JAKARTA - Gunung Lokon di Sulawesi Utara, salah sebuah gunung berapi paling aktif di Indonesia meletus dua kali pada pagi Rabu.
  
Letusan pertama berlaku pada pukul 9.51 pagi dan disusuli letusan kedua beberapa minit kemudian, Ketua Pos Pemantau Gunung Lokon dan Mahawu, Farid Ruskanda Bina memberitahu media tempatan.
  
Letusan yang menyemburkan abu volkanik setinggi 1,200 meter itu memeranjatkan penduduk bandar Tomohon yang berdekatan.
  
Abu volkanik daripada gunung berapi itu diterbangkan ke arah utara mengikut tiupan angin.
  
Pihak kerajaan tempatan Tomohon telah meminta penduduk bandar itu berwaspada dan menghindari daripada menjalankan aktiviti sekitar radius 2.5 km dari kawah Tompaluan, Gunung Lokon. - Bernama