Pages

Sunday, May 6, 2012

Hotel mewah dasar laut di Dubai

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

Lakaran artis projek hotel di dasar laut, Water Discus Hotel yang bakal dibina di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu. - AGENSI
DUBAI 5 Mei - Bandar raya Dubai di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) sememangnya terkenal sebagai tempat kediaman bagi orang kaya dan bagi memenuhi cita rasa golongan ini, sebuah hotel mewah di dasar laut bakal dibina di bandar raya itu.
Syarikat pembinaan Drydocks World telah menandatangani satu kontrak dengan syarikat Switzerland, BIG InvestConsult untuk membangunkan hotel di dasar laut di rantau itu, termasuklah projek Water Discus Hotel di Dubai, lapor news.au.com.
Rancangan pembinaan projek Water Discus Hotels itu melibatkan dua bangunan seperti kapal angkasa yang dibina di atas permukaan air dan di bawah permukaan air.
Hotel itu mempunyai tiga tiang dan satu struktur bangunan menegak yang menempatkan lif dan tangga yang menghubungkan bahagian atas permukaan dan bawah permukaan air.
Ia direka untuk menempatkan 21 bilik, pusat menyelam serta sebuah bar yang kesemuanya terletak 9.8 meter di dasar laut.
Setiap bilik turut dilengkapi pencahayaan khas bagi membolehkan tetamu melihat dengan jelas kehidupan di dasar laut.
Bagi mendapat pengalaman sebenar berada di dalam laut pula, pengunjung boleh menaiki kenderaan mini untuk mengelilingi kawasan dasar laut di sekitar hotel itu.
Deep Ocean Technology merupakan syarikat yang bertanggungjawab memperkenalkan teknologi ini.
Dubai juga menjadi tapak bagi projek "The World" - yang merupakan projek pulau-pulau berbentuk Bumi dengan kira-kira AS$18 bilion dibelanjakan untuk projek tersebut, termasuk projek Burj Khalifa, yang merupakan bangunan tertinggi di dunia. - AGENSI

373 cedera protes di Mesir

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


Tentera kerajaan bertempur dengan penunjuk perasaan di Dataran Abbasiya dekat Kementerian Pertahanan Mesir di Kaherah, kelmarin. - REUTERS
KAHERAH 5 Mei - Sekurang-kurangnya seorang terbunuh, manakala 373 lagi cedera selepas tentera Mesir menggunakan meriam air, gas pemedih mata dan batu untuk menyuraikan tunjuk perasaan yang cuba menceroboh bangunan Kementerian Pertahanan di sini, semalam.
Timbalan Ketua Perkhidmatan Ambulans, Ahmed Ansari berkata, seramai 82 orang yang cedera dihantar ke beberapa hospital di Kaherah.
Tentera menyifatkan tindakan mereka itu sebagai 'mempertahankan diri.
Pertempuran antara tentera dan penunjuk perasaan anti-tentera itu turut menyebabkan majlis tentera Mesir yang memerintah mengumumkan perintah berkurung sepanjang malam di kawasan berhampiran tunjuk perasaan.
Dalam satu ucapan di televisyen, Jeneral Mukhtar al-Mulla, anggota Majlis Tertinggi Angkatan Bersenjata Mesir (SCAF) berkata, perintah berkurung dikuatkuasakan di Dataran Abasiah dan sekitar Kementerian Pertahanan.
Beratus-ratus tentera mengawal kementerian itu awal semalam ketika penunjuk perasaan mula memotong dawai berduri yang diletakkan di sekitar bangunan tersebut.
Ketegangan di Mesir memuncak selepas 11 orang terbunuh dalam pertempuran pada Rabu lalu apabila penyerang yang tidak dikenali menembak penunjuk perasaan yang berhimpun di luar bangunan Kementerian Pertahanan. - AGENSI

Teknologi bom implan ancam AS?

Teknologi bom implan ancam AS? - Global - Sinar Harian:

teknologi implan bom
Musuh AS didakwa mungkin menggunakan teknologi implan bom yang ditanam dalam tubuh untuk melancarkan serangan ke atas pesawat.
WELLINGTON - Amerika Syarikat (AS) kini sedang membuat pemantauan terhadap kemungkinan kumpulan pengganas menggunakan taktik baru dalam cubaan untuk melancarkan serangan ke atas pesawat negara itu, menurut Ketua Keselamatan Dalam Negeri, kelmarin.

Janet Napolitano mendakwa pengebom berani mati mungkin menggunakan teknologi implan bom (bom ditanam dalam tubuh) sebagai satu daripada strategi mereka.

Napolitano turut memberi beberapa contoh termasuk pengebom seluar dalam warga Nigeria, Umar Abdulmutallab, 25, yang didakwa cuba untuk meletupkan pesawat penerbangan Northwest Airlines semasa Hari Natal pada 2009 tetapi gagal dan hanya menyebabkan kebakaran kecil.

Februari lalu, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara seumur ke atas Abdulmutallab.

“Kami masih tidak mempunyai bukti atau menerima ancaman berhubung bom tubuh ini tetapi hasil kajian pihak berkuasa mendapati teknologi itu mungkin menjadi pilihan utama musuh untuk meletupkan pesawat,” katanya lagi.

Beliau yang berada di New Zealand untuk menandatangani perjanjian perkongsian maklumat juga menegaskan kononnya AS telah mengambil pelbagai langkah keselamatan di beberapa lapangan terbang yang sememangnya tidak akan disedari oleh penyerang bom tubuh.

25 peratus penipuan profil FB

25 peratus penipuan profil FB - Global - Sinar Harian: "CALIFORNIA - Kira-kira satu daripada empat pengguna laman sosial, Facebook menipu mengenai profil mereka untuk menarik minat lelaki atau wanita.

Keputusan tinjauan itu didedahkan siasatan laporan pengguna minggu ini bertajuk ‘Facebook dan Privasi Anda’.

Menurut laporan tersebut, sebanyak 25 peratus pengguna Facebook daripada 2,000 keluarga mengaku telah memalsukan maklumat dalam profil mereka untuk keselamatan identiti.

Sesetengah pengguna dikenal pasti mencipta profil menggunakan nama-nama palsu atau tidak lengkap bagi menyembunyikan identiti sebenar daripada majikan atau pekerja bawahan dan ada yang melakukan perkara itu sekadar untuk berseronok."

'via Blog this'

5 tertuduh 'boikot' prosiding Guantanamo Bay

5 tertuduh 'boikot' prosiding Guantanamo Bay - Global - Sinar Harian:

5 tertuduh 'boikot' prosiding Guantanamo Bay
Dua daripada lima tertuduh muncul di mahkamah di Guantanamo Bay,
semalam. - Foto ihsan CNN
GUANTANAMO BAY - Pendirian membisu dan radang lima tertuduh termasuk individu didakwa sebagai dalang peristiwa 11 September 2001, Khalid Sheikh Mohammed - dilihat sebagai tindakan memboikot dan memprotes - menyebabkan kelewatan prosiding mahkamah yang dikendalikan di kem tahanan suspek pengganas Guantanamo Bay, semalam.

Prosiding hari pertama di depan hakim mahkamah tentera yang sepatutnya selesai dalam beberapa minit berlarutan beberapa jam.

Mahkamah bersidang sehingga lewat malam semalam untuk mendengar percakapan kelima-lima tertuduh berhubung pertuduhan dibacakan.

Sikap membisu defendan termasuk sesetengah mereka tidak mempedulikan hakim dan yang lain seolah-olah sedang membaca telah melewatkan perjalanan proses mahkamah.

Penahanan suspek pengganas dan perbicaraan mereka di pangkalan Guantanamo Bay menjadi isu kontroversi beberapa tahun lalu.

Sesetengah suspek telah dipindahkan manakala ada yang mula didengar di mahkamah terbuka.

Menurut laporan CNN, Kemunculan Khalid Sheikh dan empat lain adalah di mahkamh tentera adalah yang pertama sejak pertuduhan dikenakan ke atas mereka.

Selain Khalid Sheikh, turut dibawa ke mahkamah semalam ialah Walid Muhammad Salih Mubarak 'Attash, Ramzi Binalshibh, Ali Abdul Aziz Ali dan  Mustafa Ahmed Adam al Hawsawi.

Kelima-lima mereka berhadapan dengan tuduhan keganasan, merampas pesawat, membunuh, menyerang orang awam dan objek-objek awam dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas orang ramai selain merosakkan harta.

Dua pelajar lemas di Sungai Machang

Berita Harian Online | Dua pelajar lemas di Sungai Machang:

5 mandi sungai balik dari rumah guru silat

KOTA BHARU: Kegembiraan lima pelajar mandi di Sungai Machang, Limbat dekat sini berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas, petang semalam. 

Difahamkan, sebelum kejadian kira-kira jam 5 petang, mangsa, Wan Muhammad Nadzri Wan Mahmud Sabri, 14, dan Abu Hamid Fadzir, 14, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Rahmah, Kubang Kerian pergi ke rumah guru silat mereka untuk berlatih, tetapi terpaksa berpatah balik kerana gurunya tiada di rumah.
Ibu Abu Hamid, Sabariah Jaafar, 46, berkata anak keenam daripada 14 beradik itu keluar rumah kira-kira jam 4 petang bersama rakannya, Wan Muhammad Nadzri dengan menaiki basikal untuk belajar silat di rumah guru mereka.
Bagaimanapun, dia dikejutkan dengan kejadian lemas membabitkan anaknya itu apabila seorang rakan arwah datang ke rumah dalam keadaan cemas kira-kira jam 6 petang. 

“Sebelum kejadian, saya melarangnya keluar kerana cuaca mendung pada petang itu, namun dia tetap berkeras untuk keluar bersama rakannya. 

“Saya diberitahu, pada mulanya mereka keluar untuk belajar silat di rumah tok guru (silat) yang berdekatan dengan sungai itu, namun disebabkan guru silat tiada di rumah, mereka ke sungai untuk mandi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Paduka, Kubang Kerian di sini, semalam. 

Seorang saksi, Mohd Yusof Mohd Yunus, 60, berkata dia sedang menjala ikan berhampiran tempat kejadian sebelum rakan mangsa datang meminta pertolongan untuk menyelamatkan mangsa. 
"Saya bergegas ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku, namun sudah terlambat kerana kedua-dua mangsa tenggelam sebelum saya menghubungi bomba. 

"Kejadian itu berlaku begitu pantas dan saya tidak sempat menyelamatkan mangsa, malah hujan lebat selepas kejadian menyebabkan penduduk kampung sukar memberi pertolongan dan terpaksa menunggu bantuan bomba," katanya. 

Ketua Penguasa Bomba Zon Kota Bharu, Mohd Syukri Ismail, berkata gerakan mencari mangsa dilakukan Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan dan menemui mayat Wan Mohd Nazri pada jam 6.51 petang manakala mayat Abu Hamid, jam 8.15 malam. 

Komunikasi tentera AS tak boleh disekat

Berita Harian Online | Komunikasi tentera AS tak boleh disekat:





2012/05/06

CAPE CANAVERAL: Komunikasi tentera Amerika Syarikat tidak akan dapat diganggu atau disekat tidak lama lagi selepas negara itu melancarkan roket kawalan jauh, Atlas 5, dari Stesen Tentera Udara di sini kelmarin. 

Atlas 5 setinggi 60 meter menghantar bahagian kedua satu rangkaian satelit telekomunikasi tentera terkini Amerika ke orbit.
Roket itu dibangunkan oleh United Launch Alliance, berlepas dari tapak pelancar tepi laut jam 2.42 petang waktu tempatan ketika cuaca mendung.
Satelit komunikasi tentera diberi nama Frekuensi Amat Tinggi Terbaru (AEHF) diletak di bahagian depan roket berkenaan yang dipasang penutup. 

Satelit itu dibangunkan syarikat Lockheed Martin Corp dan sebahagian empat satelit bertujuan membenarkan komunikasi global berkelajuan tinggi, selamat dan lancar untuk kegunaan tentera Amerika serta rakan kongsi termasuk Britain, Kanada dan Belanda. 

“Pelancaran satelit ini adalah langkah kritikal pertama untuk memberi keupayaan kepada tentera kami di seluruh dunia,” kata Leftenan Tentera Udara Kristin Hoover, seorang anggota pasukan AEHF, ketika mengulas menerusi siaran web. 

Satelit pertama AEHF dilancarkan pada 14 Ogos 2010 namun mengambil masa 13 bulan untuk sampai ke orbit operasi akibat masalah dengan sistem penggerak kapal angkasa. 
Penyiasat mengenal pasti bahawa satu serpihan menghalang enjin satelit berisi cecair penggerak daripada dihidupkan. 

Anggota pasukan penyelenggara menghabiskan lebih setahun untuk memandu kapal angkasa ke kedudukan 35,890 kilometer di atas khatulistiwa menggunakan enjin penggerak kecil. 

AEHF-1 diserahkan kepada skuadron operasi tentera dua minggu lalu. Rangkaian AEHF ialah satu susulan kepada satelit komunikasi Milstar. 

Setiap satu kapal angkasa baru memiliki 10 kali ganda keupayaan daripada satelit tunggal Milstar, kata pengulas pelancar, Don Spencer. 

Satelit AEHF yang bernilai lebih AS$1 bilion (RM3 bilion) setiap satu untuk dibina, direka untuk tahan selama 14 tahun. 

Pelancaran itu adalah yang ke-30 sebuah roket Atlas 5, semuanya berjaya diterbangkan. Roket itu dalam proses naik taraf untuk turut membawa angkasawan. - Reuters 

sekeluarga dipenjara kerana seksa pengantin remaja

myMetro3 sekeluarga dipenjara kerana seksa pengantin remaja: "KABUL: Tiga sekeluarga dihukum penjara 10 tahun kerana bersubahat menyeksa seorang remaja yang dikahwinkan dengan lelaki berusia, kata pihak berkuasa semalam.

Bagaimanapun, pertubuhan hak asasi manusia, Women For Afghan Women, berpendapat hukuman itu tidak setimpal dan akan mengemukakan rayuan.


Teruduh didapati bersalah memenjara Sahar Gul, 15, di tingkat bawah rumah suaminya yang jauh lebih tua di wilayah Baghlan pada Disember tahun lalu.

Selain dikurung, Sahar juga dibelasah, dicucuh dengan api dan dicabut kukunya kerana tidak memuaskan hati suami dan keluarga mentuanya.


Suami Sahar dan seorang iparnya yang didakwa bersubahat dalam insiden itu masih belum ditangkap. - AFP"

'via Blog this'

Strauss-Kahn dituduh terbabit rogol beramai-ramai

myMetroStrauss-Kahn dituduh terbabit rogol beramai-ramai:


PARIS: Bekas Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn, sekali lagi berdepan tuduhan salah laku seks.
Kali ini, hakim mengarahkan polis menjalankan siasatan terhadap dakwaan Strauss-Kahn terbabit dalam insiden rogol beramai-ramai dan pesta seks ganas.

Menurut media semalam, Strauss-Kahn mungkin terbabit bersama tiga rakannya melanggan pelacur dan mengadakan hubungan seks “di luar kerelaan” wanita terbabit.
Sumber berkata, setiap pelacur itu dibayar £800 RM3,928) satu malam.

“Insiden itu berlaku di sebuah lokasi di Washington,” katanya.

Jika didapati bersalah, Strauss-Kahn boleh penjara sehingga 20 tahun.
Siasatan itu dijalankan selepas seorang pelacur Belgium - dikenali sebagai Marion - tampil mengemukakan bukti.

Ketika disiasat polis, Marion berkata, Strauss-Kahn, 63, menggunakan kekerasan ke atasnya untuk hubungan seks beramai-ramai.
Katanya, Strauss-Kahn mencengkam tangannya sebelum menarik rambutnya. - TS

Air mata wanita

myMetroAir mata wanita:

pix_middle
AKTIVIS hak asasi wanita India menangis ketika menyertai demonstrasi di New Delhi, semalam. Protes itu diadakan untuk membantah jenayah ke atas wanita di negara itu serta kegagalan polis menanganinya.

Ejen rahsia AS takut polis

myMetroEjen rahsia AS takut polis:


BOGOTA: Seorang daripada pelacur yang menjadi tumpuan dalam skandal seks ejen Perkhidmatan Rahsia AS baru-baru ini, tampil menceritakan pengalamannya, semalam.
Selepas sekian lama menyembunyikan diri, Dania Suarez, muncul untuk ditemu bual stesen Radio W dan Carocol TV.

Menurut Dania, 24, ejen keselamatan yang sepatutnya mengawal keselamatan Presiden Barack Obama dalam lawatan ke Colombia kelihatan “sangat mabuk.” Katanya, dia juga boleh melihat semua kandungan dalam bagasi ejen terbabit kerana ia dibiarkan terbuka.
“Jika saya seorang pengintip, dokumen dalam bagasi itu mudah saja dicuri,” katanya.

Diana berkata, dia bertemu dengan ejen terbabit - dikenali sebagai Arthur Huntington - di sebuah disko di Cartagena ketika mereka menari bersama.

“Dia tak pandai menari, dan saya mula meraba-raba tubuhnya,” katanya. Berdasarkan pemerhatiannya, Diana yakin Huntington tidak berniat mencari pelacur di disko berkenaan.
Katanya, apabila pulang ke bilik hotel, Huntington tertidur.

Bagaimanapun, Diana enggan menjawab soalan sama ada dia mengadakan hubungan seks dengan ejen terbabit.
“Jika saya menjawab soalan ini, kamu akan tahu apa yang berlaku,” katanya. Apabila terjaga semula, kata Diana, Huntington berasa dia tidak layak membayar upah kepada pelacur itu kerana tidak sedar apa yang berlaku sebelumnya.

Keadaan itu menyebabkan mereka bertengkar mengenai nilai bayaran yang perlu diselesaikan. Kata Diana, dia tidak menganggap dirinya pelacur, sebaliknya sekadar peneman.

“Pelacur adalah wanita kelas lebih rendah yang hanya mampu tinggal di rumah tumpangan,” katanya.

Dia juga mengesahkan ejen itu pada awalnya menawarkan upah AS$30 (RM90) kepadanya sehingga mereka bertengkar hebat di pintu bilik.

Kekecohan itu memaksa kakitangan hotel berkenaan memanggil polis untuk membantu meredakan keadaan tetapi Huntington merayu pihak berkuasa tidak dibabitkan.

Selepas beberapa ketika, mereka mengumpul wang berjumlah AS$250 (RM760) sebagai bayaran untuk Diana.

Huntington kini tidak lagi berkhidmat dengan agensi keselamatan itu atas sebab-sebab tertentu. - ABCN

Bulan paling besar semalam

Kosmo! Online - Dunia:




GAMBAR pada 3 Mei lalu menunjukkan bulan mengambang penuh di langit Huntsville, dalam negeri Alabama, Amerika Syarikat.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Penduduk Bumi dapat melihat imej bulan yang paling besar sepanjang tahun ini semalam.
Keadaan itu berlaku apabila kedudukan bulan paling dekat dengan Bumi pada jarak 357,000 kilometer.
Posisi tersebut adalah 24,600 kilometer lebih dekat daripada purata jarak Bumi dengan bulan.
Saintis Balai Cerap Tentera Laut AS, Geoff Chester berkata, pada kedudukan tersebut, bulan akan kelihatan 14 peratus lebih besar daripada biasa.
"Namun, anda sukar mengesan perbezaan ini dengan menggunakan mata kasar," kata Chester.
Menurutnya, fenomena itu yang dinamakan adibulan, akan menyebabkan kejadian air pasang besar ekoran jajaran Bumi dan bulan yang dekat.
Namun, beliau menolak mitos Barat yang mengaitkan fenomena adibulan dengan peristiwa luar biasa termasuk ramai orang akan menjadi kurang siuman dan bencana alam akan meningkat. - Agensi

9 mayat ditemui tergantung, 14 tanpa kepala

Kosmo! Online - Dunia:



MAYAT sembilan individu tidak dikenali tergantung di sebuah jambatan di bandar Nuevo Laredo, Mexico kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO - Sembilan mayat ditemui tergantung di sebuah jambatan di bandar Nuevo Laredo, dalam negeri Tamaulipas di timur laut Mexico, lapor media tempatan.
Laporan berkenaan yang memetik kenyataan pihak berkuasa, menyatakan terdapat kesan penyeksaan pada mayat lima lelaki dan empat wanita terbabit dengan mata mereka turut ditutup.
Bandar Nuevo Laredo dihuni oleh 370,000 penduduk dan terletak tidak jauh dari bandar Laredo di sebelah sempadan Amerika Syarikat.
Pada hari yang sama, polis turut menemui 14 mayat tanpa kepala di dalam sebuah kenderaan di pusat bandar ini.
Polis kemudian menemui kepala-kepala mangsa di dalam beberapa bekas ais di luar bangunan majlis perbandaran Nuevo Laredo.
Identiti mangsa belum dikenal pasti setakat ini.
Polis percaya pembunuhan kejam itu mempunyai kaitan dengan sengketa beberapa kartel dadah yang beroperasi di bandar berkenaan.
Lebih 50,000 orang terbunuh sejak lima tahun lalu dalam jenayah terancang di Mexico. - Agensi

McNear cinta pertama Obama

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR tidak bertarikh menunjukkan Alex McNear (bulatan) bergambar bersama beberapa pekerja syarikatnya, GreenLogic.


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Wanita pertama yang berjaya menambat hati Presiden AS, Barack Obama ternyata bukan isterinya, Michelle Obama.
Dalam pendedahan tentang kisah cinta pemimpin negara paling berkuasa di dunia itu semalam akhbar dalam talian MailOnline melaporkan wanita pertama yang dicintai Obama adalah seorang gadis kulit putih, Alex McNear.
Kini mengendalikan sebuah syarikat pembekal tenaga mesra alam, McNear tinggal di sebuah banglo berharga AS$2 juta (RM6 juta) di New York.
Ibu tunggal beranak satu itu dilaporkan mengundi Obama dalam pilihan raya Presiden pada 2008.
Akhbar berkenaan tidak mendedahkan punca hubungan mereka terputus di tengah jalan tetapi McNear akhirnya mengahwini seorang peninju Serbia, Bob Bozic.
Bozic pernah menentang peninju legenda, Larry Holmes pada 1973 tetapi kecundang.
Mereka berkahwin pada 1987 dan hidup bersama selama tujuh tahun sebelum memilih untuk bercerai.
Bozic, 61, kini berkerja sebagai pelayan bar manakala McNear, 51, pula menguruskan syarikat tenaga boleh diperbaharui, GreenLogic, di New York.
Setelah berpisah dengan McNear, Obama bercinta dengan seorang lagi wanita kulit putih, Genevieve Cook sebelum berkenalan dan mengahwini Michelle Obama.
Kisah cinta Obama didedahkan pada minggu ini dalam sebuah buku biografi mengenai presiden berkenaan oleh penulis AS, David Maraniss.
Ketika ditanya berhubung pendedahan tersebut, McNear memberitahu akhbar MailOnline: "Saya tidak mahu diwawancara."
"Saya cuma memberikan satu temu bual kepada Maraniss dan tiada apa lagi yang saya ingin katakan," tambahnya.
Ditanya sama ada dia akan keluar temu janji bersama Obama jika Presiden AS berkenaan kembali mendambakannya, McNear berkata, "selamat tinggal" dan memutuskan talian.
Dalam wawancara bersama Maraniss, wanita itu berkata, mereka berkenalan ketika belajar di Kolej Occindental di California.
Perkenalan tersebut membawa kepada hubungan cinta musim panas di New York ketika kedua-duanya berusia 20 tahun pada 1981.
Ketika itu, Obama berpindah ke Universiti Columbia di New York untuk menamatkan pengajiannya. - Agensi