Pages

Saturday, September 15, 2012

YouTube: Klip kontroversi kekal, disekat di Libya dan Mesir


YouTube: Klip kontroversi kekal, disekat di Libya dan Mesir
Pejabat Konsul Amerika Syarikat di Benghazi, Libya terbakar dalam serangan Selasa lalu. - Foto ihsan CNN
WASHINGTON - YouTube mengambil langkah menyekat akses buat sementara waktu kepada klip kontroversi yang mencetuskan kemarahan umat Islam di beberapa negara termasuk Libya, yang turut menyaksikan Duta Amerika Syarikat (AS) terbunuh.

Dalam kenyataan dibawa CNN, YouTube berkata, treler 13 minit yang menyinggung perasaan umat Islam tidak boleh akses menerusi YouTube di Libya dan Mesir buat sementara waktu.

"Kami bekerja keras untuk mewujudkan satu komuniti di mana setiap orang boleh menikmati dan yang membolehkan setiap orang melahirkan pandangan yang berbeza," kata YouTube menerusi e-mel kepada CNN.
Sekurang-kurangnya sembilan orang telah dilaporkan maut dalam serangan dan protes setakat ini termasuk empat warga AS.
"Ini satu cabaran kerana apa yang OK di sesebuah negara, adalah sebaliknya di negara lain," kata firma itu.

"Video ini, yang boleh didapati dengan meluas di Web, diadakan mengikut garis panduan kami dan akan kekal di YouTube.

"Bagaimanapun, melihat kepada situasi sukar di Libya dan Mesir, kami sekat buat sementara di kedua-dua negara," kata YouTube lagi.

Laporan menyebut Afghanistan telah mengharamkan akses kepada YouTube ekoran kemunculan trailer itu.

"Kami telah diminta menutup YouTube daripada diakses oleh publik Afghan hingga video itu dikeluarkan," kata Aimal Marjan dari Kementerian Penerangan dan Teknologi dipetik Reuters.
Garis panduan YouTube mengharamkan penggunaan ruang itu untuk muat naik bahan-bahan lucah dan grafik atau elemen-elemen ganas yang tidak sewajarnya, dan mahu mereka yang memuat naik video menghormati undang-undang hak cipta.
Mengenai ucapan-ucapan kontroversial, YouTube berkata, "kami menggalakkan kebebasan berucap dan mempertahankan hak setiap orang untuk melahirkan pandangan-pandangan tidak popular."
"Bagaimanapun kami tidak menggalakkan ucapan mencetuskan kebencian," katanya.
Misteri siapakah pengarah filem anti- Islam Innocence of Muslims yang mencetuskan rusuhan di sekitar Mesir dan Libya masih menjadi tanda tanya
Filem yang membuat penggambaran di Amerika itu dan sudah memulakan tayangannya di panggung-panggung berskala kecil di Hollywood pada Jun lalu.
Sebelum ini, judul asal bagi filem itu dipercayai The Innocence of Bin Laden dan diarah serta skripnya ditulis oleh Sam Bacile, 52, dipercayai seorang ejen hartanah berbangsa Mesir yang menetap di AS.

Dia turut menyatakan telah memperolehi dana sebanyak AS$5 juta (RM15 juta) untuk membikin filem itu daripada 100 orang bangsa Yahudi lain.

Pemimpin anti-Islam hilang taring


Pemimpin anti-Islam hilang taring
Filem kontroversi Fitna memaparkan insiden 11 September 2001 yang disertakan terjemahan ayat al-Quran. Gambar kecil: Wilders.
AMSTERDAM - Ahli politik Belanda anti-Islam, Geert Wilders ternyata semakin hilang taring apabila parti pimpinannya kalah 11 kerusi yang disandang pada pilihan raya Parlimen, Rabu lalu.

Parti Wilders, Parti Pembebasan Belanda (PVV) kalah kepada dua parti kelompok teratas pimpinan Perdana Menteri, Mark Rutte, Parti Kebebasan dan Demokrasi Rakyat (VVD) dan Parti Buruh di bawah kepimpinan baru, Diederik Samsom.

Parti Rutte berjaya memperoleh kemenangan 41 kerusi manakala parti Buruh, 40 daripada 150 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Sepanjang proses berkempen dan pilihan raya, Wilders, ahli politik berhaluan kanan ditaja oleh kumpulan anti-Islam Amerika Syarikat (AS) melibatkan pembiayaan perlindungan polis dan membayar kos perundangan.

Beliau menjadi Ahli Parlimen Belanda sejak 2006 melalui kempen menentang Islam yang dianggap pembunuh kepada budaya negara dan nilai kebaratan sekali gus cukup dikenali sebagai tokoh kontroversi dalam era Islamofobia dunia.

Wilders pernah menghasilkan sebuah filem pendek bertajuk Fitna yang memaparkan imej serangan pengganas dan petikan ayat al-Quran pada 2008 sekali gus mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia.

Filem berdurasi 16.48 minit itu ditayangkan di internet pada 27 Mac 2008 sehingga Wilders disaman oleh Kerajaan Jordan selain diancam bunuh oleh kumpulan radikal Islam.

Dua tahun lalu, Wilders pernah mendapat pembiayaan kos guaman daripada kumpulan pemikir pro-Israel berpusat di Philadelphia, AS apabila didakwa menghasut kebencian kaum terutama terhadap masyarakat Islam.

"Saya percaya Islam adalah agama yang ganas dan bahaya, namun saya tidak memusuhi penganutnya," kata Wilders yang nekad mahu Eropah mengharamkan pendatang Islam  yang didakwa berideologi fasis.- Guardian

Protes film: Taliban serang Camp Bastion, pangkalan Putera Harry


Taliban sasar bunuh Putera Harry
Putera Harry (kiri) diberi taklimat di Camp Bastion, Afghanistan. - Foto ihsan oleh AP
LONDON - Putera Harry berada di Camp Bastion, di selatan Afghanistan, ketika Taliban melakukan serangan sebagai tindakan membalas dendam ekoran penerbitan filem menghina Islam.

Dua askar Marin Amerika Syarikat (AS) terbunuh dalam serangan itu.

Seorang jurucakap Taliban dipetik BBC berkata, serangan itu diadakan sebagai tindakan memprotes penerbitan filem Innocence of Muslims.

Bagaimanapun Nato memberitahu Reuters bahawa putera itu tidak berada dalam keadaan bahaya.

Putera Harry, 28, tiba di pangkalan tentera itu, yang terletak di kawan Helmand, antara kubu kuat Taliban, minggu lalu - untuk mengikuti penempatan selama empat bulan.

Jurucakap Taliban, Qari Yousef Ahmadi memberitahu BBC bahawa sasaran mereka ialah askar AS dan Britain.

Serangan itu, yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 10 malam waktu tempatan (1.30 pagi tadi waktu Malaysia) juga menyebabkan beberapa pesawat dan bangunan rosak.

Empat renjer terbunuh dalam serangan hendap di Selatan Thailand


BANGKOK - Empat renjer ditembak mati dan mayat mereka dibakar dalam satu serangan hendap oleh pemberontak di Muang, Yala hari ini.

Ketua Polis Muang Kolonel Akharin Busaman berkata semua anggota renjer itu dalam perjalanan ke Pekan Yala dengan menaiki sebuah pikap apabila mereka diserang hendap lima pemberontak di Satengnok, Muang pada 6.30 pagi.

Polis menemui 100 butir kelongsong peluru M16, AK47, senapang dan pistol di lokasi kejadian.

"Selepas kejadian tembak-menembak berakhir, pemberontak membakar pikap dan mayat keempat-empat mangsa," katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang individu yang disyaki pemberontak ditembak mati ketika terbabit dalam satu pertempuran bersenjata dengan pihak berkuasa di Kampung Bangtan, Bangkhao, Nongchik, Pattani pada 7.30 malam, semalam.

Ketua Polis Nongchik Kolonel Akom Bautong berkata bertindak atas satu maklumat, sekumpulan askar mengepung sebuah rumah di kampung itu dan berlaku kejadian berbalas tembakan kira-kira 10 minit antara pihak berkuasa dengan individu tersebut yang turut mempunyai waran tangkap terhadapnya.

Beliau berkata seorang anggota tentera cedera dalam kejadian itu.

Lebih 5,000 orang maut sejak puak yang disyaki kumpulan pemisah meneruskan kempen bersenjata mereka bagi memperjuang kemerdekaan tiga wilayah di selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala lapan tahun lepas. - Bernama

Media Barat syak Al-Qaeda serang duta AS di Libya


Media Barat syak Al-Qaeda serang duta AS di Libya
Lokasi Protes Anti-AS
TRIPOLI - Media barat mula mengeluarkan dakwaan masing-masing mengenai serangan di kediaman rasmi Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Benghazi, Libya yang membunuh empat rakyat AS pada Selasa lalu dilakukan oleh Al-Qaeda atau militan Libya yang ingin membalas dendam di atas kematian pemimpin mereka baru-baru ini.

Menurut laporan CNN Rabu lalu, kumpulan dibayangi pro-Al-Qaeda Imprisoned Abdul Rahman Brigades merupakan suspek yang paling disyaki di atas serangan susulan tersiarnya filem pendek menghina Nabi Muhammad SAW di laman Youtube seluruh dunia.

Kumpulan itu digelar sedemikian bersempena dengan individu Arab 'Sheik Buta' yang di penjara seumur hidup di AS kerana terlibat dalam konspirasi pengeboman pengganas di bandar New York dalam 1993 termasuk melancarkan satu serangan sebelumnya di bangunan kedutaan termasuk di Libya.

Dakwa barat lagi, serangan di bangunan kedutaan mungkin diinspirasikan oleh pemimpin Al-Qaeda, Ayman Al-Zawahiri demi menuntut bela di atas kematian pemimpin keduanya, Abu Yahya Al-Libi yang maut dalam serangan pesawat pengintip di Pakistan pada Jun lalu.

Di mata barat, kawasan timur Libya merupakan sarang kumpulan pelampau Islamis yang berkongsi penempatan bersama militan asing dengan satu tujuan iaitu menuju ke Iraq untuk berperang dengan AS. Dakwa mereka lagi, kehadiran pemberontak di Libya mencetuskan rasa bimbang Yayasan Warisan pada 2011.

Yayasan berkenaan mengeluarkan amaran bahawa militan di Libya semakin berkembang susulan kematian Muammar Gaddafi yang mana Al-Qaeda dilaporkan mula merekrut ahli-ahli untuk bertapak di negara itu.

Walaupun jumlah militan Islamis di Libya berkembang seiring dengan kehadiran pengintipan AS di kem latihan timur negara, ia tidak memberi jaminan bahawa kawasan kedutaan khasnya negara-negara barat di Libya selamat daripada serangan pengganas 100 peratus.

Pakar keselamatan pertahanan dan keselamatan dalam negeri, James Carafano berkata adalah sukar untuk menentukan sama ada bangunan kedutaan asing di negara yang diduduki kumpulan militan selamat.

"Adakah tahap keselamatan yang sesuai digunakan bagi menangani risiko yang sedia ada ini? Sememangnya ia menimbulkan banyak persoalan. Tapi nyata sekali tahap keselamatan di sini adalah kurang," katanya.

Lakhdar Brahimi temu Bashar, label konflik Syria 'amat bahaya'


Lakhdar Brahimi
Lakhdar Brahimi
DAMSYIK - Utusan khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Lakhdar Brahimi hari menegaskan bahawa konflik Syria yang terus bertambah buruk adalah satu “bahaya” kepada global.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden Bashar al-Assad.

"Kami membincangkan krisis Syria dan saya mengulangi, krisis ini sangat bahaya," kata beliau selepas mengadakan pertemuan selama sejam dengan Bashar di istana presiden di sini, hari ini.

Pertemuan hari ini dengan Bashar adalah yang pertama sejak dilantik ke jawatan ini bulan lalu.

Beliau menggantikan Kofi Annan.

"Krisis ini semakin buruk dan mendatangkan bahaya kepada rakyat Syria, rantau ini dan juga kepada seluruh dunia," kata beliau dipetik Reuters.

Anak tuntut harta ibu


Anak tuntut harta ibu
Rashid yang berkerusi roda di Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.
SEREMBAN – Seorang anak membuat tuntutan untuk mendapatkan harta ibunya yang telah meninggal dunia daripada ayahnya.

Tuntutan itu dibuat Norzay Rashid, 44, di hadapan Hakim Kamal Basha Muhammad di Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.

Dalam tuntutan yang difailkan pada 16 Februari 2012, Norzay memohon perintah mahkamah bahawa setengah daripada sebidang tanah milik bapanya, Rashid Jani, 75, yang dianggarkan bernilai RM150,000 diisytiharkan sebagai harta sepencarian bagi pihak ibunya, Kering Aman.

Malah, dia juga mahu bahagian harta arwah ibunya yang meninggal dunia pada 2008 dibahagikan mengikut faraid kepada setiap warisnya.

Norzay, dalam tuntutannya berkata, ayah dan ibunya berkahwin pada 1953 dan dikurniakan tujuh anak, iaitu enam perempuan dan seorang lelaki.

Namun, ibunya meninggal dunia empat tahun lalu dan bapanya berkahwin lain pada September 2009 sebelum menetap di hartanah tersebut.

Sementara itu, peguam, Hanif Hassan, yang mewakili Rashid berkata, anak guamnya kecewa dengan tindakan anak keenamnya itu dan telah membuat penyataan pembelaan serta tuntutan balas.

“Dalam tuntutan itu Rashid mendakwa kehidupannya tidak terurus sejak isteri pertama meninggal dunia dan kehidupannya berubah selepas berkahwin kali kedua.

“Malah pada 2011, plaintif dan anak-anaknya yang lain tidak pernah datang melawatnya yang sakit dan semua urusan penjagaannya diuruskan dengan baik oleh isteri sekarang,” katanya.

Menurutnya, pada 1998 anak guamnya mendapat wang tunai berjumlah RM1.6 juta hasil pengambilan tanah ladang seluas 3.6 hektar oleh Kerajaan Negeri.

Malah, katanya, Rashid telah membahagikan wang tersebut kepada isteri dan semua anaknya dengan masing-masing mendapat RM50,000 setiap seorang.

"Disebabkan kesal dengan tindakan anaknya itu, Rashid telah memfailkan tuntutan balas, iaitu menuntut plaintif memulangkan semula wang tunai berkenaan kepadanya berikutan pembatalan hibah yang dibuat olehnya.

"Anak guam saya juga menuntut hak bagi harta milik arwah isterinya, iaitu sebuah rumah yang kini diduduki oleh plaintif dan wang dalam akaun Tabung Haji serta barangan kemas yang kini dalam milikan plaintif sebelum bahagian itu dibahagikan mengikut faraid,” katanya.

Hanif berkata, anak guamnya juga menuntut plaintif memberikan nafkah kepadanya sebanyak RM1,000 setiap bulan sepanjang hayatnya. Kamal Basha menetapkan 12 Oktober ini untuk keputusan perbicaraan.

Gadis api diganggu rayu pakar perubatan tradisional


Gadis api terus diganggu
Wan Nor Fatihah menunjukkan api yang muncul secara tiba-tiba, ketika wartawan Sinar Harian menemu bualnya kelmarin.
Gadis api terus diganggu
Antara sebahagian telefon bimbit miliknya serta ahli keluarga yang turut terbakar selepas api misteri itu muncul.
KOTA BHARU - ’Gadis api’ yang mengalami masalah diekori api misteri sejak dua tahun lalu dari Kampung Penambang, Bunga Emas, di sini, hanya tenang ketika solat.

Wan Nor Fatihah Wan Hanafi, 14, meminta agar mana-mana pakar perubatan tradisional atau ustaz dapat merawat gangguan jin yang dikatakan berdampingan dengannya yang juga menjadi punca diekori api itu.

Menurutnya, sejak diekori api berkenaan, hidupnya tidak keruan selain sering dicemuh masyarakat kerana menimbulkan kekecohan di kawasan setempat, setiap kali diekori api misteri itu.

Wan Nor Fatihah berkata, dia begitu mengharapkan pertolongan pihak berpengalaman bagi merawat gangguan itu.

“Saya harap jika ada mana-mana ustaz atau bomoh, yang boleh merawat saya untuk buang gangguan jin ini.

“Lebih teruk lagi, apabila api misteri itu akan muncul hampir 11 kali setiap hari bermula awal pagi sehingga lewat malam, di dalam rumah dengan membakar pakaian, telefon bimbit, almari, selimut selain telefon bimbit dan kamera serta segala peralatan dalam rumah,” katanya.

Pada kunjungan ke rumahnya kelmarin, wartawan Sinar Harian turut merasai pengalaman mengenai kemunculan api misteri itu kira-kira jam 6 petang, hampir dua kali.

Seperti tidak percaya apa yang dilihat, api misteri itu muncul di permukaan kain dan keluarganya terpaksa bertungkus lumus memadamkan api itu.

Sementara itu menurut Wan Nor Fatihah lagi, insiden terbaru, menyebabkan rumah ibu saudaranya juga yang berada berdekatan, turut terbakar selepas dia serta neneknya Zainab Sulaiman, 75 berkunjung ke kawasan itu kelmarin.

“Sudah puas saya ikhtiar sendiri, bertemu berpuluh bomoh dan ustaz di Kelantan dan luar Kelantan, namun gangguan itu tetap muncul semula dan api itu akan muncul pada setiap masa.

“Saya sedih apabila masyarakat memandang serong terhadap diri saya, akibat kejadian ini saya hanya duduk di rumah dan tidak bercampur dengan penduduk sekitar,” katanya.

Biarpun dicemuh dan kecam, namun dia masih berharap ada sinar baru bagi dirinya yang ingin hidup seperti manusia normal lain, dan dapat bergaul dengan masyarakat setempat.

“Saya ingin menjalani hidup seperti orang lain juga, boleh berkawan dengan sesiapa sahaja dan tidak dibelenggu masalah ini setiap masa.

“Akibat kejadian itu, saya takut untuk berkunjung ke rumah orang lain, bimbang jika api misteri itu muncul dan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian,” katanya.

Menurut Zainab, dia sentiasa berharap agar cucunya itu dapat menjalani kehidupan lebih baik selepas ini dan pulih dari gangguan itu.

Ia bukan sahaja menyebabkan dia terpaksa hidup dalam ketakutan, malah anaknya Rafeah Zakaria, 42, yang merupakan ibu kepada Wan Nor Fatihah, selain dua cucunya, Wan Mohd Faiz, 16, dan Wan Nurfatini 12,  terpaksa menghadapi kebakaran yang berlaku tidak kira waktu dan ketika.

Mereka turut bertungkus lumus memadamkan api yang membakar apa sahaja yang ada di dalam kediaman mereka.

Sinar Harian sebelum ini, ada melaporkan mengenai kejadian terbabit yang menghantui gadis dan keluarganya itu sejak dua tahun lalu, namun walaupun pernah berubat dengan pelbagai pihak termasuk ustaz dan  berjumpa dengan pakar perubatan tradisional, namun kejadian itu tetap mengganggunya dan keluarga sehingga kini.

Lukisan dibeli dengan harga RM21 di pasar lambak bernilai lebih RM300,000

WASHINGTON: Seorang wanita dari Virginia membayar AS$7 (RM21.24) untuk sebuah lukisan Renoir yang dibeli di pasar lambak, akan menjual lukisan itu dengan harga yang tinggi, bulan ini.

Lukisan itu dinilai pada harga AS$75,000 hingga AS$100,000 (RM227,535 hingga RM303,380) menurut pelelong Potomack Co, yang menguruskan penjualan lukisan Paysage Bords de Seine oleh pelukis impresionis Pierre-Auguste Renoir.
Ketika membeli-belah di pasar lambak di Virginia Barat, dua tahun lalu, wanita itu, yang enggan namanya didedahkan, menemui lukisan itu dalam sekotak barang-barang lama.

Ketika dia membersihkan rumahnya daripada barang-barang yang tidak diperlukan lagi, baru-baru ini, dia terjumpa kembali lukisan yang dibeli. Ibunya menyuruh dia menilai harga lukisan itu.


Wanita bertuah itu bercadang untuk membawa ibunya ke Perancis selepas jualan lelong dan membawa sejambak bunga ke pusara Renoir. - Agensi

Paus digesa minta maaf




         
DOHA: Satu kumpulan Islam yang diketuai oleh ulama berpengaruh Sheikh Yusuf al-Qaradawi semalam menuntut Paus Benedict XVI meminta maaf kepada umat Islam ekoran kenyataan bersifat hasutan yang dibuatnya pada 2006.

Kesatuan Cendekiawan Islam antarabangsa yang berpangkalan di Qatar itu turut menuduh Paus terbabit mengapi-apikan ‘hasutan’ antara umat Islam dan Kristian dalam satu kenyataan, serentak dengan bermulanya kunjungan tiga hari Ketua Vatican itu ke Lubnan.


Kesatuan itu “menuntut Ketua Vatican itu meminta maaf kepada umat Islam atas apa yang dikatakan dalam ucapannya di Jerman...seperti mana dia telah meminta maaf kepada orang Yahudi,” kata kenyataan itu.

Pada 2006, Benedict menyinggung perasaan umat Islam apabila mengaitkan Islam dengan keganasan dalam satu ucapan di Universiti Regensburg, di selatan Jerman.


Kesatuan itu yang dipengerusikan Qaradawi yang dilahirkan di Mesir berkata, ia telah “cuba untuk berdialog dengan Vatican” tanpa kejayaan dan menuntut Benedict “supaya meminta maaf tetapi dia tidak berbuat demikian”.


Ia menuduh Benedict “mengapi-apikan hasutan antara rakan dalam satu negara’, merujuk kepada umat Islam dan penganut Kristian di Lubnan, dengan “merancang untuk menandatangani Deklarasi Paus yang mengandungi mesej dan idea berbahaya.” Mesej itu, termasuk “amaran mengenai islamisasi dalam masyarakat dan menyebarkan kebimbangan di kalangan penganut Kristian terhadap politik Islam di rantau berkenaan,” kata kenyataan itu. - AFP

Filem anti-Islam satu provokasi: PM Turki




         
YALTA (Ukraine): Filem yang menghina Islam dan mencetuskan bantahan di seluruh dunia Islam adalah satu provokasi terhadap umat Islam, tetapi tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk keganasan, kata Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, semalam.

“Ini adalah provokasi kuat terhadap cara kehidupan kita,” katanya dalam satu ucapan dalam persidangan di Yalta, pusat peranginan Laut Hitam di Ukraine.


“Menghina Nabi Muhammad tidak boleh dianggap sebagai kebebasan bersuara. Agama dan Nabi adalah nilai suci yang tidak boleh disentuh,” katanya.

“Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan agar orang yang tidak bersalah diserang atau disakitkan.


