KAHERAH: Calon pilihan raya Presiden Mesir yang menduduki tempat ketiga Hamdeen Sabahi, 58, mendesak pengiraan semula sebahagian undi, sambil mendakwa wujud salah laku yang menyebabkan keputusan berubah.
Pengurus kempen pilihan raya Sabahi, Hossam Mounis berkata pihaknya menerima klip video yang dikirim penyokong, menunjukkan wujud salah laku dalam pengundian pada 23 dan 24 Mei lalu.
Sabahi, yang dianggap wira golongan miskin, berada di tempat ketiga dengan kelebihan 700,000 undian, menyebabkan beliau terkeluar daripada undian pusingan kedua yang akan diadakan pada 16 dan 17 Jun ini.“Kami sedang menunggu keputusan rasmi. Kami akan berusaha untuk bertanding pada pusingan kedua untuk memenuhi matlamat yang ingin dicapai,” katanya kepada kira-kira 3,000 penyokong beliau yang berhimpun di luar ibu pejabat partinya di Giza.
Sabahi memperoleh 21.5 peratus undian, diikuti Abolfotoh, tokoh sederhana Islam yang berpisah dengan Ikhwanl Muslimin.
Ramai rakyat Mesir kecewa dengan keputusan awal, yang memperlihatkan pilihan raya seolah-olah seperti kembali kepada era bekas Presiden Hosni Mubarak iaitu pertembungan antara tokoh berakar umbi tentera menjanjikan kekuatan untuk memastikan kestabilan dan tokoh Islam yang ditindas ketika rejim lama tetapi menjadi parti politik berpengaruh selepas revolusi Mesir.
Setiap calon mempunyai penyokong kuat tetapi juga dibenci oleh sebahagian rakyat lain.
Dua calon yang menang dalam pusingan pertama pilihan raya presiden Mesir Ahmad Shafiq dan Mohammed Morsi bagaimanapun sudah memulakan kempen merayu sokongan pengundi yang menolak mereka ketika berdepan cabaran baru daripada calon ketiga yang mencabar keputusan awal.
Shafiq, kelmarin berikrar tidak akan menghidupkan semula rejim kuku besi lama ketika berusaha mengikis imejnya sebagai tokoh antirevolusi manakala calon Ikhwanul Muslimin, Morsi, mendekati kalangan yang bimbang dengan pemerintahan Islam dan kebangkitan negara beragama.
Banyak undi boleh diperoleh tetapi kedua-dua calon perlu bersaing hebat mengambil hati pengundi kelas pertengahan di tengah desakan aktivis supaya memulaukan undian yang memecah belahkan rakyat. – AP
No comments:
Post a Comment