Oleh Siti Haliza Yusop
2011/11/10
YUSMARIATI menunjukkan mi bak kut teh dengan logo halal yang dibelinya di sebuah pasar raya di Damansara Damai, Pataling Jaya.
PETALING JAYA: Seorang pengguna yang mengunjungi sebuah pasar raya di Damansara Damai di sini, terkejut apabila mendapati Mi Segera Sayuran ‘bak kut teh’, yang sering dikaitkan dengan penggunaan babi sebagai salah satu ramuan, dijual secara terbuka, dua minggu lalu.
Tambah mengelirukan pengguna terbabit, Yusmariati Yusof, 32, mi segera jenama A1 yang dikilang sebuah syarikat dari Johor itu bukan saja dipamerkan bersama produk halal lain oleh pengurusan pasar raya berkenaan, malah turut mempunyai tanda halal dikeluarkan Islamic Food Research Centre Asia (IFRCA)
Kesal dengan kejadian berlaku, Yusmariati kembali semula ke pasar raya itu keesokannya untuk membeli mi segera berkenaan sebagai bukti tetapi mendapati ia tidak lagi dipamerkan diatas rak, sebaliknya disimpan di dalam stor oleh pengurusan pasar raya.
“Pengurusan pasar raya itu berkeras tidak mahu menjual produk berkenaan tetapi apabila saya berkeras, mereka akhirnya bersetuju, itu pun pembelian dilakukan tanpa resit, tanda harga serta plastik yang tertera nama pasar raya itu,” katanya.
Tinjauan Sentral mendapati, stok mi segera sayuran bak kut teh itu, kini tidak lagi dijual di pasar raya dimaksudkan.
Pengurus A K Koh Enterprise Sdn Bhd, (A K Koh) Law Teng How ketika dihubungi mendakwa produk mi segera sayuran bak kut teh yang dikilangkan syarikat itu, tidak mempunyai ramuan babi seperti dikatakan pengguna.
“Kami sedia maklum dengan kekeliruan yang timbul disebabkan nama produk ini tetapi ingin saya jelaskan, mi segera sayuran bak kut teh keluaran A K Koh tidak mengandungi babi, sebaliknya hanya resipi sup herba daging.
“bak kut teh sebenarnya membawa maksud sup daging tulang, dan boleh dimakan sama ada dengan daging lembu atau kambing dan tidak semestinya babi seperti disangkakan kebanyakan pengguna.
“Produk kami disahkan tidak mengandungi ramuan terlarang, termasuk babi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan A K Koh sendiri kini dalam proses memohon sijil halal daripada badan itu sejak Julai lalu.
“Kami juga dalam proses menukar nama serta pembungkusan bagi produk ini kerana menurut JAKIM ia menimbulkan kekeliruan di kalangan pengguna, terutama sekali umat Islam,” katanya.
Sementara itu, wakil JAKIM ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan memberi maklum balas segera berhubung produk keluaran A K Koh itu.
No comments:
Post a Comment