“Tindakan itu tidak boleh dijadikan alasan khususnya oleh Islam. Tiada siapa atas nama Islam boleh bertindak sebagaimana yang berlaku di Libya iaitu menyerang utusan Amerika Syarikat di Benghazi,” katanya. Pegawai kerajaan AS dan Libya masih menyiasat serangan terhadap konsulat AS di Libya yang membunuh duta dan tiga rakyat negara itu ketika spekulasi tersebar meluas menyatakan ia adalah tindakan militan dan bukan penunjuk perasaan. - AFP

Lelaki seiras Saddam diculik, diugut berlakon sebagai diktator Iraq dalam filem porno

pix_middle
KAHERAH: Seorang lelaki dengan wajah seiras Saddam Hussain mendakwa sekumpulan samseng cuba menculik dan memaksanya menyamar sebagai diktator terkenal itu untuk berlakon dalam filem porno melampau.
Warga Mesir, Mohamed Bishr yang saling tak tumpah menyerupai bekas pemerintah kuku besi itu mendakwa dipaksa melakukan perbuatan itu oleh kumpulan samseng berkenaan minggu lalu.p>
Kumpulan yang tidak dikenal pasti itu memberitahunya, mereka akan menyiarkan rakaman palsu itu sebagai pita porno asli Saddam dan menjualnya ke seluruh dunia bagi mendapatkan wang.

Pada awalnya mereka berkata, akan membayarnya 205,000 pound (RM1.09 juta) untuk adegannya dalam kerjasama itu, tetapi kemudian membelasahnya apabila dia enggan.p>
Mohamed dari Iskandariah berkata, dia turut menerima ugutan melalui panggilan telefon mengatakan dia akan diculik jika dia enggan berlakon dalam filem itu. p>
Mohamed yang warak berkata, pada minggu lalu, tiga lelaki berpakaian hitam keluar dari van dan memaksanya untuk memasuki belakang kenderaan itu.


Dia memberitahu akhbar harian Mesir, Al-Ahram: “Tiga lelaki itu yang mempunyai pistol tersisip di tali pinggang mereka memaksa saya keluar dari kereta dan menolak saya ke dalam sebuah van sambil memukul kepala saya.” p>
Menurutnya, orang yang lalu lalang berhimpun di tempat kejadian, tetapi amat takut untuk campur tangan dan perkara terakhir yang diingatnya, dia dicampak dari van ke kaki lima.

Mohamed juga telah diserang beberapa kali pada masa lalu oleh rakyat Iraq yang menetap di Mesir.

Kebanyakan mereka tersilap menganggapnya sebagai pemimpin mereka yang diguling (dihukum mati di penjara Baghdad pada Disember 2006) dan mahu menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan ganjaran. Dia terpaksa berpindah rumah beberapa kali bagi mengelak diganggu.

Anak lelakinya, Mahmoud berkata: “Kami meminta polis supaya memberi perlindungan khas kepada bapa kami kerana perkara ini sudah berlaku beberapa kali.” - TS

Ratusan orang terapung di Laut Mati




RATUSAN orang menyertai acara terapung beramai-ramai di Laut Mati dekat resort Ein Boqeq, Israel kelmarin.


TEL AVIV - Ratusan orang terapung di Laut Mati yang mengandungi kandungan tinggi garam dekat resort Ein Boqeq, Israel kelmarin.
Mereka menyertai tunjuk perasaan bagi membangkitkan kesedaran tentang kualiti alam sekitar di kawasan laut tersebut.
Para aktivis alam sekitar menuntut laut tersebut tersebut memerlukan perlindungan daripada masyarakat antarabangsa dan pemerintah Israel bagi mengelak ia mengalami kemusnahan. - Agensi

Rusuhan terburuk bantah hina Rasulullah di Mesir



SEKUMPULAN peguam Kashmir melaungkan slogan kecaman semasa mengadakan demonstrasi terhadap filem anti-Islam, Innocence of Muslims di bandar Srinagar semalam.


KAHERAH - Sejumlah 300 penunjuk perasaan bertempur dengan polis dekat Kedutaan Amerika Syatrikat (AS) di sini semalam kerana marahkan sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad SAW.
Media tempatan melaporkan seramai 224 orang cedera sejak keganasan tercetus di ibu negara Mesir itu di sini sejak Rabu lalu kerana membantah filem biadab itu.
Satu tunjuk perasaan besar-besaran kemudian diadakan di seluruh Mesir semalam. Protes tersebut dianjurkan oleh pergerakan Islam terbesar di negara itu, Ikhwanul Muslimin.
Kira-kira 5,000 penunjuk perasaan di bandar Khartoum, Sudan menyerbu Kedutaan Britan dan Jerman ekoran filem tersebut.
Kedua-dua kedutaan itu dibakar dan mengalami kerosakan, kata seorang wartawan agensi beritaAFP.
Para penunjuk perasaan turut bertempur dengan polis di Yemen menyebabkan seorang meninggal dunia manakala 15 lagi cedera apabila perkarangan Kedutaan AS di negara berkenaan diserbu kelmarin.
Filem anti-Islam, Innocence of Muslims dipersalahkan berhubung serangan ke atas konsulat AS di bandar Benghazi, timur Libya yang meragut nyawa Duta AS, Chris Stevens dan tiga warganegara kuasa besar itu pada Selasa lalu.
Di Nigeria, polis negara itu diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga manakala tahap keselamatan di sekitar kedutaan asing turut dipertingkatkan.
Tindakan tersebut dilakukan selepas kumpulan Islam Boko Haram membunuh beratus-ratus orang dalam penentangan yang tercetus di Nigeria pada tahun ini.
Bantahan turut diadakan di wilayah Palestin dengan beribu-ribu orang berkumpul di Genting Gaza manakala ratusan yang lain berhimpun di Baitulmuqaddis.
Kumpulan penunjuk perasaan berkenaan bertempur dengan polis Israel di Baitulmuqaddis.
Di Gaza, penunjuk perasan mengibarkan bendera Hamas dan pergerakan Jihad Islam serta membakar beberapa bendera AS sambil melaungkan slogan meminta as dan Israel dihapuskan.
Di Pakistan, beratus-ratus orang menunjuk perasaan di beberapa bandar raya utama di negara berkenaan untuk mengutuk filem Innocence of Muslims dengan sebahagian mereka mahukan penerbit filem tersebut dibunuh.
Sebahagian lagi penunjuk perasaan menuntut supaya diplomat-diplomat AS di Pakistan diusir.
Di bandar Lahore, timur Pakistan, ketua pertubuhan amal Jamaat-ud-Dawa, Hafiz Saeed mengetuai protes yang disertai oleh 500 orang bagi membantah filem tersebut.
AS sebelum ini menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM31.1 juta) ke atas Hafiz.
Dia menggesa pemerintah Pakistan supaya memanggil Duta AS bagi membantah filem anti-Islam itu.
"Kami mengutuk konspirasi menerbitkan filem anti-Islam ini. Tindakan keji ini merupakan konspirasi antarabangsa dari AS dan kami tidak akan menerimanya," kata Hafiz dalam protes tersebut.
Selain Pakistan, bantahan turut merebak ke seluruh Asia Barat termasuk Bangladesh, Indonesia, Malaysia, Kashmir, Iraq, Israel, Kuwait, Sudan dan Tunisia. - Agensi

Bekas PM Mesir dipenjara 3 tahun



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 September 2012
Ahmed Nazif
Bekas Perdana Menteri Mesir, Ahmed Nazif bersalah kerana memperoleh kekayaan secara tidak sah.
KAHERAH - Mahkamah Mesir, semalam menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda 9 juta pound (RM4.5 juta) ke atas bekas Perdana Menteri Ahmed Nazif selepas didapati bersalah kerana memperoleh kekayaan secara tidak sah.

Nazif yang melepaskan jawatannya pada akhir Januari tahun lalu turut didakwa menyalahgunakan kuasanya untuk mendapat pendapatan haram. Menurut kenyataan mahkamah, beberapa pegawai kanan dan ahli perniagaan yang menjalinkan hubungan rapat dengan beliau turut dipanggil untuk memberi keterangan berhubung kes tersebut.

Bekas Perdana Menteri yang turut digelar sebagai arkitek liberalisasi ekonomi Mesir itu didakwa pada Julai tahun lalu selepas dituduh merampas harta kerajaan dan menggelapkan dana awam. -AFP

Rangka ditemui mungkin milik Raja Richard III



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 September 2012
Rangka ditemui mungkin milik Raja Richard III
Menurut penyelidik rangka yang ditemui itu mempunyai kesan cedera akibat pertempuran.
LONDON - Ahli arkeologi Britain, kelmarin mengumumkan rangka yang ditemui di bawah kawasan parkir kereta di tengah England mungkin milik pemerintah Zaman Pertengahan, Raja Richard III.

Penyelidik dari Universiti Leicester,  Richard Taylor menyatakan hasil kajian mereka ke atas rangka berusia lebih 500 tahun itu menunjukkan ciri persamaan dengan raja yang memerintah England antara 1483 dan 1485.

“Kami sedang menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan sama ada ia milik Raja Richard atau tidak,” katanya. Difahamkan, usaha menggali semula kawasan sekitar tempat parkir kereta tersebut telah dimulakan  sejak tiga minggu lalu. - Reuters

Google enggan padam video hina Rasulullah




14 September 2012
Hamid Karzai
Presiden Afganistan, Hamid Karzai
Google enggan padam video hina Rasulullah
Penunjuk perasaan bertindak membakar kenderaan yang berada di luar Kedutaan AS di Kaherah, semalam. (Gambar:AP)
SAN FRANCISCO - Syarikat enjin pencari gergasi, Google yang juga pemilik laman perkongsian video Youtube, kelmarin menegaskan pendirian mereka untuk tidak memadam video menghina Nabi Muhammad SAW walaupun ia telah mencetuskan protes di kebanyakan negara di rantau Arab.

Dalam satu kenyataan, Google juga menolak tuntutan banyak pihak yang menggesa syarikat Internet gergasi itu untuk mengeluarkan video menyinggung perasaan orang Islam tersebut.

Menurut jurucakap Google, treler filem berdurasi 14 minit berjudul Innocence of Muslims dihasilkan oleh pengarah anti-Islam, Sam Bacile itu kononnya tidak melanggar polisi dan garis panduan Youtube.

Bagaimanapun, susulan daripada protes ganas pada Selasa lalu Google memutuskan untuk menyekat akses filem anti-Islam tersebut di Mesir dan Libya bagi tempoh sementara.

Difahamkan, di bawah prosedur Google, pengguna Youtube boleh melaporkan kandungan tidak senonoh atau tidak sesuai kepada kumpulan pemerhati syarikat itu di seluruh dunia.

 Sehingga semalam, tiada sebarang tindakan diambil dan video tersebut telah ditonton lebih 122,000 pengguna.

Sementara itu, Ketua Pengarah di Kementerian Komunikasi di Afghanistan mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menyekat akses video yang mempersendakan sifat Rasulullah tersebut.

“Tindakan itu diambil selepas Presiden Hamid Karzai mengutuk filem tersebut yang dianggap biadab dan menghina Islam. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan tunjuk perasaan ganas merebak ke negara ini,” kata Aimal Marjan.

Afghanistan menjadi negara pertama menyekat akses video itu kerana khuatir insiden protes ganas awal tahun lalu akan berulang. Februari lalu, sekumpulan penunjuk perasaan mengadakan tunjuk perasaan yang akhirnya bertukar ganas sebagai membantah tindakan tentera Amerika Syarikat (AS) membakar al-Quran di penjara Bagram, utara Kabul. - Reuters 

5 maut, protes Islam sasar Jerman dan UK



WARTAWAN SINAR HARIAN
14 September 2012
Protes umat Islam
Penyokong Tehreek Hurmat e Rasool mengadakan tunjuk perasaan di Lahore, Pakistan, hari ini. - Foto EPA
[DIKEMAS KINI] KHARTOUM - Sekurang-kurangnya lima terbunuh dalam protes umat Islam, yang marah dengan filem yang menghina Nabi Muhammad SAW, hari ini menyerang Kedutaan Jerman dan Britain di ibu negara Sudan, Khartoum.
Serangan ke atas kedutaan Barat juga disaksikan di Tunisia. Di Tunis, asap kelihatan di kawasan Kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Tiga orang terbunuh di Tunisia, seorang di Khartoum dan seorang lagi di Lubnan.
Perkembangan ini menunjukkan kali pertama, sejak Selasa lalu, kedutaan bukan AS diserang. Kedutaan AS menjadi tumpuan penunjuk perasaan sejak awal minggu ini.
Tunjuk perasaan yang bermula Selasa lalu berlarutan di beberapa negara di rantau Timur Tengah dan Utara Afrika.
Tunjuk perasaan juga diadakan di beberapa lokasi di Malaysia, anjuran badan-badan bukan kerajaan dan parti politik.
Protes bermula Selasa lalu ekoran pengeluaran filem Innocence of Muslims. Bagaimanapun identiti penerbit dan pengarah serta motif mereka masih misteri.
Protes tercetus ketika AS mengadakan majlis ulang tahun ke-11 memperingati serangan 11 September.
Selasa lalu, Duta AS ke Libya dan tiga yang lain terbunuh di Benghazi.
Di Khartoum, penunjuk perasaan memasuki kawasan premis Kedutaan AS.
Laporan BBC menyebut penunjuk perasaan membakar dan menurunkan bendera Jerman, dan menaikkan kain rentang dibawa mereka.
Di Kaherah, polis Mesir melepaskan tembakan gas ke arah 500 penunjuk perasaan dalam usaha meleraikan mereka dari kawasan protes di pekarangan Kedutaan AS. Serangan juga disaksikan di Sanaa, ibu negara Yaman.
Seorang dilaporkan terbunuh di Lubnan.
Presiden Mesir, Mohammad Mursi menggesa penunjuk perasaan agar bertenang.
Jalan-jalan utama di Kaherah dikenakan sekatan menggunakan dawai berduri, konkrit dan kenderaan polis.