KUALA TERENGGANU 25 Nov. - Dia terpaksa menunggu selama tujuh tahun, namun bagi Cristoph Swoboda, 57, warganegara Jerman, ia bukan suatu persoalan besar dalam memenuhi impiannya.
Mengagumi kaedah pembuatan tukang tempatan, reka bentuk dan ketahanan kapal layar tradisional Terengganu, penantiannya dianggap berbaloi.
Kelmarin, hasil kerja tangan tukang yang mewarisi kemahiran silam itu akhirnya diluncurkan dan belayar meninggalkan Pulau Duyong di sini.
Kapal layar jenis Pinis sepanjang 28.4 meter tersebut yang dibina oleh Hassan Che Ali, 56, itu dinamakan Naga Pelangi II akan dibawa belayar ke pelbagai destinasi di seluruh dunia.
Bagi Christoph Swoboda, ini kapal kedua selepas Naga Pelangi yang ditempahnya di pulau kecil pinggir muara di bandar raya ini tiga dekad lalu iaitu jenis Bedar.
Pinis dan Bedar yang dikenali sebagai perahu besar asli Terengganu pada masa silamnya adalah alat pengangkutan dagangan dan penghubung rakyat negeri ini dalam lingkaran wilayah serantau.
Namun ia tidak lagi ada di perairan negeri ini dan simbol kegemilangan tamadun itu hanya kekal kaku di Muzium Negeri Terengganu dan Christoph adalah antara pelayar yang berusaha menghidupkannya semula.
Kapal layar pertama milik Christoph itu menjadi rumah kepada keluarganya sepanjang menggenapkan pelayaran mengelilingi dunia apabila kembali ke tempat pembinaannya pada 1997 dan menurunkan sauh di luar Pulau Duyong Kuala Terengganu.
Pelayar itu berhasrat menjadikan kapal baru bernilai RM2 juta yang ditempahnya pada 2003 sebagai sebuah kapal bagi kegiatan pelancongan.
Katanya, dia bersama enam rakan akan belayar ke Langkawi, Kedah terlebih dahulu bagi mempromosikan perkhidmatan pelancongan tersebut.
Christoph berkata, mereka kemudian mungkin belayar ke Phuket, Thailand untuk memperkenalkan bot berkenaan.
''Saya menempah kapal tradisional ini kerana keunikan dan cara pembuatannya. Sebelum ini, saya pernah menempah sebuah kapal jenis Bedar dan menggunakannya untuk mengelilingi dunia,'' katanya.
Kapal itu telah dijualnya pada tahun 2000 dan kini masih digunakan.
''Saya sangat berpuas hati dengan pembuatan kapal oleh tukang di sini yang pernah menjadi tempat pembuatan kapal tradisional terkemuka di rantau ini," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Christoph ingin menjadikan kapal tersebut sebagai sebuah kapal pelancongan bukan hanya sekadar tarikan pelancong tetapi juga memelihara salah satu warisan Melayu yang semakin pupus.
''Apabila masyarakat pelayaran dunia melihat kapal ini, mereka pastinya mengagumi kerja tangan di samping keupayaannya belayar dengan begitu sempurna.
''Saya berharap mereka juga akan menempahnya. Ia secara tidak langsung membantu mengembangkan kembali industri kapal tradisional di sini,'' katanya.
Menurutnya, kapal itu mempunyai empat bilik selain kemudahan asas termasuk tandas dan sebagainya. Ia menggunakan sistem tenaga solar untuk menjana elektrik.
''Ia mampu membawa 30 pelanggan untuk perjalanan harian dan enam orang untuk mereka yang berhasrat menginap di atas kapal ini,'' katanya.
No comments:
Post a Comment