Pages

Tuesday, August 9, 2011

Kereta rempuh pagar tadika

PAGAR Tadika Smart Stars roboh akibat dirempuh kereta Perodua Myvi di Jalan Sungai Tua berhadapan SMK Taman Selayang, Gombak, semalam.
PAGAR Tadika Smart Stars roboh akibat dirempuh kereta Perodua Myvi di Jalan Sungai Tua berhadapan SMK Taman Selayang, Gombak, semalam.

Kenderaan dipandu remaja hilang kawalan

GOMBAK: Kira-kira 30 murid tadika di Taman Selayang di sini, trauma selepas sebuah kereta Perodua Myvi dipandu seorang remaja hilang kawalan dan merempuh tembok pagar taman asuhan kanak-kanak itu beberapa minit sebelum sesi pembelajaran bermula, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, kenderaan terbabit turut merempuh dua pelajar perempuan Tingkatan Tiga dan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selayang yang berjalan kaki berhampiran tadika itu. Kedua-duanya cedera ringan.
Pemilik tadika Smart Stars, VR Ranee, 56, berkata mujur tadika belum sempat mengadakan perhimpunan seperti kebiasaannya kerana masih ada ibu bapa sedang menghantar anak mereka ketika kemalangan itu berlaku. “Ketika kejadian, saya dan pembantu sedang membawa masuk beberapa kanak-kanak yang dihantar ibu bapa mereka apabila saya terdengar bunyi dentuman kuat serta suara perempuan menjerit di hadapan tadika.

“Saya amat terkejut apabila mendapati sebuah kereta melanggar pagar tadika dan saya melihat seorang perempuan berpakaian sekolah menengah sedang menangis kerana kesakitan, manakala rakannya dalam keadaan terkejut,” katanya.

Ranee menganggarkan jumlah kerugian RM20,000 dan tembok pagar itu baru saja disiapkan menggantikan pagar lama selepas berlaku kejadian pecah masuk di tadika itu sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata ada kemungkinan Perodua Myvi dipandu remaja berusia 22 tahun itu dipandu laju menyebabkannya hilang kawalan dan melanggar dua pelajar sekolah menengah melalui lorong di hadapan tadika.
“Kedua-dua pelajar berusia 15 dan 17 tahun serta pemandu itu cedera ringan dan dihantar ke Hospital Selayang sebagai pesakit luar,” katanya. 

No comments: