Pages

Monday, September 13, 2010

Syawal sugul dalam khemah


WANITA dan kanak-kanak beratur menunggu giliran mendapatkan hadiah Aidilfitri yang diedarkan sukarelawan di pinggir Karachi, kelmarin. – AP


MUZAFFARGARH, Pakistan 12 Sept. – Berjuta-juta mangsa banjir Pakistan menyambut Aidilfitri di khemah penempatan sementara dan pusat perlindungan ketika pemimpin negara ini yang dikritik kerana respons yang tidak mencukupi dalam bencana alam terburuk negara ini menjanjikan lebih banyak bantuan.
Paras air telah surut di kebanyakan tempat, namun masih berada di paras bahaya di beberapa kawasan lain, memaksa penduduk untuk tinggal di luar perkampungan mereka sama ada di kem perlindungan atau berseorangan di tepi-tepi jalan.
Sekumpulan gadis di sebuah kem perlindungan dekat sebuah loji janakuasa di sini, duduk di atas alas yang dibentang berhampiran sebatang jalan raya ketika petugas bantuan menghiasi tangan mereka dengan inai.
Ibu mereka yang berdiri di belakang berkata kegembiraan kecil ini juga akan lenyap tidak lama lagi.
“Kami tidak merasai kegembiraan Aidilfitri. Apa itu kegembiraan?. Kami tidak mempunyai rumah,” kata Amana Bibi, 25.
Sumbangan beg-beg hadiah seperti gelang plastik berkilat dan gula-gula juga dihantar kepada kanak-kanak yang dipindahkan akibat banjir yang menjejaskan 18 juta penduduk.
Aidilfitri disambut Jumaat lalu di barat laut Pakistan dan semalam di tempat lain di negara ini.
Kerajaan Pakistan dikritik mangsa-mangsa banjir kerana tidak mampu untuk menyalurkan bantuan yang mencukupi.
“Kami akan menyediakan anda bantuan kewangan untuk membina semula rumah,” kata Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani memberitahu mangsa banjir disebuah kem di wilayah Baluchistan, di barat daya negara ini yang menjadi salah satu kawasan paling teruk dilanda banjir.
Presiden Asif Ali Zardari yang dikritik kerana berada di Britain dan Perancis semasa krisis semakin meruncing, turut merancang untuk melawat mangsa banjir. – AP

No comments: