2010/09/13
SUZANA memangku anak bongsu tidak berhenti menangis selepas mendengar berita kematian suaminya.
Mentua solat hajat berdoa Noorhisham bukan mangsa
AMPANG: “Saya harap berlaku keajaiban di sebalik penemuan lokasi pembakaran empat mayat itu,” kata Radin Pangat Ishak, 66, mentua Noorhisham Mohammad, 38, pegawai CIMB Bank Kampung Baru yang dipercayai dibunuh bersama jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya.Radin Pangat berkata, mereka sekeluarga tidak berputus asa berdoa dan melakukan solat hajat meminta penemuan polis di Banting itu tidak membabitkan menantu kesayangannya.“Sehingga kini, kami sekeluarga belum dimaklumkan sebarang perkembangan berhubung penemuan mayat berkenaan dan hanya mengetahui melalui televisyen dan surat khabar.
“Siapa tidak sedih, terutama isteri Noorhisham, Suzana, 38, dan tiga anak yang mengetahui pembunuhan yang menyayat hati itu malam tadi (kelmarin).
“Perasaan kami hancur berkecai, jika betul perkara itu berlaku, kenapa ada manusia yang jahat sehingga membakar mayat Noorhisham bersama tiga individu lain, sedangkan beliau baik dan tiada musuh,” katanya ketika ditemui, di rumahnya, di sini, semalam.
Tinjauan Berita Harian ke kediamannya di Taman Seraya Ampang mendapati, Suzana hampir pengsan dan menangis tanpa henti sebaik mengetahui berita mengenai suaminya mati dibunuh dan dibakar sebelum abunya dibuang di sungai.
Difahamkan, Noorhisham menyambut ulang tahun kelahiran ke-38, hari ini.
Radin Pangat berkata, mereka sekeluarga reda dan berharap mereka yang terbabit kes pembunuhan itu dikenakan hukuman setimpal.
“Saya tidak sangka penantian selama dua minggu tunggu kepulangan Noorhisham selamat dikhabar dengan berita paling sedih,” katanya yang masih berharap penemuan lokasi pembakaran itu tidak membabitkan menantunya.
No comments:
Post a Comment