Pages

Tuesday, November 13, 2012

Serangan di sempadan Turki

Asap tebal memenuhi ruang udara di bandar Ras al-Ain dekat sempadan Turki selepas dibom tentera Syria dapat dilihat dari bandar Ceylanpinar, wilayah Sanliurfa di Turki, semalam. - REUTERS
CEYLANPINAR, Turki 12 Nov. - Sebuah pesawat perang Syria, hari ini mengebom kubu pemberontak di Ras al-Ain, yang terletak beberapa meter dari sempadan Turki, menyebabkan 16 orang maut dan sejumlah besar rakyat Syria melarikan diri ke negara jiran itu.
Helikopter bersenjata turut menyerang sasaran berdekatan bandar itu yang jatuh ke tangan pemberontak pada Khamis lalu.
Jet itu menyerang hanya beberapa meter dari pintu sempadan yang memisahkan Ras al-Ain dari kem pelarian Turki di Ceylanpinar, menyaksikan asap tebal menyelubungi kawasan tersebut.
Wartawan Reuters di Ceylanpinar melaporkan pesawat itu terbang di sekitar sempadan dan pada satu ketika memasuki ruang udara Turki.
Tidak dapat dipastikan sasaran bom tersebut, namun sejumlah penduduk awam melarikan diri dari kawasan itu dan memanjat pagar sempadan memasuki Turki.
Kira-kira 9,000 rakyat Syria tiba di Turki dalam tempoh 24 jam pada minggu lepas, meningkatkan jumlah pelarian Syria berdaftar kepada 120,000 orang, keadaan yang membimbangkan Ankara ekoran ketibaan musim sejuk. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121113/lu_01/Serangan-di-sempadan-Turki#ixzz2CB3rLu4h
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Artifak emas abad ketiga Sebelum Masihi ditemui




REUTERS
MAHKOTA emas yang ditemui di sebuah makam dekat Kampung Sveshtari, Bulgaria pada Khamis lalu.


SOFIA - Sejumlah artifak emas pada abad ketiga Sebelum Masihi dipamerkan oleh pihak Muzium Arkeologi Bulgaria di sini kelmarin.
Antara artifak yang ditemui itu ialah patung emas berbentuk muka kuda, cincin, mahkota dan gelang emas.
Sekumpulan ahli arkeologi menemui artifak itu semasa melakukan kerja-kerja penggalian di sebuah makam dekat Kampung Sveshtari di utara negara ini pada Khamis lalu.
Artifak tersebut milik suku kaum Thrace, Getae pada akhir abad keempat atau permulaan abad ketiga Sebelum Masihi.
Menurut ketua pasukan arkeologi itu, Diana Gergova, makam tersebut mungkin mempunyai kaitan dengan pemerintah Getae, Cothelas.
Dia berkata, ia kemungkinan ditanam pada satu majlis pengebumian. - Agensi

Zionis sahkan serangan balas ke atas Syria



DUA buah kereta kebal tentera Israel mengawal
Bukit Golan dekat Kampung Bariqa, Syria semalam.
BAITULMUQADDIS - Tentera Israel semalam melancarkan serangan balas ke atas Syria sebagai respons terhadap serangan mortar di Bukit Golan, kata satu sumber tentera.
"Sebelum ini, serangan mortar mengenai sebuah kawasan di pekarangan pos tentera Israel di Bukit Golan yang disebabkan oleh konflik dalaman Syria," kata sumber tentera tersebut.
Menurutnya, askar-askar tentera Israel melancarkan bedilan meriam kereta kebal.
Sumber tersebut menyatakan bedilan tersebut dihalakan ke arah lokasi bedilan mortar tersebut dilancarkan.
Tentera Israel turut memberi amaran bahawa jika tentera Syria terus melancarkan serangan, pihaknya akan melancarkan serangan yang lebih besar.
"Bedilan dari Syria ke Israel tidak akan dikompromi," kata satu kenyataan daripada tentera Israel. - AFP

Israel ancam serangan besar-besaran di Gaza



BEBERAPA anggota polis memeriksa sebuah rumah yang mengalami kerosakan akibat serangan roket para pejuang Palestin di bandar Netivot, Israel semalam.



BAITULMUQADDIS - Beberapa pegawai Israel semalam mengancam untuk melancarkan serangan besar-besaran di Gaza semalam.
Ancaman itu dibuat selepas 24 jam para pejuang Palestin melancarkan serangan roket ke wilayah Israel.
Serangan tersebut menyebabkan beberapa pemimpin Israel termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberi amaran bahawa negaranya bersedia untuk meningkatkan serangan balas.
Menteri Pertahanan, Ehud Barak menyatakan para pemimpin pergerakan Hamas akan menerima padah ekoran serangan roket itu.
Seorang pegawai kanan Israel mengesahkan bahawa Netanyahu mengadakan mesyuarat bagi melakukan persediaan untuk kemungkinan satu tindakan yang keras akan dilakukan untuk melindungi penduduk Israel.
Para pejuang Gaza melancarkan 110 roket ke selatan Israel sejak Sabtu lalu.
Salah satu serangan itu mengenai pekarangan sebuah rumah di bandar Netivot.
Tiada sebarang laporan tentang kecederaan dilaporkan ekoran serangan tersebut.
Sehari sebelum itu, jet-jet pejuang Israel melancarkan serangan di tiga buah lokasi di Gaza.
Beberapa pegawai Israel turut menyatakan serangan balas yang lebih hebat perlu dilancarkan.
Bekas ketua tentera negara itu, Dan Halutz mencadangkan beberapa aset milik pergerakan Hamas perlu diserang sebelum operasi ketenteraan dilancarkan tentera Israel.
Menurut seorang bekas penasihat keselamatan Israel, Giora Eiland, import barangan dan bekalan elektrik ke Gaza perlu dipotong. - Agensi