Pages

Tuesday, August 9, 2011

Saleh setuju tidak pulang

SALEH diwawancara televisyen Julai lalu diberitakan setuju tidak pulang.
SALEH diwawancara televisyen Julai lalu diberitakan setuju tidak pulang.

Presiden Yaman takut terima nasib seperti Hosni Mubarak

DUBAI: Amerika Syarikat berjaya memujuk Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh supaya tidak pulang ke negaranya, lapor akhbar Asharq al-Awsat, semalam ketika bantahan berterusan terhadap pemerintahannya selama 33 tahun. Akhbar itu memetik sumber Amerika sebagai berkata, Washington berjaya mendesak Saleh, 69, untuk membatalkan niatnya sebelum ini untuk pulang dan mengadakan dialog. Mereka berkata, Saleh dipengaruhi nasib yang menimpa bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak yang diletakkan dalam kandang besi ketika dibicarakan atas tuduhan membunuh dan rasuah di Kaherah, minggu lalu. Laporan itu menyusul keputusan pihak berkuasa Arab Saudi menolak permohonan Salleh untuk pulang ke negara asalnya bersama satu pasukan perubatan selepas menjalani rawatan di sebuah hospital Saudi. Saleh dibenarkan keluar dari hospital pada Sabtu selepas lebih dua bulan menjalani rawatan kerana kecederaan yang dialami akibat serangan terhadap istana di Sanaa. Saleh dilaporkan ditempatkan di sebuah kediaman kerajaan Saudi di Riyadh sehingga beliau benar-benar sembuh, kata agensi berita Yaman, SABA. Tetapi, seorang pegawai Yaman yang lain tetap percaya Saleh akan pulang apabila berkata, presiden akan terus berada di Riyadh buat masa ini kerana beliau masih lagi berada di bawah pengawasan perubatan. “Kami tidak tahu bila beliau akan kembali ke negaranya tetapi mungkin tidak lama lagi dengan izin Tuhan,” kata pegawai terbabit. Ketiadaan Saleh selama lebih dua bulan di Yaman lebih menambahkan ketidakstabilan dan tidak menentu di negaranya yang disifatkan paling miskin di kalangan dunia Arab. Ada kebimbangan bahawa kepulangan beliau akan lebih mengundang rusuhan berterusan terhadap Yaman yang sememangnya dalam keadaan tidak stabil itu. – AP bharian

No comments: