Pages

Monday, September 13, 2010

Misteri Kehilangan Sosilawati: 'Bawa mayat mak, tunjuk depan Rina'




2010/09/13




GOMBAK: “Kalau betul mak tak ada lagi, bawa dia (mayat) tunjuk depan Rina,” desak Erni Erinawati Sofia Buhari, anak keempat Datuk Sosilawati Lawiya selepas berita kematian jutawan kosmetik itu disiarkan di televisyen kira-kira jam 3 petang, semalam.
Foto
ANGGOTA polis dari Jabatan Forensik melakukan siasatan di Sungai Panchau di Kancong Laut yang dipercayai tempat pembuangan abu mayat pembunuhan Sosilawati dan tiga lagi rakannya berhampiran Ladang Gadong, Tanjung Sepat, semalam.
Anak desak bapa cari Sosilawati, tak percaya mati kena bunuh
Sambil menangis teresak-esak, gadis berusia 18 tahun itu meminta bapanya mencari ibunya kerana tidak percaya yang Sosilawati, 47, dibunuh dengan kejam, malah dibakar sehingga rentung.
Suasana pilu itu mengakhiri episod kehilangan jutawan wanita itu dan tiga individu sejak 30 Ogos lalu yang dilaporkan secara meluas oleh media tempatan ketika umat Islam sedang berpuasa dan menyambut Aidilfitri.

Tinjauan Berita Harian di kediaman Sosilawati di Taman Harmonis, semalam, mendapati lebih 20 wakil media berkampung di hadapan kediaman jutawan itu seawal 7 pagi bagi mendapatkan reaksi keluarga Sosilawati susulan penemuan empat mayat di Tanjong Sepat, malam kelmarin.

Sehingga petang semalam, kira-kira 40 ahli keluarga Sosilawati termasuk dari Batu Pahat, Johor, berkumpul di kediaman itu. Malah, perkarangan dan jalan berhadapan kediaman itu dipenuhi kenderaan milik ahli keluarga, selain kenderaan media bertugas.

Sebelum itu, bekas suami pertama Sosilawati dikenali sebagai Buhari, tiba di kediaman itu dengan menaiki sebuah kenderaan pada jam 12 tengah hari. 
Selepas beberapa jam menunggu, anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana, 25, yang mengenakan baju kurung putih dan bertudung merah jambu keluar di hadapan pagar utama untuk memberi kenyataan kepada media.

“Dalam keadaan ini, keluarga kami memerlukan kekuatan,” katanya.

Mesra dipanggil Rita, beliau berkata sehingga jam 1.30 tengah hari, keluarganya masih menunggu pengesahan forensik, selain mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin dan berharap ibunya, “pulang ke pangkuan keluarga”.

Namun beberapa minit selepas anak sulung jutawan itu masuk, jurucakap keluarga itu, Zulkifli Bujang selepas didesak media, menghantar khidmat pesanan ringskas (SMS) mengatakan yang “keluarga itu tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan hari ini (semalam), selain reda dengan kejadian itu”. 

Keluarga mangsa juga mengadakan solat jenazah ghaib di surau kariah kawasan itu selepas solat Maghrib.

Sementara itu, di BATU PAHAT, hanya tangisan yang dapat didengari menerusi telefon ketika adik bongsu Sosilawati dihubungi tengah hari semalam dari rumah ibunya, Yatmah Abdul Rahman, 80, di Kampung Sri Menanti, Seri Medan, di sini.

Mohd Haris Lawiya, 29, tidak mampu menahan kesedihannya ketika wakil Berita Harian menelefonnya bagi mendapatkan pengesahan mengenai lokasi sebenar ibunya selepas tinjauan di situ tengah hari semalam mendapati rumah berkenaan sepi tidak berpenghuni.

"Saya, ibu bersama adik-beradik serta ahli keluarga yang lain sudah berada di Kuala Lumpur selepas bertolak dari kampung lewat malam tadi (kelmarin) bagi mengelakkan kesesakan jalan raya," katanya.

Beliau turut mengesahkan keluarganya baru saja menerima berita mengenai kejadian tragik yang menimpa kakaknya itu dan mengakui semua ahli keluarga mereka kini berada dalam keadaan trauma, tertekan, kecewa dan sedih atas kejadian yang menimpa kakak mereka itu. 

No comments: