Pages

Thursday, November 10, 2011

Kurang 5 minit larikan ATM



0leh Nor Fazlina Abdul Rahim

2011/11/10

Geng Oxy disyaki terbabit samun

KUALA LUMPUR: Enam penjenayah dipercayai Geng Oxy yang melarikan mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Taman Midah, Cheras di sini, kelmarin hanya mengambil masa kurang lima minit. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata berdasarkan modus operandi yang dilakukan kumpulan penjenayah itu mendapati mereka mempunyai kepakaran dalam rompakan bank.
Malah, Ku tidak menolak kemungkinan rompakan membabitkan mesin ATM di sebuah pasar raya di Ampang tahun lalu turut didalangi kumpulan sama.
“Kumpulan yang didalangi enam individu ini memang pakar kerana hanya mengambil masa kurang daripada lima minit untuk melarikan mesin ATM, malah perancangan rapi juga dibuat sebelum bertindak nekad merompak mesin ATM itu. 

“Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV) di bank terbabit, kumpulan penjenayah itu memakai topi besbol dan topeng muka bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Deepavali, di sini, semalam. 

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, kumpulan penjenayah itu dikatakan mengikat mesin ATM menggunakan tali dan mengheretnya keluar menggunakan lori mengakibatkan kehilangan wang RM316,000. 

Mesin ATM yang sudah dipecahkan itu kemudian ditemui orang awam 10 jam kemudian di hadapan sebuah pangsapuri di Taman Pinggiran Ukay, Hulu Klang, iaitu 10 kilometer dari bank terbabit. 

No comments: