Pages

Saturday, September 3, 2011

Gempa Bumi 7.1 Pada Skala Richter Gegar Kepulauan Aleutian

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sekuat 7.1 pada skala Richter menggegarkan Kepulauan Aleutian di Lautan Pasifik Utara pada pukul 6.56 petang Jumaat.
Menurut Jabatan Meteorologi gempa bumi itu tidak menimbulkan ancaman tsunami kepada Malaysia.
Bagaimanapun jabatan akan terus memantau perkembangan gempa bumi itu.
Sementara itu, satu lagi gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter menggegarkan Santiago Del Estero di Argentina pada pukul 9.47 malam ini.
Menurut Jabatan Meteorologi gempa bumi itu tidak menimbulkan ancaman tsunami kepada Malaysia, dan jabatan terus memantau perkembangannya. - BERNAMA, MSTAR

Gempa bumi kuat di Kepulauan Sandwich Selatan

Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 pada skala Richter telah berlaku di Kepulauan Sandwich Selatan, pada 12:49 tengahari, hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataanya berkata, pusat gempa bumi terletak di 56.6º Selatan dan 27.0º Barat, 12501km Barat Daya Johor Bahru, Johor dan tiada ancaman Tsunami kepada Malaysia.

Pihak berkenaan sedang memantau perkembangan ini dan akan memaklumkan yang terkini.-SH

Penunggang motosikal maut dirempuh bas


KEMALANGAN yang berlaku di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Ubi di sini, pagi tadi. - Foto Halim Mat Ali
KEMALANGAN yang berlaku di persimpangan lampu isyarat
Jalan Bukit Ubi di sini, pagi tadi. - Foto Halim Mat Ali
KUANTAN: Seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah bas di persimpangan lampu isyarat Jalan Bukit Ubi di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.15 pagi itu, mangsa, Hoi Chien Teck, 34, dari Kampung Sungai Soi, di sini mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas terperosok di bawah bas itu.
Sebelum kejadian, lelaki itu dipercayai baru saja selesai membaiki motosikalnya di sebuah bengkel berhampiran tempat kejadian sebelum menghala ke Jalan Gambut di sini.
Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Jasmani Yusof, berkata mangsa kemudian cuba melintas jalan dengan motosikalnya tanpa menyedari kehadiran bas yang sedang dalam perjalanan dari Maran ke Terminal Makmur itu.

Mohd Jasmani berkata, pemandu dan penumpang bas seramai 20 orang berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis sudah merekodkan keterangan pemandu berusia 59 tahun itu untuk membantu siasatan.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA , bharian

Rumah terbakar ketika asyik tonton TV


MOHD FARHAN bersama ibunya melihat keadaan rumah mereka yang musnah  di Kampung Ayer Bawah dekat Alor Gajah, semalam.
MOHD FARHAN bersama ibunya melihat keadaan rumah mereka yang musnah di Kampung Ayer Bawah dekat Alor Gajah, semalam.

Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

ALOR GAJAH: Kegembiraan menyambut Aidilfitri yang masuk hari keempat, semalam berakhir dengan kesedihan buat tujuh sekeluarga dari Kampung Ayer Bawah, Simpang Ampat, dekat sini apabila rumah mereka hangus terbakar menyebabkan mangsa tinggal sehelai sepinggang.
Kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu berlaku ketika keluarga terbabit bersama empat saudara mereka sedang leka menonton televisyen.
Mangsa, Rafeah Hassan, 47, berkata dia yang tinggal di rumah berkenaan bersama suami, Rahmat Mohd Idris, 47, dan lima anak mereka sedang menonton televisyen bersama kakaknya, abang ipar dan dua anak saudara yang datang beraya.

“Sedang leka menonton televisyen, tiba-tiba anak saya, Mohd Farhan Aslam, 11, menjerit melihat api dari bahagian bumbung rumah. Dalam keadaan cemas, kami cuba memadamkan api namun gagal kerana tekanan air paip yang rendah,” katanya ketika ditemui.

Rafeah berkata, api yang semakin marak menyebabkan seluruh ahli keluarga bergegas keluar dari rumah menyelamatkan diri sebelum sebahagian kediaman berkenaan, termasuk anjungnya hangus dengan kerugian dianggarkan RM60,000.

“Tak sangka kegembiraan Syawal berakhir dengan tragedi ini, namun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat,” katanya menahan sebak dan sebelum itu menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Datuk Latipah Omar yang turut menghulurkan bantuan wang tunai. bharian

30 suspek al-Qaeda terbunuh di Yaman

SANAA: Angkatan tentera Yaman dan pegawai perubatan mengesahkan 30 suspek al-Qaeda dibunuh susulan serangan udara dan pertempuran di wilayah selatan negara itu.

Seorang pegawai tentera berkata, Amerika Syarikat mengebom lokasi al-Qaeda Rabu dan Khamis lalu. - AP
-bharian

40 kanak-kanak Pakistan dilarikan militan

KHAR (Pakistan): Pihak berkuasa berkata, suspek militan melarikan 40 kanak-kanak tempatan selepas mengumpan mereka untuk ke Afghanistan.
Pegawai polis, Abdul Haseeb Khan, berkata kanak-kanak lelaki itu berusia antara 10 dan 15 tahun pergi ke wilayah Kunar di Afghanistan, kelmarin, selepas seorang lelaki mengajak mereka untuk bermain di sebuah sungai di sana. Abdul Haseeb berkata, militan berkenaan kemudian membawa lari kanak-kanak terbabit. Polis di Kunar, Afghanistan berkata, mereka masih melakukan siasatan tetapi tidak mengeluarkan sebarang ulasan mengenai insiden itu. - APhmetro

Suri rumah disyaki cuba bunuh amah

DUBAI: Seorang suri rumah disiasat kerana cuba membunuh pembantu rumahnya dengan menolak mangsa dari balkoni selepas dakwaan membunuh diri yang dikenakan ke atas mangsa digugurkan di mahkamah, baru-baru ini.
Mahkamah di bandar raya ini menggugurkan tuduhan cuba membunuh diri pembantu rumah warga Ethiopia itu yang sebelum ini didakwa melompat dari tingkat tiga. Kes itu dirujuk kembali kepada pendakwa raya yang kemudian menyoal siasat suri rumah warga Yaman terbabit.

Dia disyaki cuba membunuh pembantu rumah berusia 18 tahun berkenaan selepas menolak mangsa dari balkoni dapur rumahnya setelah memukul muka mangsa dengan tukul besi hingga mangsa tidak dapat bercakap. “Mahkamah memutuskan mangsa bukan cuba membunuh diri. Siasatan mendapati mangsa mendakwa majikannya yang berusia 27 tahun memukul mukanya dengan tukul besi dan menolaknya dari balkoni. “Kes dirujuk semula kepada pendakwa raya dan suri rumah terbabit disoal siasat kerana disyaki cuba membunuh pembantu rumahnya,” lapor pendakwa raya. Menurut rekod mahkamah, mangsa perlu menjalani beberapa siri soal siasat kerana menghadapi kesukaran bertutur. - GN

Saya masih sihat - Azizan


AZIZAN Abdul Razak menziarah jenazah Abdul Rahman Ahmad di Kampung Alor Belat, Pendang, Kedah, semalam.



PENDANG 2 Sept.- Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan beliau masih sihat dan mampu memikul tanggungjawabnya itu selepas mendapat rawatan sakit jantung bulan lepas.
Katanya, tidak ada alasan untuk beliau bercuti panjang dengan melantik pemangku atau timbalan mentadbir negeri ini.
"Tengok saya sihat sahaja, nak buat apa lantik pemangku. Kalau nak buat macam itu patut buat semasa saya masuk IJN (Institut Jantung Negara) dahulu kerana sekarang saya sudah sihat. Tidak perlu pemangku.
"Lantik Timbalan Menteri Besar pula tidak ada dalam Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah jenazah Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Abdul Rahman Ahmad, 56, yang meninggal dunia akibat sakit jantung di Kampung Alor Belat dekat sini hari ini.
Azizan mengulas laporan sebuah akhbar bahasa Inggeris hari ini tentang desas-desus jawatan beliau sebagai Menteri Besar akan diganti kerana masalah kesihatannya itu.
Laporan akhbar tersebut menyebut, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dijadualkan menghadap Sultan Kedah hujung minggu ini untuk mendapatkan perkenan baginda berhubung peralihan kepimpinan kerajaan negeri itu.
Presiden Pas tersebut juga akan menghadiri rumah terbuka Menteri Besar di Sungai Limau dan Mentaloon di sini esok dan Ahad ini.
Azizan berkata, beliau bagaimanapun akan melepaskan jawatan sekiranya menerima arahan rasmi daripada pucuk kepimpinan Pas.
"Semua terpulanglah jika Pas pusat minta saya berundur saya akan berundur, esok pun boleh. Dahulu pun bukan saya minta jawatan ini.
"Tetapi Presiden (Hadi) ada telefon saya baru-baru ini tanya khabar tetapi tidak maklumkan apa-apa pun tentang perkara ini," katanya.
Sementara itu, Exco kerajaan negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut namun turut menegaskan keputusan tentang peralihan kepimpinan kerajaan negeri itu terletak di tangan Pas pusat.
"Memandangkan nama saya naik tidak perlulah saya beri apa-apa komen. Semua terpulanglah kepada Pas pusat yang menentukan tentang perkenan Sultan," katanya.
Phahrolrazi antara tiga Exco yang disebut-sebut sebagai calon untuk memangku jawatan Menteri Besar tersebut termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah dan ADUN Tokai, Datuk Mohamad Taulan Mat Rasul.utusan

Aset Libya bernilai RM44.5 bilion dicairkan

PARIS 2 Sept. - Pemimpin-pemimpin dunia semalam mencairkan aset Libya bernilai AS$15 bilion (RM44.5 bilion) untuk membantu pemberontak membina semula negara itu ketika pemimpin Libya Muammar Gaddafi menyeru pengikutnya melancarkan serangan gerila.
Wakil-wakil kanan dari lebih 60 negara menemui pemimpin-pemimpin pemberontak semalam bagi memberi sokongan dan menawarkan bantuan praktikal.
Bagaimanapun dalam pertemuan yang diadakan di Paris itu, mereka turut mengingatkan pemimpin Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) supaya berusaha mencari perdamaian, walaupun Gaddafi mengeluarkan mesej mahu melancarkan perang gerila.
Persidangan itu adalah satu kejayaan besar kepada NTC, meskipun Rusia, China dan Algeria sebelum ini pernah ragu-ragu untuk bersetuju menyokong pentadbiran baru itu.
Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mengumumkan bahawa berbilion-bilion dolar aset Libya di luar negara yang dibekukan sebelum ini akan dicairkan.
"Kira-kira AS$15 bilion (RM44.5 bilion) telah dicairkan dengan segera kerana kami mahu memberikan kembali wang itu kepada rakyat Libya," kata Sarkozy.
Beliau dalam pada itu turut menggesa NTC memulakan 'proses damai dan pengampunan'.
Presiden NTC, Mustafa Abdel Jalil berkata, rakyat Libya telah 'membuktikan keberanian dan keazaman' mereka dengan menumbangkan rejim Gaddafi, tetapi beliau turut menyeru kestabilan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Anders Fogh Rasmussen dalam sidang itu memberitahu, tentera bersekutu akan meneruskan misi enam bulan mereka di Libya selagi rakyat awam di negara itu dalam bahaya.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon pula berjanji akan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan untuk meluluskan misi segera PBB bagi menangani kemungkinan krisis kemanusiaan dan membantu membina semula Libya. - AFP

Dibunuh kerana komen Facebook

JAKARTA - Polis Indonesia menahan dua lelaki yang dipercayai membunuh rakannya akibat perasaan tidak puas hati berhubung komen yang ditulis mangsa dalam laman sosialFacebook.
Ketua Polis Jakarta, Yoyol berkata, pembunuhan tersebut berlaku pada minggu lalu ekoran si pelaku tidak berpuas hati dengan komen mangsa yang menggunakan kata-kata kesat kepada akaun Facebook milik isteri seorang daripada tertuduh.
"Mangsa merupakan rakan kepada dua tertuduh dan dia dipercayai mengirim komen menggunakan kata-kata kesat ke akaun Facebook isteri seorang daripada pelaku itu.
"Selepas membaca komen tersebut, isterinya mengadu hal itu kepada suaminya," katanya.
Berang dengan perbuatan itu, si suami dan rakannya mengatur pertemuan dengan mangsa dan setibanya mangsa di lokasi yang ditetapkan, kedua-dua tertuduh bertindak mencekiknya sehingga mati. - AGENSI

Gaddafi seru lancar perang gerila ke atas pemberontak


TENTERA pemberontak berdiri di atas peluru berpandu SA-5 SAM di pangkalan tentera udara Burkan yang telah dimusnahkan oleh serangan udara NATO dalam gambar yang dirakam pada 1 September lalu. - REUTERS



TRIPOLI 2 Sept. – Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dalam satu rakaman audio yang disiarkan di televisyen stelit Arab semalam, menyeru supaya perang gerila dilancarkan ke atas pemberontak yang merampas negara ini.
“Siapkan diri anda untuk melancarkan perang gerila dan geng di kawasan bandar serta kediaman popular bagi menewaskan musuh di semua tempat.
“Sasarannya ialah untuk membunuh musuh di mana jua mereka berada, tidak kira sama ada mereka adalah rakyat tempatan atau warga asing.
“Kami tidak akan membiarkan minyak dan pelabuhan kami dikuasai oleh Barat dan tentangan kami akan diperbesarkan,” kata Gaddafi dalam mesej keduanya semalam, mesej yang masih belum disahkan ketulenannya.
Sebelum itu, dalam mesej yang disiarkan oleh syrikat penyiaran pro-Gaddafi, televisyen Arab Arrai Oruba yang beribu pejabat di Syria, pemimpin Libya berusia 69 tahun itu mengulangi kenyataannya bahawa beliau tidak akan menyerah kalah dan bersiap sedia dengan ‘peperangan jangka panjang’ walaupun akan menyebabkan Libya musnah.
Beliau menggesa pengikutnya untuk terus menentang pemberontak yang memaksanya bersembunyi ketika sidang utama dimulakan di Paris untuk membantu Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menubuhkan pentadbiran baru.
“Walaupun anda tidak dapat mendengar suara saya, teruskan menentang. Kita tidak akan menyerah kalah kerana kita bukan wanita.
“Jika mereka mahukan peperangan jangka panjang, biarkan ia berpanjangan, meskipun akan menyebabkan Libya hangus terbakar kerana kita boleh memerintahnya ” tegasnya dalam mesej itu dari lokasi yang tidak diketahui.
Seorang pemimpin kanan pemberontak menafikan kenyataan dan hanya menyifatkannya sebagai kesan daripada ‘putus asa’ Gaddafi selepas kejayaan pemberontak.
“Kenyataan itu adalah tanda kepada kesengsaraan dan putus asa beliau,” kata Menteri Dalam Negeri, Ahmed Darrat. – AFP, utusan

Kanak-kanak tawan 10 gunung


ARYA Cahya Mulyana Sugianto menjadi kebanggaan Indonesia apabila dia yang baru berusia enam tahun sudah menawan 10 puncak gunung.



PAMEKASAN - Seorang kanak-kanak berusia enam tahun, Arya Cahya Mulyana Sugianto yang berasal dari Pamekasan, Madura, Jawa Timur berjaya mendaki 10 puncak gunung di Indonesia.
Jurucakap kumpulan pengiring pendakian Arya, Kusnindar berkata, pendakian 10 gunung itu dimulakan sejak Mei lalu dan berakhir pada Ogos, ketika Indonesia menyambut ulang tahun kemerdekaan baru-baru ini.
Pendakian terakhir Arya melibatkan Gunung Mahameru di Ranupane yang mempunyai ketinggian 3,676 meter, lapor Antara News.
Pendakian yang dikenali sebagai 'Ekspedisi Cahaya Merdeka 2011' ini bermula dengan pendakian Gunung Ceremai di Cirebon, Jawa Barat yang memiliki ketinggian 2,900 meter.
Ekspedisi itu kemudian diteruskan di puncak Gunung Slamet di Purbalingga, Jawa Tengah (3,432 meter), Gunung Sindoro di Temanganggung (3,155 meter), Gunung Wonotirto (2,000 meter), Gunung Lawu (3,265 meter), Gunung Rinjani (3,726 meter), Gunung Agung (3,124 meter), Gunung Arjuno (3,339 meter) dan Gunung Semeru (3,676 meter).
Menurut Kusnindar, meskipun telah melakukan 10 pendakian, Arya masih bertenaga dan kelihatan lebih bersemangat. - AGENSI, utusan

Yaacob miliki syiling lama berusia 128 tahun


Yaacob Ahmad menunjukkan koleksi 200 keping wang kertas dan syiling keluaran sebelum Merdeka di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Kubang Pasu, baru-baru ini.



KUBANG PASU 2 Sept. - Seorang pengumpul barangan lama di Kampung Lubuk Batu, Jalan Wang Tepus, di sini mendakwa memiliki lebih 200 keping wang kertas dan syiling lama dari beberapa negara dan koleksi yang paling disayangi adalah syiling setengah sen Straits Settlements 1883.
Yaacob Ahmad, 67, berkata, dia tidak akan menjual koleksi syiling dan wang kertas lama yang disimpannya biarpun ditawarkan untuk menjualnya dengan harga ribuan ringgit.
"Syiling setengah sen itu yang paling lama iaitu berusia 128 tahun dan saya tidak pernah fikir untuk menjualnya.
"Semua koleksi wang kertas dan duit syiling lama yang disimpan ini saya cari sendiri sejak berusia 17 tahun," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurutnya, selain menyimpan syiling lama dia juga menyimpan syiling yang jarang ditemui seperti syiling Edward VII King & Emperor 1907, syiling dari China gambar naga dan pitih jawa dengan gambar wayang kulit etong dan ekau.
"Saya tidak akan menjual koleksi saya biarpun ada pihak yang berminat untuk membelinya dengan harga yang mahal kerana saya mahu anak cucu saya melihat koleksi ini.
"Anak-anak saya juga menunjukkan minat untuk menyimpan wang-wang lama ini, jadi saya akan terus menyimpan koleksi ini untuk mereka," ujarnya.
Dia juga menyimpan koleksi wang kertas bernilai sepuluh ringgit lama yang mempunyai ejaan sa-puluh ringgit.
"Memang ramai yang cari duit ini untuk tujuan menarik duit dari alam ghaib namun saya tidak akan beri duit ini kepada mereka yang berniat sebegitu.
"Duit ini untuk peminat yang ingin melihat koleksi wang ini sahaja," katanya.utusan

Argentina dilanda gempa bumi, tiada tsunami

WASHINGTON 3 Sept - Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.4 skala Ritcher menggegarkan utara Argentina dan tiada amaran tsunami dikeluarkan, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), hari ini.
Kejadian itu berlaku pada pukul 10.47 pagi (waktu Malaysia 9.47 malam) kira-kira 30 kilometer barat Anatuya, di Santiago del Estero. – AFP

Pengganas ‘intai’ Singapura

Kabel diplomatik AS anggap bank Kota Singa beri peluang kepada pelampau

SINGAPURA: Kota Singa adalah satu ‘destinasi menarik’ bagi kumpulan pengganas menyalurkan wang kerana bank republik itu menguatkuasakan undang-undang sulit perbankan yang ketat sebagai hab kewangan serantau, dakwa kabel diplomatik Amerika Syarikat yang disiarkan WikiLeaks, semalam.
Kabel diplomatik itu adalah daripada kedutaan Amerika di Singapura bertarikh 2005 dan dikelaskan sebagai ‘SULIT’ menyifatkan republik itu sebagai berisiko ‘sederhana’ sebagai tempat untuk kumpulan pengganas menyalurkan dana.
“Kedudukan Singapura sebagai pusat pelaburan dan kewangan penting ditambah dengan penguatkuasaan undang-undang sulit perbankan dan tidak menggunakan syarat laporan mata wang ketat menambah tarikannya sebagai destinasi pertubuhan pengganas,” kata kabel itu.

Kabel itu yang disiarkan di laman web WikiLeaks semalam ditandatangani duta Amerika ke Singapura ketika itu, Frank Lavin.

Pada masa sama, ada juga faktor lain yang menjadi penghalang kepada pengganas bergiat aktif mengumpul dana atau menggunakan bank Singapura iaitu undang-undang anti penyaluran wang haram dan pembiayaan pengganas, kata kabel itu lagi.
Pegawai Singapura tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan segera.
Bagaimanapun, tahun lalu, dalam satu ucapannya, Menteri Undang-Undang Singapura, K Shanmugam berkata, pihak berkuasa sudah mewujudkan rejim yang kuat membabitkan beberapa agensi kerajaan bagi memerangi kegiatan penyaluran wang haram dan pembiayaan pengganas.

Sejak 2006, Singapura tidak memerlukan perjanjian dua hala untuk memberi bantuan kepada negara lain yang meminta maklumat mengenai urus niaga mencurigakan kerana wujudnya kerjasama lebih baik pada peringkat antarabangsa, kata menteri itu.

Unit Perisikan Kewangan Singapura juga berkongsi maklumat secara aktif dengan rakannya dari negara luar, kata Shanmugam lagi.

Selain itu, badan antirasuah global, Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) menetapkan Singapura mematuhi 43 daripada 49 cadangan mencegah penyaluran wang haram dan pembiayaan pengganas, kata agensi pembanteras jenayah kolar putih republik itu, Jabatan Hal Ehwal Komersial.

Pada 2001, Singapura melumpuhkan satu kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) selepas menahan beberapa orang yang terbabit dalam komplot mengebom sasaran tempatan dan asing. – AFP 

PBB anggap Israel tak salah serang flotila Gaza

NEW YORK: Israel bertindak keterlaluan tetapi tidak menyalahi undang-undang ketika menyerang flotila Gaza menyebabkan beberapa kematian berlaku, menurut laporan siasatan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai serbuan berdarah Israel terhadap kapal bantuan ke Gaza yang disiarkan akhbar New York Times (NYT) kelmarin.

Berikutan itu, Turki mengusir Duta Israel ke Ankara semalam dan menggantung hubungan ketenteraan dengan rejim Zionis itu.
“Hubungan di antara Turki dan Israel akan dikurangkan kepada peringkat setiausaha kedua. Semua pegawai atas peringkat setiausaha kedua khususnya duta akan pulang ke negara mereka paling lewat Rabu depan,” kata Menteri Luar, Ahmet Davutoglu pada sidang akhbar.
Enam warga Turki dan seorang warga Amerika Syarikat keturunan Turki terbunuh pada 31 Mei 2010 selepas enam kapal termasuk Mavi Marmara diserbu tentera Israel di perairan antarabangsa.

“Keputusan Israel untuk askarnya menggunakan kekerasan selepas menaiki kapal itu di kawasan jauh dari zon sekatan dan tanpa sebarang amaran terlebih dulu adalah keterlaluan dan tidak munasabah,” tegas laporan PBB itu yang diketuai bekas Perdana Menteri New Zealand, Geoffrey Palmer.

Anggota siasatan itu juga meminta Israel membuat kenyataan kesal kerana melakukan serbuan itu dan membayar pampasan kepada keluarga mangsa yang kehilangan nyawa atau cedera. – AFP 

Anggota bomba 9/11 hadapi risiko barah

SEKUMPULAN anggota bomba memeriksa runtuhan WTC di New York pada 9 September 2001.
SEKUMPULAN anggota bomba memeriksa runtuhan
WTC di New York pada 9 September 2001.

CHICAGO: Anggota bomba yang terdedah dengan debu toksid dan asap ketika serangan 11 September 2001 (9/11) terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York menghadapi risiko 19 peratus lebih tinggi menghidap pelbagai jenis kanser berbanding rakan yang tidak terdedah.

Kajian itu adalah yang pertama meninjau kadar penyakit barah di kalangan anggota bomba yang terdedah dan mungkin membuka jalan untuk mereka diberi faedah kesihatan awam untuk pekerja penyelamat yang kini menderita kanser hampir sedekad selepas serangan itu.
“Kajian ini jelas menunjukkan kes barah meningkat di kalangan anggota bomba yang terdedah kepada debu WTC itu,” kata Dr David Prezant dari Jabatan Bomba Bandaraya New York yang kajiannya diterbitkan jurnal perubatan The Lancet.
Setakat ini, kajian itu tidak menemui sebarang peningkatan risiko barah paru-paru yang mengambil masa bertahun untuk dikesan.

Anggota bomba yang bekerja di kawasan runtuhan WTC selepas dua pesawat melanggar menara berkembar itu 10 tahun lalu, terdedah kepada beberapa ejen penyebab barah termasuk polycyclic aromatik hidrokarbon, polychlorinated biphenyls dan dioksin.

Kajian terdahulu menunjukkan peningkatan kadar masalah trauma, asma dan masalah pernafasan lain di kalangan pekerja penyelamat. Sehingga ini, hanya kajian kecil-kecilan menunjukkan peningkatan kadar kanser yang mengambil masa lima ke 20 tahun untuk dikesan.

Julai lalu, laporan pengarah Institut Pekerjaan, Keselamatan dan Kesihatan Nasional, Dr John Howard menyimpulkan tiada bukti kukuh menyokong kaitan serangan itu dengan kanser.
Tanpa bukti itu, anggota bomba dan pekerja penyelamat tidak boleh menerima bayaran rawatan kanser menerusi Akta Pampasan Kesihatan, James Zadroga 9/11 yang menaja rawatan penyakit seperti asma dan masalah pernafasan lain selain kanser.

Prezant mengakui tidak pasti sama ada laporannya memadai untuk mendapatkan faedah bomba yang mengalami kanser selepas serangan 9/11 tetapi Howard yang diberi tugas membuat keputusan, sedar dengan kajian itu.

Prezant berkata kajian itu mempunyai kelebihan tersendiri khususnya kerana ia menilai kesihatan hampir 10,000 anggota bomba.

Pasukan itu mengambil kira kanser yang dikesan dalam tempoh tujuh tahun selepas serangan WTC, membandingkan keadaan anggota yang terdedah dan tidak. – Reuters 

Pertempuran burukkan keadaan Somalia

PENDUDUK pulang ke daerah Bakara di Mogadishu selepas militan Shebab keluar dari situ, kelmarin.

PENDUDUK pulang ke daerah Bakara di Mogadishu
selepas militan Shebab keluar dari situ, kelmarin.

MOGADISHU: Sekurang-kurangnya 21 orang maut dan 31 lagi cedera akibat pertempuran di sempadan Somalia dan negeri pemisah Puntland, kata pegawai dan saksi, semalam.

Pertempuran itu meletus sejak kelmarin di sebelah utara bandar Galkayo selepas tentera Puntland melancarkan serbuan di beberapa kawasan memburu kumpulan lelaki bersenjata dipercayai menyokong militan Shebab yang pro al-Qaeda.
“Tentera Puntland melakukan operasi keselamatan di Galkayo selepas mendapat maklumat mengenai kumpulan pengganas Shebab,” menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Puntland.
“Operasi itu berjaya dan ramai pengganas maut,” menurut kenyataan itu lagi. Galkayo terletak bertentangan sempadan negeri Puntland dan bahagian tengah Somalia.

Pegawai keselamatan berkata, pertempuran meletus lagi awal semalam selepas kedua-dua pihak memperkukuh kekuatan dan kedudukan masing-masing.

“Kami tidak pasti berapa ramai yang terbunuh tetapi laporan menyatakan sekurang-kurangnya 21 maut, kebanyakannya pengganas,” kata Mohamed Jama, seorang pegawai keselamatan di wilayah separuh autonomi itu.

Beberapa saksi juga memberi angka korban yang sama dan memberitahu kedua-dua pihak bertempur di sekitar bandar itu sehingga semalam.
“Pertempuran berterusan selama dua hari dan lebih 20 orang maut setakat ini dan 31 lagi, kebanyakannya orang awam, cedera,” kata saksi, Abdukadir Farah.

“Saya nampak sekurang-kurangnya 10 mayat pagi ini dan lebih 10 lagi terbunuh kelmarin. Tembak menembak begitu sengit,” kata seorang lagi penduduk, Ahmed Jego.

Militan Shebab masih menguasai sebahagian besar wilayah selatan dan tengah Somalia termasuk daerah yang diisytiharkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai zon kebuluran.

Somalia teruk terjejas kerana kemarau terburuknya dalam tempoh beberapa dekad hingga separuh daripada 10 juta penduduknya memerlukan bantuan kemanusiaan.

Sejak 2004, Somalia diperintah beberapa kerajaan sementara yang gagal melaksanakan pembaharuan mahupun memulihkan keselamatan yang mencetuskan rasa tidak puas hati masyarakat antarabangsa termasuk penduduk tempatan. – AFP/Reuters 

Algeria tak izin Gaddafi masuk

SATU poster menunjukkan foto Gaddafi berkepala botak sebagai lelaki dikehendaki hidup atau mati dilihat di Tripoli, kelmarin.
SATU poster menunjukkan foto Gaddafi berkepala
botak sebagai lelaki dikehendaki
hidup atau mati dilihat di Tripoli, kelmarin.

Pemerintah baru Libya tuntut Algiers serah keluarga bekas pemimpin

ALGIERS: Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi menghubungi Presiden Algeria, Abdelaziz Bouteflika untuk berunding bagi memasuki negara itu tetapi tidak dilayan selepas isteri, dua anak lelaki dan seorang anak perempuannya berada di negara jiran itu awal minggu ini.
Memetik sumber terdekat dengan presiden Algeria, akhbar El Watan di sini melaporkan Gaddafi dipercayai berada di sempadan Libya-Algeria, pekan yang dikenali sebagai Ghadamis. Lokasinya masih belum diketahui lebih seminggu selepas kejatuhan Tripoli.
Pemimpin tertinggi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) pula berkata, Gaddafi dipercayai berada di pekan gurun Bani Walid kira-kira 150 kilometer di tenggara Tripoli.

“Gaddafi cuba menghubungi Bouteflika dengan telefon tetapi beliau enggan menerima panggilan itu. Penasihat presiden terpaksa memberi alasan yang beliau tiada dan sibuk dengan pelbagai majlis di Algeria,” lapor El Watan memetik sumber itu dalam laporan laman webnya.

“Ini bukanlah kali pertama Gaddafi dan beberapa pembantunya cuba menghubungi presiden untuk mendapat peluang berunding tetapi Algeria jelas memegang pendirian berkecuali dan kami enggan untuk masuk campur dalam hal dalaman Libya,” katanya.

Tidak jelas bila panggilan itu dibuat tetapi NTC sudah menuntut Algeria menyerahkan anggota keluarga Gaddafi kepada mereka untuk dibicarakan.
Menteri Luar Algeria, Mourad Medelci sebelum ini memberitahu, kerajaan Algeria tidak boleh memberi status pelarian kepada Gaddafi walaupun membenarkan isteri dan anaknya memasuki negara itu.

Bagaimanapun, Mourad berkata Algeria akan mengiktiraf pemimpin baru Libya sebaik mereka menubuhkan kerajaan.

Algeria adalah satu-satunya jiran Libya di Afrika Utara yang belum mengiktiraf NTC yang mengambil alih ibu negara Tripoli dan beberapa bahagian di negara itu mengakhiri pemerintahan selama 42 tahun Gaddafi.

Sementara itu, NTC juga mendedahkan bahawa Perlembagaan baru Libya akan siap lapan bulan sebelum pilihan raya umum diadakan awal 2013.

“Kami sudah ada pelan masa depan dengan waktu peralihan kepada pembentukan kerajaan baru selama 20 bulan,” kata jurucakap NTC, Guma al-Gamaty, kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Di Paris, pemimpin dunia mengumumkan pemulangan AS$15 bilion (RM45 bilion) kepada NTC selepas menamatkan pembekuan aset Libya di luar negara bagi membina semula negara Afrika Utara itu. – Agensi 

Mercun meletup di muka


SAKIT...Ezzwan terlantar di hospital, semalam.
SAKIT...Ezzwan terlantar di hospital, semalam.

KUCHING: Tindakan seorang remaja singgah melihat sekumpulan rakannya bermain mercun ketika dalam perjalanan ke kedai runcit berdekatan rumahnya di Kampung Tabuan Melayu di sini, mengundang padah apabila dia kini mungkin hilang penglihatan sebelah mata akibat terkena letupan mercun bola.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam menjelang 1 Syawal itu, Ezzwan Yuswan Jemat, 18, ke kedai runcit milik keluarga yang terletak tidak jauh dari rumahnya untuk mengambil barangan bagi persiapan Aidilfitri. Menurut ibu mangsa, Rosnah Umar, 57, anak bongsu daripada empat beradiknya itu singgah melihat sekumpulan rakannya bermain mercun ketika dalam perjalanan ke kedai.

Difahamkan ketika itu seorang rakan anaknya membakar mercun bola, namun tidak meletup dan Ezzwan membongkokkan badan untuk melihat mercun berkenaan sambil menyuluh menggunakan lampu telefon bimbitnya.

“Tiba-tiba mercun bola berkenaan meletup dan percikan api terkena seluruh muka serta mata kanannya menyebabkan anak saya meraung kesakitan. “Mujurlah beberapa penduduk kampung yang melihat kejadian itu terus membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, semalam.

Menurut Rosnah, hasil pemeriksaan doktor mendapat kornea mata kanan anaknya mengalami kerosakan dan berkemungkinan menyebabkan penglihatannya terjejas atau lebih teruk lagi boleh mengakibatkan buta.

“Namun perkara itu belum dapat disahkan 100 peratus kerana doktor masih merawat kecederaan itu. Mujurlah kecederaan mata kiri anak saya tidak terlalu teruk kerana dia masih boleh melihat walapun penglihatannya agak kabur,” katanya.


Katanya, berikutan insiden itu, sambutan Aidilfitri keluarganya tidak meriah berbanding sebelumnya kerana terpaksa menjaga Ezzwan yang kini masih dirawat di hospital.

Serang hendap


IMBAS...Noramfaizul (dalam bulatan) bergambar bersama rombongan bantuan kemanusiaan dari Malaysia sebelum berlepas ke Somalia.
IMBAS...Noramfaizul (dalam bulatan) bergambar bersama rombongan bantuan kemanusiaan dari Malaysia sebelum berlepas ke Somalia.

MOGADISHU: Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, terbunuh selepas ditembak ketika membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) di sini, malam tadi.
Allahyarham meninggal dunia jam 11.15 malam tadi (jam 6.15 petang di Somalia) iaitu kira-kira sejam selepas terkena tembakan curi dipercayai dilepaskan kumpulan pemberontak.
Dalam kejadian serang hendap itu, seorang jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan turut dilaporkan cedera di tangan terkena tembakan yang dipercayai dilepaskan secara rambang.

Wartawan Harian Metro, Mohamad Apendy Issahak ketika dihubungi di Mogadishu lewat malam tadi memberitahu, ketika kejadian kira-kira jam 5.15 petang waktu tempatan, Allahyarham bersama petugas media Malaysia sedang dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan di sini selepas melawat kem penempatan dalaman (IDPs) Waveri, dekat sini.


