Pages

Monday, September 13, 2010

Iran sedia bebas wanita Amerika



TEHERAN: Iran akan membebaskan warga Amerika Syarikat yang dituduh melakukan pengintipan, Sarah Shourd, dengan ikat jamin AS$500,000 (RM1.6 juta).Shourd adalah antara tiga pendaki Amerika yang ditahan Iran lebih setahun lalu atas dakwaan mengintip dan dibenarkan ikat jamin atas sebab kesihatan, kata pendakwa raya kanan Teheran, Abbas Jafari Dolatabadi, semalam.
“Bagi defendan wanita, (Shourd), ikat jamin ditetapkan sebanyak lima bilion rial Iran (AS$500,000),” kata Dolatabadi kepada wartawan yang dipetik agensi berita IRNA. 

“Dia akan dibebaskan dengan ikat jamin. Peguamnya sudah dimaklumkan,” katanya sambil memberitahu keputusan itu diambil selepas hakim memaklumkannya kepada beliau. 

Ibu Shourd, Nora memberitahu agensi berita AFP bulan lalu bahawa anaknya ditahan di bilik sendirian meskipun ada masalah pangkal rahim, ketumbuhan di payu daranya dan dilanda kemurungan. 

Shourd ditahan bersama dua lagi pendaki, Shane Bauer dan Josh Fattal pada 31 Julai 2009 selepas masuk dari Iraq. Pihak berkuasa Iran menuduh tiga warga Amerika itu masuk secara haram dan melakukan pengintipan. 
Tetapi, mereka berkata, tidak sengaja masuk ke Iraq dan sesat selepas tersesat ketika dalam perjalanan ke Kurdistan. 

Pegawai Iran berkata, Shourd akan dibebaskan kelmarin tetapi masalah teknikal menyekat pembebasannya, kata Dolatabadi. 

Pembebasan Shourd mungkin menurunkan permusuhan Washington dan Teheran yang meningkat beberapa bulan lalu berhubung program nuklearnya. 

Kes itu mendedahkan perbalahan antara kerajaan Presiden Mahmoud Ahmadinejad dan institusi yang dikendalikan konservatif seperti Ayatollah Sadeq Larijani, ketua kehakiman. 

Bulan lalu, Larijani membidas Ahmadinejad yang mengulas mengenai satu lagi kes manakala adiknya yang juga Speaker Parlimen, Ali Larijani, berulang kali mengkritik presiden mengenai pengurusan ekonomi negara. 

Dolatabadi secara terbuka mengkritik pemerintah dengan berkata, ‘menyiarkan maklumat kes kehakiman tidak sepatutnya dilakukan oleh kerajaan tetapi pihak berkuasa perundangan,” katanya. 

Pegawai kerajaan termasuk Ahmadinejad berkata, tiga pendaki Amerika itu boleh ditukar dengan warga Iran dalam tahanan Amerika. 

Perbincangan mengenai pertukaran tahanan itu dibuat selepas Amerika membenarkan pembebasan penyelidik Iran, Shahram Amiri yang berada di Washing-ton, Julai lalu, selepas hilang di Arab Saudi tahun lalu. – AFP 

No comments: