Pages

Wednesday, September 26, 2012

China kini ada kapal pengangkut pesawat

Kapal pengangkut pesawat pertama China, Liaoning, berlabuh di pangkalan
tentera laut Tentera Pembebasan Rakyat di Dalian,
wilayah Liaoning, timur laut China, kelmarin. - AFP
BEIJING 25 Sept. - Kapal pengangkut pesawat pertama China, yang dibeli dari Ukraine, memulakan perkhidmatannya hari ini dengan dinamakan sebagai Liaoning.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, penyertaan kapal pengangkut pesawat itu di dalam tentera merupakan detik-detik penting bagi meningkatkan keupayaan tentera laut China ke tahap lebih moden.
Pentauliahan kapal Liaoning berkenaan sekali gus menjadikan China yang merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), memiliki sebuah kapal pengangkut pesawat.
Kapal sepanjang 300 meter itu dinamakan mengikut nama wilayah timur laut China yang merupakan pelabuhan utama pangkalan tentera laut di bandar Dalian.
Kementerian tersebut berkata, kapal berkenaan akan meningkatkan keupayaan pertahanan China, membentuk kerjasama menangani ancaman keselamatan bukan tradisional di laut dan mempertahankan kepentingan, kedaulatan dan pembangunan negara itu.
Pengumuman kementerian itu dibuat ketika ketegangan isu pertikaian kepulauan Diaoyu di Laut China Timur yang turut dituntut oleh Jepun.
Malah, China turut terlibat dalam beberapa isu pertikaian wilayah dengan beberapa negara lain seperti Vietnam, Taiwan dan Filipina di Laut China Selatan.
Tahun lalu, Beijing menyatakan pendiriannya untuk mengubah suai kapal pengangkut pesawat itu sebagai tujuan latihan dan kajian. - AFP

Syria: Amaran keras Obama

WASHINGTON 25 Sept. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama hari ini menuntut 'hukuman dan akibat' atas kekejaman di Syria dan mahu pentadbiran Presiden, Bashar al-Assad sampai ke penghujungnya.
Masa depan seharusnya tidak terletak pada seorang diktator yang mengakibatkan pembunuhan beramai-ramai rakyatnya.
Sekiranya ada sebab yang mengakibatkan masyarakat sehingga menangis untuk berdemonstrasi, ia adalah sebuah 'rejim' yang menyeksa kanak-kanak dan mengebom kediaman penduduknya,'' kata Obama.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.
Obama dalam pada masa sama, menggesa masyarakat antarabangsa supaya bertindak bagi menghentikan krisis yang telah berlanjutan selama 18 bulan sekali gus menamatkan kekejaman Assad.
Katanya, AS mahu Syria menjadi sebuah negara yang bersatu dan inklusif yang mana kanak-kanak tidak perlu takut akan kerajaan dan rakyat mempunyai suara dalam kerajaan.
Dalam pada itu, konflik di Syria semakin buruk selepas badan hak asasi melaporkan seramai 85 orang terbunuh di seluruh negara itu hari ini.
Dalam perkembangan berlainan, Obama berikrar akan memburu mereka yang terlibat dalam pembunuhan Duta AS di Libya, Christopher Stevens dan tiga lagi rakyat negara itu dalam serangan dua minggu lalu di Benghazi.
''Serangan ke atas rakyat kita di Benghazi adalah merupakan serangan ke atas AS.
Sementara itu, Obama sekali lagi mengutuk penyiaran filem anti-Islam itu dan walaupun mengatakan ia keji, namun tiada kebebasan bersuara dilindungi oleh Perlembagaan AS yang mewajarkan pembunuhan dan keganasan. - AFP

1.5 juta perlu bantuan makanan di Syria

BEIRUT 25 Sept. - Jumlah penduduk Syria yang memerlukan bantuan makanan meningkat daripada 250,000 pada April lalu kepada 1.5 juta ketika ini.
Menurut Ketua Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP), Ertharin Cousin, agensinya memerlukan lagi AS$60 juta (RM180 juta) bagi menampung keperluan bajet tahunan makanan.
Katanya, krisis berlarutan di Syria semakin buruk apabila beratus-ratus ribu penduduknya melarikan diri untuk mendapatkan perlindungan di negara-negara jiran.
Beliau turut menyarankan negara-negara yang memberi sumbangan mengenakan tekanan diplomatik bagi memastikan kerajaan Syria membenarkan pekerja badan itu sampai ke kawasan yang memerlukan.
Menurut beliau, WFP sukar untuk sampai ke kawasan konflik terutama di Damsyik, Aleppo dan Homs, menyebabkan bantuan sukar diagihkan. - AGENSI

Ular berkepala 2 ditemui

Kedua-dua kepala ular ini mampu berfungsi dengan baik. - AGENSI

SOUTH CAROLINA 25 Sept. - Seekor ular kecil berkepala dua ditemui oleh sebuah keluarga di rumah mereka di sini, kira-kira tiga minggu lalu.
Agensi berita Fox Carolina melaporkan, ular tersebut mempunyai masing-masing satu kepala yang boleh berfungsi di setiap hujung badan, yang turut dilengkapi dua mata dan lidah.
Menurut agensi berita tersebut, ular kecil itu ditemui oleh beberapa pekerja di rumah Savanna Logan dan adik lelakinya, Preston yang sangat meminati haiwan.
Kedua beradik itu berkata, mereka sering membawa ular yang unik tersebut ke sekolah untuk ditunjukkan kepada kawan-kawan sejak haiwan itu ditemui.
Jabatan biologi berdekatan Sekolah Tinggi Ware Shoals mendapati, ular berkenaan merupakan sejenis ular tanah yang berkulit kasar.
Ibu kedua beradik itu, Tina Stewart berkata, satu daripada kepala ular itu lebih besar dan mendominasi kepala yang satu lagi, namun kedua-dua kepalanya boleh berfungsi.
“Jika kepala ular yang besar ingin melakukan sesuatu, maka satu lagi kepala akan melakukan perkara bertentangan," katanya.
Meskipun mempunyai dua kepala, ular terbabit yang dikenali dengan nama saintifiknya, Virginia striatula, tidak berbisa dan tidak berbahaya kepada manusia.
Makanan utama ular tersebut adalah cacing tanah dan serangga kecil serta mampu membesar antara 22 sentimeter hingga 35 sentimeter. - AGENSI

Aceh ada 27 pulau baru selepas dilanda tsunami

BANDA ACEH; Sebanyak 27 pulau baru muncul di perairan laut Simeulue, Aceh, selepas wilayah itu dilanda gempa bumi dan tsunami pada Disember 2004.

Selepas hampir lapan tahun, kini ada tanda wujud hidupan di pulau berkenaan.


Pegawai daerah Simeulue, Hasrul Edyar, mengesahkan penemuan itu.

Katanya, kemunculan pulau baru itu dikesan hasil kajian bersama tentera laut, jabatan perikanan serta beberapa agensi lain pada 2008.


“Sebelum ini jumlah pulau kecil di perairan itu cuma 41 tetapi kini meningkat kepada 68 pulau,” katanya. Antara kesan kehidupan ditemui di situ, kata Hasrul, ialah rumput dan pokok liar. “Sebahagian besar kawasan itu masih tandus,” katanya. - Republika

Nasib malang Jiang Manqi

JIANG terpaksa diikat pada kenderaan datuknya bagi memudahkan dia diawasi pada setiap masa.
JIANG terpaksa diikat pada kenderaan datuknya bagi memudahkan dia diawasi pada setiap masa.

TANPA ibu bapa, Jiang terpaksa bergantung kepada datuknya untuk segala keperluan di rumah mereka yang serba daif di Fuzhou.
TANPA ibu bapa, Jiang terpaksa bergantung kepada datuknya
 untuk segala keperluan di rumah mereka yang
serba daif di Fuzhou.
BEIJING: Diikat pada motosikal elektrik berkuasa rendah, seorang remaja terpaksa mengikuti datuknya ke mana saja setiap hari ketika lelaki tua terbabit memungut bahan buangan untuk dijual.
Jiang Manqi, 13, bukan saja miskin, malah menghidap penyakit sawan dan ditinggalkan ibu bapanya. Justeru, datuk Jiang terpaksa membawanya ke mana saja di bandar Fuzhou di wilayah Fujian setiap hari supaya dia dapat mengawasi remaja terbabit setiap masa. Disebabkan mengalami penyakit, sekolah juga enggan menerima Jiang belajar. Setiap hari, Jiang menemani datuknya yang berusia 60 tahun mencari bahan terbuang di bandar itu untuk dijual di pusat kitar semula sebagai punca pendapatan. Untuk memberi sedikit keselesaan, Jiang diberikan tempat khas di belakang motosikal datuknya untuk dijadikan tempat tidur jika dia kepenatan. Lelaki tua itu berkata, dia tiada pilihan kecuali membawa Jiang bersamanya setiap hari.

“Ia memang menyedihkan tetapi tiada apa yang mampu saya lakukan.

“Ibu bapa Jiang tidak menghiraukannya lagi kerana masalah kemiskinan.

“Saya satu-satunya tempat dia bergantung,” katanya. Menurut lelaki itu, penyakit sawan Jiang masih boleh dirawat jika mendapat ubat dari hospital mengikut jadual.

Namun, katanya, kemiskinan menyebabkan dia tidak mampu memberikan ubat berkenaan kepada Jiang. - DM

Iran buat Israel bengang

Ahmadinejad ceria (gambar kecil) manakala delegasi Israel keluar dewan ketika pemimpin Iran itu berucap. - Foto APAhmadinejad ceria (gambar kecil) manakala delegasi Israel keluar dewan ketika pemimpin Iran itu berucap. - Foto AP
Duta keluar dewan PBB selepas Tel Aviv digelar negara palsu

New York: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyifatkan Israel sebagai negara palsu yang dilindungi Amerika Syarikat menyebabkan duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) keluar dari dewan badan dunia itu kelmarin ketika ahlinya membincangkan tema kepatuhan kepada undang-undang.
Ahmadinejad juga menuduh Amerika Syarikat dan beberapa kerajaan lain menyalahguna kebebasan bersuara dan gagal mengecam fitnah terhadap kepercayaan orang lain dan nabi, merujuk kepada pengedaran video murahan dihasilkan di Amerika menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Mereka yang tidak mengendahkan ucapan penuh kebencian beliau hari ini perlu bertanggungjawab atas tindakannya esok” - Ron Prosor, Duta Israel
Delegasi Amerika tidak meninggalkan mesyuarat seperti yang dilakukan sebelum ini apabila Iran menyerang Israel secara langsung.

Kutuk pencerobohan

Pemimpin Iran itu yang mendesak kemusnahan Israel turut mengutuk pencerobohan rejim Zionis itu di wilayah Palestin dan penggunaan kuasa veto oleh Amerika dalam Majlis Keselamatan untuk menyokong sekutunya.

Beliau menggesa semua negara meletakkan tanggungjawab ke atas penceroboh dan menuntut wilayah yang diceroboh dipulangkan kepada pemilik yang sebenar.
Ahmadinejad menyalahkan kuasa veto Amerika, China, Russia, Britain dan Perancis atas kegagalan Majlis Keselamatan memastikan keamanan di dunia, dan menggesa perubahan dalam peraturan supaya memihak kepada negara yang mahukan keadilan.

Ketika Ahmadinejad memberi ucapan kepada pemimpin dan menteri lebih 100 negara, Duta Israel, Ron Prosor, keluar daripada dewan Perhimpunan Agung itu.

“Ahmadinejad menunjukkan sekali lagi beliau bukan saja mengancam masa depan penduduk Yahudi, beliau mahu memadamkan masa lalu kami. Tiga ribu tahun sejarah Yahudi menunjukkan dengan jelas bahaya membiarkan fanatik seperti Presiden Iran, terutama ketika beliau semakin hampir memiliki senjata nuklear.

“Mereka yang tidak mengendahkan ucapan penuh kebencian beliau hari ini perlu bertanggungjawab atas tindakannya esok,” kata Prosor dalam satu kenyataan.
Prosor menganggap membenarkan Ahmadinejad berucap umpama melantik ‘kaki bakar sebagai ketua bomba.’

Anggap Iran ancaman

Israel melihat Iran sebagai ancaman tetapi Tehran menegaskan program nuklearnya bertujuan untuk keamanan dan cuma untuk menghasilkan tenaga nuklear.

Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu percaya Tehran semakin dekat menghasilkan senjata nuklear dan mendesak Amerika menyatakan faktor membolehkan tindakan ketenteraan dilancarkan terhadap negara Teluk itu.

Bagaimanapun, Presiden Barack Obama enggan menetapkan sebarang garisan merah.
Ahmadinejad tidak menamakan Israel atau Amerika dalam ucapannya ketika berkata: “Kita menyaksikan sebahagian anggota Majlis Keselamatan yang ada kuasa veto memilih untuk berdiam diri berhubung peledak nuklear rejim palsu tetapi pada masa sama menghalang kemajuan saintifik negara lain.” - AP

Alih dosa ke dalam air

AFP
SEJUMLAH penduduk ortodoks 
Yahudi berdoa di depan 
kolam plastik yang mengandungi beberapa 
ekor ikan di Bnei Brak, dekat Tel Aviv kelmarin.


BNEI BRAK, Israel - Sejumlah penduduk ortodoks Yahudi mengelilingi sebuah kolam plastik yang mengandungi beberapa ekor ikan di sini kelmarin.
Mereka kemudian berdoa bagi membuang dosa masing-masing ke dalam air.
Cebisan roti kemudian dibaling ke dalam kolam tersebut sebagai lambang keluarnya dosa-dosa penganut agama Yahudi itu. - Agensi

Ikan lumba-lumba jadi tumpuan di pantai Bondi

REUTERS
SEKUMPULAN peluncur ombak (kiri) menyaksikan 
beberapa ekor ikan lumba-lumba di pantai Bondi, Sydney semalam.

SYDNEY, Australia - Beberapa ekor ikan lumba-lumba berenang dekat sekumpulan peluncur ombak dekat pantai Bondi di sini semalam.
Ikan-ikan itu melompat dari permukaan laut tanpa rasa takut walaupun terdapat peluncur ombak berhampiran dengan mamalia tersebut.
Haiwan itu berada dekat pantai tersebut bagi mencari ikan kecil untuk dijadikan makanan. - Agensi

Ketua Hamas akan letak jawatan


BANDAR GAZA, Wilayah Palestin - Ketua pergerakan Hamas, Khaled Meshaal (gambar) sekali lagi mengesahkan keputusannya untuk melepaskan jawatan tertinggi tersebut, kata beberapa pegawai Hamas semalam.
Pada Januari lalu, pergerakan berkenaan pernah mengumumkan bahawa Khaled yang kini hidup dalam buangan bersedia untuk melepaskan jawatannya.

Namun, Hamas memberitahu, anggota-anggota pergerakan itu berharap beliau akan menimbang semula keputusan tersebut.
Dalam perkembangan terbaharu semalam, beberapa pegawai Hamas di sini dan di luar wilayah Palestin berkata, Khaled kini bertekad untuk melepaskan kepimpinannya. - AFP

Kapal tentera baharu China



KAPAL pengangkut pesawat pertama milik China berlabuh di Dalian, timur laut China pada Ahad lalu.



BEIJING - Kapal pengangkut pesawat pertama China mula beroperasi semalam, kata Kementerian Pertahanan di sini.
Ia digunakan selepas China memperbesarkan lagi armada tentera lautnya ketika ketegangan maritim di Laut China Selatan terus meningkat.
Media negara berkenaan melaporkan, upacara pentauliahan kapal induk sepanjang 300 meter itu dihadiri oleh Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao.
Kapal induk itu dibeli dari Ukraine dan dinamakan semula sebagai Liaoning sempena nama wilayah timur laut China yang menempatkan bandar pangkalan tentera laut utama di negara itu, Dalian.





Sebelum dijadikan kapal pengangkut pesawat, Liaoning merupakan kapal separa siap milik tentera laut bekas Kesatuan Soviet.
Kapal tersebut ditunda dari Ukraine tanpa enjin, persenjataan dan sistem navigasi pada tahun 1998.
Kapal itu dibeli daripada pemerintah Ukraine pada harga sekitar AS$20 juta (RM61.4 juta).
Kerja pengubahsuaian mengambil masa selama beberapa tahun.
Liaoning memiliki kapasiti untuk membawa sekitar 26 buah pesawat dan 24 buah helikopter.
Dalam perkembangan berkaitan, Beijing masih belum mendedahkan peranan sebenar kapal induk tersebut selain membantu melindungi perairan China.
"Kapal induk itu juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan pertahanan negara dan keupayaan ketenteraan," kata bekas pegawai tentera laut China, Yang Yi kepada akhbar China Daily yang disiarkan semalam. - Agensi