Pages

Wednesday, December 21, 2011

Pertempuran berterusan di Dataran Tahrir

KAHERAH 20 Dis. - Polis dan tentera Mesir hari ini melepaskan tembakan dan menggunakan belantan serta gas pemedih mata dalam usaha terbaru membersihkan Dataran Tahrir daripada penentang kerajaan tentera.
Bunyi tembakan berat kedengaran di seluruh dataran di tengah Kaherah itu ketika tentera menyerbu beratus-ratus penunjuk perasaan yang cuba mempertahankan kawasan mereka, menurut aktivis dan saksi.
"Beratus-ratus tentera memasuki dataran itu dan mula melepaskan tembakan. Mereka memburu penunjuk perasaan dan membakar barangan milik kumpulan tersebut, termasuk bekalan ubat-ubatan dan selimut," kata seorang penunjuk perasaan, Ismail.
Sebelum operasi terbaru itu, penunjuk perasaan dilaporkan cuba memusnahkan tembok sekatan yang didirikan oleh tentera untuk menyekat laluan ke Parlimen.
Menurut seorang pegawai keselamatan, penunjuk perasaan mahu memusnahkan tembok itu bagi membolehkan mereka ke bangunan Parlimen.
Pasukan perubatan berkata, 13 orang terbunuh sejak protes bermula Jumaat lalu, tetapi penunjuk perasaan menyatakan angka kematian telah meningkat selepas operasi terbaru ini.
Beratus-ratus lagi penunjuk perasaan dilaporkan cedera dan ramai yang ditahan selepas pihak tentera melancarkan operasi menamatkan tunjuk perasaan di sekitar dataran Tahrir.
Ahli politik dan anggota Parlimen yang cuba memasuki kawasan dataran tersebut terpaksa berpatah balik ekoran berlaku tembakan, menurut Ismail.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengutuk penggunaan 'kekerasan' ke atas penunjuk perasaan yang mendalamkan lagi perpecahan antara rakyat Mesir.
Sementara itu, Amnesty International menggesa pembekal senjata menghentikan penghantaran senjata ringan dan peluru kepada tentera Mesir ekoran tindakan keras mereka terhadap penunjuk perasaan. - REUTERS
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: