Pages

Monday, September 13, 2010

600 perokok janji buang tabiat buruk





2010/09/12

Ikrar dibuat depan pintu masuk Masjidil Haram 

JEDDAH: Lebih 600 perokok pelbagai warga negara termasuk seorang imam memberi jaminan untuk berhenti daripada tabiat buruk itu sambil berdiri di depan pintu pagar Masjidil Haram di Makkah, kelmarin.Ia didedahkan Ketua Persatuan Kebajikan Kafa, Abdullah Sirouji, yang melancarkan kempen menyebarkan kesedaran mengenai bahaya merokok dan mengambil dadah.
Persatuan itu memiliki sebuah klinik bergerak yang membantu perokok berhenti merokok. 

Klinik itu adalah sebuah trak besar yang dilengkapi lapan katil dan enam kerusi sebagai tambahan kepada mesin x-Ray dan peralatan perubatan lain. 

“Perokok membuat janji di pintu pagar Masjid Besar. Ia termasuk seorang lelaki 80 tahun. Kebanyakan mereka menyerahkan kotak rokok kepada anggota persatuan,” kata Sirouji kepada akhbar Asharq Al-Awsat. 

Beliau menambah lebih 400,000 orang melawat klinik itu yang memulakan operasi berhampiran Masjidil Haram sejak hari pertama Ramadan. 
Sirouji menjelaskan bahawa persatuan itu diberi lokasi menerusi kerjasama dengan perbandaran Makkah, polis trafik dan Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci. 

Bandar suci Makkah dan Madinah diisytiharkan zon bebas merokok oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi. Tiada rokok dijual di bandar berkenaan. 

Merokok dipercayai menjadi punca pelbagai penyakit serius termasuk barah. Malah, satu kajian baru menyatakan ibu yang merokok akan menghasilkan anak lelaki yang tidak subur. 

Penyelidik Denmark melaporkan, merokok penyebab utama sel pembiakan lelaki berkurangan. Sel itu kemudian berubah menjadi telur atau air mani dan penurunan kadarnya menjejaskan kesuburan kanak-kanak itu pada masa depan. – Agensi 

No comments: