Pages

Tuesday, August 9, 2011

Remaja Cedera Mercun Buatan Sendiri Meletup

KOTA BARU: Kebolehan seorang remaja lelaki di Kampung Geting Tumpat mencipta mercun buatan sendiri akhirnya membawa padah apabila mercun itu meletup menyebabkan beberapa bahagian badannya melecur.
Mangsa, Mohd Nazirul Hasif Mailang, 12, yang pernah mewakili negara ke Jepun dalam sukan bola sepak Piala Asia Bawah 12 Tahun bulan lalu, juga hampir kehilangan empat kuku jari tangan kirinya, selepas tergesa-gesa berbuka puasa bersama keluarga, malam tadi.
Ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini Mohd Nazirul Hasif berkata kejadian berlaku ketika beliau cuba membakar mercun ciptaan menggunakan 'starter' lampu kalimantang apabila ia tiba-tiba meletup tanpa sempat melarikan diri.
Akibat letupan itu, anak sulung daripada empat beradik yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2 itu cedera dan melecur di beberapa bahagian badan antaranya empat kuku jari tangan kirinya hampir tercabut, cedera di pipi, lengan kanan dan mata kanan.
Selain beliau, seorang adiknya yang kebetulan berada berhampiran turut cedera ringan terkena serpihan letupan itu.
Sementara itu bapa mangsa, Mailang Sari, 38, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 malam ketika mereka sekeluarga berada di warung miliknya sewaktu berbuka puasa.
"Ketika kejadian saya dan isteri, Zuraidah Kamaruddin, 36, bersama empat anak termasuk mangsa sedang berbuka puasa di warung.
"Mohd Nazirul Hasif yang selesai dahulu (makan) dilihat tergesa-gesa masuk ke bahagian dapur warung dan beberapa minit selepas itu tiba-tiba kami terkejut apabila terdengar bunyi letupan dan dentuman yang kuat dari arah dapur," katanya.
Katanya sebaik masuk ke dapur beliau terkejut melihat anak sulungnya itu sedang berdiri kaku dengan pakaiannya dipenuhi darah serta beberapa peralatan untuk membuat mercun bertaburan sebelum terus mengangkat anaknya yang bagaikan tidak sedarkan diri ke Hospital Tumpat untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, akibat kecederaan yang agak serius, anaknya kemudian dibawa ke HRPZ II pagi ini untuk rawatan lanjut tetapi dibenarkan keluar setelah menerima rawatan dengan beberapa jahitan di jari dan tangannya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata Mohd Nazirul Hasif merupakan kes keempat dirujuk ke HRPZ II akibat mercun tahun ini, di mana kes pertama berlaku pada 1 Ogos lalu membabitkan seorang remaja berusia 20 tahun, yang hanya cedera ringan.
"Kes kedua berlaku pada 3 Ogos, membabitkan remaja berusia 19 tahun yang putus ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah, manakala kes ketiga berlaku pada 7 Ogos lalu membabitkan remaja berusia 15 tahun yang nyaris putus tangan," katanya. - BERNAMAmstar

No comments: