2011/11/10
Permohonan bekas pemimpin dapat rawatan di luar negara ditolakMANILA: Kerajaan Filipina semalam menawarkan membawa doktor dari luar negara untuk merawat bekas pemimpin, Gloria Arroyo selepas menolak permohonan Arroyo mendapat rawatan di luar negara.
Manila juga enggan menarik balik pengharaman terhadap Arroyo ke luar negara bagi mendapatkan rawatan atas kebimbangan bekas pemimpin itu mengelak daripada tuduhan rasuah terhadapnya.
“Jika beliau memilih untuk tidak pulang, bagaimana kita boleh membuatnya memberi jawapan atas tuduhan itu?” kata Benigno.
Pada masa ini, Arroyo, wakil rakyat bandar asalnya di Pampanga, tengah Filipina dan suaminya, Jose Miguel Arroyo, meminta Mahkamah Agung membenarkan mereka ke luar negara atas alasan langkah memasukkan nama mereka dalam senarai pemerhati Biro Imigresen sebagai melanggar perlembagaan.
Dalam rayuan berasingan, pasangan itu meminta mahkamah membatalkan pekeliling dikeluarkan Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima yang meletakkan mereka dalam senarai itu.
Mereka juga meminta mahkamah mengeluarkan injuksi sementara ke atas pelaksanaan arahan Jabatan Kehakiman.
Arroyo meminta kebenaran ke luar negara bagi mendapatkan rawatan kelenjar paratiroid selepas tiga pembedahan gagal merawat saraf lehernya di Pusat Perubatan St Luke, pinggir Taguig, awal tahun ini.
De Lima secara rasmi melarang Arroyo meninggalkan negara itu kerana beberapa destinasinya membabitkan negara tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Filipina.
Arroyo kini menjalani pemulihan dengan baik, berdasarkan kenyataan doktornya di St Luke dan penilaian Setiausaha Kesihatan (yang juga seorang doktor), Enrique Ona, kata de Lima.
Beliau juga merujuk kenyataan Persatuan Perubatan Filipina bahawa Arroyo boleh mendapatkan rawatan pakar tulang tempatan.
Arroyo dan suaminya diletakkan dalam senarai pemerhati 28 Oktober lalu selepas Jabatan Kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Senator Aquilino Pimentel menamakan mereka responden dalam dua kes sabotaj pilihan raya.
Bagaimanapun, Gabungan Nasionalis Rakyat (NPC), diasaskan ahli perniagaan bilionaire Eduardo Cojuangco Jr, bapa saudara Presiden, menyokong permohonan Arroyo mendapatkan rawatan perubatan di luar negara. – Agensi/AP
No comments:
Post a Comment