Menurut laporan, puluhan penduduk cedera. Kelihatan banyak kereta terbalik manakala trak remuk serta rosak teruk di bahu lebuh raya.
Wednesday, April 4, 2012
Puting beliung landa Dallas
Menurut laporan, puluhan penduduk cedera. Kelihatan banyak kereta terbalik manakala trak remuk serta rosak teruk di bahu lebuh raya.
AS tawar RM36j tahan militan
Hafiz Mohammad Saeed
ISLAMABAD: Amerika Syarikat menawarkan AS$10 juta kepada sesiapa yang membantunya menahan pengasas sebuah kumpulan militan yang dipersalahkan atas serangan terhadap Mumbai pada 2008 kerana pergerakan pemimpin itu diketahui ramai di Pakistan. Hadiah pemberi maklumat itu membabitkan Hafiz Mohammad Saeed, pengasas Lashkar-e-Taiba (LeT) yang sering muncul di khalayak ramai di Pakistan, diumumkan Penolong Setiausaha Negara Amerika, Wendy Sherman di India, kelmarin dan butir-butirnya boleh dibaca di laman web ‘Rewards for Justice’ kerajaan Amerika.
Nilai itu yang kedua tertinggi selepas pemimpin al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri iaitu AS$25 (RM75 juta).
Washington juga menawarkan AS$2 juta kepada pemberi maklumat yang dapat membawa kepada penangkapan pemimpin kedua LeT, Hafiz Abdul Rahman Makki.
Saeed ketua badan kebajikan diharamkan, Jamaat-ud-Dawa yang dianggap mewakili LeT.
Pada 27 Mac lalu, dia berucap di depan beribu-ribu penyokongnya di Islamabad menggesa kerajaan Pakistan tidak membuka pintu di sempadan Afghanistan kepada askar Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan askar Amerika.
Notis di laman web berkenaan menyatakan, Saeed disyaki merancang banyak serangan pengganas termasuk di Mumbai pada 2008 menyebabkan 166 orang terkorban termasuk enam warga Amerika.
Di bawah skim Jabatan Negara yang sama, Amerika membayar wang itu selepas suspek bersenjata menembaknya.
Kementerian Luar Pakistan berkata, ia tiada ulasan mengenai pengumuman Amerika berkenaan tetapi disambut baik di New Delhi.
“Ia memberi isyarat kuat kepada LeT, anggota dan penyokongnya bahawa masyarakat antarabangsa bersatu menentang keganasan,” kata Kementerian Luar India.
Dawa kemudian mengutuk tindakan Washington menyifatkannya cubaan untuk menceriakan India.
“Hafiz Saeed bukan seorang yang lari daripada undang-undang, dia tidak tinggal dalam gua, tidak melakukan sebarang jenayah dan mahkamah sudah mengisytiharkannya tidak bersalah.”
Setiausaha Penerangan LeT, Hafiz Muhammad Masood, memberitahu menerusi telefon: “Dia meneruskan aktiviti seperti biasa dan tawaran itu tidak akan menjejaskan mereka,” katanya.
Pakistan menahan Saeed di rumahnya sebulan selepas serangan Mumbai berlaku tetapi dibebaskan pada 2009, manakala pada 2010 Mahkamah Agung membebaskannya atas alasan bukti tidak cukup.
Penganalisis Pakistan, Imtiaz Gul berkata sukar menahan Saeed kerana tindakan perundangan sebelum ini tidak pernah berjaya. – AFP
Culik adik minta tebusan RM50,000
KUALA LUMPUR: Gara-gara kalah berjudi hingga menanggung hutang mencecah puluhan ribu ringgit, seorang lelaki berusia 30-an mengupah dua rakan baiknya melarikan adik kandungnya sendiri dalam kejadian di Taman Cheras, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa berusia 15 tahun berada di rumahnya sebelum menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali memaklumkan dia menerima sebuah bungkusan daripada kakaknya yang berada di luar negara.
Sumber polis berkata, mangsa diminta mengambil bungkusan itu di sebuah kedai serbaneka berdekatan rumahnya.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di kedai serbaneka itu, dua lelaki dikenali sebagai rakan kepada abangnya melarikannya ke kawasan tidak dikenali.
“Mangsa dikurung dalam bilik di sebuah hotel sebelum seorang daripada mereka menghubungi ayah mangsa berusia 51 tahun memaklumkan anak bongsunya berada dalam kawalan mereka dan meminta wang tebusan RM50,000,” katanya.
Beliau berkata, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Cheras kerana bimbangkan keselamatan mangsa.
“Mangsa bernasib baik kerana ketika berada dalam kurungan, rakan abangnya yang menjaganya itu tertidur dan peluang itu digunakan untuk melarikan diri.
“Bapanya menghubungi polis dan selepas disoal siasat abang kandung mangsa dicekup manakala dua lagi rakan mangsa sedang diburu,” katanya.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Anak disangka sakit diperkosa jiran tua
KUALA LUMPUR: Naluri seorang ibu yang menyatakan anak perempuannya yang berusia lapan tahun kelihatan sakit membongkar kejadian anak kecil itu menjadi mangsa nafsu jiran mereka yang berusia 50-an dalam kejadian di Sungai Besi.
Mangsa berusia lapan tahun itu mengalami kecederaan di bahagian sulitnya akibat tindakan kejam jiran itu yang merogol mangsa sejak sebulan lalu ketika ibu mangsa yang berusia 40-an keluar bekerja.
Sumber berkata, kejadian itu hanya disedari malam kelmarin ketika ibu mangsa yang baru pulang dari kerja melihat mangsa tidur di ruang tamu, namun dari riak muka mangsa ibunya melihat anaknya itu sakit.
“Pada mulanya, ibu mangsa tidak berniat mengejutkan anaknya itu dari tidur tetapi naluri keibuannya mendesaknya untuk membuat pemeriksaan ke atas kanak-kanak itu.
“Selepas memeriksa badan mangsa, ibunya terkejut apabila mendapati alat sulitnya anaknya bengkak. Selepas disoal siasat, anaknya mendedahkan dirogol jiran mereka yang berusia 50-an,” katanya.
Dua amah kebas licin
KECEWA...Ira bersama Dr Ibrahim menunjukkan bekas simpanan beberapa jam berharga miliknya yang sudah kosong.
KUALA LUMPUR: “Saya tidak pernah mempunyai masalah dengan mereka. Selama ini apa yang diingini saya beri dan tidak pernah abaikan tanggungjawab sebagai majikan.
“Tetapi lain pula yang dibalas. Saya terkilan dan sakit hati apabila mereka sanggup melarikan diri, malah turut mencuri barang berharga kami sekeluarga,” itu luahan jutawan kosmetik, Datin Ira Ghani, 35, yang kerugian lebih RM500,000 dipercayai dilarikan dua pembantu rumah di banglo mewahnya di Gombak dekat sini.
Difahamkan, ketika kejadian, beliau dan suami, Profesor Datuk Dr Ibrahim Ahmad berada di Singapura selama empat hari kerana urusan kerja.
Hanya tinggal dua anak lelakinya, Mohd Danish Irfan, 13, Mohd Danish Roshan, 8, dan seorang anak saudara perempuan bersama kedua-dua pembantu rumah terbabit.
Hanya tinggal dua anak lelakinya, Mohd Danish Irfan, 13, Mohd Danish Roshan, 8, dan seorang anak saudara perempuan bersama kedua-dua pembantu rumah terbabit.
Dua pembantu rumah mangsa berasal dari Jawa Barat dikenali Luluk Tanjiyah, 33, dan Udayati, 40, sudah bekerja dengannya setahun lalu dan diberi layanan baik.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Media Saudi kecam Iraq
RIYADH: Akhbar Arab Saudi semalam melancarkan kempen mengecam Perdana Menteri Iraq Nuri al-Maliki ekoran kritikannya terhadap negara itu dan Qatar kerana gesaan untuk membekalkan senjata kepada pemberontak Syria.
“Negara Teluk patut memulaukan Nuri dan kerajaannya,” kata Tariq al-Homayed, pengarang akhbar Sharq al-Awsat dalam rencana pengarangnya.
Beliau menggesa supaya “hukuman dikenakan kepada mereka yang menyokong pemerintah zalim Damsyik, khususnya kerajaan Nuri.” “Pulaukan dia bagi mencegah kemunculan Saddam baru atau seorang lagi Bashar,” kata Tariq, merujuk kepada diktator Sadam Hussein dan Presiden Syria Bashar al-Assad.
Kempen media Saudi terhadap Nuri dibuat selepas Perdana Menteri Iraq itu berkata, Baghdad menolak ‘sebarang rancangan membekalkan senjata kepada pemberontak Syria dan proses menggulingkan Bashar.
Nuri berkata, gesaan Qatar dan Saudi supaya membekalkan senjata kepada pemberontak Syria hanya akan mencetuskan krisis lebih besar di rantau itu. Perdana Menteri Iraq itu juga memberi amaran negara yang campur tangan dalam hal ehwal dalaman Syria akan hanya mengganggu urusan negara lain. Ulasan Nuri itu dibuat ekoran laporan media menyebut bekas Timbalan Presiden Iraq Tareq al-Hashemi yang dikehendaki kerajaan Iraq, berada di Qatar sejak Ahad lalu.
Tareq dituduh mempunyai skuad pembunuh.
Akhbar harian al-Riyadh pula mengecam hubungan erat Iraq dengan negara jirannya, Iran sambil mempertikaikan pendirian Nuri.
“Adakah Nuri suara yang menyokong Iran atau pemimpin Iraq?,” lapor akhbar itu. Menurutnya, rakyat Syria berhak memberontak bagi menentang kezaliman, sama seperti yang dialami rakyat Iraq di bawah pemerintahan Saddam. - AP
Lelaki maut lepas kereta langgar unta
SHARJAH: Seorang lelaki berusia 28 tahun maut semalam selepas kenderaannya melanggar unta di jalan Maleha.
Mangsa sedang memandu kereta dari Kalba menuju ke bandar raya Sharjah untuk ke tempat kerja jam 5.30 pagi, kata sumber polis.
Kenderaan mangsa terbakar ekoran nahas itu dan pemandunya mati serta-merta di tempat kejadian.
Unta berkenaan turut mati dalam kemalangan itu.
Ekoran nahas itu, pemerintah Sharjah mengarahkan pagar dibina bagi mengelak unta dan haiwan lain berkeliaran di jalan raya. - GN
Warga Pakistan seludup heroin dipancung
RIYADH: Arab Saudi semalam melaksanakan hukuman pancung terhadap seorang warga Pakistan selepas dia didapati bersalah menyeludup sejumlah besar heroin ke negara itu.
“Salim Shah Sayed Shah dari Pakistan dituduh menyeludup sejumlah besar dadah heroin ke negara ini,” menurut Agensi Berita Saudi (SPA) yang memetik kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri Saudi. Salim dihukum pancung di Makkah.
Kementerian itu Ahad lalu berkata, Arab Saudi menahan 681 orang sejak empat bulan lalu yang didakwa terbabit dengan pengedaran dadah bernilai kira-kira AS$460 juta (RM1.38 bilion). Hukuman mati warga Pakistan itu meningkatkan jumlah angka hukuman pancung di negara berkenaan kepada 16 orang sejak awal tahun ini. - AFP
Israel roboh rumah Palestin
BETHLEHEM: Tentera Israel memusnahkan empat rumah dan 54 tiang elektrik awal pagi semalam.
Menurut penyelaras pertubuhan yang menentang penempatan Yahudi di Bethlehem, Mazen al-Azzeh, insiden berlaku di kawasan Makhrureh, Beit Jalla.
“Mereka mahu merampas tanah di situ untuk dibangunkan dengan penempatan bagi membolehkan ia bersambung dengan kawasan Kfar Etzion dan Har Gilo,” katanya.
Kedua-dua kawasan itu terletak 10 kilometer antara satu sama lain.
Pencerobohan itu menyebabkan penduduk setempat terputus bekalan elektrik.
Menuurt Mazen, sebahagian besar penduduk di kawasan berkenaan beragama Kristian.
“Menjelang sambutan Easter, inilah hadiah Israel untuk komuniti Kristian di sini,” katanya. - AFP
Bashar terus mengganas
DAMSYIK: Pertempuran sengit tercetus semalam selepas rejim Syria menghantar pasukan tambahan ke kawasan dikuasai pemberontak.
Pada masa sama, Barat cuba memberi amaran kepada Damsyik bahawa PBB akan bertindak kecuali mereka patuh kepada perjanjian menarik balik pasukan keselamatan dari kawasan berkenaan.
Keganasan terbaru semalam berlaku ketika ketua Palang Merah, Jakob Kellenberger, berada di Syria dalam misi terbaru dan ketiga sejak tahun lalu.
Beberapa kumpulan pemantau melaporkan, pertempuran sengit tercetus di kubu kuat pemberontak di selatan wilayah Daraa, barat laut Idlib dan beberapa kawasan sekitar Damsyik.
Puluhan kereta perisai dan pengangkut tentera tiba di Dael, Daraa bandar yang memulakan kebangkitan rakyat menentang Presiden Bashar al-Assad pada Mac tahun lalu. Turut disasarkan, Zabadani, satu daripada kubu pemberontak yang terletak berhampiran sempadan Lubnan.
Aktivis di Dael, Sayyed Mahmud, berkata keadaan semasa di situ sangat tegang.
Katanya, tentera kerajaan membakar 14 rumah kelmarin, selain menahan ramai orang serta meningkatkan bilangan pasukan keselamatan.
“Sebagai sebahagian daripada cara rejim memotong bekalan makanan orang ramai, tentera menyerbu kediaman dan memusnahkan simpanan harian serta peralatan yang berkaitan.
“Sebagai contoh, jika mereka melihat ada mesin jahit, ia akan dimusnahkan,” katanya.
Tentera Bashar juga dilaporkan memusnahkan roti ketika bekalan elektrik dipotong 15 jam sehari.
Di Idlib yang bersempadan dengan Turki, pertempuran masih berlangsung di pinggir Taftanaz dan menyebabkan dua orang awam serta seorang tentera maut.
Sumber berkata, empat orang awam cedera, manakala sejumlah rumah musnah dibakar.
“Pemberontak berjaya merosakkan sebuah pengangkut tentera dan membunuh atau mencederakan beberapa anggota keselamatan,” katanya. - AFP
Thailand tolak rundingan damai
BANGKOK: Kerajaan Thailand menolak mengadakan rundingan damai dengan kumpulan pemisah di selatan negara itu ekoran serangan bom yang berlaku di wilayah berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan.
“Mengadakan dialog dengan satu daripada kumpulan pemisah boleh mendorong kumpulan lain melakukan serangan untuk menunjukkan kekuatan mereka,” kata Timbalan Perdana Menteri Yutthasak Sasiprapa. “Saya ingin menegaskan kerajaan tidak ada dasar untuk terbabit dalam rundingan damai,” kata Sasiprapa yang juga jeneral tentera yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal keselamatan negara. Suspek anggota pemisah bertanggungjawab terhadap satu siri letupan bom kereta di selatan negara itu Sabtu lalu yang membunuh 15 orang dan mencederakan ratusan lagi. Di bandar Yala, dua letupan membunuh 12 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain, manakala bom kereta di sebuah hotel di Hatyai mencetuskan kebakaran dan mengorbankan tiga orang serta mencederakan lebih 400 yang lain, menurut angka rasmi terbaru. Serangan itu menandakan kegiatan kumpulan pemisah yang kian berleluasa yang telah mengorbankan ribuan nyawa sejak 2004.
Kejadian letupan bom atau tembakan yang sering berlaku hampir setiap hari mensasarkan tentera dan orang awam serta umat Islam dan juga penganut Buddha. Ketua Jeneral tentera Thailand, Prayut Chan-O-Cha semalam berkata, lebih 3,000 anggota pemisah terbabit dalam kejadian keganasan di negara itu. - AFP
Jutawan kosmetik rugi RM500,000
KUALA LUMPUR 3 April - Jutawan dan pengasas kosmetik Aura Seri, Ira Ghani dan suaminya yang juga pakar motivasi, Datuk Ibrahim Ahmad kerugian hampir RM500,000 setelah wang tunai dan pelbagai barangan berharga dilarikan dua amah mereka, kelmarin.
Kejadian dipercayai berlaku pada awal pagi ketika pasangan suami isteri itu berada di Singapura atas urusan perniagaan.
Perkara itu hanya diketahui apabila mendengar pesanan suara daripada anak sulung mereka, Mohd. Danish Irfan, 13, menerusi telefon bimbit kira-kira pukul 2.30 petang.
Menurut Ira, anaknya memaklumkan kedua-dua amah mereka iaitu Luluk Tanjiyah, 33, dan Udayati, 40-an, hilang bersama dua unit iPad dan telefon pintar iPhone.
"Namun setelah sampai ke rumah semalam, saya dapati banyak lagi barang berharga dilarikan," katanya pada sidang akhbar di rumahnya di Medan Idaman Gombak di sini hari ini.
Menurutnya, barangan berharga yang hilang itu terdiri daripada 19 utas jam tangan berjenama mewah iaitu Rolex (4), Tag Heuer (3), UTS (2), Rado (2), Ball (1), Brietling (1), Victorinox (1) dan Guess bertatah berlian (1) yang disimpan rapi dan dikunci di dalam bilik tidurnya.
Beliau berkata, selain itu, kedua-duanya yang bekerja sejak setahun setengah lalu turut melarikan wang tunai RM15,000, barangan kemas terdiri daripada lapan bentuk cincin berlian, dua pasang subang serta rantai.
"Mereka juga sempat mencuri pelbagai jenis baju rekaan eksklusif oleh pereka terkenal serta kemeja T berjenama sebelum melarikan diri mengikut pintu belakang rumah," katanya.
Ira berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan Luluk Tanjiyah dan Udayati merancang jenayah itu sejak sekian lama dan mengambil kesempatan melakukannya semasa mereka berada di luar negara.
"Tiada perkara yang mencurigakan tentang mereka, cuma kebelakangan ini saya perasaan wang tunai RM1,000 hingga RM2,000 hilang dalam simpanan di rumah, namun tidak sesekali mengesyaki mereka berdua.
"Lagipun ketika kejadian, bilik tidur saya berkunci dan anak kunci sentiasa bersama saya. Malah, bilik juga tidak berselerak ketika kejadian, seolah-oleh mereka tahu di mana kami simpan semua barang termasuk pasport mereka," ujarnya.
Katanya, rumahnya tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup.
Ira memberitahu, pihaknya telah membuat laporan di Balai Polis Gombak dan juga ke Jabatan Imigresen untuk mendapat maklumat lanjut.
"Pihak Imigresen telah menyenaraihitamkan mereka dan kami juga telah berhubung dengan ejen dari Indonesia untuk mencari mereka tetapi kedua-duanya masih belum menghubungi keluarga masing-masing.
"Kami hairan kenapa mereka melakukan perkara itu sedangkan kami sekeluarga berlaku baik terhadap mereka," jelasnya.
Katanya, ekoran kejadian itu, beliau dan suami serik untuk menggaji lagi amah dari Indonesia.
"Kini saya trauma setelah diperlakukan oleh amah Indonesia. Saya nasihatkan kepada majikan yang mempunyai amah Indonesia supaya berhati-hati," katanya.
Soya galakkan pembesaran tumor
CHICAGO 3 April - Pengambilan makanan atau minuman berasaskan kacang soya boleh menjejaskan rawatan kanser dan menggalakkan tumbesaran tumor di kalangan pesakit kanser payudara, menurut sekumpulan saintis.
Penyelidik dari Universiti Georgetown yang membentangkan kajian mereka dalam satu persidangan perubatan di sini semalam berkata, terdapat kemungkinan kaitan antara pengambilan kacang soya dan tindak balas ubat kanser payudara yang biasa diambil iaitu tamoxifen.
Menurut mereka, kajian yang dilakukan terhadap tikus makmal menunjukkan, tikus yang diberi makanan atau minuman berasaskan kacang soya dari kecil bertindak balas sempurna dengan tamoxifen.
Sebaliknya, tikus yang mula diberi makan bahan itu ketika dewasa dan selepas diserang kanser payudara, didapati kebal dengan rawatan yang diberikan.
"Kajian ini mencadangkan agar wanita yang tidak biasa mengambil kacang soya, patut menghentikannya jika disahkan menghidap kanser payudara," kata Leena Hilakivi-Clarke, yang juga merupakan profesor bahagian onkologi di universiti tersebut.
Menurutnya, kacang soya mengandungi bahan isoflavone yang meniru penghasilan hormon estrogen yang oleh tubuh pada paras rendah dan ia dikategorikan sebagai sumber protein yang sihat.
Bagaimanapun, manfaat dalam menentang penyakit yang paling ditakuti wanita itu biasanya dikaitkan dengan kanser payudara jenis penerima positif hormon rendah bagi wanita Asia, yang biasa mengambil soya dalam diet harian mereka sejak kecil.
Disebabkan tamoxifen biasanya diberi kepada pesakit kanser dengan saraf penerima estrogen atau progesteron tumor jenis positif, kajian mencadangkan mereka yang mengambil soya pada usia dewasa boleh menyebabkan ubat tersebut tidak berkesan. - AFP
Pekerja bantuan perlu dibenar bantu rakyat Syria
DAMSYIK 3 April - Persatuan Palang Merah Antarabangsa hari ini menggesa kerajaan Syria membenarkan pekerja bantuan membantu tahanan dan orang awam yang berdepan bahaya akibat konflik di negara ini.
Presidennya, Jakob Kellenberger berkata, beliau akan menyertai satu misi baru ke Syria untuk kali ketiga sejak tahun lalu.
Katanya, beliau mendesak Syria supaya memberi lebih ruang kepada pekerja bantuan untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat yang sakit, cedera dan berpindah.
"Tentera Syria perlu menghentikan serangan selama dua jam setiap hari bagi memudahkan bantuan kecemasan disalurkan," katanya.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih 9,000 orang terbunuh sepanjang pemberontakan terhadap Presiden Bashar al-Assad tercetus pada tahun lalu.
Penyelesaian diplomasi juga masih gagal menghentikan krisis di negara ini.
Semalam, utusan PBB dan Liga Arab, Kofi Annan berkata, Syria bersetuju untuk mematuhi pelan damai yang diusulkan dan melaksanakan gencatan senjata sebelum minggu depan.
Katanya, Damsyik bersetuju untuk mengundurkan tentera dengan 'segera' dari bandar-bandar penunjuk perasaan dan pengunduran senjata berat akan dilaksanakan selewat-lewatnya 10 April ini.
Wakil PBB dari Syria, Bashar Jaafari turut mengesahkan perkara tersebut selepas persetujuan dicapai antara Annan dan kerajaan.
Bagaimanapun, Annan yang menerangkan perkara itu kepada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB melalu sidang video berkata, tiada perkembangan terbaru pelaksanaan gencatan senjata dilaporkan setakat ini. - AFP
Netanyahu tolak usir pendatang haram Yahudi
BAITULMAQDIS 3 April - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu hari ini menolak rancangan pengusiran pendatang haram Yahudi dari sebuah bangunan di wilayah yang dijajahnya di Tebing Barat, yang menjadi pertikaian utama kepada ketegangan antara Israel dan Palestin.
"Perdana Menteri telah meminta Menteri Pertahanan, Ehud Barack supaya memberi masa kepada pendatang haram itu terus tinggal di bangunan tersebut bagi membolehkan mereka membuat tuntutan mahkamah," kata seorang pegawai Israel.
Seramai 20 pendatang haram Yahudi berpindah ke bangunan di Hebron, Tebing Barat itu, Khamis lalu dalam usaha untuk meluaskan lagi penempatan haram di wilayah tersebut yang kini dihuni kira-kira 500 keluarga.
Tebing Barat merupakan wilayah yang majoritinya dihuni oleh penduduk Palestin yang menggelar orang Yahudi sebagai 'penceroboh'.
Menurut pendatang haram Yahudi itu, mereka telah membeli bangunan dua tingkat di wilayah tersebut daripada pemilik penduduk Palestin, sesuatu yang dipertikaikan oleh polis Palestin.
Bagi mengekalkan keamanan, Barack mengarahkan pendatang Yahudi terlibat meninggalkan bangunan tersebut sebelum pukul 3 petang waktu tempatan semalam. - REUTERS
Kereta terbang selama lapan minit
DEE-ANN DURBIN, Amerika Syarikat (AS) - Prototaip kereta terbang ciptaan syarikat Terrafugia Inc. berjaya menamatkan penerbangan sulung pada bulan lalu.
Kenderaan itu yang dinamakan Transition memiliki dua tempat duduk, empat tayar dan sayap yang boleh dilipat.
Ia mampu terbang pada ketinggian 426 meter selama lapan minit dalam ujian yang diadakan pada 23 Mac lalu.
Setakat ini, kira-kira 100 orang telah membayar deposit sebanyak AS$10,000 (RM30,502) untuk membeli Transition.
Bilangan pembeli dijangka meningkat selepas kereta itu dipamerkan semasa Pameran Automotif New York berlangsung pada hujung minggu ini.
Menurut syarikat berkenaan, Transition dijual pada harga AS$279,000 (RM850,952).
Kenderaan tersebut turut memerlukan landasan untuk terbang.
Ketika ini, kereta itu menjalani satu siri ujian kemalangan bagi memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan AS.
Menurut jurucakap syarikat itu, kelajuan Transition boleh mencecah 112 kilometer sejam (km/j) di jalan raya dan 185km/j di udara. - Agensi
Willis dapat anak pada usia 57 tahun
LOS ANGELES - Pelakon veteran Hollywood, Bruce Willis menjadi bapa sekali lagi pada usia 57 tahun selepas isteri keduanya, Emma Heming-Willis selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang juga merupakan anak pertama buat mereka, kata seorang jurucakap pasangan itu kelmarin.
Menurutnya, pereka dan model, Heming-Willis, 33, telah melahirkan bayi yang diberi nama Mabel Ray Willis pada Ahad lalu di sini.
Jurucakap itu berkata, mereka sangat gembira menyambut kehadiran ahli keluarga baharu itu.
"Ibu dan bayi itu sihat. Berat bayi itu 4.08 kilogram," katanya.
Willis yang sudah berkahwin dengan pereka dan model itu sejak tiga tahun lalu sebelum ini telah mempunyai tiga anak perempuan, Rumer, 23, Scout, 20, dan Tallulah Belle, 17, hasil perkahwinan pertamanya dengan aktres Demi Moore.
Pelakon itu berkahwin dengan Heming-Willis pada Mac 2009. - AFP
'Universiti ganja' diserbu
OAKLAND, Amerika Syarikat (AS) - Sejumlah ejen Persekutuan AS kelmarin menyerbu Universiti Oaksterdam di Teluk San Francisco kerana menyediakan kelas penanaman dan perniagaan ganja.
Universiti Oaksterdam itu sebelum ini giat berkempen supaya ganja dibenarkan di AS.
Serbuan itu dilakukan oleh ejen-ejen Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) dan Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS.
Universiti Oaksterdam itu diasaskan oleh Richard Lee.
Seorang jurucakap IRS, Arlette Lee memberitahu wartawan bahawa mereka melakukan serbuan selepas memperoleh waran geledah persekutuan.
Namun, dia enggan mengulas secara terperinci tentang tujuan serbuan tersebut dilakukan.
"Tempat ini telah ditutup," katanya.
Ejen-ejen itu turut menyerbu rumah Lee dan menahannya seketika semasa serbuan dilakukan tetapi lelaki berkenaan tidak ditangkap. - Agensi
Bakal bangunan tertinggi Eropah terbakar
|
MOSCOW - Tingkat teratas bangunan pencakar langit Vostok yang dalam pembinaan di sini terbakar kelmarin.
Ia akan menjadi bangunan tertinggi di Eropah jika siap dibina sepenuhnya pada tahun 2013.
Beberapa buah helikopter digunakan untuk memadamkan kebakaran dengan menggunakan air yang diambil dari sebuah sungai berdekatan.
Menara Vostok itu jika siap akan memiliki ketinggian 360 meter.
Bahagian yang terbakar itu di tingkat 65.
Ia akan mempunyai 95 tingkat jika siap sepenuhnya.
Pemilik bangunan berkenaan, Sergei Polonsky memberitahu saluran televisyen Rusia, 24, tiada kecederaan berlaku atau risiko struktur itu runtuh.
Beliau memberitahu, api merebak dengan cepat ke tingkat atas ekoran angin bertiup kencang.
Vostok terdiri daripada bangunan menara berkembar yang dikenali sebagai Kompleks Persekutuan apabila menara kedua, Zapad atau Barat siap kelak.
Punca kejadian masih belum didedahkan. - Agensi
Subscribe to:
Posts (Atom)