Pages

Wednesday, August 24, 2011

Ibu dituduh bunuh bayi sendiri



MARSUZANA Che Muda (dua dari kiri) dihadapkan ke Mahkamah Kota Bharu, Kelantan, semalam.


KOTA BHARU 23 Ogos - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan membunuh bayi perempuannya yang berusia tujuh bulan pada hujung tahun lalu.
Marsuzana Che Muda, 32, didakwa membunuh Alia Miazara Mohd. Azim di rumahnya di Kampung Gaal Tengah, Pasir Puteh di sini antara pukul 4.30 pagi dan 5.30 pagi, 12 Disember lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin sementara peguam bela, Mohd. Zawahid Ya dan Nor Erini Mustafa Kamal mewakili Marsuzana.
Hakim Azman Abdullah menetapkan 16 Oktober untuk perbicaraan terhadap wanita tersebut yang tidak dibenarkan ikat jamin kerana pertuduhan melibatkan hukuman mati.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang wanita telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung kematian bayi perempuannya setelah tidak sedarkan diri dalam pangkuannya.
Kejadian itu disedari bapa wanita berkenaan, Che Muda Salleh, 60, yang tiba-tiba mendengar jeritan anaknya itu semasa di rumahnya, kira-kira pukul 6 pagi.
Bayi malang itu kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.-utusan

Aktor lagak ngeri maut




Green berdiri di atas sebuah pesawat ringan ketika membuat percubaan untuk berpaut ke atas sebuah helikopter yang berada di atasnya dalam satu aksi lagak ngeri semasa pertunjukan udara di Selfridge, dekat Detroit pada 21 Ogos lalu. – REUTERS


DETROIT 23 Ogos – Seorang pelakon lagak ngeri veteran Amerika Syarikat (AS), maut selepas terjatuh semasa melakukan pertunjukan udara, ketika penonton menyangka kemalangan itu sebahagian daripada aksinya.
Todd Green, 48, jatuh daripada ketinggian 61 meter dan kemalangan itu berlaku kerana kesilapan ketika melakukan aksi dalam pertunjukan udara.
Beberapa keping gambar aksi mengerikan itu menunjukkan Green yang merupakan bapa kepada dua orang anak, cuba berpaut pada sebuah helikopter yang berlegar-legar di atas sebuah pesawat ringan, sebagai sebahagian daripada aksi lagak ngeri itu.
Pegawai pertunjukan udara berkata, Green, cuba berpaut pada helikopter jenis Stearman di Pangkalan Udara Pengawal Kebangsaan di Harrison Township, melalui dua percubaan, dan dia terjatuh semasa percubaan kali ketiga.
Sebaik-baik sahaja Green mencapai besi pendaratan helikopter terbabit, dia tergelincir dan terjatuh, sekali gus menyebabkan dia maut.
Kebanyakan 75,000 penonton yang hadir pada pertunjukan udara itu di Selfrigde, dekat Detroit, Michigan, menyangka babak ngeri itu merupakan sebahagian pertunjukan terbabit dengan sebuah patung dibuang ke tanah.
Bagaimanapun, penonton mula menyedari ‘aksi tersebut’ merupakan satu kemalangan apabila melihat krew bantuan kecemasan bergegas ke arah mangsa kemalangan itu yang mengalami kecederaan.
Sebuah ambulans membawa Green ke Pusat Perubatan Wilayah Mount Clemens, namun pelakon itu, meninggal dunia akibat kecederaan teruk.
Sejurus sebelum Green terjatuh, juruhebah memaklumkan kepada penonton bahawa keadaan angin boleh menyebabkan masalah dan mengingatkan mereka mengenai bahaya aksi yang bakal dilakukan oleh Green.
Green, berkecimpung dalam aksi lagak ngeri lebih 25 tahun dan merupakan anak kepada legenda aksi lagak ngeri AS, Eddie ‘The Grip’ Green, yang juga pernah beberapa kali melakukan aksi ngeri berpindah dari pesawat ke helikopter.
Kematian Green merupakan kejadian kali kedua membabitkan tragedi pertunjukan udara di AS selepas juruterbang lagak negeri, Bryan Jensen maut apabila pesawatnya terhempas semasa mengadakan pertunjukan udara di Kansas City. – AGENSI-utusan

Gaddafi masih di Tripoli

MOSCOW 24 Ogos – Presiden Persekutuan Catur Sedunia (FIDE), Kirsan Ilyumzhinov berkata, pemimpin Libya, Muammar Gaddafi memberitahunya menerusi telefon bahawa beliau masih berada di Tripoli.
Gaddafi memaklumkan bahawa beliau berada dalam keadaan baik dan tidak merancang untuk meninggalkan bandar itu, katanya.
Ilyumzhinov yang pernah melawat Libya dan bertemu Gaddafi pada Jun lalu ketika kempen pengeboman oleh Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sedang dijalankan berkata, anak lelaki sulung pemimpin itu, Mohammed Gaddafi, menghubunginya melalui telefon pada pukul 6 petang waktu tempatan semalam (10 malam tadi waktu Malaysia).
“Dia (Mohammed) menyerahkan telefon itu kepada bapanya (Gaddafi), dan Gaddafi kemudian memberitahu bahawa dia masih lagi berada di Tripoli, masih hidup dan sihat dan sudah bersiap sedia untuk berjuang sehingga ke akhir,” kata Ilyumzhinov kepada Reuters-utusan

Pemberontak tawan kubu Bab al-Aziziya

TRIPOLI 23 Ogos – Kumpulan pemberontak berjaya menawan kubu kuat pemimpin Libya di Bab al-Aziziya dan ibu pejabatnya di Tripoli hari ini selepas melakukan serangan bertubi-tubi, kata koresponden AFP.
Tentera bertahan di dalam kubu tersebut telah melarikan diri dan setakat ini tiada berita lokasi Muammar Gaddafi setelah pemberontak memecahkan pertahanan Gaddafi.
“Kumpulan pemberontak berjaya memecah masuk kawasan yang dikelilingi pagar simen.
“Mereka telah berjaya menawam Bab al-Aziziya sepenuhnya. Semuanya telah tamat,” kata koresponden tersebut.
Sebelum itu, jurucakap pemberontak, Kolonel Ahmed Omar Bani berkata, mereka telah mengepung Bab al-Aziziya.
“Berlaku pertempuran hebat di dalam kawasan itu. Kami kini menguasai pintu masuk barat kubu tersebut,” katanya.
Selama beberapa jam pertempuran di kawasan tengah Tripoli itu berlangsung, ia merupakan yang paling sengit dengan bunyi letupan paling kuat sejak kumpulan pemberontak tiba di sana tiga hari lalu.
Terdahulu AGENSI melaporkan, pertempuran antara pemberontak dan tentera kerajaan yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terus berlaku hari ini, kira-kira 80 kilometer di barat Tripoli, lapor pemberontak.
Ia tercetus di sekitar bandar al-Ajaylat, lokasi demonstrasi pro-Gaddafi diadakan baru-baru ini.
Tentera kerajaan terpaksa bertahan di beberapa kawasan di bandar ini, namun Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terus membedil kira-kira 40 sasaran di Tripoli dalam tempoh 48 jam, pengeboman paling dahsyat sejak kempen serangan udara bermula lebih lima bulan lalu.-utusan

Gaddafi diburu




Beberapa orang anggota kumpulan pemberontak bersiap sedia di pinggir Tripoli, untuk memasuki ibu negara Libya itu, kelmarin. – AP


TRIPOLI 23 Ogos – Pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak bagi menguasai ibu negara ini hari ini bertukar menjadi pemburuan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dengan kawasan yang dikuasai tentera kerajaan semakin berkurangan.
Lokasi pemimpin itu berada, masih tidak diketahui sehingga kini selepas beliau tidak lagi dilihat di khalayak ramai selama beberapa bulan.
Ucapannya kepada para penyokongnya, baru-baru ini juga dibuat hanya menggunakan panggilan telefon.
Seorang pegawai di Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Jeffrey Feltman berkata, Washington tidak tahu lokasi sebenar Gaddafi, tetapi jurucakap Pentagon, Kolonel Dave Lapan berkata, pegawai-pegawai AS percaya pemimpin Libya itu masih berada di Libya.
“Kami tidak mempunyai sebarang maklumat yang menyatakan beliau telah meninggalkan negara itu,” kata Lapan. – AGENSI, utusan

10 keluarga hilang tempat tinggal


Anggota bomba memadam sisa kebakaran yang memusnahkan tujuh buah rumah di Kampung Karamunting Baru, Sandakan awal pagi semalam.



SANDAKAN 23 Ogos - Sebanyak 10 buah keluarga tidak menyangka mereka bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dalam suasana sayu apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Karamunting Baru di sini awal pagi ini.
Kebakaran yang berlaku pukul 3 pagi itu memusnahkan tujuh buah rumah, sebuah kedai runcit, sebuah kereta dan sebuah motosikal.
Salah seorang mangsa, Osman Mansor, 37, berkata, dia yang sedang tidur ketika itu dikejutkan dengan bunyi letupan yang agak kuat sebelum mengejutkan isteri serta ahli keluarga lain.
Katanya, mereka sekeluarga bergegas keluar dari rumah apabila mendapati api marak di bahagian tengah rumah.
"Saya bersama bapa mertua serta beberapa anggota keluarga lain berjaya menyelamatkan dua buah kereta milik keluarga, tetapi sebuah kereta dan sebuah motosikal tidak dapat diselamatkan kerana api merebak pantas," katanya di sini hari ini.
Osman yang tidak sempat bersahur pagi tadi berkata, segala persiapan hari raya yang telah dibuat ahli keluarganya juga musnah dijilat api dan ia satu cubaan besar besar menjelang hari raya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa kebakaran, Talib Egasa, 80, berkata, sewaktu kejadian itu berlaku, dia bersama isterinya, Aishah Kulang, 38, sedang makan sahur.
"Saya serta isteri mendengar laungan kuat daripada orang ramai yang mengatakan ada kebakaran. Lalu saya dan isteri bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Sandakan, Jumishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 3.29 pagi dan sebanyak tiga buah jentera bomba bersama 15 anggota ditugaskan untuk memadam kebakaran tersebut.
"Api dapat dikawal dalam tempoh sejam dan padam sepenuhnya pada pukul 6.52 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian serta punca kebakaran masih disiasat," katanya.-utusan

Curi kerbau menjelang Aidilfitri


NAZRI Aman (berdiri) menunjukkan kepala kerbau yang dijumpai sekitar Kampung Belengu, kelmarin.




TEMERLOH 23 Ogos – Tiga rakan kongsi mengalami kerugian RM6,000 apabila tiga ekor kerbau milik mereka dicuri pada Sabtu lalu dipercayai untuk dijual dagingnya menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Salah seorang daripada mereka, Nazri Aman, 48, berkata, ini merupakan kali kedua kecurian ternakan ini berlaku dan kali pertama, seekor kerbau milik mereka dicuri kira-kira sebulan lalu.
Katanya, kehilangan tiga ekor kerbau ini disedarinya pagi Ahad lalu ketika dia hendak melepaskan ternakan itu keluar dari kandang kira-kira pukul 10 pagi.
“Saya tidak sedap hati apabila melihat pintu pagar terbuka dan dikopak. Tekaan saya tepat apabila selepas meninjau kira-kira 200 meter saya ternampak tali perut kerbau terburai bersama kepala,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Kampung Belengu dekat sini semalam.
Katanya, dia kesal kerana kerbau mereka itu dicuri dalam kandang menggunakan tembakan peluru hidup.
“Pada pukul 2 petang saya jumpa satu lagi kepala bersama perut dan saya tidak berpuas hati lalu membuat rondaan dan pada pukul 5 petang satu lagi kepala kerbau bersama perut dijumpai,” katanya.
Beliau percaya pencuri itu menggunakan senjata api tanpa lesen untuk menembak dan mencuri haiwan ternakannya.
Katanya, dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dan berharap polis dapat menangkap segera pencuri tersebut.-utusan

Gaddafi sedia berundur

ZAGREB: Bekas Presiden Croatia, Stipe Mesic, berkata Muammar Gaddafi bersedia untuk berundur daripada politik jika Nato menghentikan serangan ke atas Libya.
Dikenali sebagai rakan karib Gaddafi, Mesic berkata, pemimpin Libya itu memberitahunya mengenai hasrat bersara daripada politik baru-baru ini.

“Ia membuka ruang kepada sistem pelbagai parti, tetapi semuanya hanya boleh dilakukan apabila Nato menghentikan serangannya,” katanya.

Mesic berkata, dia menerima “mesej lisan” daripada Gaddafi minggu lalu dan memaklumkan mengenai hasrat itu kepada duta China, Russia dan Amerika Syarikat di Croatia. Gaddafi dan Mesic bersahabat sejak sekian lama. Pada 1970-an, Mesic pernah mengetuai sebuah syarikat Yugoslavia membina apartmen di Libya. - AFP
hmetro   

Bab al-Azizya kena gempur

TRIPOLI: Pemberontak semalam melancarkan serangan besar-besaran ke atas Bab al-Azizya yang menjadi kubu Muammar Gaddafi ketika anak lelaki pemimpin Libya itu muncul menafikan berita penahanannya.
Sebelum itu, pejuang pemberontak memberikan amaran awal untuk meningkatkan serangan dengan sokongan kereta kebal milik tentera yang mereka rampas.

Bunyi tembak-menembak kedengaran memuncak di tengah bandar raya Tripoli sejak pemberontak memasuki ibu negara Libya itu Ahad lalu.

Asap tebal pula kelihatan menjulang dari kompleks berkenaan.

Ketika bunyi tembakan senjata berat dan ringan memenuhi suasana, jet Nato pula melancarkan serangan lebih hebat berbanding beberapa hari lalu.

Bunyi peluru dan bom digugurkan dapat didengar sejauh dua kilometer.


Kumpulan pemberontak pula mundar-mandir di tengah kota menaiki lori dan kereta sejak mereka berjaya memasuki Tripoli dan menguasai stesen televisyen negara.

Walaupun begitu, di sebalik tanggapan bahawa Gaddafi kini hanya menunggu masa untuk tumbang, persoalan sejauh mana tentangan diberikan tentera yang setia kepadanya masih menjadi tanda tanya.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, menggesa peralihan kuasa di Libya dilakukan secara menyeluruh sambil menuntut Gaddafi menyerah kalah.

“Perjuangan pemberontak masih belum berakhir,” katanya.

Menteri Pertahanan Perancis, Gerard Longuet, berkata situasi konflik di Libya belum berakhir, malah ia masih jauh untuk dicapai.

Imej pemberontak tercalar teruk semalam selepas dakwaan mereka menahan Saif al-Islam dinafikan dengan kemunculan anak Gaddafi itu di khalayak ramai di luar Bab al-Azizya.

Kata Saif al-Islam, 39, Tripoli masih dalam kawalan kerajaan.

“Semua pihak tidak perlu bimbang kerana keadaan Tripoli terkawal.

“Saya berada di sini untuk menafikan pembohongan disebar pemberontak,” katanya.

Saif al-Islam juga mendakwa pemberontak mengalami kekalahan teruk apabila mereka melancarkan cubaan pertama menyerbu Bab al-Azizya.

Pemberontak juga menerima tamparan hebat apabila seorang lagi anak Gaddafi, Mohammed, meloloskan diri daripada tahanan rumah. - AFP, hmetro

Tentera Libya lancar Scud ke Misrata

RAIKAN KEJAYAAN...penduduk Libya berpesta berhampiran sebuah mahkamah di Benghazi apabila mendengar berita pemberontak memasuki Tripoli, semalam.
RAIKAN KEJAYAAN...penduduk Libya berpesta berhampiran sebuah mahkamah di Benghazi apabila mendengar berita pemberontak memasuki Tripoli, semalam.
BRUSSELS: Tentera yang masih setia kepada Muammar Gaddafi melancarkan peluru berpandu Scud ke arah Misrata ketika pertempuran sengit berlangsung di Tripoli kelmarin.
Pada awalnya, Nato berkata, tiga Scud dilancarkan tetapi pertubuhan itu mengesahkan hanya satu dilepaskan ke arah kubu kuat pemberontak itu.

Ketua jurucakap Nato, Oana Lungescu, berkata Scud itu dilancarkan dari kawasan Sirte.

“Peluru berpandu itu mendarat di laut atau pantai Misrata dan kami tidak mengetahui sebarang kerosakan atau kematian akibat Scud itu,” katanya.

Pada 15 Ogos lalu, Amerika Syarikat dan Nato mendakwa, tentera Gaddafi menggunakan peluru berpandu Scud untuk kali pertama sejak Libya diserang pertubuhan itu pada 19 Mac lalu.

Oana berkata, penggunaan peluru berpandu Scud menjadi ancaman kepada orang awam.


“Ia senjata ganas dan tindakan tentera Libya itu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Libya dianggarkan memiliki 240 peluru berpandu dalam simpanan.

Menurut majalah mingguan ketenteraan, Jane’s Defence Weekly, Scud B yang dimiliki Libya mampu mencapai sasaran kira-kira 300 kilometer. Sementara itu, pertempuran terus berlangsung di Tripoli.

Kata Oana, pertempuran masih terjadi di ibu negara Libya itu dan keadaan masih tidak menentu.

“Tentera Gaddafi mengalami kekalahan teruk tetapi mereka masih dianggap mampu memberi ancaman ketika ini,” katanya. - AFP, bharian

Pemberontak tawan kubu Gaddafi

TRIPOLI: Pemberontak menawan kubu kuat Muammar Gaddafi malam tadi tetapi tidak menemui pemimpin Libya atau anaknya.Tembakan dilepaskan di jalan raya Tripoli bagi menyambut kejayaan pemberontak membolosi tembok Bab al-Azizya di tengah ibu kota itu yang menyebabkan tentera Gaddafi melarikan diri. Bagaimanapun, tentera yang setia dengan Gaddafi masih bertahan di beberapa kawasan di bandaraya itu dan masih menguasai Hotel Rixos yang menjadi pusat wartawan, sekali gus mengalang mereka daripada meninggalkannya. Di Benghazi, jurucakap tentera, Kolonel Ahmed Omar Bani berkata tiada tanda-tanda Gaddafi dan keluarga di kawasan kubu itu. - AFP, bharian

Gempa bumi kuat gegar Pantai Timur Amerika

WASHINGTON: Gempa bumi kuat menggegarkan Pantai Timur Amerika Syarikat awal pagi tadi dan gegaran dirasai sehingga ke Kanada manakala ribuan pekerja pejabat di ibu negara bertempiaran lari ke jalan raya. 
Tiada sebarang laporan mengenai kerosakan besar atau kecederaan susulan gempa bumi 5.8 magnitud itu yang berpusat di Mineral, Virginia.

Ia adalah gempa bumi terkuat di Virginia sejak 1897 dan pada kedalaman agak cetek, sekali gus meningkatkan kekuatannya.
Dua reaktor nuklear di North Anna, Virginia, ditutup selepas loji berkenaan kehilangan kuasa elektrik tetapi syarikat pengendali menyatakan tiada kerosakan besar.

Reaktor itu akan terus ditutup sehingga boleh dihidupkan semula dengan selamat.

Pentagon, Rumah Putih dan US Capitol dikosongkan dan ribuan pekerja bergegas ke jalan raya apabila gempa bumi pada waktu makan tengah hari itu menyebabkan barangan di rak di pejabat jatuh ke lantai. - Reuters , bharian

Keselamatan mangsa culik terancam



Oleh Meor Hisham Zulkifli

2011/08/24

KUALA LUMPUR: Keluarga kepada Mohd Nazarrudin Saidin, yang sudah lebih tiga bulan ditahan kumpulan pemisah di selatan Filipina, amat khuatir dengan keselamatannya ekoran tindakan tentera Filipina melancarkan gerakan besar-besaran memburu kumpulan Abu Sayyaf sejak tiga minggu lalu. 

Adik Mohd Nazarrudin, Mohd Lukman, berkata laporan berita sejak beberapa minggu berhubung keganasan memuncak di selatan Filipina termasuk di Pulau Jolo, tempat abangnya disyaki disembunyikan, amat membimbangkan keluarganya.
“Emak semakin kerap sakit selepas Mohd Nazarrudin diculik, kini ditambah lagi dengan berita operasi tentera di sana,” katanya kepada Berita Harian semalam.
Mohd Nazarrudin diculik kumpulan 10 lelaki disyaki serpihan kumpulan Abu Sayyaf pada 8 Mei lalu ketika mengunjungi Pulau Jolo bagi mencari cicak tokek, haiwan yang dikatakan ditawarkan pada harga tinggi di pasaran gelap. 

Bapa enam anak itu yang berhenti kerja semata-mata memburu kekayaan sekelip mata, dilaporkan sakit ketika dalam tahanan, meningkatkan lagi kebimbangan terhadap keadaan dan keselamatannya. 

Berita Harian sebelum ini berjaya menyelamatkan rakan Mohd Nazarrudin yang bertindak selaku penterjemah beliau, Mohd Ghafar Akirulla, selepas warga tua itu dibiarkan sehelai sepinggang terkapai-kapai di Zamboanga dengan pasport dan wang tunainya turut dicuri. 

Laporan berita di Filipina sejak beberapa hari lalu turut mengesahkan operasi besar-besaran dilancarkan di Pulau Jolo selepas berapa tentera disembelih kumpulan Abu Sayyaf, serangan bom, beberapa pembunuhan bermotif politik, selain peningkatan kes penculikan termasuk yang terbaru membabitkan dua penjual kain terpakai diculik kelmarin. 
Lukman berkata, usahanya bersama keluarga menghubungi kumpulan yang menahan Mohd Nazarrudin menggunakan telefon bimbit turut gagal disebabkan pihak keselamatan mematikan talian ke menara pemancar telekomunikasi di kawasan itu. 

“Saya ada bercakap dengan penculik dan abang saya baru-baru ini tetapi terlalu sekejap. Kumpulan itu menyatakan mereka tidak dapat berhubung disebabkan masalah talian telefon,” katanya. 

Katanya, disebabkan masalah telekomunikasi itu, keluarganya mengharapkan bantuan pemimpin tempatan terutama Kesultanan Sulu bagi menjadi orang tengah menyalurkan maklumat kepada Mohd Nazarrudin. 

“Dalam keadaan sekarang, pasti sukar untuk sesiapa saja di sini tampil membantu. Masalah komunikasi perkara utama dan disebabkan itu, kami sekeluarga berharap Sultan Sulu yang dianggap lebih berpengaruh daripada pemimpin politik dan kerajaan, tampil membantu,” katanya. -kosmo

Dua beradik maut dirempuh kereta

KOTA BHARU: Seorang ibu hampir pengsan apabila melihat dua anaknya berusia enam dan sembilan tahun terbaring dengan berlumuran darah di jalan selepas selepas basikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Kampung Hujung Tanjong, Panchor, dekat Pengkalan Chepa, tengah hari semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari, Raja Zulkarnain Raja Azahan, 9, dan Raja Nur Elia, 6, yang membonceng basikal maut dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sering, di sini.
Ibu mangsa, Nurain Alia Abdullah, 35, yang ketika itu baru saja pulang dari bandar untuk mengambil wang zakat, bercadang untuk membeli pakaian Aidilfitri untuk dua anaknya itu semalam, tapi hajatnya itu tidak kesampaian.
“Saya bercadang untuk membeli baju Melayu dan baju kurung untuk mereka sebaik memperoleh wang zakat daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

“Malah, Raja Zulkarnain beberapa hari sebelum itu juga menyuruh membeli baju Melayu berwarna ungu,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), semalam.

“Saya tidak bermaya melihat keadaan mereka yang masih berpakaian sekolah dan berlumuran darah,” katanya

Difahamkan penduduk kampung ternampak sebuah kereta jenis PROTON yang dipandu dengan laju serta melanggar anaknya daripada arah belakang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat menghubungi bahagian trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 09-7752229 atau balai polis berdekatan. -kosmo

JPJ kenal pasti 13 ‘laluan maut’



Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

2011/08/24

JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengenal pasti sekurang-kurangnya 13 laluan sebagai ‘jalan maut’ di negeri ini yang perlu menjadi ingatan kepada semua pemandu untuk lebih berhati-hati ketika melaluinya, berikutan kekerapan berlaku kemalangan ngeri terutama menjelang cuti sekolah atau musim perayaan. 

Antara laluan itu Jalan Ulu Tiram-Kota Tinggi; Kota Tinggi-Pengerang; Johor Bahru-Skudai; Johor Bahru-Pontian; Kota Tinggi-Mersing-Endau; Mersing-Kluang; Skudai-Kulai-Simpang Renggam; Kulai-Kota Tinggi; Pontian-Batu Pahat-Muar; Batu Pahat-Ayer Hitam; Muar-Yong Peng; Muar-Batu Pahat dan Muar-Tangkak.
Pengarah JPJ negeri, Johari Yusof, berkata pihaknya akan meningkatkan pemantauan di semua laluan terbabit selain jalan biasa serta lebuh raya dalam usaha pencegahan kemalangan jalan raya.
“Pemantauan ini perlu untuk memastikan keselamatan pengguna ketika pulang bercuti meraikan Aidilfitri ini sentiasa selamat dan terhindar daripada kejadian yang tidak diingini. 

“Selain memberi tumpuan kepada jalan terbabit, semua anggota JPJ juga akan membuat rondaan di laluan yang mempunyai risiko berlakunya kemalangan jalan raya. 

“JPJ berharap semua pengguna jalan raya dapat mematuhi peraturan lalu lintas untuk mengelakkan kemalangan jalan raya dengan meningkatkan kesabaran, lebih berhemah dan berdisiplin ketika memandu kenderaan masing-masing, " katanya di sini, semalam. 

Johari berkata, kebanyakan kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu itu sendiri dan mereka perlu memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan sempurna sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung. 
“Rondaan 24 jam di ‘jalan maut’ itu sudah dimulakan sejak 14 Ogos lalu, membabitkan tempoh dua minggu sebelum dan selepas Aidilfitri bagi memastikan pemandu mematuhi peraturan lalu lintas. 

“Pemandu kenderaan yang dikesan kesalahan lalu lintas akan disaman serta merta oleh anggota penguat kuasa JPJ yang melakukan rondaan pencegahan kemalangan serta mengambil tindakan terhadap kesalahan yang boleh menyumbangkan kepada kemalangan jalan raya, " katanya. 

Katanya, Operasi Balik Kampung Aidilfitri 2011 yang dijayakan JPJ dengan kerjasama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejak 14 Ogos lalu diharap dapat mengurangkan kemalangan jalan raya yang sering berlaku akibat kecuaian pemandu. 

Sehubungan itu, katanya, beliau mengingatkan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan yang ditetapkan. 

Ramai peluk Islam ketika Ramadan





2011/08/24

Laman web dakwah beri penerangan mengenai agama berjaya tarik 90,000 pelawat

RIYADH: Ramai warga asing memutuskan untuk memeluk Islam pada dua minggu awal Ramadan kali ini, lebih separuh daripadanya rakyat Filipina. 

Seramai 113 ekspatriat di negara pengeluar minyak terbesar itu memeluk Islam di Ihsa yang terletak di timur Arab Saudi termasuk 68 rakyat Filipina, 13 Sri Lanka, 10 India dan bakinya dari Kenya, Nepal dan beberapa negara lain.
“Rakyat Filipina paling ramai memeluk Islam di Arab Saudi. Mereka memeluk Islam secara sukarela tanpa campur tangan mana-mana pihak,” lapor akhbar berkenaan memetik pengarah Pusat Panduan Islam di Ihsa, Sheikh Abdul Rahman Al Gagmayan.
Turut memeluk Islam ialah gadis Arab Saudi berusia 18 tahun yang menetap bersama ibunya yang beragama Kristian di Amerika Syarikat, ketika bercuti di sini, kata pengarah laman web dakwah, www.edialogue.org, Majed Al-Osaimi. 

Bercakap kepada akhbar Arab News, beliau berkata, remaja berkenaan memeluk Islam selepas berbual dengan pendakwah laman web itu. 

“Gadis itu memperoleh maklumat mengenai Islam yang menghapuskan semua keraguannya dalam perbualan selama 20 minit dan mengucap syahadah. Laman web ini, yang ditubuhkan Mac lalu, menjadi saluran menunjukkan kebenaran Islam kepada warga berlainan negara. 

“Setiap hari seorang atau dua orang memeluk Islam menerusi web kami,” katanya sambil menggesa penduduk negara itu dan umat Islam lain yang menetap di Barat mendidik anak mereka mengenai Islam pada usia muda. 
Katanya, beliau turut menghubungi gadis itu dan mendapati dia memperoleh banyak maklumat mengenai Islam daripada sumber berlainan. 

“Dia bertanya beberapa soalan penting mengenai Islam. Gadis itu juga belajar bahasa Arab untuk membaca dan memahami al-Quran,” katanya. 

Majed berkata, majoriti rakyat India memeluk Islam menerusi laman web itu yang dikendalikan 11 sukarelawan dan pekerja sepenuh masa. Mereka yang memeluk Islam termasuk dari Britain, Perancis, Australia, Amerika Utara, Filipina, Romania, Nigeria dan Cameroon. 

Setakat ini, lebih 90,000 pengguna internet mengambil bahagian dalam ruang sembang laman web berkenaan. 

“Kami bercadang untuk meluaskan laman web ini termasuk menyediakan lebih banyak bahasa,” katanya. 

Sementara itu, 680 individu pelbagai kerakyatan memeluk Islam setakat ini di Kuwait, kata Ketua Pengarah Jawatankuasa Penyampai Islam (IPC), Jamal Al Shatti. 
Dibentuk pada tahun 1978, misi IPC adalah untuk mendidik umat Islam dan bukan Islam mengenai agama suci itu, kata Al Shatti. 

Di Emiriah Arab Bersatu, rakyat Filipina dikenali sebagai Rodelito adalah antara 76 warga negara itu itu yang memeluk Islam dalam khemah besar di Al-Tawr sebagai sebahagian dForum Ramadan anjuran Jabatan Pelancongan dan Pemasaran Dubai. – Agensi , kosmo

Strauss-Kahn bakal bebas

Pendakwa minta gugur kes bekas Pengarah Urusan IMF

NEW YORK: Pendakwa kelmarin meminta hakim menggugurkan dakwaan terhadap bekas Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn, melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja hotel di bandar ini.

Pendakwa tidak berharap dapat mendakwa Strauss-Kahn selepas hilang keyakinan terhadap saksi mereka, Nafissatou Diallo, 32, pekerja hotel dari Guinea yang menuduh Strauss-Kahn muncul dalam keadaan bogel di bilik mewah hotel itu pada 14 Mei lalu dan memaksanya melakukan seks oral.
Usul menggugurkan kes itu difailkan selepas pertemuan singkat dengan wanita berkenaan dan peguamnya, menunjukkan pendakwa tidak lagi yakin Strauss-Kahn bersalah kerana cerita pekerja hotel berkenaan berubah-ubah. Dalam fail itu, mereka mendesak hakim menggugurkan semua tuduhan.
Tiga bulan lalu, Strauss-Kahn adalah diplomat kewangan terkemuka dunia dan kejatuhannya mengejutkan. Ditahan di kelas pertama pesawat Air France oleh polis, dia dihumban ke penjara atas dakwaan cuba merogol.

Mei lalu, pendakwa berkata, aduan Diallo boleh dipercayai dan konsisten. Tetapi, kes mula goyah apabila pendakwa mendapati Diallo menipu maklumatnya ketika mengisi borang imigresen mengenai kes rogol berkumpulan di Guinea, termasuk butir-butir cukai dan memberi tiga versi berbeza kejadian di Hotel Sofitel di Times Square itu.

“Bilangan aduan palsu membuatkan kami tidak mampu menjadikan ceritanya meyakinkan. Jika kami juga tidak percaya, kami tidak boleh minta juri percaya,” menurut dokumen mahkamah.

Peguam Diallo, Kenneth Thompson, dalam kenyataan lewat kelmarin selepas pertemuan dengan Peguam Daerah Manhattan, Cyrus Vance, dan selepas menilai usul itu, berkata pihak berkuasa menafikan hak seorang wanita untuk mendapatkan keadilan dalam kes rogol.
“Cuma beberapa minggu lalu, Vance dan pendakwanya berhujah di mahkamah mengenai kukuhnya bukti terhadap Strauss-Kahn. Hari ini, mereka mahu lari daripada bukti sama,” kata Thompson.

Di luar mahkamah, penunjuk perasaan hak wanita menjerit, ‘Bandar raya New York, ibu kota rogol di Amerika.’ Strauss-Kahn, 62, berulang kali menegaskan dia tidak bersalah.

Malah, ada penyokong politiknya yakin tuduhan itu sebahagian perangkap bertujuan memusnahkan peluangnya mengalahkan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, dalam pilihan raya April 2012.

Walaupun bebas untuk kembali ke dalam kancah politik Perancis, imej Strauss-Kahn terjejas teruk dengan pelbagai cerita mengenai seks paksa itu.
Parti Sosialis perlu melakukan pengecualian bagi membolehkannya menjadi calon presiden. Tinjauan Julai lalu menunjukkan dua pertiga penduduk Perancis tidak mahu dia menjadi calon.

Sementara itu, peguamnya mengalu-alukan perkembangan itu. “Kami kekal dengan pendirian banyak alasan untuk percaya wanita yang menuduh Strauss-Kahn itu tidak boleh dipercayai,” kata William Taylor dan Benjamin Brafman dalam satu kenyataan. – Reuters , bharian

Rumah Gaddafi kena tawan





2011/08/24

Pemberontak terus buru pemimpin Libya, pelbagai spekulasi timbul

TRIPOLI: Pemberontak memasuki kediaman pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, selepas 24 jam bertempur dengan tentera yang mengawal kawasan umpama kubu itu, semalam. 

Wartawan di tempat kejadian berkata, pintu masuk berwarna hijau kediaman itu diletupkan dan beratus-ratus pemberontak membanjirinya dan melepaskan tembakan ke udara.
Belum ada berita sama ada Gaddafi, 69, berada di situ tetapi pertempuran sengit yang meletus sebelum kediaman itu dimasuki membayangkan kemungkinan beliau ada di dalam.
Pertempuran di Bab al-Aziziyah membabitkan penggunaan mortar, mesingan dan senapang antipesawat meletus beberapa jam selepas anak Gaddafi yang dikatakan penggantinya, Saif al-Islam, muncul di khalayak ramai bagi menafikan dia ditahan pemberontak. 

Kemunculannya secara mengejut dikatakan bukti bahawa Gaddafi masih mampu bertindak balas sekalipun ramai menganggap pemerintahannya sudah berakhir. 

Kediaman besar Gaddafi, bagaimanapun, rosak teruk kerana serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selain dianggap lambang utama pemerintahannya selama 42 tahun. 

Tidak hairanlah seorang pemberontak, Abdel-Aziz Shafiya, 19, menyuarakan kegembiraan tidak terhingga ketika meronda kawasan dalamannya dengan membawa pelancar roket dan senapang Kalashnikov. 
“Saya kehilangan rakan dan keluarga tetapi sudah masuk rumah Gaddafi. Ramai kawan saya terkorban. Semua itu memberi makna ketika ini,” katanya. 

Bekas penasihat kanan Gaddafi, Abdel-Salam Jalloud yang berpaling tadah bulan ini, memberitahu stesen televisyen Al-Jazeera bahawa dia berpendapat pemimpin itu berada di pinggir Tripoli dengan berlindung di rumah persendirian, hotel kecil dan masjid. 

Ada juga laporan yang mendakwa Gaddafi bersembunyi dekat sempadan Algeria. 

Pemberontak dilaporkan sudah memberi amaran kepada kerajaan Algeria supaya tidak campurtangan dalam hal ehwal mereka. 

Tetapi, jurucakap pemberontak di Doha, Mahmoud Shammam, bersikap lebih berhati-hati. 

“Kami tidak tahu siapa ada di dalam. Kami percaya ada orang menginap tempat itu dan dia mengetuai usaha melawan kami. Ini adalah istana terakhir Gaddafi,” katanya. 

Pertempuran masih berlaku di beberapa tempat di Tripoli antara pemberontak dan penyokong Gaddafi. 

Dua juta orang tinggal di ibu kota Libya itu. – AP/AFP , bharian

Pemberontak masuk perangkap





2011/08/24

SAIF  memberi isyarat ‘V’ tanda   kemenangan selepas bertemu dengan penyokongnya di Tripoli, semalam.
SAIF memberi isyarat ‘V’ tanda kemenangan selepas bertemu dengan penyokongnya di Tripoli, semalam.
Anak Gaddafi temui penyokong di Tripoli bukti tidak ditahan musuh

TRIPOLI: Anak Muammar Gaddafi, yang didakwa pemberontak berjaya ditahan, melakukan kemunculan mengejutkan bersama-sama penyokongnya tengah malam kelmarin dan menyeru golongan masih setia kepada pemimpin Libya itu supaya menentang pemberontak yang berkata mereka berjaya menawan hampir keseluruhan ibu kota Libya itu.

Saif al-Islam, yang dilihat sebagai pewaris bapanya, melawat hotel Tripoli yang menjadi penginapan wartawan asing untuk mengisytiharkan kemenangan kerajaan dalam pertempuran dengan pemberontak.
Dia membawa wartawan ke kubu kuat bapanya, Bab al-Aziziyah. Rakaman televisyen menunjukkan Saif tersenyum, melambai dan bersalaman dengan penyokongnya, selain mengangkat tangan dan membuat isyarat ‘V’ sebagai tanda kemenangan.
“Kami sekat pemberontak. Ia perangkap. Kami susahkan mereka, jadi kami menang. Angkat senjata hari ini, angkat senjata hari ini. Insya-Allah kita akan serang tikus hari ini,” kata Saif kepada penyokong setianya yang menanti untuk diberikan senjata.

Penangkapan Saif dilaporkan pemberontak dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague dan penampilannya di depan media asing menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti pemberontak.

Katanya, Tripoli masih dalam kawalan kerajaan dan tidak peduli mengenai waran tangkap dikeluarkan ICJ yang mahukan dia dan bapanya kerana melakukan jenayah kemanusiaan.

Gaddafi sendiri tidak kelihatan di khalayak ramai selama beberapa minggu sebelum pemberontak tiba di ibu kota itu hujung minggu lalu. 
Turut melakukan pemberontak ialah seorang lagi anak Gaddafi yang dikatakan berada dalam tahanan mereka, Mohammed, berjaya melepaskan diri daripada tahanan.

Selain itu, apabila ditanya sama ada bapanya selamat dan sihat di Tripoli, Saif memberitahu wartawan: ‘Sudah tentu.’

Pemimpin dunia mendesak Gaddafi, 69, menyerah diri untuk mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah dan merayu peralihan kuasa secara teratur, ketika pertempuran selama enam bulan untuk mengambil alih kawalan ke atas negara pengeluar minyak di Afrika Utara itu sudah memasuki peringkat akhir.

Pemberontak menawan Tripoli dua hari lalu yang diatur dengan kebangkitan penduduk bandar raya itu sendiri. 

Penduduk yang membanjiri jalan raya Ahad lalu untuk meraikan kejatuhan kepemimpinan diktator, berada dalam rumah ketika tembakan mesingan dan letupan 
menandakannya pertempuran paling hebat dalam kebangkitan di dunia Arab yang membentuk semula politik serantau. – Reuters , bharian

Kontena jadi rumah



SIANG YING menunjukkan sijil dan contoh lakaran menjadikan kontena sebagai kediaman di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Kontena yang diubah suai menjadi kediaman mungkin jawapan terbaik kepada masalah orang ramai yang tidak mampu membeli rumah.
Sesetengah kita mungkin menganggapnya mustahil namun tidak bagi Lim Siang Ying, 29, ketika menghasilkan lakaran futuristiknya semasa menyertai Pertandingan Lakaran Idea Arkitek Muda yang membawa tema Rumah Pertama Idea Saya baru-baru ini.
Menurutnya, kontena boleh dijadikan sebagai bahan utama dalam pembinaan rumah kerana ia murah seterusnya lebih mampu milik.
Ia juga mudah diolah dengan gaya kontemporari.
“Setiap unit rumah mempunyai tiga bilik dengan dilengkapi kemudahan seperti katil, meja, kerusi, almari dan kipas angin.
“Malah bagi mengoptimumkan penggunaannya, ia boleh ganti flat kos rendah di negara ini pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah pertandingan tersebut di Bangunan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) di sini semalam.
Siang Ying merupakan antara sepuluh arkitek muda yang menerima anugerah dalam pertandingan anjuran PAM dan Kumpulan Syarikat Bluescope Steel (M) Sdn. Bhd. (Bluescope).
Setiap mereka menerima iPad2 dan sijil yang disampaikan oleh Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia, Boon Che Wee dan Presiden Bluescope Asia Tenggara, Somkiat Pintatham.
Siang Ying yang berasal dari Teluk Intan, Perak berkata, idea itu muncul apabila melihat sebahagian golongan yang miskin yang tidak berumah dan sanggup tinggal di bawah jambatan dan di tepi jalan raya.-kosmo

Polis tahan 'Tengku Razali'



WAN ABDUL BARI menunjukkan seragam pakaian peguam yang dirampas daripada seorang lelaki pada sidang akhbar di Brickfields, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Taktik licik seorang lelaki yang berpakaian kemas untuk menyamar sebagai peguam Istana Negara selain memakai 15 tangkal untuk ‘menundukkan’ mangsa dapat memperdaya 45 individu melibatkan kerugian RM200,000 sejak awal tahun ini.
Lelaki berusia 28 tahun dari Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor itu dikatakan bermulut manis dan pandai membuatkan mangsa terpedaya dengan kata-katanya. Untuk itu, suspek sering menggunakan gelaran ‘Tengku Razali’ atau ‘Tengku Shahrizwan’.
Bagaimanapun, suspek yang mendakwa keturunan kerabat diraja itu akhirnya diberkas di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada pukul 2 petang, Khamis lalu selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima laporan dari seorang wanita berusia 44 tahun.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, peniaga itu mendakwa dia kerugian RM7,000 selepas barang kemas miliknya dilarikan suspek pada 12 Ogos lalu.
Katanya, kejadian berlaku apabila suspek mendatangi mangsa yang sedang berniaga di kedai makannya di Taman Wahyu, Jalan Ipoh di sini dan memperkenalkan diri sebagai kerabat diraja yang berkhidmat sebagai peguam Istana Negara sehari sebelum itu.
“Ketika itu, suspek menawarkan mangsa peluang untuk membekalkan makanan ke istana lalu dipersetujui mangsa. Keesokannya, dia datang semula dan membawa mangsa ke kediaman diraja itu dengan menaiki Proton Perdana sewa.
“Sebaik tiba di luar pintu istana, suspek memaklumkan mangsa beberapa peraturan sebelum masuk seperti tidak boleh memakai barang kemas,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.-kosmo

Peniaga dituduh bunuh Foray



ASNI (kiri) diiring keluar dari Mahkamah Majistret Pekan selepas dituduh membunuh Stephanie Foray semalam.


PEKAN – Kes pembunuhan pelancong wanita Perancis yang mayatnya ditemui ditanam dalam sebuah gua 8 Ogos lalu bakal berakhir apabila seorang peniaga kecil-kecilan didakwa atas kesalahan itu di Mahkamah Majistret di sini semalam.
Asni Omar, 36, didakwa membunuh Stephanie Foray, 30, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman di antara pukul 8 malam 10 Mei dan pukul 12 tengah hari 12 Ogos lalu.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh. Dia hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Emma Shahriana Ali.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan boleh dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Ema Shahriana kemudian memutuskan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuantan tanpa menetapkan tarikhnya. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan, Foray dari Bour En Bresse, Perancis, dilaporkan hilang pada 8 Mei lalu sebelum mayat mangsa dijumpai ditanam sedalam tiga meter di sebuah gua di Kampung Air Hantu, Pulau Tioman pada 8 Ogos lalu.
Mayat mangsa ditemui ekoran penahanan dua lelaki bersaudara pada hujung bulan Julai lalu. Seorang daripada suspek merupakan ahli perniagaan yang memiliki sebuah pondok ala inap desa dan sebuah kafe, manakala seorang lagi suspek merupakan sepupu kepada ahli perniagaan itu.-kosmo