libya memerangi saki-baki tentera yang setia kepada Gaddafi. Semalam, mereka berada di Sirte. - AFP

Perlu 80 universiti

RIYADH: Arab Saudi memerlukan kira-kira 80 universiti untuk menjadi negara maju.
Pada sesi dialog terbuka, Presiden Universiti Raja Saud, Dr Abdullah Al-Othman mengkritik penulis dan ahli intelek yang mengatakan 24 universiti, sudah terlalu banyak untuk negara itu.
“Jumlah itu tidak cukup dan tidak efektif untuk memberi pengaruh kepada masyarakat. Kita memerlukan kira-kira 80 universiti untuk mengubah negara dunia ketiga menjadi negara maju,” katanya.

Adalah penting untuk menyediakan universiti berprestij dengan bajet yang mencukupi untuk mencapai cita-cita kerajaan, tambah Dr Abdullah lagi.


Dia berterima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh kerajaan kepada Universiti Raja Saud dan berharap universiti itu dapat berdikari sebelum 2020.

Katanya lagi, semua permohonan untuk jurusan kejuruteraan, perubatan dan kolej sains dipilih dengan adil dan hanya mereka yang mendapat keputusan yang baik akan diterima masuk ke kolej yang mereka pilih.

“Proses pemilihan masuk ke universiti berdasarkan kelayakan,” katanya.

Dia turut menekankan profesor yang tidak cekap melakukan tugas mereka harus dipertanggungjawabkan.

“Universiti antarabangsa boleh menamatkan kontrak profesor,” kata Dr Abdullah. Dia turut meminta hubungan antara universiti dan profesor haruslah hanya melalui kontrak kerja, berdasarkan kecemerlangan mereka setelah dinilai dalam jangka masa tertentu. 

Maut kereta bertembung kenderaan seludup diesel





2011/09/17

LOKASI nahas yang meragut satu nyawa di Padang Besar dilimpahi diesel. Gambar kecil, Manis Ismail.
LOKASI nahas yang meragut satu nyawa di Padang Besar dilimpahi diesel. Gambar kecil, Manis Ismail.
PADANG BESAR: Seorang warga tua berusia 60 tahun maut manakala dua mangsa termasuk adik perempuannya cedera selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan dipercayai milik penyeludup diesel di Beseri, dekat sini, petang kelmarin. 

Manis Ismail dari Temerloh, Pahang meninggal di tempat kejadian. Dua lagi mangsa ialah adik Manis, Hasnah yang memandu kereta dan penumpang, Mek Saad, 65, masing-masing dari Kuala Perlis, di sini mengalami kecederaan.
Dalam kejadian itu, dua remaja berusia 16 dan 19 tahun dipercayai dalam kereta Proton Iswara yang bertembung dengan kereta mangsa melarikan diri tanpa mempedulikan mereka.
Kemalangan jam 4.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang menaiki kereta Perodua Kelisa dalam perjalanan pulang selepas menziarahi kenalan yang meninggal dunia di Jalan Kaki Bukit, di sini. 

Nahas itu boleh menjadi lebih buruk kerana tempat kejadian dilimpahi diesel. 
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, mengesahkan kejadian terbabit termasuk penahanan dua remaja tidak bersekolah yang terbabit dalam nahas itu. 

Ahli perniagaan sogok pelacur untuk Berlusconi

Foto
Silvio Berlusconi (kiri) dan Sara Tommasi

Foto
Sabina Began (kiri) dan Patrizia D'Addario.



30 wanita diupah bermesra dengan PM Itali

ROME: Seorang ahli perniagaan Itali memilih 30 wanita cantik dan muda termasuk pelacur untuk menghadiri parti di kediaman Perdana Menteri, Silvio Berlusconi dan mengupah sebahagian daripada mereka untuk melakukan hubungan seks dengan pemimpin itu, menurut dakwaan terbaru pendakwa raya.
Selepas memilih mereka, Gianpaolo Tarantini memberitahu apa yang perlu dipakai dan bagaimana cara bergaul di parti itu antara September 2008 dan Mei 2009, menurut dokumen yang baru difailkan di mahkamah.
Pendakwa raya sudah menamatkan siasatan mereka terhadap kegiatan Tarantini. Berlusconi tidak disiasat dalam kes itu tetapi ia sekali lagi memalukannya.

Dakwaan itu diketahui ketika sokongan awam kepada Berlusconi berada di tahap paling rendah. Hanya 24 peratus rakyat Itali mengatakan ‘amat’ atau ‘terlalu’ mempercayai ahli perniagaan berusia 74 tahun itu.

Pendakwa raya membentangkan keputusan siasatan dua tahun mengenai tuduhan bahawa Berlusconi menjadikan kediamannya di sini sebagai tempat pelacuran model muda, aktres dan bintang baru.

Di kalangan wanita itu termasuk dari Amerika Selatan dan Eropah Timur, dijemput untuk menghadiri parti itu termasuk ramai pelacur untuk berdamping bersama perdana menteri sebagai balasan mendapat wang tunai atau hadiah lain.
Seorang aktres terkenal Itali, Manuela Arcuri, didakwa dijanjikan peluang menjadi hos festival muzik tahunan San Remo jika setuju tidur dengan Berlusconi, namun enggan menerima tawaran itu.

Identiti sesetengah wanita itu dibocorkan oleh media Itali sebelum ini namun ini adalah kali pertama penyiasat membentangkan satu senarai berdasarkan perbualan 100,000 panggilan telefon yang dipintas pihak berkuasa.

Lapan orang disiasat kerana didakwa membantu dan bersubahat menjalankan kegiatan pelacuran Tarantini, ahli perniagaan dari pelabuhan Adriatic di Bari.

Dia membekalkan wanita kepada Berlusconi dengan harapan memajukan kepentingan perniagaan, kata pendakwa raya Bari.

Orang lain termasuk Sabina Began, model kelahiran Jerman yang sering digambarkan sebagai ‘ratu lebah’ di kalangan peminat wanita Berlusconi.
Lapan suspek terbabit ‘terbabit tanpa sedar dengan rancangan penjenayah’ sindiket pelacuran, kata pendakwa.

Tarantini, 36, dan isterinya ditahan awal bulan ini kerana disyaki memeras lebih £500,000 (RM2.44 juta) daripada perdana menteri sebagai balasan berdiam diri mengenai bekalan gadis pengiring.

Berlusconi mengakui mengadakan parti persendirian di kediamannya di Rome, Milan dan Sardinia namun menegaskan beliau tidak tahu jika ada tetamunya adalah pelacur.

Senarai wanita termasuk Patrizia D'Addario, pelacur yang membuat pendedahan suasana parti di kediaman Berlusconi dan menulis buku mengenai dakwaan hubungan seksnya dengan perdana menteri itu; Ioanna Visan, gadis pentas Romania; Francesca Lana, model pakaian dalam; Camille Cordeiro Charao, model majalah lelaki serta Barbara Montereale, Sara Tommasi dan Barbara Guerra.

Kejatuhan teruk populariti Berlusconi ditunjukkan dalam satu tinjauan yang dijalankan sebelum dakwaan itu muncul dan kemungkinan hasil pakej penjimatan bernilai 54 bilion euro (RM230.32 bilion) yang amat tidak popular yang diluluskan kerajaan Rabu lalu, mencetuskan pertempuran antara polis anti rusuhan dan penunjuk perasaan.

Rakyat Itali yang mempunyai ‘sedikit’ atau ‘tiada kepercayaan’ terhadap Berlusconi meningkat daripada 60 peratus kepada 64 peratus, menurut tinjauan IPR dijalankan oleh akhbar tengah-kiri Repubblica, satu daripada pengkritik tetap perdana menteri.

Kedudukan sokongannya merudum kepada 24 peratus berbanding 62 peratus sejurus selepas dipilih semula pada 2008. - Agensi

Karavan boleh bertukar menjadi bot




KARAVAN ciptaan Daniel Starub boleh menjadi sebuah bot.


BERLIN, Jerman - Orang ramai tidak lagi perlu memilih sama ada mahu berkhemah atau belayar ketika pergi bercuti selepas seorang pereka Jerman, Daniel Straub mencipta karavan yang boleh bertukar menjadi sebuah bot, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Karavan yang diberi nama Sealander itu ditarik kenderaan lain di atas jalan raya tetapi ia dipandu secara berasingan dengan menggunakan sebuah motor elektrik apabila berada di dalam air.
Selain dua tempat tidur, karavan, Sealander turut dilengkapi sebuah dapur, tandas dan meja makan.
Straub yang mengambil masa dua tahun untuk menguji karavan ciptaannya sebelum ia memasuki fasa pengeluaran memberitahu: "Mereka yang pergi bercuti boleh berkhemah pada malam hari dan pada waktu siang, mereka boleh belayar di tasik untuk aktiviti memancing".
Karavan unik itu dijadualkan memasuki pasaran tahun depan pada harga £13,000 (RM63,495). - Agensi

Wanita paling kaya miliki bot mewah terbesar



KIRSTY BERTARELLI dan suaminya, Ernesto Bertarelli.


PLYMOUTH - Seorang wanita terkaya di Britain dan suaminya yang merupakan seorang bilionair memiliki sebuah bot mewah yang terbesar di United Kingdom (UK), lapor sebuah akhbar kelmarin.
Wanita itu yang juga bekas Ratu Cantik UK, Kirsty Bertarelli dan suaminya, Ernesto menempah bot mewah Vava II berukuran 96 meter (m) dengan kos luar biasa iaitu £100 juta (RM488 juta).
Kapal layar tersebut mempunyai sentuhan rekaan dalaman yang mewah dan dibina di sini dan memerlukan lebih dua tahun untuk dibina selain melibatkan 200 pekerja.
Ia dilengkapi pad pendaratan helikopter, ruang tetamu yang mewah dan empat buah bot untuk membawa penumpang ke pantai.
Suami wanita itu memiliki anggaran kekayaan sebanyak £6.8 bilion (RM33.14 bilion) menjadikan dia lelaki yang ke-81 terkaya di dunia dan kelima di Britain. - Agensi

Dapur tahun 1830-an ditemui di bawah rumah




PERIUK, botol dan peralatan dapur lama era 1830-an turut ditemui.


TAMAN CEFN LEA, Britain - Sepasang suami isteri, Archie Graham-Palmer, 41, dan Philippa, 37, menemui sesuatu yang sukar dipercayai apabila mereka menyelongkar ruang bawah rumah keluarganya di sini yang berusia 200 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Ruang yang diselubungi dengan debu dan timbunan barang lama, rupa-rupanya telah dilengkapi dengan dapur yang berusia lebih daripada satu generasi.
Peralatan memasak telah dijumpai seperti cerek, periuk, kuali, pemotong pastri, alat pemadam api antik dan acuan jeli.
Dapur tersebut didakwa wujud pada tahun 1830an.
Tidak pernah digunakan lebih seratus tahun, dapur itu pernah digunakan ketika Perang Dunia Kedua semasa Jerman menyerang Britain kerana ia terletak di bawah tanah. - Agensi

Gorila mandi dalam tab mandi




SEEKOR anak gorila mandi dalam tab mandi dirakamkan di Zoo Twycross, Midlands pada 1967.


MIDLANDS, Britain - Seekor anak gorila, Joe gemar mandi di dalam tab mandi seperti kanak-kanak, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Joe dimandikan dalam sebuah bilik mandi di Zoo Twycross, Leicestershire.
Seterusnya, gorila itu bermain-main di sekitar tab mandi sebelum menuju ke arah tab lain dan cuba meminum air menerusi paip.
Rakaman tersebut dibuat pada tahun 1967 dan disimpan dalam arkib video British Pathe tetapi ia ditayangkan kepada umum baru-baru ini. - Agensi

Kaki kuda seperti kasut Aladin




KEEMPAT-EMPAT kaki kuda yang bernama Jerry mempunyai kuku seperti kasut Aladdin.


TAUNTON, Britain - Seekor kuda bernama Jerry diabaikan menjadi obes sehingga berat haiwan itu bertambah 127 kilogram (kg) dan mempunyai kuku kaki berbentuk kasut Aladdin, lapor sebuah akhbar semalam.
Aladdin ialah seorang pemuda Muslim yang mencari teko ajaib seperti diceritakan dalam kisah Seribu Satu Malam.
Namun nasib haiwan berkuku seperti kasut Aladdin itu bertukar apabila ia diselamatkan dari sebuah ladang di Somerset semasa ia hidup bersama sejumlah lembu.
Setelah dua tahun kuku kakinya tidak dipotong sehingga membuatkan haiwan itu kesakitan setiap kali berjalan, ia kini dirawat di sebuah pusat penjagaan haiwan.
"Kukunya sepanjang 30.5 sentimeter (sm) menyebabkan ia menjadi seperti kasut Aladdin," kata seorang penjaga di pusat pemulihan kuda HorseWorld, Joanne Vaughn.
Kuku itu sepatutnya dipotong setiap enam hingga lapan minggu bagi mengelak ia menjadi panjang.
Haiwan tersebut ditemui bersama seekor lagi kuda, Jojo, dalam keadaan menyedihkan oleh beberapa pegawai kebajikan haiwan.
Selama enam bulan menjalani pemulihan, Jerry kehilangan berat badan sehingga 114kg dalam tempoh enam bulan menyebabkan beratnya kini menurun kepada 438.17kg.
Selama tempoh itu juga, Jerry dan Jojo terpaksa mengambil ubat penahan sakit dan memakai alas kaki khas bagi membantu proses pemulihan mereka. - Agensi.

Cahaya misteri di selatan AS



SALAH satu imej bebola api yang ganjil dilihat penduduk di selatan AS pada Rabu lalu.


LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Satu cahaya terang yang meluncur di langit barat daya AS pada waktu malam dipercayai merupakan sebutir asteroid yang memasuki atmosfera Bumi, kata seorang saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA) kelmarin.
Ribuan orang dari selatan California hingga ke negeri Arizona melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan dan pihak media pada Rabu lepas bahawa mereka melihat cahaya terang itu bergerak laju dari barat ke timur sekitar pukul 7.45 malam waktu tempatan.
Ramai yang memberitahu cahaya itu berwarna hijau kebiruan manakala sebahagian lagi menyatakan ia berwarna oren dan kuning.
Beberapa orang pula turut merakamkan cahaya ganjil tersebut.
Imej itu dilihat dari bandar Phoenix di negeri Arizona ke bandar Las Vegas, di negeri Nevasa dan Los Angeles di California.
Ketua Program Objek Berhampiran Bumi NASA, Don Yeomans berkata, beliau yakin cahaya itu berasal daripada pecahan asteroid sebesar bola keranjang atau bola besbol berbentuk bebola api yang memasuki atmosfera Bumi dan hancur sebelum ia jatuh ke tanah.
Menurutnya, fenomena itu merupakan kejadian biasa yang berlaku pada setiap minggu.
Namun, katanya, ia biasa berlaku di lautan dan jarang dilihat oleh manusia.
"Adalah ganjil objek sebesar ini dilihat di kawasan-kawasan penempatan penduduk," kata Yeomans.
Beliau menolak fenomena itu disebabkan oleh kapal angkasa lepas yang rosak yang jatuh ke Bumi kerana insiden itu boleh diramalkan sebelum ia berlaku. - Agensi

Britain, Perancis didakwa cuba menjajah Libya




DAVID CAMEROn (kiri) dan Nicholas Sarkozy (kanan) melawat pesakit di Pusat Perubatan Tripoli di Tripli kelmarin.


NICOSIA - Lawatan ke Libya oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy menandakan bermulanya penjajahan di Libya, sebuah negara yang kaya dengan hasil minyak, kata jurucakap Muammar Gaddafi, Musa Ibrahim.
Kedua-dua pemimpin Barat berkenaan yang mengetuai perang ke atas Libya ekoran kedua-dua negara mereka menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang membantu menumbangkan Gaddafi, disambut sebagai wira semasa lawatan ke Tripoli dan Benghazi, timur Libya kelmarin.
Namun, Musa dalam satu wawancara telefon bersama stesen televisyen Syria, Arrai kelmarin mendakwa kedua-dua pemimpin itu membantu pemberontak Libya kerana mereka mempunyai niat tersembunyi.
"Lawatan Cameron dan Sarkozy itu menandakan proses untuk menjajah Libya telah bermula," kata Musa
"Mereka tiba segera untuk mengutip hasil kejatuhan Tripoli kepada pemberontak kerana mereka sebenarnya bimbang akan kehadiran Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain yang mahukan hasil minyak negara ini," jelasnya tanpa mendedahkan lokasi panggilan telefon itu dibuat.
Gaddafi, 69, dan orang-orang kanannya menyembunyikan diri sejak ibu kota Libya, Tripoli ditawan oleh para pemberontak yang disokong Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menjelang Hari Raya Aidilfitri lepas. Namun, bekas pemimpin Libya itu dipercayai masih berada di tanah airnya, walaupun keluarganya telah melarikan diri ke Algeria dan Niger.
"Mereka bergegas ke Tripoli untuk memeterai perjanjian rahsia dengan golongan pembelot dan tali barut (NTC) bagi mengawal pelaburan minyak dengan menggunakan alasan membangunkan semula Libya," ujar Musa.
"Mereka bercakap tentang kos ratusan bilion dolar untuk membangunkan semula Libya. Sedangkan mereka sebenarnya yang memusnahkan Libya dan menggunakan wang rakyat untuk membina semula negara ini," ujar Musa.
Cameron ketika berada di Tripoli menyatakan, Britain akan membebaskan aset Libya sebanyak AS$950 juta (RM2.93 bilion) yang disimpan di negara Eropah itu untuk membantu pemerintah baharu Libya iaitu NTC yang mewakili pemberontak. - AFP

Planet dalam filem Star Wars ditemui



LAKARAN artis menunjukkan sebuah planet mempunyai dua matahari.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - fiksyen sains bertukar menjadi realiti apabila beberapa saintis menemui sebuah planet yang dikelilingi dua matahari, lapor sebuah akhbar semalam.
Penemuan itu dibuat lebih tiga dekad selepas fenomena tersebut pertama kali digambarkan dalam filemStar Wars. Satu adegan filem fiksyen sains berkenaan menunjukkan aktor Luke Skywalker berjalan di permukaan sebuah planet dengan dua matahari kelihatan di langit planet itu yang dikenali sebagai Tatooine.
Lebih tiga dekad kemudian, saintis-saintis AS menemui sebuah planet serupa yang dikenali sebagai Kepler-16b.
Saiz planet berkenaan sebesar Planet Zuhal dan ia terletak pada jarak 200 tahun cahaya dari Bumi.
Saintis-saintis AS membuat penemuan itu dari kapal angkasa Kepler milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika (NASA).
"Kita akan dapat melihat dua matahari pada waktu senja di planet itu," kata beberapa saintis berkenaan.
Seorang saintis Institut Carnegie di AS, Alan Boss memberitahu, planet Kepler-16b dikelilingi dua bintang.
Satu tahun di planet itu bersamaan dengan 229 hari di Bumi.
"Sekali lagi, apa yang dipaparkan dalam sains fiksyen bertukar menjadi realiti," kata Boss. - Agensi