Pages

Wednesday, August 10, 2011

'Isteri terlentang, suami tergantung'


ahli keluarga berkumpul di rumah Chong Seng di Tanjung Tokong, George Town tempat dia ditemui mati malam kelmarin.

GEORGE TOWN – Seorang penyelia sebuah pusat hiburan ditemui mati tergantung selepas dipercayai mencekik mati isterinya di sebuah pangsapuri di Tanjung Tokong dekat sini malam kelmarin.
Ooi Chong Seng, 29, ditemui tergantung dengan tali nilon di bingkai tingkap bilik tidur di tingkat tiga pangsapuri itu manakala isteri Chong Seng, Yang Xianhua, 20-an warga China pula ditemui terlentang di atas katil.
Xianhua bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) di sebuah pusat karaoke di sini iaitu tempat sama suaminya bekerja.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, kejadian tersebut disedari seorang rakan Chong Seng pada pukul 8 malam sebelum rakan mangsa menghubungi polis.
“Polis yang memecah masuk pangsapuri pasangan itu menemui mayat suami isteri itu. Turut ditemui sebilah pisau di atas lantai di dalam bilik tidur yang berselerak,” kata beliau ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Menurut beliau, pemeriksaan polis mendapati Xianhua mati selepas dia dipercayai dicekik berdasarkan kesan lebam pada leher wanita itu.
“Pasangan itu dipercayai telah meninggal dunia 16 jam sebelum mayat mereka ditemui polis,” katanya.
Kata Nasir, motif kejadian itu disyaki disebabkan perasaan cemburu mangsa lelaki yang bertindak mencekik isterinya sebelum dia sendiri membunuh diri.
Sementara itu, bapa Chong Seng, Ooi Kon Liong, 56, nelayan dari Teluk Kumbar berkata, anaknya itu tidak lagi tinggal bersamanya sejak lima tahun lalu selepas dia berkahwin.
Katanya, Chong Seng hanya belajar setakat tingkatan empat kerana ingin berdikari dan sejak itu dia tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga.
“Setiap bulan Chong Seng balik rumah melawat saya dan ibunya namun dia tidak pernah menceritakan sebarang masalah termasuk hal rumah tangga kepada kami,” kata Kon Liong.-kosmo

No comments: