Pages

Monday, February 17, 2014

Enggan jual nombor plat RM1.3j



Riyadh: Seorang lelaki Saudi enggan menjual nombor plat keretanya walaupun selepas ditawarkan SR1.5 juta (RM1.3 juta).

Lelaki itu mendakwa nombor berkenaan, ‘6 HHH’ (gambar) bernilai lebih daripada itu.


Lelaki dari wilayah Qateef, tengah Saudi menerima tawaran untuk membeli nombor plat berkenaan menerusi acara lelong secara online.



“Saya hanya akan menjualnya jika harganya sama dengan yang saya inginkan.


“Ia bernilai lebih daripada tawaran yang saya terima,” katanya.


Nombor plat itu dibelinya pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/17

Denmark haramkan sembelih cara Islam, Yahudi

SINAR HARIAN
Kambing
Gambar Hiasan
17 Februari 2014
 DENMARK - Denmark akan mengharamkan penyembelihan haiwan ikut cara Islam dan tradisional Yahudi.

Kerajaan Denmark menerusi Kementerian Pertanian dan Makanannya akan mengharamkan kaedah penyembelihan haiwan mengikut cara tradisional Yahudi dan Islam berikutan langkah-langkah yang sama telah pun dilaksanakan di Poland, Iceland, Norway, Sweden dan Switzerland.

Oleh itu satu undang-undang baru akan dilaksanakan, iaitu semua haiwan yang akan disembelih akan dipengsankan terlebih dahulu, dan cara ini bertentangan dengan ajaran Islam dan Yahudi.

Ini bermakna umat Islam dan orang-orang Yahudi yang tinggal di Denmark tidak lagi akan dapat membeli daging mereka daripada penjual daging tempatan, dan mereka perlu membeli daging halal yang diimport.
Kementerian itu berpendapat bahawa kaedah penyembelihan cara Islam dan Yahudi adalah tidak beretika dan hak keagamaan tidak mengatasi hak asasi haiwan.

Walau bagaimanapun , umat Islam dan Yahudi menegaskan bahawa kaedah penyembelihan mereka menyebabkan penderitaan yang minimum kepada haiwan.

Pesuruhjaya Eropah untuk Kesihatan, Tonio Borg, mengutuk larangan itu dengan berkata ia " bercanggah dengan undang-undang Eropah."

Menteri Pertanian dan Makanan Karen Hรฆkkerup pula menyedari bahawa orang Islam dan orang-orang Yahudi kecewa dengan peraturan baru ini , tetapi menegaskan bahawa kementerian tidak akan mengubah dasarnya.

Fabrik khas akan baluti Burj Khalifa


LAKARAN artis menunjukkan fabrik khas berada di sekeliling bangunan Burj Khalifa di Dubai.


DUBAI, Emiriah Arab Bersatu - Beberapa pereka merancang membalut bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa dengan fabrik khas yang nipis sebagai salah satu hasil kerja seni.
Rancangan tersebut dikemukakan oleh sebuah syarikat, Op-En bagi menjadikan bangunan setinggi 828 meter itu lebih menarik untuk dilihat oleh orang ramai.
"Rancangan itu sangat bersesuaian dengan kemahsyuran Burj Khalifa yang merupakan bangunan tertinggi di dunia,'' kata syarikat berkenaan.
Cadangan itu dikemukakan selepas pihak pemaju memberi amaran bahawa perkhidmatan lif di bangunan tersebut kemungkinan terpaksa dihentikan sebagai langkah penjimatan elektrik selepas penghuni enggan membayar bil perkhidmatan.
Wakil dari syarikat Emaar Properties berkata, ada di antara penghuni yang gagal untuk membayar caj perkhidmatan sehingga AS$25,000 (RM82,660) setahun sejak 2012.
Menara Burj Khalifa mempunyai kira-kira 1,000 buah unit pangsapuri bermula dari tingkat 12 sehingga 108 dan mempunyai 2,909 jumlah anak tangga. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2tWiHrhlZ 
Hakcipta terpelihara 

Sotong gurita cuba curi kamera di laut AS



MURRAY dan sotong itu saling 'berebut' kamera.


MONTEREY, California - Seekor sotong gurita yang mempunyai lapan kaki cuba mencuri sebuah kamera milik seorang penyelam di dasar laut Point Lobos di Carmel baru-baru ini.
Kejadian itu berlaku ketika penyelam tersebut, Warren Murray menyelam bersama seorang rakannya, David Malvestuto.
Murray yang sedang merakamkan gambar di dasar laut tidak menyangka kehadiran sotong tersebut kerana warnanya hampir sama dengan warna batu karang di dasar laut.
Namun, sotong tersebut gagal untuk melarikan kamera itu kerana Murray bertindak memegangnya dengan kuat walaupun ia cuba dirampas haiwan tersebut dengan menggunakan kakinya.
Sotong itu kemudian bergerak meninggalkan Murray selepas ia gagal untuk melarikan kamera itu.
Berita tersebut mendapat liputan berita NBC News pada 14 Februari lalu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2tWhbEaC1 
Hakcipta terpelihara 

NASA selesaikan isu batu misteri


GAMBAR fail menunjukkan seketul batu (dalam bulatan) berada dekat kenderaan Opportunity di Marikh pada 8 Januari lalu.


CHICAGO - Sekumpulan saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menyelesaikan kehadiran seketul batu misteri berbentuk kuih donat yang tiba-tiba muncul di depan kamera kenderaan penjelajah di planet Marikh.
Pada 26 Disember tahun lalu, batu tersebut tidak berada di depan kamera kenderaan Opportunity itu.
Namun, pada 8 Januari lalu, sekeping gambar yang dihantar kenderaan tersebut menunjukkan terdapat batu berkenaan.
Batu itu selebar empat sentimeter dan berwarna putih.
Para saintis itu kemudian merungkaikan misteri itu dengan menyatakan bahawa ia merupakan serpihan batu yang telah dilanggar kenderaan Opportunity.
Pendedahan itu dibuat oleh Timbalan Penyiasat Prinsipal Opportunity, Ray Arvidson di Universiti Washington di sini pada Jumaat lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2tWhNlGE4 
Hakcipta terpelihara 

Ribut salji landa Jepun, 12 maut


Beratus-ratus kenderaan terperangkap dalam ribut salji yang melanda bandar raya Tokyo, semalam. - REUTERS
TOKYO 16 Feb. - Sebanyak 12 orang terkorban dan beribu-ribu rumah terputus bekalan elektrik sejak seminggu lalu, selepas ribut salji melanda bandar raya Tokyo dan beberapa kawasan lain di seluruh Jepun, sehingga menganggu sistem trafik darat dan udara.
Ribut salji paling buruk melanda negara ini dalam tempoh 45 tahun itu, turut menyaksikan salji setebal 27 sentimeter melitupi kawasan-kawasan di bandar raya ini.
Menurut syarikat penerbangan terbesar Jepun, All Nippon Airways (ANA) Holdings, sebanyak 338 penerbangan domestik dan 12 penerbangan antarabangsa terpaksa dibatalkan semalam.
Di Kawasaki, dua buah kereta api bertembung selepas brek kenderaan itu gagal berfungsi dengan baik akibat salji tebal, sehingga menyebabkan 19 orang penumpang mengalami kecederaan.
Tokyo Electric Power Co Inc. melaporkan lebih 246,000 rumah terputus bekalan elektrik semalam, dan sekurang-kurangnya 18,000 rumah masih tidak menerima bekalan elektrik, hari ini.
Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran kejadian ribut dan runtuhan salji mungkin berlaku di kawasan timur dan utara negara ini.
''Suhu 3.6 darjah Celcius di bawah paras beku dilaporkan berlaku di Karuizawa, awal pagi ini dengan salji di kawasan itu setebal kira-kira 90 sentimeter,'' jelas agensi berkenaan.
Lebuh Raya Nasional 18, yang menghubungkan wilayah Gunma dengan wilayah Nagano di kawasan utara Jepun ditutup, dengan hampir 250 buah kereta terkandas selepas kawasan berkenaan dilanda ribut salji.
''Kami membuka tiga buah dewan orang ramai bagi memberi perlindungan sementara kepada mereka yang terkandas, selain itu bekalan makanan turut diberikan kepada mereka,'' kata seorang pegawai kepada AFP.
Kementerian Pengangkutan turut menyalurkan bantuan seperti air dan tandas mudah alih kepada mangsa yang terkandas di lebuh raya itu. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140217/lu_02/Ribut-salji-landa-Jepun-12-maut#ixzz2tWVC5364
© Utusan Melayu (M) Bhd