Pages

Monday, February 18, 2013

Pencarian meteorit di Rusia dihentikan




TIGA pekerja binaan membaiki tingkap di sebuah hospital yang rosak akibat terkena serpihan hujan meteorit di bandar Chelyabinsk, Rusia, semalam. - REUTERS
MOSCOW 17 Feb. - Pihak berkuasa Rusia semalam menghentikan pencarian serpihan meteorit yang melanda bandar Ural minggu lalu yang menyebabkan kira-kira 1,200 orang cedera dan memusnahkan ribuan bangunan di wilayah itu.
Serpihan meteor seberat 10 tan itu dipercayai jatuh di tengah-tengah Rusia dalam keadaan seperti bola api, kelmarin.
Jurucakap Kementerian Kecemasan, Vyacheslav Ladonkin berkata, dengan suhu sekitar -17 darjah Celsius, penyelam Rusia menghabiskan masa untuk mencari serpihan itu di tasik beku Chebarkul yang dipercayai menjadi tapak lokasi meteorit tersebut.
Bagaimanapun, Kementerian Kecemasan kini memutuskan untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja pembaikan di kawasan itu.
Ladonkin berkata, kementerian mempertimbangkan kawasan berlubang seluas lapan meter di tasik beku, kira-kira 60 kilometer daribandar itu tidak disebabkan oleh bahan asing dari angkasa.
"Kami percaya ia berpunca daripada benda yang lain dan keputusan telah dibuat untuk menghentikan pencarian,'' katanya.
Sementara itu, 14 orang masih mendapatkan rawatan di hospital semalam, kebanyakannya luka dan patah tulang, kata seorang doktor, Rossiya Channel dari Hospital Chelyabinsk.
Pusat khas juga telah dibuka untuk menyediakan bantuan psikologi kepada mangsa yang terganggu ekoran kejadian tersebut.
"Terdapat jalur putih di langit, kami sangkakan ada pesawat terbakar.
"Kemudian ada letupan, selepas itu saya tidak tahu apa lagi yang berlaku," kata Vera, seorang pesakit yang berkongsi pengalaman tentang kejadian yang berlaku Jumaat lalu.
Pekerja-pekerja kecemasan menggantikan tingkap kaca yang pecah ekoran kejadian minggu lalu selepas hampir 5,000 bangunan di bandar ini musnah oleh ledakan sonik yang didakwa oleh para saintis.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), menganggarkan jumlah tenaga yang dilepaskan di atmosfera kelmarin adalah kira-kira 30 kali lebih besar daripada kuasa bom nuklear yang dijatuhkan di bandar Hiroshima, Jepun semasa Perang Dunia Kedua. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130218/lu_03/Pencarian-meteorit-di-Rusia-dihentikan#ixzz2LD3bhi2S
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Makanan segera rosakkan hati



LOS ANGELES 17 Feb. - Satu kajian mendapati perbuatan memakan makanan segera yang kerap bukan sahaja menggemukkan tetapi juga boleh merosakkan hati seperti menghidap hepatitis.
Penulis buku Better in 7, Dr. Drew Ordon berkata, kajian mendapati kekerapan memakan makanan segera dalam tempoh sebulan boleh memberikan kesan perubahan mendadak kepada hati.
Beliau berkata, makanan segera terutamanya kentang goreng sangat berbahaya kerana mempunyai bahan tambahan.
''Kita tahu kentang goreng ditambah garam dan digoreng dalam minyak yang berlemak, tetapi makanan ini juga ditambah gula. Kenapa gula? Kerana tindakan ini menjadikannya lebih garing,'' katanya dalam rancangan Amerika Syarikat (AS), The Doctors.
Beliau berkata, makanan seperti ayam goreng dan 'onion rings' pula sangat tidak baik kepada hati.
''Perubahan berlaku di dalam enzim hati seperti kesan jangkitan hepatitis. Penyakit ini boleh merosakkan hati,'' katanya.
Ordon memberi amaran sebarang produk yang ditandakan sihat atau segar di restoran makanan segera berkemungkinan tinggi mempunyai bahan kimia tambahan kerana tiada peraturan jelas tentang makanan berkenaan.
''Beberapa tempat menggunakan sejenis bahan dikenali sebagai propylene glycol yang merupakan sejenis bahan antibeku ke atas sayur-sayuran untuk mengelak daripada rosak.
''Walaupun jumlah itu kecil namun adakah anda mahu makan bahan antibeku,'' katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130218/lu_06/Makanan-segera-rosakkan-hati#ixzz2LD4IIVIc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jalani ujian kecergasan



Anggota polis Britain yang menghadapi masalah lebihan berat badan akan dikerah menjalani ujian kecergasan dan gaji mereka akan dipotong jika gagal dalam ujian tersebut. - GAMBAR HIASAN
LONDON 17 Feb. - Polis Britain akan dipaksa menjalani ujian kecergasan baharu dan gaji anggota pasukan keselamatan itu akan dipotong jika mereka gagal dalam ujian tersebut.
Kerajaan merancang memotong gaji anggota dan pegawai polis yang hanya bekerja di pejabat selepas mendakwa mereka tidak sihat untuk bertugas di lapangan.
Tindakan itu diambil selepas akhbar The Mail hari ini mendedahkan lebih 5,300 anggota polis di England dan Wales ditugaskan untuk kerja-kerja pejabat dengan gaji penuh selepas didapati tidak mampu melakukan kerja-kerja operasi kerana keletihan dan tidak sihat.
Walaupun laporan rasmi mendapati tiga perempat anggota polis London gemuk atau obes, namun sebarang tindakan tegas berhubung kesihatan akan menimbulkan perdebatan baharu antara kerajaan dan polis.
Kerajaan kini berdebat dengan polis berhubung gaji dan kebajikan mereka.
Bagaimanapun, perubahan baharu yang dicetuskan oleh Menteri Polis, Damian Green bertujuan menangani kebimbangan bahawa orang ramai dalam bahaya selepas pasukan keselamatan itu tidak cergas untuk mengejar penjenayah.
''Ujian kecergasan ini akan diperkenalkan tidak lama lagi,'' katanya semalam.
Green dijangka memperkenalkan satu ujian 'serangan' melibatkan merangkak, melompat, memanjat tembok dan mengangkat beban.
Beliau juga ingin memastikan pengurangan jumlah anggota polis yang diberikan kerja-kerja pejabat selepas mengalami kecederaan atau masalah kesihatan yang buruk.
Anggota polis yang ditugaskan untuk kerja-kerja pejabat lebih dari setahun, akan dikenakan potongan gaji sebanyak lapan peratus dan selepas dua tahun akan dipaksa bersara atas alasan kesihatan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130218/lu_05/Jalani-ujian-kecergasan#ixzz2LD48yUHm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

35 maut dalam letupan bom kereta



Orang ramai mengerumuni lokasi serangan bom kereta yang menyebabkan lebih 30 orang terbunuh di kawasan perumahan al-Amin, timur Baghdad semalam. - REUTERS
BAGHDAD 17 Feb, - Sekurang-kurangnya 35 orang maut dan berpuluh-puluh orang lagi cedera dalam beberapa siri letupan bom kereta yang berlaku secara berturut-turut di kawasan penduduk Syiah di ibu negara Iraq.
Letupan pertama berlaku apabila kereta yang diletakkan dengan bom meletup di Sadr City pada awal pagi ini.
Letupan berikutnya berlaku di kawasan perumahan penduduk miskin berhampiran apabila dua buah kereta yang diletakkan dengan bom meletup.
Letupan lain turut dilaporkan di kawasan perumahan al-Amin, sebuah pasar terbuka di Husseiniya, timur laut ibu negara dan Kamaliya, kawasan luar bandar di timur Baghdad.
Pegawai polis dan perubatan menyatakan lebih 30 orang maut manakala lebih 80 orang cedera.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab di atas serangan tersebut, namun serangan sama sebelum ini didalangi oleh kumpulan pelampau Sunnah seperti sayap bersenjata al-Qaeda.
Serangan berkenaan sering menjadikan anggota puak Syiah sebagai sasaran.
Ketika pertempuran puak semakin meningkat, penunjuk perasaan daripada puak Sunnah mengadakan demonstrasi pada setiap minggu sejak lewat Disember lalu terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Nouri al-Maliki yang merupakan anggota puak Syiah. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130218/lu_01/35-maut-dalam-letupan-bom-kereta#ixzz2LD3Je2rl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

84 korban letupan di Pakistan

Penduduk meninjau kemusnahan selepas letupan di bazar Hazara. - Foto AP
Penduduk meninjau kemusnahan selepas letupan di bazar Hazara. - Foto AP Quetta: Seorang penyerang bunuh diri meletupkan bom di sebuah bazar kawasan puak Syiah bandar Hazara semalam menyebabkan 84 orang maut termasuk wanita dan kanak-kanak manakala 200 lagi cedera.


Bom itu diletak dalam tangki air menggegarkan bazar berkenaan di Hazara, pinggir Quetta, pusat minyak dan gas wilayah Balochistan. Letupan berlaku jam 6 petang waktu tempatan.
Bahan letupan seberat 800 kilogram diletakkan dalam tangki air itu bersebelahan sebuah bangunan tingkat menyebabkannya runtuh sebaik ia meletup, kata ketua polis Quetta, Zubair Mehmood.


Khuatir ada tertimbus

Kami khuatir ada beberapa orang lagi tertimbus. Kerja menyelamat sedang dijalankan tetapi saya rasa sukar untuk mereka hidup, katanya.

Jurucakap kumpulan militan yang diharamkan, Lashkar-e-Jhangvi (LeJ) mendakwa kumpulan itu bertanggungjawab.

Setiausaha Dalam Negeri wilayah, Akbar Hussain Durrani, berkata wanita dan kanak-kanak adalah antara yang cedera dan maut serta mengesahkan ada penduduk mungkin dihempap runtuhan bangunan.
Penduduk buat halangan

Pegawai dan saksi berkata, sekumpulan penduduk mulanya beramai-ramai tidak membenarkan anggota polis, penyelamat dan wartawan untuk sampai ke tempat kejadian.

Mereka marah dan memulakan bantahan, ada juga yang membaling batu ke arah polis sebelum wakil kerajaan dan unit perubatan dibenarkan masuk, kata Durrani.
Gabenor Balochistan, Nawab Zulifqar Ali Magsi mengumumkan tempoh berkabung sehari berhubung kejadian itu.

Balochistan yang terletak di sempadan Iran dan Afghanistan semakin kerap menyaksikan keganasan antara puak Sunnah dan Syiah. Dua puak itu meliputi seperlima daripada 180 juta penduduk Pakistan.

Pada 10 Januari lalu, sekurang-kurangnya 93 maut dan 121 lagi cedera selepas dua penyerang bunuh diri letupkan bom di Quetta.

Angka korban keganasan pengikut mazhab mencapai 400 orang pada tahun lalu, kebanyakannya menerusi tembakan dari dalam kenderaan.
AGENSI 

68 ular sawa ditangkap di Florida



Florida: Beratus-ratus orang yang menghabiskan masa selama sebulan di kawasan Everglades untuk mencari ular sawa Burma akhirnya hanya dapat menangkap 68 reptilia itu, kata penganjur.

Ular sawa paling panjang yang ditangkap adalah sepanjang 4.3 meter dan membolehkan penangkapnya diberi wang tunai AS$1,000 (RM3,000).
Suruhanjaya Perlindungan Hidupan Liar dan Ikan Florida (FWC) juga mengumumkan dua pemenang hadiah AS$1,500 (RM4,500).

Bunuh paling banyak

Dua pemenang itu berjaya membunuh ular sawa paling banyak. Spesies ular itu mengancam ekosistem di Everglades.
Sebanyak 68 ekor ular sawa Burma ditangkap, kata Pengarah Eksekutif FWC, Nick Wiley.

“Bagi kami, jumlah itu memberi sampel terbanyak untuk membolehkan kami menjawab isu ular sawa berkenaan selain meningkatkan keberkesanan menghapuskannya di sana,” katanya.
Ular sawa Burma paling awal masuk ke Everglades dipercayai haiwan peliharaan yang berada di sana selepas Florida dilanda taufan Andrew pada 1992.

Ular spesies berkenaan sudah mula mengawan dan semakin banyak daripada ular tempatan. Selain mahir berenang, ia juga menjadikan pokok sebagai tempat rehat.

Beri faedah

“Setiap ular sawa yang dibawa keluar memberi faedah besar dan kami tahu ia memerlukan banyak masa untuk melakukannya.

“Seperti juga usaha memburu, ia tidak selalu mudah untuk menangkapnya,” kata Wiley.

Sebagai sebahagian kempen mengeluarkan ular itu dari Everglades, WCC, satu pertandingan mencari ular itu dilancarkan mulai 10 Januari hingga 10 Februari lalu.

AFP

Silikon, implan nyaris bawa maut

RM1 juta kos perubatan Talley. - Foto AGENSI
RM1 juta kos perubatan Talley. - Foto AGENSI Las Vegas: Seorang bekas penari bogel mengakui kesal melakukan pembedahan kosmetik di punggung kerana ia hampir membawa kematiannya.

Renee Talley, 44, yang kini seorang pelayan eksklusif kelab malam di sini berkata, semuanya gara-gara mahu kelihatan lebih seksi untuk memastikan dia terus mendapat pelanggan.
Dia memberi amaran kepada orang lain supaya mengelak daripada pembedahan itu yang memberi risiko kepada kesihatan.


Talley yang ada empat anak memuat naik keadaan punggungnya di YouTube sebagai ingatan kepada orang lain dan sejuta orang sudah menonton klip itu.

Mimpi ngeri untuknya bermula tiga setengah tahun lalu selepas menjalani suntikan silikon yang dibeli di pasaran gelap sebelum implan dimasukkan supaya punggungnya lebih bulat.

Tetapi, silikon itu menyerap ke bahagian belakang dan betisnya selain menyebabkan punggungnya kendur.

“Pada mulanya, doktor berkenaan kata dia tidak mahu masukkan implan selepas membedah bagi mengeluarkan silikon itu sebelum mengubah fikiran.
“Saya jatuh sakit beberapa hari kemudian pada Julai lalu. Saya sukar bernafas. Saya hanya boleh berjalan dua langkah sebelum duduk semula.

“Kemudian parut selepas pembedahan itu terbuka dan ini mengancam jangkitan dalaman. Saya akhirnya buat keputusan untuk mengeluarkan implan itu selepas ia terbalik ketika menunjukkannya kepada seorang kawan,” katanya.

Kos perubatannya kemudian mencapai £200,000 (RM1 juta). Talley ketika ini sudah muflis dan menimbang untuk menyaman pakar bedah itu.
AGENSI

Pertandingan memancing tawar 50,000 euro




SEEKOR ikan dan batang pancing yang digunakan dalam pertandingan tersebut.- REUTERS


VILJANDI – Sebuah tasik beku menjadi gelanggang ribuan kaki pancing mencuba nasib mereka untuk merebut hadiah cepumas 50,000 euro (RM254,706) dalam satu pertandingan memancing di sini, selatan Estonia kelmarin.
Acara lumayan dikenali sebagai Festival Gold Fish Estonia yang diadakan di Tasik Viljandi itu disertai oleh 6,500 pemancing.
Namun, pihak penganjur berkata, tiada peserta yang berjaya menangkap ikan yang ditanda dengan hadiah cepu mas tersebut pada acara kali ini.
Pada minggu lalu, pihak penganjur melepaskan sejumlah 130 ekor ikan bertanda ke dalam tasik tersebut untuk festival tahunan itu.
Untuk memenangi hadiah cepu emas, peserta perlu menangkap sekurang-kurangnya 17 ekor ikan bertanda daripada tiga jenis berbeza dan ikan cepu emas tersebut.
Seorang pelajar kejururawatan berusia 28 tahun, Merike Maetaga memenangi pertandingan kali ini apabila dia menaikkan seekor ikan bertanda yang bernilai 3,000 euro (RM12,347). – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2LCllWb2P 
Hakcipta terpelihara 

Ribuan penduduk sertai perang tomato




SEBAHAGIAN penduduk membaling tomato pada Festival Tomatina di pekan Quillon, Chile semalam.- REUTERS


QUILLON, Chile – Beribu-ribu penduduk dan pelancong dari seluruh dunia membaling buah tomato dalam acara perang tomato di sini kelmarin
Dikenali sebagai Festival Tomatina, acara tersebut mirip festival serupa yang diadakan pada bulan Ogos setiap tahun di Sepanyol.
Para peserta dilihat bermain dengan longgokan tomato dan membaling buah tomato ke arah satu sama lain di pekan Quillon, di selatan ibu kota Chile, Santiago.
Balingan yang berlangsung selama sejam itu menyebabkan pekan kecil itu dipenuhi warna merah buah tomato.
Festival yang bermula pada tahun 1940-an di Sepanyol itu diadakan sebagai simbolik kepada kerenah kanak-kanak yang bergaduh kerana berebutkan makanan. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2LClUDBTw 
Hakcipta terpelihara 

3,500 pasangan kahwin serentak



BERIBU-RIBU pasangan menyertai majlis perkahwinan beramai-ramai oleh Gereja Penyatuan di Pusat Keamanan Dunia Cheongshim di Gapyeong, kira-kira 60 kilometer timur laut Seoul, Korea Selatan semalam. - REUTERS


GAPYEONG – Seramai 3,500 pasangan pengantin terdiri daripada ahli Gereja Penyatuan di Korea Selatan melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis di sini semalam.
Majlis perkahwinan beramai-ramai itu adalah yang pertama diadakan sejak kematian pengasas ajaran Kristian berkenaan, Sun Myung Moon pada 3 September tahun lalu.
Myung Moon sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mengakui dirinya sebagai penyelamat manusia sejagat.
Pengantin-pengantin tersebut datang dari seluruh dunia untuk disatukan di ibu pejabat Gereja Penyatuan di timur ibu kota Korea Selatan, Seoul.
Sebelum ini, perkahwinan serentak melibatkan puluhan ribu pasangan dengan sebahagiannya berlangsung di stadium-stadium telah menjadi ciri utama ajaran Gereja Penyatuan.
Acara perkahwinan beramai-ramai itu bermula pada awal 1960-an melibatkan 24 pasangan dengan 12 pasangan suami isteri turut memperbaharui ikrar perkahwinan mereka.
Jumlah mereka yang menyertai majlis tersebut terus meningkat dari tahun ke tahun.
Pada 1997, seramai 30,000 pasangan berkahwin dalam majlis Gereja Penyatuan di Washington, manakala 21,000 pasangan lagi disatukan di Stadium Olimpik di Seoul dua tahun kemudian.
Pasangan yang memilih untuk dikahwinkan oleh gereja tersebut perlu melafazkan sumpah bahawa mereka masih perawan dan perlu menahan diri daripada melakukan hubungan seks untuk sekurang-kurangnya 40 hari selepas bergelar pasangan suami isteri. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0218&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2LClKYMRQ 
Hakcipta terpelihara