Pages

Wednesday, April 20, 2011

Tiga maut, polis lepas tembakan lerai rusuhan di Yaman

SANAA: Tiga maut selepas polis Yaman terpaksa melepaskan tembakan bagi awal hari ini bagi meleraikan penunjuk perasaan yang menuntut agar Presiden Ali Abdullah Saleh berundur daripada pemerintahannya. 
Kejadian terbaru itu berlaku ketika Menteri Luar Negara Teluk mengadakan perbincangan dengan delegasi kerajaan Taman di Abu Dhabi bagi mencapai anisiatif menamatkan ketegangan di negara berkenaan.
Di ibu negara Sanaa, pasukan perubatan berkata dua penunjuk perasaan ditembak mati manakala ratusan lagi cedera akibat terkena gas pemedih mata.
“Mangsa kedua yang cedera sudah meninggal dunia dan kami masih mempunyai 30 penunjuk perasaan yang cedera akibat terkena tembakan.


"Selain itu 30 mangsa cedera akibat dihentak benda tajam, termasuk batu serta terkena gas pemedih mata," kata pegawai perubatan, Dr Fakr Kabati kepada AFP di Sanaa. 

98 cedera tunjuk perasaan di Iraq


Sulaimaniya, Iraq 20 April - sekurang-kurangnya 98 orang dilaporkan cedera dalam pertembungan di Kurdistan negeri sebelah utara Iraq antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan, kata sumber perubatan semalam.

Tambah suber tersebut, mangsa cedera termasuk penunjuk perasaan dan anggota pasukan Peshmerga Kurdi.
Pertempuran meletus sejak Isnin lalu di bandar Sulaimaniya, di mana beratus-ratus penunjuk perasaan Kurdish berkumpul di bandar tersebut untuk tuntutan mereka bagi reformasi politik dan kebebasan yang lebih besar. - Dpa, utusan

Tentera tembak penentang Bashar

DAMSYIK: Pasukan keselamatan Syria semalam dilapor melepaskan tembakan ke arah ribuan penunjuk perasaan yang berhimpun di bandar Homs.
Seorang saksi berkata, serangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya seorang mati.

Kejadian berlaku beberapa jam selepas pihak berkuasa berikrar untuk menangani ‘revolusi bersenjata’ di negara itu.

“Tunjuk perasaan itu disuraikan secara ganas. Pasukan keselamatan melepaskan tembakan,” kata seorang aktivis yang dihubungi menerusi telefon di Damsyik. Menurutnya, pasukan keselamatan mengawal Dataran Al-Saa pada awal pagi semalam, tempat kira-kira 20,000 penunjuk perasaan berhimpun dan enggan beredar kecuali Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan.

Kerajaan sebelum itu berikrar menangani ‘revolusi bersenjata’ yang dikatakan mengancam keselamatan di negara itu.

“Kejadian terbaru itu menunjukkan kumpulan Salafi, khususnya di bandar raya Homs dan Banias, secara terbuka menggesa dilancarkan revolusi bersenjata,” menurut kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Syria, Sana.


Ia menuduh kumpulan seumpama itu membunuh tentera, polis dan orang awam dan memberi amaran, tidak ada tolak ansur dalam menangani kegiatan keganasan mereka.

Beribu-ribu penunjuk perasaan tiba di Dataran Al-Saa kelmarin, sehari selepas 11 orang mati ditembak pasukan keselamatan di Homs dan sebuah bandar berhampiran. Didorong oleh kebangkitan rakyat yang berjaya menggulingkan kerajaan di Tunisia dan Mesir, penunjuk perasaan itu berikrar untuk tidak meninggalkan Dataran Al-Saa di pusat bandar Homs hingga kerajaan Bashar tumbang. - AP, mymetro

3 ditahan kitar al-Quran jadi tisu tandas

KABUL: Tiga termasuk pengarah syarikat percetakan ditahan selepas pihak berkuasa menyiasat dakwaan kilang pengeluar kertas di Afghanistan kitar semula al-Quran menjadi tisu tandas, kata pejabat peguam negara semalam. 
Kira-kira 1,000 penunjuk perasaan membaling batu ke arah kilang di pinggir Kabul menyebabkan kilang itu rosak. Salinan al-Quran ditemui dalam kilang, kata jurucakap polis Kabul, Hashmat Stanikzai.
“Polis dan pejabat peguam negara bekerjasama menyiasat dakwaan menghina kitab suci dalam kilang itu,” kata jurucakap pejabat peguam negara, Amanullah Iman.

“Tiga ditahan termasuk pengarah syarikat dan kami mengambil berat isu serius ini,” katanya. 

Pembakaran salinan Quran oleh mubaligh Kristian di Amerika Syarikat turut mencetuskan protes di seluruh Afghanistan menyebabkan 24 maut termasuk tujuh kakitangan Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu di perkarangan pejabat di utara bandar Mazar-i-Sharif. – AFP , bharian

Fidel Castro sah letak jawatan


 Fidel Castro
Fidel Castro

Pemimpin Parti Komunis Cuba namakan adik sebagai pengganti


HAVANA: Pemimpin Parti Komunis Cuba, Fidel Castro mengesahkan peletakan jawatannya daripada kepimpinan tertinggi parti itu selepas parti itu meluluskan deraf pembaharuan ekonomi, katanya dalam artikel yang disiarkan semalam.
“Adik saya, Raul tahu yang saya tidak dapat menerima jawatan formal dalam parti hari ini,” kata Castro dalam artikel di portal Cubadebate.cu portal, merujuk pada adiknya, Raul dan ketidakhadiran beliau daripada Jawatankuasa Pusat parti yang baru, yang dipilih kelmarin.
Castro, 84, berkhidmat sebagai setiausaha pertama dalam Jawatankuasa Pusat parti yang menjadi parti utama kerajaan komunis itu sejak 1965.


Fidel berkata, beliau sudah menyerahkan tugas ketua parti kepada Raul berikutan kemerosotan kesihatannya pada 2006, walaupun beliau masih mengekalkan jawatan sebagai setiausaha pertama.


“Raul adalah orang yang saya gambarkan sebagai Setiausaha Pertama dan Ketua Komander. Beliau tidak pernah gagal untuk memujuk saya dengan idea yang dirancangnya,” tulis Fidel.


Langkah itu diambil selepas Kongres Ke-enam Parti Komunis meluluskan langkah untuk mengukuhkan ekonomi Cuba daripada jatuh tetapi tanpa sebarang perubahan ekonomi.
Perubahan yang menyuntik sedikit pasaran bebas pada ekonomi pulau itu diterima secara undian dengan pelepasan jawatan rasmi pemimpin yang memimpin parti itu lebih empat dekad.


Seramai 1,000 delegasi berkumpul di Havana untuk kongres empat hari meluluskan 300 cadangan dan melantik jawatankuasa pusat yang baru.


Perubahan itu termasuk pemotongan, yang akhirnya sejuta pekerjaan dan pemecahan sektor pertanian. Banyak langkah sudah diambil sejak beberapa tahun lalu dengan Kongres yang kini meluluskannya.


Keputusan undian bagi tempoh had kepimpinan dibentangkan semalam. Raul yang bakal berusia 89 tahun menjelang 3 Jun, mungkin akan dilantik secara rasmi untuk menggantikan kepimpinan parti. – AFP. Berita Harian Online | Fidel Castro sah letak jawatan

Perusuh bakar masjid


SEBUAH masjid dibakar perusuh di utara Nigeria awal  selepas keputusan pilihan raya presiden diumumkan, semalam.
SEBUAH masjid dibakar perusuh di utara Nigeria awal selepas keputusan pilihan raya presiden diumumkan, semalam.

KANO: Rusuhan kaum menyaksikan sebuah masjid dibakar di utara Nigeria awal pagi semalam selepas keputusan pilihan raya presiden diumumkan, mendorong penduduk Islam merosakkan kedai sebagai membalas perbuatan itu, kata penduduk.


Serangan balasan itu terjadi di bandar utara Nigeria, Kano, di mana sejumlah orang yang terbunuh berikutan rusuhan selepas pilihan raya merebak di 14 negeri kerana membantah kemenangan Presiden Goodluck Jonathan.
Jurucakap polis, Magaji Majia mengesahkan laporan mengenai kejadian di kejiranan Tudun Wada tetapi situasi dapat dikawal.
Majia berkata, beliau mahu bertemu ketua masyarakat tempatan dan imam di kawasan itu untuk meredakan keadaan.


Bandar terbabit kini diletakkan di bawah perintah darurat selama 24 jam.


Jonathan diiktiraf sebagai pemenang dalam pilihan raya presiden sehingga menyebabkan bantahan serta tekanan di wilayah yang membawa kepada rusuhan membabitkan 15,000 orang. – AFP. Berita Harian Online | Perusuh bakar masjid

Ratusan rumah setinggan hangus


ANGGOTA bomba memadam kebakaran di sebuah kawasan setinggan di Manila, semalam.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di sebuah kawasan setinggan di Manila, semalam.

MANILA: Beratus-ratus rumah di sebuah kawasan setinggan di tengah-tengah daerah kewangan Makati di sini hangus dijilat api semalam, menyebabkan 10,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.


Penyiasat jabatan bomba mengesyaki kebakaran itu dicetuskan oleh seorang penduduk yang menggunakan periuk nasi elektrik yang sudah rosak.
Ia adalah kebakaran kelima di kawasan setinggan Laperal itu yang sesak dengan rumah papan beratap zink.
“Saya baru kembali dari kawasan itu dan kami menganggarkan hampir 2,000 keluarga kehilangan tempat tinggal atau 8,000 atau 10,000 penduduk,” kata Datuk Bandar Makati, Jejomar Binay Jr. Belum ada laporan mengenai kecederaan atau kematian.


Binay berkata, tanah berkenaan dimiliki orang persendirian tetapi diduduki penduduk dengan membina rumah tanpa perancangan.


Di Manila hampir 37 peratus daripada 12 juta penduduk adalah setinggan, kata Institut Kajian Pembangunan Filipina dalam satu laporan tahun lalu. – AFP Berita Harian Online | Ratusan rumah setinggan hangus

Dua rektor nuklear Surry henti operasi

Foto
KEDIAMAN penduduk Raleigh, Carolina Utara ranap dipukul ribut, kelmarin.


Foto
SEORANG penduduk melihat keretanya yang musnah akibat dilanda puting beliung di Raleigh, Carolina Utara, kelmarin.

Bekalan elektrik ke loji terputus akibat puting beliung

WASHINGTON: Dua rektor di loji nuklear Surry di Virginia dihentikan secara automatik apabila puting beliung memutuskan bekalan elektrik ke loji itu.
Pengendali loji itu, Dominion Virginia Power, berkata penjana kuasa diesel mengambil alih peranan untuk menyejukkan bahan bakar.
Pihak berkuasa berkata tiada kebocoran bahan radiasi dan kakitangan bekerja untuk menyambung semula bekalan elektrik ke loji berkenaan.

Puting beliung adalah antara bencana alam yang paling teruk melanda Amerika sejak dua dekad lalu. Satu siri serangan puting beliung berlaku sejak minggu lalu dan meranap serta memusnahkan harta benda di beberapa negeri termasuk Carolina Utara dan Selatan. Sehingga hari ini, 45 kematian dicatatkan akibat ribut dan puting beliung sejak beberapa hari lalu.

Dua mangsa yang terselamat, Audrey McKoy dan suaminya, Milton, yang tinggal berdekatan Raleigh, Utara Carolina memberitahu mereka nampak puting beliung menerbangkan babi dan haiwan lain ke udara.

“Ia seperti filem Wizard of Oz,” katanya.
Mereka berlindung di bilik membasuh pakaian di awah tanah. Sebaik saja ribut reda, mereka sedar yang rumah bergerak mereka dan sudah terbalik.

Pusat kaji cuaca di Raleigh turut mengeluarkan maklumat terperinci mengenai ribut itu dengan angin selaju 160 kilometer sejam, memusnahkan pokok, menerbangkan bumbung dan merosakkan wayar elektrik.

Ia melanda Universiti Shaw Raleigh dengan kelajuan 177 kilometer sejam.
Ratusan pekerja daripada Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan dikerahkan ke Carolina Utara bagi memantau kemusnahan dan bantuan.

Gabenor Carolina Utara, Bev Perdue, dalam temu bual program NBC Today berkata, ribut itu meranapkan rumah seolah-olah rumah itu diperbuat daripada kertas. – AP/Agensi.Berita Harian Online | Dua rektor nuklear Surry henti operasi

Syria beri amaran henti bantahan

BEIRUT: Syria mengeluarkan amaran keras kepada rakyatnya menghentikan bantahan, beberapa jam selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan, mengorbankan seorang.
Kenyataan kerajaan itu dibuat selepas pasukan keselamatan bertindak lebih tegas bagi menamatkan bantahan terhadap pemerintahan Presiden Bashar Assad yang berlarutan selama sebulan.
Kumpulan hak asasi manusia berkata, kematian akibat tindakan terhadap bantahan sejak empat bulan lalu sudah mencecah 200 orang.
Kementerian dalam negeri Syria semalam menggesa rakyatnya membantu pihak berkuasa mengekalkan ketenteraman awam dengan tidak terbabit dalam tunjuk perasaan.


Dalam satu kenyataan yang disiarkan televisyen Syria, kementerian itu berkata semua undang-undang akan dikuatkuasakan bagi menjamin keselamatan rakyat dan kestabilan negara.


Beberapa jam sebelum pengumuman itu, pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan yang bertindak duduk beramai-ramai di sebuah medan di tengah-tengah bandar Homs.


Saksi di tempat kejadian berkata sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan beberapa lagi cedera.
“Mereka menembak membuta tuli. Asap menyelubungi kawasan berkenaan.
“Saya melihat beberapa orang terbaring, separuhnya ditembak di kaki,” kata seorang aktivis.


Jalan raya itu lengang pada awal tengah hari dengan kebanyakan penduduk memilih untuk tidak keluar rumah.


Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di medan Jam di Homs sejak kelmarin, membawa tilam dan bekalan makanan, bagi mengadakan bantahan seperti rakyat Mesir yang berjaya menumbangkan Presiden Hosni Mubarak. – AP Berita Harian Online | Syria beri amaran henti bantahan

Mangkuk tandas dilengkapi sistem bunyi



MANGKUK tandas yang dilengkapi dengan sistem bunyi dijual pada harga RM19,316.


NEW YORK - Sebuah mangkuk tandas yang dilengkapi sistem bunyi dan skrin sesentuh akan dijual pada harga AS$6,390 (RM19,316), lapor sebuah akhbar semalam.
Tandas itu dikeluarkan oleh sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS), Kohler yang diberi nama Numi.
Naib Presiden Pemasaran Kohler, Jim Lewis berkata: "Ia merupakan satu produk penciptaan yang tulen. Kami membayangkan sebuah tandas yang mewujudkan satu kategori dalam kualiti yang tersendiri."
Skrin sesentuh itu bertindak sebagai alat kawalan jauh dan mengawal ketinggian bunyi muzik dan dilengkapi alat pemain muzik MP3 serta pembunuh kuman.
Ia turut membolehkan pengguna mengawal suhu di bahagian tempat duduk mangkuk tersebut selain tekanan air dan mengandungi kemudahan memanaskan kaki. - Agensi

Misteri kenderaan bergerak sendiri



IMEJ yang disiarkan di stesen televisyen Metronews.com semalam menunjukkan sebuah kenderaan bergerak walaupun enjin sudah dimatikan di sebuah kawasan dikenali sebagai Jabal Magnet di Banyumas, Jawa Tengah.


BANYUMAS, Indonesia - Fenomena kenderaan bergerak sendiri walaupun enjin sudah dimatikan berlaku di Jawa Tengah, lapor beberapa buah akhbar dan laporan stesen televisyen semalam.
Keajaiban alam itu berlaku di sebuah kawasan dikenali dengan nama Jabal Magnet di sini.
Stesen televisyen tempatan, Metrotvnews.com, melaporkan kawasan tersebut terletak di Jalan Raya Desa Limpakuwus, Banyumas.
Tinjauan oleh stesen televisyen berkenaan di lokasi semalam mendapati kereta tersebut mampu bergerak sendiri sejauh 50 meter dengan kelajuan 10 kilometer sejam.
Kejadian luar biasa itu disaksikan beratus-ratus penduduk setempat, malah ada yang membawa kenderaan untuk menguji sendiri kesahihan fenomena tersebut.
Satu pasukan ahli geologi Indonesia turut tiba di lokasi berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.
Ujian awal oleh pasukan ahli geologi Universiti Jeneral Sudirman Purwokerto gagal menemui medan magnet di bukit itu.
Namun, mereka mengesahkan batu-batan di sekitar lokasi itu mempunyai kandungan magnet yang agak tinggi.
Setelah ujian seterusnya yang melibatkan alat pengukur ketinggian dilakukan, pakar-pakar geologi berkenaan menyatakan, fenomena tersebut dipercayai berlaku kerana bentuk muka bumi sekitarnya yang berbukit.
Bagaimanapun, menurut mereka, satu kajian mendalam perlu dilakukan bagi mengesahkan perkara itu. - Agensi, kosmo

Gadis Turki Islam pertama berbogel untuk Playboy



KULIT depan majalah Palyboy yang menunjukkan Sila Sahin berbogel.


BERLIN - Selama ini, seorang gadis berusia 25 tahun berketurunan Turki yang menetap di sini, Sila Sahin menjadi contoh teladan tentang kelakuan baik wanita Islam moden dalam masyarakat berbilang budaya di Jerman, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia yang merupakan seorang aktres yang membintangi drama telenovela Jerman, Bad Times disenangi ramai peminatnya dan membuatkan keluarganya berasa bangga.
Namun, langkah terbarunya mengejutkan para peminatnya dan turut menyebabkan mereka yang rapat dengannya naik berang.
Beraksi berahi untuk kulit majalah Playboy Jerman dengan satu payu daranya terdedah, Sila sengaja mahu menyampaikan mesej yang jelas kepada keluarganya yang mengamalkan cara hidup Islam.
"Saya berbogel untuk Playboy kerana saya mahu bebas," kata Sila.
"Gambar-gambar ini merupakan bukti kebebasan saya daripada semua halangan yang terpaksa diikuti semasa zaman kanak-kanak saya," tambahnya.
Keluarganya, bagaimanapun, tidak dapat menerima perbuatan Sila dengan ibunya bertindak memutuskan perhubungan dengan aktres berkenaan.
"Ibu saya masih marah. Ia lebih sukar dengan datuk dan nenek saya, serta ibu dan bapa saudara saya," kata wanita jelita itu di laman web siri televisyen berkenaan.
Dia bagaimanapun, berjaya bercakap dengan ayahnya yang juga seorang pelakon.
Ayah Sila bimbang anak gadisnya akan dibenci bukan sahaja oleh masyarakat Turki di Jerman, tetapi oleh seluruh umat Islam akibat tindakannya.
Sila berkata, dia berbogel untuk majalah Playboy bagi menyeru wanita-wanita Islam yang selama ini hidup terkongkong dan tidak dibenarkan membuat pilihan, termasuk dalam menentukan calon suami serta keperawanan mereka, supaya bangkit untuk bersuara dan bertindak.
Tindakan Sila menjadikannya sebagai wanita Turki pertama yang berbogel untuk Playboy. Dia bagaimanapun kesal dengan tindakan keluarganya yang menyisihkan dirinya kerana isu tersebut.
Dalam satu wawancara, Sila merayu keluarganya supaya memahami punca dia membuat keputusan untuk bergambar tanpa seurat benang itu.
Aktres berkenaan turut merayu keluarganya supaya memaafkan dirinya.
"Saya berharap mereka (keluarganya) dapat memaafkan saya," kata Sila.
"Tolonglah terima saya semula," tambahnya. - Agensi

Jet NATO bom Tripoli


TRIPOLI - Serangan udara tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dilancarkan ke atas ibu negara Libya, Tripoli, kampung halaman pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di Sirte serta bandar Aziziyah, lapor agensi berita rasmi JANA, semalam.
"Tripoli dan Sirte menjadi sasaran serangan agresif pasukan tentera Salib (Kristian) pada awal pagi Selasa lalu," lapor agensi tersebut tanpa memberi butiran lanjut.
Selepas laporan itu disiarkan, satu sumber tentera menyatakan bahawa serangan tersebut turut menyasarkan rantau Al-Hira dan bandar Aziziyah yang terletak 50 kilometer (km) dari selatan Tripoli.
Timbalan Menteri Luar Libya, Khaled Kaim memberitahu serangan NATO telah mengenai infrastruktur telefon di bahagian utara Libya, iaitu sekitar Sirte.
"Kelmarin, pasukan tentere bersekutu telah mengebom stesen-stesen telekomunikasi yang terletak 50km dari Sirte, selain 80km ke arah timur dan barat bandar itu," kata Kaim dalam satu sidang media.
Beliau menyatakan serangan dilaksanakan 'atas permintaan puak pemberontak yang bersedia untuk melakukan pembunuhan besar-besaran di rantau terbabit.'
Pada awal petang semalam, para wartawan agensi AFP di Tripoli melaporkan sekurang-kurangnya sebuah pesawat terbang melintasi bandar itu.
Sementara itu, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov berkata, tentera Barat telah melanggar mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang digunakan untuk campur tangan tentera di Libya.
Sebelum ini, tentera Barat melancarkan serangan di Libya bagi menguatkuasakan zon larangan terbang selepas dipersetujui PBB.
Rusia meminta supaya satu gencatan senjata dilakukan di Libya kerana pihak pemberontak dilihat tidak mahu berunding kerana penglibatan tentera Barat di negara itu.
"Pihak yang menggunakan resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk sasaran itu (melakukan perubahan kepimpinan di Libya) secara terbuka melanggar mandat yang diberikan oleh PBB," kata Lavrov selepas beliau mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya dari Serbia, Vuk Jeremic.
Pergolakan di Libya berlaku sejak 15 Februari lalu apabila sejumlah penunjuk perasaan berhimpun bagi menuntut kebebasan hak asasi di bandar Benghazi sebelum ia bertukar menjadi pertempuran di antara kumpulan pemberontak yang menentang kepimpinan Gaddafi.
Situasi kemudian menjadi bertambah buruk ekoran penglibatan tentera Barat termasuk Amerika Syarikat yang menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya bagi mengelak Gaddafi melakukan serangan ke atas orang awam. - Agensi, kosmo