Seramai 53 lagi anggota misi bantuan kemanusiaan dari Malaysia termasuk petugas media bagaimanapun terselamat dalam serangan itu dan mereka kini dalam proses pemindahan ke lokasi selamat.
Ketika kejadian kedua-dua mangsa berada dalam kenderaan yang sedang menuju ke hotel.
Sementara itu, wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata, kejadian itu berlaku ketika Noramfaizul bersama rakan media elektronik yang sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersial untuk menghantar laporan berita apabila terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi paru-parunya.

Mangsa yang dibawa masuk ke dalam hotel sejurus selepas kejadian, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 11.07 malam waktu Malaysia.

Khairulanuar berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media Malaysia, tetapi tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.

Misi berkenaan yang berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dijangka pulang pada 8 September ini.

Wartawan Astro Awani Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam tadi memberitahu Aji Saregar cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada kira-kira 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) ketika mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.

"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh ke belakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat," katanya.

Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua anak lelaki, Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mentuanya di Serdang Raya, dekat sini, terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.

Norazrina berkata sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.

"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya," kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Tan berkata mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada kira-kira 5.30 pagi waktu tempatan hari ini.

Beliau berkata, ketua misi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi, hari ini.

Jurukamera BERNAMATV maut, wartawan TV3 cedera akibat peluru sesat


IBU Jurukamera BERNAMATV, Noramfaizul Mohd Nor (gambar kecil), Naemah Abdul Majid ditenangkan ahli keluarga selepas mengetahui anaknya meninggal dunia terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia di rumahnya di Taman Serdang Jaya di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto BERNAMA, bharian


KUALA LUMPUR: Jurukamera BERNAMATV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, petang ini waktu tempatan.

Manakala wartawan TV3, Aji Saregar Mazlan cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru, menurut wartawan ASTRO Awani, Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam ini.
Beliau berkata kejadian itu berlaku pada jam 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) semasa mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.
"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak  menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh kebelakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat," katanya.

Sementara itu, wartawan BERNAMATV, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata tembakan peluru sesat utu mengenai bahu Noramfaizul dan menembusi parunya, dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada jam 6.10 petang waktu tempatan.

Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua orang anak lelaki Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3.

Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mertuanya di Serdang Raya dekat sini, melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham.
Norazrina berkata sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham sudah berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik.

"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara, dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya," kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di sini.

Dalam pada itu, Tan berkata mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada jam 5.30 pagi waktu tempatan esok.

Beliau berkata ketua misi, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi esok.

Misi tersebut berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dalam misi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia. - BERNAMA 

Warga kota mula kembali


KEADAAN trafik lebuh raya PLUS di susur Sungai Buloh menghala ke Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur mula sesak dengan kenderaan petang semalam.

KUALA LUMPUR – Kenderaan yang masuk ke ibu negara dari arah selatan, utara dan timur mula bertambah menyebabkan trafik bergerak perlahan di beberapa lebuh raya petang semalam.
Twitter PLUS Express- ways Berhad (PLUS) melaporkan kenderaan semakin bertambah bermula pukul 2 petang di Kilometer 226 hingga Kilometer 230.5 arah selatan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar, Perak.
Sementara laluan dari Plaza Tol Juru menuju ke arah Kuala Lumpur juga sesak manakala dari Yong Peng menuju ke Pagoh, Johor sesak berikutan satu kemalangan di Kilometer 101.9 arah utara.
Petugas Pusat Kawalan PLUS trafik berkata, jumlah kenderaan di lebuh raya itu juga bertambah dari Kawasan Rehat Seremban menuju ke Nilai, dari Kawasan Rehat Sungai Perak menuju ke Terowong Menora dan sesak dari Bidor ke Slim River, Perak.
“Bagaimanapun trafik masih bergerak lancar di plaza tol utama iaitu Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Jalan Duta,” katanya.
Warga kota dijangka pulang ke ibu negara selepas bercuti menyambut Hari Raya Aidilfitri bermula petang semalam, hari ini dan Ahad.

Pemandu teksi asing cetus masalah


PERBUATAN warga asing meminjamkan teksi kepada rakan yang tiada permit boleh menjejaskan imej perkhidmatan teksi negara di mata pelancong. – Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Masalah yang melibatkan teksi yang dipandu warga asing didakwa kian meruncing apabila kira-kira 7,200 pemandu di sekitar Lembah Klang terdiri daripada golongan berkenaan.
Jumlah tersebut mewakili 20 peratus daripada kira-kira 36,000 pemandu teksi di seluruh Lembah Klang.
Timbalan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/ Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Mohd. Syahrir Abdul Aziz berkata, walaupun pihaknya percaya majoriti pemandu teksi warga asing itu berstatus Penduduk Tetap (PR) dan memiliki permit, mereka mungkin memajak atau meminjamkan teksi kepada rakan senegara yang tiada permit untuk mencari duit poket.
“Kita bukan sahaja bercakap pasal perbezaan budaya serta imej negara tetapi juga soal keselamatan menaiki teksi yang dibawa oleh pemandu haram.
“Apabila ada segelintir dalam kalangan mereka yang membuat masalah, tempiasnya terkena kepada semua pemandu teksi yang lain,’’ katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Jelasnya, amalan meminjamkan teksi kepada rakan itu mendorong sesebuah syarikat teksi mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana teksi tersebut beroperasi selama 24 jam sehari, berbeza daripada 12 jam yang disarankan kepada pemandu teksi warga tempatan.

Masih menunggu kepulangan Sharlinie


MOHD. NASHAR dan Suraya membelek baju raya Sharlinie yang masih disimpan di Kampung Padang Pulut, Dungun baru-baru ini.

DUNGUN – “Kalaulah Sharlinie ada, dia pasti seronok menyambut Aidilfitri bersama kami sekeluarga.’’ Begitulah rintihan Mohd. Nashar Mat Hussein, 32, yang masih menaruh harapan untuk menemui semula anak ketiganya itu yang hilang sejak 9 Januari 2008.
Katanya, naluri seorang bapa dalam dirinya tetap merasakan kanak-kanak itu yang kini sepatutnya berusia lapan tahun masih hidup.
Malah, baju raya yang dibeli untuk Sharlinie pada tahun 2008 dan 2009 masih disimpan rapi.
Mohd. Nashar yakin bahawa suatu hari nanti Sharlinie akan ditemui semula.
Menurut Mohd. Nashar, dia dan isterinya, Suraya Ahmad, 31, masih diulit rasa sebak setiap kali melihat wajah anaknya terpampang di mana-mana.
“Saya sudah berhenti mencarinya sebab saya sudah tidak tahu ke mana lagi harus mencarinya. Tetapi, kami yakin Sharlinie masih hidup,” kata Mohd. Nashar ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Pulut dekat sini baru-baru ini.KOSMO

Jolie belanja RM6,253 dalam tempoh 15 minit


ANGELINA JOLIE membeli pakaian untuk Shiloh (dua dari kanan) dan Zahara (kanan) di King’s Road, London baru-baru ini.

LONDON – Pelakon terkenal, Angelina Jolie menghabiskan wang sebanyak £1,300 (RM6,253) dalam tempoh 15 minit di kedai French Connection, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia membeli-belah bersama dengan anak-anaknya iaitu Shiloh, 5, dan Zahara, 6, di kedai tersebut yang terletak di King’s Road di sini.
Pelakon itu membeli-belah ketika kekasihnya, Brad Pitt menjalani penggambaran filem terbaharunya dekat London.
Dia membeli pelbagai pakaian untuk kedua-dua anaknya itu baru-baru ini.
“Jolie benar-benar seorang yang mesra,” kata seorang pelanggan yang melihat gelagat aktres tersebut.
Menurutnya, pelakon itu menandatangani autograf untuk beberapa wanita di kedai tersebut.
“Dia bertegas tidak membenarkan kakitangannya untuk membantunya membawa beg beli-belah ke keretanya,” tambahnya.
Pelanggan itu menyatakan, dia gembira untuk bercakap dengan orang ramai dan menandatangani autograf.
“Saya berada di kedai tersebut dan tidak percaya apabila saya melihat dia membelanjakan £1,300 dalam tempoh yang singkat,” katanya. – Agensi, KOSMO

Libya ada Presiden baharu dalam tempoh 20 bulan


SEORANG anggota penentang Muammar Gaddafi mengawal satu pusat pemeriksaan dekat sebuah lapangan terbang di Tripoli kelmarin.

LONDON – Libya akan mempunyai Presiden baharu bagi mentadbir negara itu selepas pilihan raya Presiden dan parlimen diadakan pada awal 2013.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang wakil Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang kini sebuah badan yang mentadbir Libya setelah rejim Muammar Gaddafi tumbang.
“Kita mempunyai pelan jalan yang jelas, satu era peralihan kira-kira 20 bulan,” kata wakil NTC itu, Guma al-Gamaty kepada stesen penyiaran BBC di Britain.
Menurutnya, proses peralihan kuasa sedang berjalan dan pihak kepimpinan NTC akan menyelesaikan perpindahan mereka ke Tripoli dalam tempoh beberapa hari.
Dia berkata, satu majlis akan ditugaskan untuk merangka perlembagaan Libya sebelum pilihan raya tersebut diadakan.
Sementara itu, para pemimpin sementara Libya mendesak supaya pengikut-pengikut Gaddafi supaya meninggalkan Tripoli dan pulang ke kampung masing-masing.
Kenyataan itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Ahmed Darrad semalam.
“Tripoli kini bebas dan setiap orang perlu meninggalkan bandar ini dan kembali ke bandar mereka,” katanya.
Menurutnya, bermula hari ini, terdapat sejumlah anggota keselamatan yang akan bertugas semula.
Pergolakan di Libya bermula sejak Februari lalu apabila para pemberontak melancarkan serangan menentang kepimpinan Gaddafi yang sudah memerintah selama 42 tahun.
Rejim Gaddafi tumbang pada minggu lalu dan sehingga kini pemimpin tersebut masih bersembunyi manakala terdapat sejumlah pengikutnya yang masih melakukan serangan ke atas para pemberontak yang kini menguasai negara tersebut.
– Agensi, kosmo

Filem Bodyguard pecah rekod box-office

MUMBAI – Filem terbaharu Bollywood, Bodyguard berjaya memecahkan rekod box-office semasa ditayangkan selama dua hari, kata kata penganalisis industri hiburan semalam.
Filem itu menampilkan Salman Khan sebagai pengawal peribadi untuk aktres Kareena Kapoor.
Menurut seorang penganalisis, Taran Adarsh di laman bollywoodhungama.com, filem tersebut memecahkan rekod filem lain dalam sejarah filem Hindi.
Dia berkata, filem itu memperoleh 215 juta rupee (RM13.92 juta) pada Rabu lalu dan 183 juta rupee (RM11.84 juta) kelmarin.
Menurutnya, filem tersebut memperoleh jumlah kutipan keseluruhan 398 juta rupee (RM25.76 juta).
Berdasarkan laman boxofficeindia.com, filem Dabangg pada tahun lalu memperoleh kutipan sebanyak 193.4 juta rupee (RM12.52 juta) pada hari pertama tayangannya. – Agensi

Kabinet baharu Jepun dipenuhi golongan muda

TOKYO – Perdana Menteri baharu Jepun, Yoshihiko Noda semalam mengumumkan barisan Kabinetnya yang dipenuhi dengan golongan muda.
Beliau dilantik menjadi Perdana Menteri selepas Naoto Kan meletakkan jawatan.
Kan meletakkan jawatan setelah 14 bulan mentadbir ekoran kritikan terhadap cara beliau menangani krisis bencana alam tsunami yang berlaku pada 11 Mac lalu.
Perdana Menteri baharu itu mengisi Kementerian Luar dan Kewangan dengan dua menteri yang berusia 40-an.
Umur itu dianggap muda dalam dunia politik Jepun.
Menteri Kewangan dipegang oleh Jun Azumi berusia 49 tahun sekali gus menangkis ramalan Parti Demokratik yang dianggotainya bahawa Noda akan melantik seorang anggota politik veteran untuk berdepan dengan masalah hutang negara.
Azumi merupakan seorang wartawan dengan stesen televisyen NHK sebelum beliau menyertai politik.
Jawatan Menteri Luar dipegang oleh Koichiro Gemba yang berusia 47 tahun.
Beliau sebelum ini merupakan Menteri Negara yang mengendalikan hal ehwal strategi kebangsaan.
Motohisa Furukawa yang berusia 45 tahun memegang jawatan Menteri Strategi Kebangsaan dan Menteri Ekonomi dan Dasar Fiskal.
Menteri Alam Sekitar diisi oleh Goshi Hosono yang berusia 40 tahun.
Seorang wanita berusia 43 tahun, Renho dilantik sebagai Menteri Negara yang mengendalikan hal ehwal pentadbiran.
Yoko Komiyama yang berusia 63 tahun dan juga seorang wanita dipilih menjadi Menteri Kesihatan.
Beliau merupakan bekas kakitangan penyiaran stesen televisyen NHK. – Agensi, kosmo

Amah cuti Aidilfitri peningkan majikan Indonesia

JAKARTA – Ramai keluarga di Indonesia merungut kerana amah mereka bercuti panjang selama dua minggu bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Ramai amah itu pulang ke kampung masing-masing untuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bermula pada Rabu lalu.
Seorang wanita yang bekerja sebagai setiausaha, Tuti Rachmawati, 34, menyatakan suami dan dua anaknya yang kecil kini jarang berada di rumah kerana ketiadaan amah.
Menurutnya, mereka kini makan di restoran di gedung beli-belah di sini.
Dia berkata, lantai rumahnya kotor kerana tidak dilap manaka pakaian kotor bertimbun tanpa dibasuh.
“Makan di restoran bermakna saya tidak perlu membasuh pinggan,” katanya.
Kebanyakan resort juga mengalami kekurangan pekerja ekoran cuti Hari Raya Aidilfitri.
Seorang pengusaha agensi pekerja yang membekalkan amah, Susilowati berkata, ramai pihak yang menghubunginya untuk mendapatkan amah sementara.
Namun, katanya, tidak ada amah yang sanggup untuk menukarkan cuti mereka dengan gaji sebanyak 100,000 rupiah (RM34.76) sehari semasa cuti Hari Raya Aidilfitri.
Ramai amah tetap di Indonesia dibayar semurah 500,000 rupiah (RM173.81) sebulan. – Dpa, kosmo

Kapal terbaharu Tentera Laut Diraja Britain


KAPAL terbaharu Tentera Laut Diraja Britain belayar ke Portsmouth kelmarin.

LONDON – Sebuah kapal Tentera Laut Diraja Britain belayar ke Portsmouth kelmarin dengan menggunakan teknologi terbaharu, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Kapal HMS Dragon itu dilengkapi dengan sistem pertahanan peluru berpandu selain mampu menangkis serangan jet-jet pejuang.
Ia kini ditempatkan di sebuah pangkalan di Portsmouth.
Kapal itu dilancarkan pada November 2008 dari Dermaga Govan di Scotland.
Sejak itu, kapal tersebut melakukan satu siri ujian di perairan Scotland.
Kapal itu yang berada dalam kelas pemusnah 45 memiliki panjang 152 meter dengan kelajuan maksimum 27 knots serta 190 kru selain berat 7,500 tan.
Ia yang dibina oleh syarikat BAE Systems mempunyai kemampuan untuk menentang ancaman terbesar daripada jet-jet pejuang dan peluru berpandu.
Kapal itu kini sudah diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Britain.
– Agensi, kosmo

Terowong dijadikan tempat berlumba kereta mewah


TEROWONG Hindhead di Surrey, England menjadi tumpuan golongan muda memandu laju dengan menggunakan kereta sport mewah.

HINDHEAD – Sebuah terowong sejauh 2.09 kilometer di selatan England di sini menjadi tumpuan golongan muda untuk memandu kereta sport mewah pada kelajuan tinggi, lapor sebuah akhbar semalam.
Golongan muda itu memandu kereta Lamborghini, Ferrari dan Aston Martin untuk mencipta rekod mereka sendiri semasa memandu laju di terowong tersebut.
Terowong itu bernilai £370 juta (RM1.7 bilion) dan ia digunakan untuk kereta dan lori yang bergerak di antara London dengan kawasan Pantai Selatan.
Beberapa laporan menyatakan bahawa terdapat beberapa kereta yang dipandu dengan laju dan membelok di sekitar bulatan dekat sebuah sekolah rendah.
Aksi pemandu kereta itu boleh ditonton di laman YouTube., kosmo
Terowong itu dibuka pada 29 Julai lalu.
Seorang penduduk, William Broadhurst, 66, yang tinggal beberapa meter dari terowong itu menyatakan perbuatan pemandu yang tidak bertimbang rasa telah menyebabkan penduduk sukar tidur pada waktu malam.
Dia bimbang kematian akan berlaku di terowong tersebut ekoran tindakan para pemandu berkenaan. – Agensi, kosmo

Menara untuk pengunjung tak takut gayat


BEBERAPA orang berdiri di atas lantai kaca di Menara Blackpool, Britain baru-baru ini.

BLACKPOOL, Britain – Sebuah menara berusia 118 tahun diubah suai apabila kaca diletakkan di lantai untuk membolehkan para pengunjung melihat pemandangan bangunan di bawah mereka, lapor sebuah akhbar semalam.
Menara Blackpool itu mempunyai ruang yang dikenali sebagai Skywalk pada ketinggian 115.82 meter.
Para pengunjung perlu menaiki lif untuk tiba di lantai seberat 4.15 tan.
Kaca itu turut diletakkan di bahagian bumbung. – Agensi, kosmo

Dua beradik dicari kes tembak lembu


KAMARUZZAMAN menunjukkan gambar Suhaimi dan adiknya, Mustaki yang dicari pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

KUANTAN – Dua beradik dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung kes menembak mati dua ekor lembu yang dipercayai cuba dicuri di Kampung Tanjung Putus dekat Bukit Rangin di sini kelmarin.
Dua beradik berkenaan ialah Suhaimi Mat Yaacob, 47, yang beralamat di Kampung Cherang Hangus Bekelam, Bachok, Kelantan manakala adiknya, Mustaki Mat Yaacob, 44, dari Kampung Bugis dekat Beserah, Kuantan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, kedua-dua beradik itu dicari selepas polis menerima satu aduan daripada penternak lembu berusia 25 tahun yang memaklumkan dua ekor haiwan ternakannya ditembak mati sebelum disyaki cuba dicuri.
“Kejadian itu berlaku pada pukul 1.30 pagi semalam (kelmarin) dan kebetulan pengadu berada di tempat peliharaan lembunya bagi menghalau kira-kira 25 haiwan yang dilepaskan supaya masuk semula ke kandang.
“Tiba-tiba pengadu mendakwa dia ternampak seekor lembunya telah rebah sebelum dikejutkan pula dengan bunyi satu das tembakan yang disusuli seekor lagi lembunya rebah,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Menurut beliau, pengadu kemudian ternampak dua buah kereta Proton Satria berada di kawasan ladang ternakan lembu miliknya menyebabkan pengadu mengejar kedua-dua buah kereta tersebut.
Pengadu mengejar kereta Proton Satria itu dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda. Turut menemani abang pengadu.
Selepas dikejar kira-kira dua kilometer, salah sebuah daripada kereta Proton Satria itu tiba-tiba mengalami kerosakan.
Kereta tersebut kemudian terbabas ke dalam longkang.
Sebuah lagi kenderaan tidak menghiraukan kereta Proton Satria yang terbabas itu dan terus memecut laju.
“Pengadu kemudian melihat dua lelaki keluar dari kereta tersebut dan melarikan diri meninggalkan keretanya,” kata beliau.kosmo

Polis sembunyi dalam belukar untuk tangkap pemandu laju


GAMBAR dalam bulatan menunjukkan lokasi persembunyian anggota-anggota polis di Dollar, Scotland pada 17 Ogos lalu.

DOLLAR, Scotland – Beberapa anggota polis bersembunyi di dalam belukar di sini untuk menahan pemandu yang memandu kereta dengan laju, lapor sebuah akhbar semalam.
Taktik itu tidak menyalahi undang-undang kerana mereka tidak menggunakan alat pengesan kelajuan yang perlu dilihat orang ramai.
Anggota-anggota polis itu akan menahan kereta yang dipandu laju dengan serta-merta di lokasi tersebut.
Perbuatan anggota-anggota polis itu dirakamkan oleh seorang penduduk tempatan, Mike Day.
Namun, beberapa pengkritik berkata, tindakan polis itu akan menyebabkan pemandu menekan brek dengan tiba-tiba kerana mereka melihat anggota-anggota polis tersebut keluar dari belukar.
– Agensi, kosmo

Tulang kuda, pedati 3,000 tahun ditemui



LIMA pedati kayu dan 12 rangka tulang kuda ditemui di dalam sebuah makam di Luoyang, China.

LUOYANG, China – Beberapa ahli arkeologi telah menemui rangka tulang kuda dan pedati kayu di sebuah makam Dinasti Zhou di sini, lapor sebuah akhbar semalam. Usia rangka tulang kuda dan pedati itu dipercayai hampir 3,000 tahun.
Sebanyak lima pedati kayu dan 12 rangka tulang ditemui di dalam makam tersebut.
Ahli-ahli arkeologi percaya makam itu milik seorang pegawai terkenal pada zaman itu. – Agensi,kosmo