Pages

Thursday, November 10, 2011

Iran dituduh cuba hasil bom atom

 VIENNA: Iran telah cuba menghasilkan bom atom dan kemungkinan negara itu masih menjalankan penyelidikan rahsia mengenainya, kata agensi pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam laporan yang dijangka akan meningkatkan lagi ketegangan di Timur Tengah.
Memetik sumber daripada negara dan sumber lain yang “boleh dipercayai”, agensi itu menyenaraikan beberapa aktiviti yang berkaitan dengan senjata nuklear, seperti ujian letupan dan mencipta picu bom atom.
Laporan itu sekali gus mendedahkan perbezaan pendapat kuasa besar mengenai cara terbaik menangani krisis nuklear Iran.

Amerika Syarikat mahukan sekatan yang lebih keras lagi terhadap Teheran tetapi Rusia berpendapat laporan itu akan menyukarkan peluang untuk diplomasi.


Media Israel pula membuat spekulasi yang Israel mungkin menyerang tapak nuklear negara musuh itu.

Tetapi, Menteri Pertahanannya, Ehud Barak berkata semalam, tiada keputusan mengenai operasi ketenteraan telah dibuat.

Iran menafikan mereka mahukan senjata nuklear dan mengutuk laporan yang dibuat oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang beribu pejabat di Vienna itu sebagai “tidak seimbang dan bermotifkan politik.”

Duta Iran di agensi itu, Ali Asghar Soltanieh berkata, Ketua “IAEA Yukiya Amano itu memainkan permainan bahaya.”

Laporan itu mengatakan ada bukti bahawa ada usaha untuk mendapatkan keupayaan membina bom atom.

Menurut laporan itu lagi, sebahagian kerja pembangunan yang dilakukan oleh Iran mempunyai aplikasi untuk kegunaan orang ramai dan ketenteraan tetapi “yang lain adalah tertumpu untuk membina senjata nuklear.” - Reuters.

No comments: