SESETENGAH orang mempunyai tabiat menggigit kuku yang dianggap tidak sihat kerana boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

Tetapi, kembar berumur 50 tahun dari Bradford, England ini mempunyai ketagihan pelik akibat masalah gangguan makanan atau Pica yang menyebabkan mereka cenderung memakan bahan tertentu.

Adele mendakwa dia gemar memakan lilin sejak berumur lapan tahun dan ia langsung tidak mendatangkan kesan buruk kepada kesihatannya.

Kembarnya, Anita memberitahu dia mengalami Pica ketika hamil kira-kira 24 tahun lalu.

"Saya mula mengidam objek yang berbau seperti tiket bas lama dan akhirnya menemui bau sama pada buku terpakai. Rasanya juga lebih enak seperti memakan bar coklat," katanya.

Ahli psikologi, Marcia Karp memaklumkan terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang ketagih untuk mengambil 'makanan' pelik sepanjang hidup mereka.

"Sebagai contoh, Pica mungkin dialami sesetengah wanita hamil dan kadang-kadang disebabkan oleh defisit mineral," jelasnya kepada DailyMail.