Pages

Monday, September 13, 2010

Sentimen anti-Islam ulang tahun 9/11


NEW YORK 12 Sept. – Amerika Syarikat (AS) semalam memperingati ulang tahun kesembilan serangan 11 September 2001 melalui penganjuran majlis-majlis peringatan di New York dan Pentagon.
Walaupun seorang paderi telah membatalkan rancangan membakar al-Quran, kitab suci Islam itu tetap dihina dalam sekurang-kurangnya tiga insiden berasingan.
Beribu-ribu penunjuk perasaan yang menyokong dan membantah rancangan pembinaan pusat Islam dan masjid berhampiran Ground Zero, berkumpul di New York beberapa jam selepas majlis peringatan diadakan di New York, Washington dan Pennsylvania bagi mengenang kematian hampir 3,000 nyawa di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Protes tersebut bagaimanapun dilaksanakan dalam keadaan aman.
Bagaimanapun, terdapat sekurang-kurangnya tiga kejadian al-Quran dihina di Lower Manhattan, dengan dua paderi yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana gereja utama dalam dua insiden berasingan, membakar dua naskhah kitab suci umat Islam itu di Tennessee.
Paderi Terry Jones di Florida membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia dengan rancangannya untuk membakar Al-Quran semalam. Namun beliau yang mengetuai gereja tidak terkenal di Gainesville, membatalkan rancangan tersebut Khamis lalu.
Dalam satu kejadian, seorang lelaki yang membantah rancangan pembinaan masjid tersebut, mengoyakkan helaian Al-Quran sebelum membakarnya. Dalam satu insiden lain, seorang lagi lelaki mengoyak dan menghina kitab suci Islam itu.
Di Nashville, Tennessee, paderi Bob Old dan Danny Allen menggunakan minyak pemetik api dan membakar sekurang-kurangnya dua naskhah Al-Quran di halaman rumahnya. Old menyifatkan Islam sebagai ‘agama palsu’.
Tiada laporan mengenai sebarang penahanan dibuat.
Presiden AS, Barack Obama dalam ucapannya pada satu majlis di Washington semalam meminta supaya hubungan dengan orang Islam diperbaiki selain menekankan kepentingan tolak ansur dalam beragama.
“Mereka mungkin cuba mencetuskan konflik di antara kepercayaan berbeza, tetapi sebagai rakyat Amerika, kita tidak akan dan selama-lamanya tidak akan berperang dengan Islam.
“Bukan agama yang menyerang kita semasa serangan September itu, tetapi al-Qaeda, sebuah kumpulan yang dianggotai lelaki-lelaki yang memesongkan agama,” katanya.
Ketika Obama berucap di Pentagon, ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa yang maut dalam serangan di New York, meletakkan jambangan bunga di tapak kejadian.
Nama-nama 2,752 mangsa yang meninggal dunia, disebut dengan kuat dalam satu majlis yang sayu. – Reuters

No comments: