Pages

Thursday, November 10, 2011

Nasib baik mangsa ingat plat

 KAJANG: Dua lelaki yang menyamun seorang mekanik ditahan di sebuah hotel bajet di Batu 9, Cheras, di sini hanya beberapa jam selepas kejadian itu, pagi semalam.
Polis mengesan suspek di hotel berkenaan pada jam 4 pagi sebaik menerima laporan mangsa yang berusia 20 tahun.

Suspek menyamun mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu 9, di sini, pada jam 8 malam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, berkata sebaik ditahan, suspek mengacukan parang ke arah mangsa sebelum mengarahkannya menunggang motosikal ke taman permainan satu kilometer dari tempat dia ditahan.

“Bimbang dicederakan, mangsa menurut arahan suspek yang kemudian mengarahkannya berhenti di kawasan gelap dan memaksa mangsa menyerahkan barangan berharga dan wang tunai,” katanya.


Katanya, mangsa yang ketakutan menyerahkan RM100 dan telefon bimbit sebelum suspek melarikan diri ke arah jalan besar dan meninggalkan mangsa di tempat kejadian.

Nasib menyebelahi mangsa, apabila dia mengingati nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu 9, Cheras, selepas kejadian.

Ab Rashid berkata, bertindak atas maklumat mangsa, sepasukan polis menjalankan gerakan mencari dan mengesan motosikal suspek di kawasan pekan Batu 9.

Ketika melakukan gerakan mencari, polis terserempak motosikal suspek diletakkan di luar sebuah hotel murah di pekan Batu 9 sebelum masuk ke premis berkenaan untuk membuat pemeriksaan.

“Hasil maklumat daripada pihak hotel mengesahkan motosikal di luar premis berkenaan milik pelanggan hotel itu yang baru mendaftar masuk untuk menginap. “Dengan bantuan pihak hotel yang menggunakan kunci pendua untuk membuka pintu, polis menyerbu bilik berkenaan dan menahan suspek, tetapi seorang daripada mereka melarikan diri melalui tingkap bilik berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang melarikan diri cuba menyembunyikan diri di sebalik papan tanda hotel berkenaan sebelum dia diminta menyerahkan diri kerana kawasan hotel berkenaan dikepung.

“Suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 kerana samun berkawan menggunakan senjata,” katanya.

No comments: