Pages

Thursday, March 17, 2011

Kapsul Soyuz selamat mendarat



Kapsul Angkasa Soyuz selamat mendarat dekat bandar Arkalyk di utara Kazakhstan, semalam. - AFP


MOSCOW 16 Mac - Kapsul angkasa Soyuz dan tiga angkasawan selamat mendarat di Kazakhstan pada pukul 3.54 petang waktu Malaysia hari ini, lapor agensi Interfax.
Kapsul tersebut membawa dua angkasawan dari Rusia iaitu Alexander Kaleri dan Oleg Skripotchka serta Scott Kelly dari Amerika Syarikat.
Ketiga-tiga angkasawan itu berada selama 159 hari di angkasa lepas bagi mengorbit Stesyen Angkasa Antarabangsa ISS, kata pusat kawalan angkasa Rusia berhampiran Moscow.
Menurut para pegawai, kedua-dua angkasawan Rusia itu akan dibawa keluar dari pusat kawalan angkasa Moscow bagi membolehkan mereka bersama keluarga, sementara Kelly akan diterbangkan terus ke Houstan, Texas.
Berdasarkan kepada masalah teknikal yang melibatkan sistem litar, pelancaran kapsul Soyuz yang seterusnya akan dilakukan pada April dan bukannya pada Mac ini seperti yang dirancang.
Misi Soyuz seterusnya adalah untuk meraikan peristiwa bersejarah dalam eksplorasi angkasa iaitu ulang tahun ke-50 penerbangan manusia ke angkasa lepas buat pertama kalinya.
Pada 12 April 1961, seorang angkasawan Kesatuan Soviet, Yuri Gagarin menjadi manusia pertama diterbangkan ke angkasa lepas dan melakukan orbit tunggal sebelum kembali ke bumi. - Dpa
-utusam

Israel pintas kapal Libya bawa senjata



Tentera laut israel mengiringi Kapal Victoria yang membawa bendera libya ke selatan pelabuhan Ashdod, semalam. - AFP


BAITULMAQDIS 16 Mac - Tentera laut Israel hari ini mengiringi sebuah kapal yang dipintas oleh komandonya ke pelabuhan Israel kerana dipercayai membawa senjata untuk dihantar kepada pejuang Palestin di Genting Gaza, lapor media Israel.
Radio tentera melaporkan, pakar tentera di Ashdod akan memeriksa 39 kontena yang terdapat di kapal Victoria itu bagi memastikan jumlah sebenar senjata dan peluru.
''Ia pada mulanya akan diperiksa untuk jerangkap samar,'' lapor laman web Ynet.
Victoria yang mengibarkan bendera Libya dipintas semalam ketika ia belayar kira-kira 200 batu nautikal dari barat perairan Israel.
Ia dijangka tiba di Ashdod awal pagi ini.
Pegawai tinggi pertahanan berkata, kargo tersebut turut mengandungi peluru antikapal C704 buatan China yang mampu mengancam kapal laut Israel di perairan Gaza.
''Terdapat dua hingga empat peluru berpandu darat ke laut, jenis C704 yang mampu mencapai jarak 35 kilometer,'' kata Timbalan Komander Tentera Laut Israel, Laksamana Rani Ben-Yehuda.
Israel berkata, Victoria belayar dari pelabuhan Mersin, Turki dan menuju ke Iskandariah, Mesir tetapi senjata berkenaan berasal dari Iran dan menuju ke Gaza.
''Di atas bot itu, kami menemui banyak senjata api untuk dihantar kepada pejuang Palestin di Gaza,'' dakwa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu. - AFP
-utusan

Amaran ruang udara lima negara terjejas




Kombinasi tiga gambar fail. Gambar atas ialah loji nuklear Fukushima (jepun), loji nuklear Chernobyl (ukraine) dan loji nuklear Three Mile Islands (AS). kemalangan di loji fukushima kini menjadi salah satu daripada tiga kemalangan loji nuklear terbesar dalam sejarah dunia selepas chernobyl dan three mile islands. - AFP


LONDON 16 Mac - Pihak kawalan penerbangan di London mengeluarkan amaran rasmi terhadap kemungkinan berlaku pencemaran radioaktif dari loji kuasa nuklear Fukushima di Jepun.
Pusat Maklumat Gunung Berapi London (VAAC), memberitahu industri penerbangan mengenai amaran tersebut yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa yang meliputi 10 kawasan.
Amaran tersebut dikeluarkan pada pukul 11 pagi waktu Malaysia dan melibatkan ruang udara di Jepun, Rusia, China, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.
Kebanyakan penumpang masih membuat penerbangan ke Tokyo, namun syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa mengalihkan penerbangannya ke lapangan terbang selain Tokyo di Jepun. - AFP
-utusan

Garcia kayuh basikal jelajah seluruh dunia



Pablo Garcia menaiki basikalnya ketika sampai di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 16 Mac - Bagi mencapai impian zaman kanak-kanak untuk menjelajah seluruh dunia, seorang pengembara Argentina terus memberanikan diri dan menguatkan semangat dalam melaksanakan cabaran berbasikal secara solo bagi mencapai misi mengelilingi dunia sejak 9 Jun 1999.
Pablo Garcia, 37, berkata, beliau memulakan misi itu dari Brazil dan telah menjelajah pelbagai negara di Eropah dan Afrika serta Asia sebelum sampai ke Malaysia pada 13 Mac lalu.
Katanya, Malaysia merupakan negara ke-72 yang dikunjunginya dalam pengembaraan sejak hampir 11 tahun tersebut.
"Saya berasa selesa di sini kerana bukan sahaja cuacanya baik, malah rakyat negara ini juga ramah, mudah berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan kedatangan saya juga dialu-alukan.
"Saya rasa Malaysia sangat harmoni dan mendamaikan selain begitu unik kerana rakyatnya berbilang kaum dan mempunyai pelbagai budaya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di perhentian bas Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Menurut Garcia, dia pada mulanya menyasarkan untuk menjelajah seluruh dunia dengan basikal dalam tempoh tiga tahun sahaja.
Bagaimanapun, situasi yang dihadapinya di sesuatu tempat membuatkan beliau terpaksa mengubah rancangannya mengikut kesesuaian masa dan keadaan.
Katanya, beliau telah mengharungi perjalanan sejauh 92,000 kilometer dalam masa sembilan tahun dan menyasarkan kira-kira 25,000 kilometer lagi dalam tempoh dua tahun bagi menamatkan misinya itu.
Menurut Garcia, beliau bertuah kerana misinya itu sentiasa mendapat sokongan pihak-pihak tertentu yang sudi membiayainya termasuk daripada AirAsia dan syarikat IMPSA (Malaysia) Sdn. Bhd.
Menceritakan pengalaman pahit manisnya, Garcia berkata, antara perkara yang tidak boleh dilupakan ialah beliau pernah dirompak sewaktu di Brazil.
"Ketika itu saya ditahan oleh tiga lelaki dan mereka bukan sahaja mengambil wang malah turut melarikan basikal saya.
"Saya cuba menghalang sambil menjerit meminta tolong dan akhirnya diselamatkan oleh penduduk di sana. Saya bertuah kerana perompak itu akhirnya mengembalikan semua barang saya," katanya.
Menurut Garcia, antara peristiwa menakutkan yang pernah diharunginya ialah ketika beliau tersesat seharian di sebuah kawasan padang pasir di Djibouti, Afrika.
"Saya tidak tahu arah mana saya patut ambil, semuanya menjadi buntu. Saya hanya berpusing-pusing di kawasan itu sebelum bertembung dengan sepasukan askar Perancis. Merekalah yang memberikan air dan makanan serta membawa saya keluar dari padang pasir itu," jelasnya.
Bagaimanapun kata beliau, walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai peristiwa buruk atau kurang menyenangkan, ia tidak mematahkan semangatnya untuk 'menakluki' dunia.
"Semua halangan dan cabaran itu saya jadikan sebagai pembakar semangat. Selepas ini saya akan mengembara dengan basikal ini ke Singapura sebelum ke Australia, New Zealand dan Kanada. Argentina adalah destinasi terakhir dan pelengkap kepada misi ini.
"Saya berharap misi ini akan berjaya menyampaikan mesej kepada penduduk dunia bahawa setiap orang harus sentiasa mengamalkan sikap tolak ansur dan saling menghormati budaya dan agama orang lain bagi menyuburkan keharmonian dan keamanan dunia," katanya.
-utusan

4 maut dalam demonstrasi di Bahrain



MANAMA 16 Mac - Empat orang terbunuh, termasuk dua anggota polis dalam perkembangan terbaru tunjuk perasaan prodemokrasi di Bahrain, hari ini.
Seorang pegawai kesihatan berkata, dua anggota polis terbunuh apabila mereka dilanggar oleh penunjuk perasaan yang memandu kereta dengan laju.
Sementara itu, beratus-ratus polis melepaskan tembakan peluru penabur dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan bagi menyuraikan demonstrasi prodemokrasi yang berkhemah di Dataran Mutiara, di sini hari ini.
Seorang ahli Parlimen pembangkang berkata, dua penunjuk perasaan mati dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam insiden itu.
Tindakan keras itu diambil sehari selepas Raja Hamad Isa al-Khalifa, yang menerima bantuan tentera dari Arab Saudi dan Emriyah Arab Bersatu (UAE), mengisytiharkan darurat selama tiga bulan dalam usaha menyuraikan demonstrasi.
Polis tiba awal pagi dengan kereta kebal, bas dan kenderaan lain sebelum mengambil tindakan keras ke atas penunjuk perasaan terdiri daripada puak Syiah itu yang mahukan perubahan politik di negara ini.
Asap tebal dapat dilihat di dataran berkenaan selepas beberapa khemah penunjuk perasaan dibakar. Letupan juga dapat didengari dipercayai akibat tong gas yang meletup.
Tentera kemudian memasuki pusat kewangan itu bagi membersihkan sekatan jalan dibuat oleh penunjuk perasaan dan menyuraikan demonstrasi yang masih diadakan selepas pertempuran yang mengakibatkan lebih 200 orang cedera pada Ahad lalu.
Helikopter dapat dilihat terbang di atas dataran berkenaan dan tentera mengiringi jentolak ke dalam kompleks perniagaaan Financial Harbout, pusat kewangan wilayah yang menempatkan bank antarabangsa utama dan syarikat multinasional.
Seorang anggota perubatan di Sitra, yang terletak di selatan ibu negara ini berkata, lebih 200 orang menerima rawatan akibat cedera ditembak peluru penabur.
''Jumlah yang sama juga menerima rawatan kerana terkena gas pemedih mata,'' katanya. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Askar Gaddafi mara ke Benghazi




Pemberontak beredar menaiki kenderaan pacuan empat roda selepas tentera pro Gaddafi menyerang bandar Ajdabiyah, kelmarin. Televisyen kerajaan Libya melaporkan tentera pro gaddafi kemudian berjaya menawan semula bandar itu kelmarin. - REUTERS


AJDABIYAH 16 Mac - Tentera Muammar Gaddafi meneruskan kemaraan ke timur menuju ke Benghazi, ibu kota yang dikuasai pemberontak dan rejim beliau meramalkan akan mencapai kemenangan dalam masa beberapa hari lagi, manakala kuasa dunia terus membahaskan usul bagi menguatkuasakan zon larangan terbang untuk membantu pemberontak.
Kuasa asing mengutuk tindakan tentera Gaddafi, tetapi kurang bersemangat untuk bertindak bagi membantu pemberontakan yang mendapat inspirasi daripada kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir yang berjaya menggulingkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali dan Presiden Hosni Mubarak.
Ramai di dunia Arab khuatir kemenangan Gaddafi dan tindakan kekerasan untuk menamatkan protes di Bahrain boleh menyekat arus demokrasi di rantau ini.
Negara-negara yang menyokong zon larangan terbang bagi menghalang serangan udara tentera Gaddafi ke atas pemberontak mengedarkan draf resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam bagi menguatkuasakan zon larangan terbang itu, tetapi negara lain berkata, banyak persoalan belum terjawab.
Sementara itu Timbalan Menteri Luar Libya, Khaled Kaim berkata, kerajaan berharap untuk menawan semula semua wilayah yang dikuasai pemberontak tidak lama lagi.
"Kami berharap kemenangan boleh dicapai secepat mungkin, saya mengharapkan kemenangan dalam masa beberapa hari," kata Kaim di Tripoli.
Gaddafi dalam ucapan di televisyen mencabar negara-negara Barat yang menyokong penguatkuasaan zon larangan terbang supaya menyerang Libya.
"Perancis kini menunjukkan kepalanya dan mengancam untuk menyerang Libya.
"Serang Libya? Kamilah yang akan menyerang kamu," katanya kepada penyokong di tengah Tripoli.
Kedudukan bandar raya Benghazi, timur Libya kini nampak terancam selepas askar rejim menawan persimpangan jalan di Ajdabiyah, bagi membuka laluan ke ibu kota pentadbiran pemberontak itu.
"Bandar Ajdabiyah sudah dibersihkan daripada askar upahan dan pengganas yang ada kaitan dengan pertubuhan al-Qaeda," lapor stesen televisyen kerajaan, merujuk kepada pemberontak yang mahu menjatuhkan pemerintahan Gaddafi selama 41 tahun. - Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Penduduk Fukushima amat kecewa, marah: Gabenor

myMetro


TOKYO: Gabenor wilayah Fukushima, tempat terletaknya loji yang mencetuskan krisis nuklear akibat gempa bumi berkata, tahap kebimbangan dan kemarahan penduduknyua sudah mencapai tahap maksimum.

“Krisis nuklear yang berlaku memaksa penduduk berpindah jauh dari rumah mereka.


“Saya mahu orang ramai memahami masalah itu. Saya mahu seluruh negara menunjukkan persefahaman terhadap mereka yang meninggalkan wilayah ini.

“Kebimbangan dan kemarahan penduduk Fukushima sudah sampai ke tahap maksimum,” kata Yuhei Sato kepada stesen penyiaran NHK.


Menurutnya, bekalan bantuan tidak tiba kepada 100,000 penduduk yang berlindung di pusat pemindahan selepas mereka terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing yang terletak dalam lingkungan 20 kilometer dari loji Fukushima 1. - AP"

Bersesak dalam kereta elak mati kesejukan



Oleh Syed Azwan Syed Ali
Syedazwan@bharian.com.my
2011/03/17


  • Foto
    ANGGOTA pertahanan Jepun menjalankan misi menyelamat dan mencari mangsa gempa dan tsunami di bawah timbunan salji di Miyako, semalam.
  • Foto
15 rakyat kita alami detik cemas, sedia hadapi gempa susulan

KUALA LUMPUR: Lima belas rakyat Malaysia, termasuk enam kanak-kanak, terpaksa bersesak-sesak dalam dua buah kereta kecil bagi mengelak cuaca sejuk di Morioka, Iwate, selepas gempa bumi dan tsunami melanda wilayah di timur laut Jepun itu.
Detik cemas itu berlaku selepas bekalan elektrik, air dan hubungan komunikasi, termasuk internet dan talian telefon terputus sejurus gempa bumi dan tsunami itu berlaku Jumaat lalu, mengorbankan lebih 10,000 nyawa.
Pelajar kejuruteraan kimia dari Universiti Iwate, Mohd Nasrun Mohd Najib, 23, yang turut berada dalam salah sebuah kereta terbabit berkata, mereka terpaksa berbuat demikian untuk menyelamatkan diri daripada mati kesejukan dan kemungkinan berlaku gempa susulan.

“Kami tiada pilihan, kecuali berada dalam kereta. Bekalan elektrik juga terputus menyebabkan alat pemanas tidak dapat digunakan.

“Lagipun hanya radio dalam kereta yang boleh digunakan untuk mengetahui perkembangan semasa mengenai gempa bumi dan tsunami itu. Ketika itu, semua talian telefon termasuk internet terjejas dan tidak dapat digunakan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Nasrun berkata semua mereka bertahan di dalam dua kereta itu selama beberapa jam, sebelum terpaksa pulang ke rumah selepas kehabisan minyak dan terpaksa bermalam menggunakan beberapa batang lilin.
“Saya tidak tahu nak fikir apa ketika itu, takut, sejuk dan teringat kepada keluarga semua bercampur baur,” katanya mengakui sedih kerana terpaksa melihat tiga anak pemilik rumah yang disewanya yang berusia tiga tahun terpaksa menahan cuaca sejuk dengan menggunakan selimut.

Nasrun adalah antara 544 rakyat Malaysia yang berada di beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat gempa bumi dan tsunami seperti di Miyagi, Fukushima, Iwate, Tochigi, Ibaraki, Chiba dan Saitama.

Ketika dihubungi, anak kelahiran Bachok, Kelantan itu bersama 16 rakyat Malaysia lain dalam perjalanan dari Iwate ke Tokyo menaiki bas yang disewa khas Kedutaan Malaysia di Jepun, yang difahamkan membawa keluar rakyat Malaysia dari wilayah terjejas selepas ancaman radiasi nuklear semakin meningkat di Fukushima.
Berita Harian Online

Gegaran baru landa timur laut Jepun






2011/03/17

  • Foto
    ASKAR Jepun mencari mangsa gempa dan tsunami yang masih hilang dalam salji di daerah Miyako, kelmarin.
  • Foto
    SEORANG askar berada dekat mayat mangsa gempa dan tsunami di perkampungan Natori, Miyagi, semalam. Gambar bawah, ANGGOTA penyelamat terus mencari mangsa gempa di perkampungan Minamisanriku di daerah Miyagi, semalam.
Mangsa gempa kurang makanan, air, ubat
Foto
SEORANG askar berada dekat mayat mangsa gempa dan tsunami di perkampungan Natori, Miyagi, semalam. Gambar bawah, ANGGOTA penyelamat terus mencari mangsa gempa di perkampungan Minamisanriku di daerah Miyagi, semalam.


TOKYO: Gegaran baru berukuran 6.4 skala Richter melanda timur laut Jepun awal semalam, menyusuli dua gempa susulan kelmarin menyebabkan bangunan di ibu negara berhayun ketika mangsa gempa bumi terburuk negara Matahari Terbit itu menghadapi kekurangan makanan, air dan ubat.
Gegaran susulan itu dilaporkan berpusat di pantai Honshu pada jam 1 pagi waktu tempatan, 95 kilometer dari Tokyo. Dua gegaran kelmarin berukuran 6 dan 6.2 skala Richter.
Pihak berkuasa Jepun dan masyarakat antarabangsa terus memberi bantuan kepada mangsa di zon bencana selepas gempa pada Jumaat lalu mengorbankan 3,373 orang manakala 6,746 lagi belum diketahui di mana mereka berada.

Seramai 530,000 orang tinggal di lebih 2,600 tempat perlindungan sementara di kawasan bencana. Selain kekurangan makanan dan air, bekalan perubatan dan bahan api juga sukar didapati.

Ia menyebabkan kerajaan Jepun meningkatkan usaha membantu mangsa dengan menghantar bantuan.

Bank Pusat Jepun memasukkan 3.5 trilion yen (RM130 bilion) ke dalam sistem kewangan bagi menenangkan bursa saham.
Jurucakap Kementerian Luar China, Jiang Yu, berkata Beijing akan terus memberi bantuan sewajarnya kepada Jepun mengikut keperluannya.

Selain itu, beberapa negara anggota Asean juga menawarkan bantuan kepada Jepun, menurut kenyataan sektretariatnya.

Bantuan diberi dalam pelbagai bentuk termasuk wang tunai, ubat, makanan dan usaha menyelamat.

Kemboja memberi AS$100,000 (RM300,000) bagi mangsa manakala Indonesia menghantar pasukan 64 anggota ke ke Jepun.

Laos turut memberi bantuan kecemasan bernilai AS$100,000 selain bersetuju mengumpul lebih banyak derma dan sedia menghantar anggota penyelamat.
Filipina bersedia menghantar kontinjen mencari dan menyelamat manakala Singapura menyunmbang S$500,000 (RM1.2 juta).

Thailand juga berjanji memberi 15,000 tan beras dan bantuan bernilai lebih AS$6.5 juta (RM19.5 juta) manakala Vietnam menyumbang bantuan bernilai AS$200,000 (RM600,000).

Kerajaan Cuba pula menawarkan untuk menghantar pasukan perubatan dan penyelamat ke Jepun. – Agensi
Berita Harian Online | Gegaran baru landa timur laut Jepun

Ancaman radiasi meningkat



2011/03/17


  • Foto
    PENDUDUK Fukushima diperiksa radiasi sebaik tiba di bandar Nihonmatsu.
  • Foto
    PENDUDUK tempatan dan pelawat asing bersesak di stesen kereta api Sendai untuk keluar dari kawasan dekat loji nuklear.
Reaktor nuklear semakin panas, 140,000 penduduk tak boleh keluar rumah

TOKYO: Jepun belum dapat menyelesaikan masalah loji nuklearnya di Fukushima selepas pekerja diarahkan meninggalkan seketika tempat itu semalam kerana tahap radiasi meningkat.
Pihak berkuasa berkata, tahap radiasi di ibu negara itu 10 kali tinggi daripada normal tetapi tidak membahayakan kesihatan manusia di bandar yang mempunyai 13 juta penduduk.
Pencemaran radiasi dilaporkan melanda Tokyo sejak 24 jam lalu meskipun pada tahap rendah dan kebakaran di loji nuklear berkenaan awal daripada itu meningkatkan lagi kebimbangan, lapor agensi berita Kyodo.

Pakar nuklear dan ahli akademik berkata, penyelesaian sedang dicari untuk mengawal kebocoran radiasi di loji Daiichi, wilayah Fukushima bagi mengelakkannya menjadi bencana nuklear paling teruk dalam sejarah.

“Ini adalah mimpi buruk yang berlaku perlahan-lahan,” kata pakar penyelidik di Pusat Pengajian Antarabangsa, Institut Teknologi Massachusetts, Dr Thomas Neff.

Pekerja loji itu cuba membina laluan bagi membolehkan jentera bomba masuk ke rektor nombor 4 yang terbakar. Stesen televisyen NHK menunjukkan asap atau wap kelihatan naik di kemudahan itu kira-kira jam 1 tengah hari (waktu tempatan).
Bimbang dengan krisis yang dihadapi pekerja loji yang bekerja termasuk keletihan selepas bekerja berhari-hari sejak gempa bumi melanda, pihak berkuasa mengarahkan 750 pekerja untuk pulang dan hanya tinggal 50.

Mereka yang tinggal diarahkan keluar sejam selepas itu kerana tahap radiasi terlalu tinggi tetapi kemudian dibenarkan kembali, kata pegawai rasmi.

Pihak berkuasa menghabiskan beberapa hari terdesak untuk mengelakkan air yang digunakan untuk menyejukkan radioaktif daripada mendidih yang boleh menyebabkan kepanasan dan membebaskan bahan radiasi berbahaya di atmosfera.

Tahap 400 millisievert sejam direkodkan berdekatan rektor nombor 4, kata kerajaan. Pendedahan kepada lebih 100 millisieverts setahun boleh membawa kepada kanser, kata Persatuan Nuklear Dunia.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan meminta 140,000 penduduk yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer dari loji itu supaya tidak keluar rumah.
Jepun bimbang kebocoran serius bermakna ia akan sama dengan insiden nuklear paling teruk sejak Chernobyl di Ukraine pada 1986.

Sejak gempa bumi dan tsunami melanda Jumaat lalu, empat letupan berlaku di loji nuklear yang rosak itu, terbaru letupan di reaktor nombor 2 dan 4.

Angka kematian rasmi kerana gempa dan tsunami mencecah 4,000 manakala lebih 7,000 lagi senaraikan sebagai hilang.

Salji menjejaskan lagi keadaan ribuan mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa dan tsunami kerana terpaksa bermalam dengan kesejukan akibat bekalan elektrik terputus.

Kebimbangan terus menyelubungi kerana radiasi dikhuatiri sampai kepada penduduk di barat laut Amerika Syarikat dan Kanada.

Pihak berkuasa memberi amaran orang ramai yang terdedah kepada radiasi supaya mengambil pottasium iodin bagi melindungi daripada kanser.

Radiasi nuklear menjadi isu sensitif bagi Jepun selepas kejadian paling teruk melanda negara itu ketika pengeboman bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada 1945. – Reuters
Berita Harian Online | Ancaman radiasi meningkat

Jepun terus guna helikopter gugurkan air

Berita Harian

HELIKOPTER tentera Jepun mengaut air laut untuk dibawa ke loji nuklear Fukushima Dai-ichi, timur laut Jepun, hari ini, bagi merendahkan suhu reaktor nuklear yang terbakar. - Foto AP




2011/03/17

TOKYO: Helekopter tentera terus dikerah untuk menggugurkan air di kawasan loji nuklear Fukushima untuk merendahkan suhu reaktor yang terbakar yang dibimbangi boleh menyebabkan kebocoran radiasi.

Imej televisyen stesen NHK menunjukkan tiga helekopter CH-47 Chinooks milik Pasukan Pertahanan Awam berlegar-legar di udara untuk menjatuhkan air ke reaktor ketiga dan keempat yang sebelum ini meletup dan terbakar. - AFP"

Kepulauan Vanuatu dilanda gempa bumi

Berita Harian


2011/03/17

KUALA LUMPUR: Gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter berlaku di Kepulauan Vanuatu kira-kira 10.48 pagi ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Gempa berlaku 5,946 kilometer tenggara Kunak, Sabah.

Gempa tidak mendatangkan tsunami kepada Malaysia. - BERNAMA"

Lagi bahaya radiasi di loji Fukushima




GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan salah sebuah loji nuklear yang musnah di loju Fukushima Daiichi di Fukushima, timur laut Jepun.


TOKYO - Loji nuklear di Fukushima-Daiichi, Fukushima dibiarkan kosong beberapa jam semalam selepas peningkatan radiasi memaksa pekerja-pekerja kecemasan melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa mereka.
Keadaan tersebut menyebabkan pihak berkuasa menembak meriam air dalam usaha untuk menyejukkan beberapa reaktor nuklear yang terbakar di loji berkenaan.
Semua 50 pekerja kecemasan yang bertungkus- lumus cuba menyejukkan reaktor-reaktor nuklear itu berundur beberapa ratus meter dari loji Fukushima-Daiichi selepas tahap radiasi menjadi terlalu merbahaya.
Sebelum ini terdapat empat letupan yang berlaku di reaktor tersebut. Kadar tinggi radiasi itu kemudian menurun semula pada malam semalam.
Bagaimanapun, Menteri Industri Perancis, Eric Besson mendakwa Jepun gagal mengawal situasi di Fukushima dan negara itu kini di ambang malapetaka nuklear.
"Tidak perlu lagi berdolak-dalik. Mereka (kerajaan Jepun) telah gagal mengawal situasi di Fukushima. Ini adalah pendapat kami walaupun ia bukan apa yang dikatakan oleh mereka," ujarnya.
Pemerintah Perancis turut menasihatkan rakyat mereka supaya meninggalkan Jepun sebagai langkah berjaga-jaga.
Pada hari yang sama, beberapa buah helikopter tentera gagal menyelesaikan misi untuk menyejukkan reaktor-reaktor nuklear itu dengan menggunakan kaedah mencurahkan air dari udara.
Sebelum itu, pasukan-pasukan kecemasan terbabit mengepam air laut ke dalam reaktor-reaktor nuklear itu dengan menggunakan jentera bomba tetapi usaha tersebut terhenti seketika selepas mereka berundur.
Sebanyak empat reaktor loji nuklear Fukushima yang terletak 240 kilometer dari sini, mengalami kerosakan sejak gempa bumi kuat berukuran 9 pada skala Richter dan tsunami melanda Jepun pada Jumaat lalu.
Kebimbangan berlakunya kebocoran radiasi menyebabkan kerajaan Jepun memindahkan 180,000 penduduk yang tinggal di sekitar loji itu.
Lebih 140,000 lagi penduduk yang berada dalam lingkungan 30 kilometer dari loji nuklear Fukushima-Daiichi diminta tidak keluar rumah.
Sementara itu, pihak berkuasa keselamatan Perancis menyatakan, krisis loji nuklear Fukushima-Daiichi kini berada pada tahap enam dan semakin menghampiri kemalangan nuklear di Chernobyl pada 1986.
Tsunami yang berlaku pada Jumaat lalu itu dianggarkan meragut lebih 10,000 nyawa.
Angka kematian masih belum diketahui kerana anggota-anggota penyelamat masih belum melakukan kerja-kerja mencari di semua kawasan yang musnah akibat ombak setinggi 10 meter.
Sementara itu, salji yang turun semalam di kawasan bencana menyukarkan lagi kerja-kerja untuk mencari mangsa yang terselamat dalam tragedi tsunami.
Satu lagi gempa bumi sekuat 6.0 pada skala Richter turut melanda Jepun semalam.
Gempa bumi itu berpusat 96 kilometer ke timur Tokyo dan gegaran dapat dirasakan di timur negara ini.
Ia berpusat dalam Lautan Pasifik pada kedalaman 25 kilometer pada pukul 12.52 tengah hari waktu tempatan. Namun, amaran tsunami tidak dikeluarkan. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Rumah kecil berharga RM465,777




SEORANG wanita berdiri di balkoni sebuah rumah kecil di bandar Framligham yang mahu dijual pada harga RM465,777.


FRAMLINGHAM, Britain - Sebuah rumah kecil dua tingkat yang mempunyai sebuah bilik tidur di Britain bakal dijual pada harga £95,000 (RM465,777) walaupun lebarnya cuma 2.1 meter dan luas 28.6 meter persegi, lapor sebuah akhbar semalam.
Kediaman itu yang terletak di sini, dinamakan Rumah Petak dan merupakan antara rumah paling kecil di Britain.
Rumah tersebut pada asalnya merupakan sebahagian daripada struktur bangunan wap.
Sebuah agensi hartanah tempatan yang menjual rumah itu memberitahu, harganya melambung tinggi kerana lokasinya di pusat bandar di sini.
Walaupun ia kecil, kediaman itu tetap selesa kerana dilengkapi sebuah dapur, bilik mandi dan tandas serta ruang tamu kecil. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Abbas mahu pemerintahan baru dengan Hamas






RAMALLAH, Tebing Barat - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas (gambar) menegaskan bahawa beliau tidak akan bertanding semula dalam pilihan raya presiden yang dijangka diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang.
Ini merupakan kali pertama Abbas menyatakan dengan jelas berhubung kesediaannya untuk tidak akan bertanding. Dalam ucapannya kepada sekutu politiknya, Mahmoud memberitahu keinginannya untuk menjelajah Genting Gaza yang dikuasai oleh pergerakan Hamas bagi mempromosikan pelan damai antara wilayah Palestin yang bersengketa itu dan membentuk satu pemerintah yang bersatu.
Pelan Mahmoud itu termasuk mengadakan satu pilihan raya baru.
Namun, pilihan raya itu tidak dapat diadakan jika Tebing Barat dan Gaza masih berpecah dua.
Ketika ini Tebing Gaza dikuasai pergerakanFatah pimpinan Mahmoud manakala Hamas menguasai Gaza.
Lawatan Mahmoud ke Genting Gaza itu adalah yang pertama dalam tempoh empat tahun.
"Saya mengumumkan bahawa saya sedia untuk pergi ke Gaza esok (hari ini) demi menamatkan persengketaan dan membentuk satu pemerintah yang baru," katanya di hadapan para pemimpin kanan Parti Fatah.
Jurucakap Hamas, Taher Nunu mengakui Perdana Menteri Gaza, Ismail Haniyeh mengalu-alukan maklum balas positif daripada Mahmoud.
Perpecahan Palestin merupakan halangan terbesar untuk menubuhkan sebuah negara yang bebas melibatkan Tebing Barat dan Gaza. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Pemilik upah lelaki rosakkan Lamborghini miliknya




BEBERAPA orang yang diupah merosakkan kereta Lamborghini Gallardo di Qingdao, wilayah Shandong, China.


BEIJING - Seorang ahli perniagaan China mengupah sekumpulan lelaki dari Shandong untuk merosakkan kereta Lamborghini Gallardo miliknya yang berharga AS$804,301 (RM2.45 juta) dengan menggunakan tukul di Qingdao kelmarin.
Tindakan itu dibuat selepas beliau sangat kecewa dengan perkhidmatan servis pengedar kereta terbabit yang gagal menyelesaikan pelbagai kerosakan yang dialami Lamborghini miliknya.
Ahli perniagaan itu turut mendapati terdapat kerosakan yang dilakukan seseorang ke atas kereta miliknya di bahagian depan dan kerangka kereta sport itu semasa ia sedang dibaiki.
Orang ramai yang lalu lalang terkejut apabila melihat sekumpulan lelaki merosakkan kereta mewah itu yang sering rosak sejak dihantar kepada tuannya pada Oktober tahun lalu.
Selepas bertengkar dengan pengedar dan beberapa orang wakil kanan pengedar kereta Lamborghini, ahli perniagaan tersebut mengambil keputusan bahawa satu-satunya cara untuk melindungi haknya ialah dengan merosakkan kereta itu pada Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Tokyo lengang angkara radiasi




LAMPU jalan dan iklan lampu neon ditutup di daerah fesyen Ginza, Tokyo semalam.


TOKYO, Jepun - Bandar raya ini yang merupakan antara yang paling sesak di dunia kini sepi seperti bandar hantu semalam dengan lokasi-lokasi tumpuan ramai termasuk restoran sushi dan kedai mi bertukar menjadi lengang.
Kebanyakan sekolah ditutup manakala pekerja-pekerja sektor swasta dibenarkan berada di rumah.
Lapangan terbang-lapangan terbang di sini pula dipenuhi dengan orang ramai berbaris panjang untuk menunggu penerbangan keluar dari sini.
Situasi itu berlaku ketika pihak berkuasa Jepun bertungkus-lumus untuk mengelak negara itu ditimpa bencana nuklear akibat empat letupan di loji nuklear Fukushima yang bermula pada minggu lalu.
Loji nuklear tersebut yang dimiliki Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO), terletak 240 kilometer dari bandar raya ini.
"Lihatlah sendiri, keadaan dalam bandar raya ini lengang seperti pada hari Ahad, langsung tiada kereta," kata seorang pemandu teksi berusia 62 tahun, Kazushi Arisawa ketika menunggu lebih sejam di luar sebuah menara pejabat yang mana sebelum ini, dia boleh mendapat pelanggan dalam masa cuma beberapa minit.
Kebanyakan penduduk di sini menyimpan makanan dan memilih untuk berada di rumah.
Kosmo! Online - Negara