Pages

Saturday, May 1, 2010

Ilmu Islamiah : Keadaan Syaitan Dan Iblis Selepas Tiupan Sangkakala Pertama




“Dan (ingatlah) hari ketika ditiup sangkakala, maka terkejutlah segala yang ada di langit dan segala yang di bumi, kecuali orang-orang yang dikehendaki Allah”(Al-Naml : 87)
Biasanya kita sering dikhabarkan dengan keadaan manusia-manusia jahat yang kucar-kacir dan huru-hara selepas terjadinya tiupan sangkakala yang pertama, di mana ketika itu sudah tiba masanya saat dunia bakal digulungkan oleh Allah S.W.T. Bumi akan memuntahkan segala isinya, Langit pula bakal melemparkan segala yang terapung menghempap ke muka bumi. Lampu alam iaitu matahari bakal kehilangan kuasanya dan saksikanlah ketika itu dunia dalam keadaan yang gelap gelita. Tiada lagi istilah siang dan malam. Si ibu yang mengandungkan anak, akan melahirkan anaknya tanpa sedar. Ibu yang menyusukan anak akan lari lintang-pukang meninggalkan anaknya dan pelbagai lagi kedahsyatan huru-hara bakal berlaku yang tidak akan tercapai dek akal.
Namun bagaimana pula dengan keadaan makhluk terkutuk yang sekian lama tidak pernah bertaubat dari menyesatkan manusia dan menyesatkan dirinya sendiri iaitu Iblis dan syaitan?. Percayalah wahai saudara pembaca bahawa iblis dan syaitan itu juga tidak akan terlepas dari kedahsyatan huru-hara. Menurut sebuah kitab yang saya kaji iaitu kitab yang mempunyai pengisian tentang tanda-tanda kiamat, pada ketika itu tiada lagi hijab di antara Syaitan dan Manusia. Manusia ingin berlindung kepada syaitan dan syaitan ingin berlindung kepada manusia. Masing-masing dalam keadaan kucar-kacir dan ingin keluar mencari perlindungan.
Akhirnya seluruh makhluk syaitan dan manusia pergi berjumpa iblis dengan hasrat meminta pertolongannya yang mereka anggap berkuasa dan merupakan pemimpin mereka. Setibanya di hadapan iblis, mereka melihat iblis dalam keadaan bingung dan hampir mati seperti keadaan mereka. Kerana tidak mampu mengatasi keadaan itu, akhirnya mereka memutuskan untuk pergi mencari perlindungan di laut. Sesampainya di tepi laut, ketakutan mereka kian melonjak akibat melihat paras air laut yang meninggi dan api yang marak menjulang di atas permukaan air.
Mengapa air laut naik?, Paras air laut meningkat dek kerana kutub utara dan selatan telah cair seluruhnya, bulan , matahari dan bintang telah terjatuh ke dalam laut dan gegaran gempa bumi juga menyebabkan paras air laut meningkat. Air laut yang mendidih adalah kerana api yang berada dalam dasar laut sudah menyala sehingga menyebabkan ianya menjulang ke permukaan air.
Makhluk syaitan dan manusia bingung dan beridiri di tepi pantai. Iblis berlari ke sana sini mencari jalan keluar. Namun ke mana sahaja dia pergi, dunia dipenuhi dengan api yang marak dan asap yang berkepul. Maka ketika itu iblis teringatlah pada masa lalunya iaitu ketika Allah S.W.T pernah mengarahkannya untuk bersujud kepada adam namun dengan bongkaknya dia mengingkari perintah itu. Maka Allah S.W.T berjanji akan memasukkannya ke dalam neraka yang cukup panas!. Iblis sudah mula menyesali perbuatanya selama ini, dan berada dalam keadaan ketakutan. Tetapi hatinya yang keras itu berkata dengan suara yang lantang“Tidak, Tidak wahai tuhan sekalian Alam!”
Iblis menyesal dengan perbuatannya dan berkata “wahai tuhanku, suruhlah aku sujud kepada sesiapapun yang engkau kehendaki”
Syaitan yang patuh hormat kepada iblis selama ini menjadi bingung melihat tindak-tanduk pemimpin mereka itu yang kelihatan sujud dan merendah diri. Syaitan pergi mengelilingi pemimpin mereka dan bersuara “Wahai penghulu kami, kepada siapa engkau merendah diri dan bersujud?” Iblis mendongakkan kepalanya melihat mereka seraya berkata “ aku sujud dan merendah diri kepada Tuhan sekalian alam yang telah memanjangkan umurku sampai hari yang sudah ditetapkan(kiamat). Sekarang sudah dekat masa hari yang ditentukan itu”.
Rupanya selama ini syaitan-syaitan tidak tahu bahawa ada yang lebih berkuasa daripada iblis yang merupakan pemimpin mereka. Mereka juga tidak tahu adanya kiamat, neraka dan sebagainya. Sekarang sedarlah mereka bahawa apa yang ditentukan Allah bakal terjadi. Alam akhirat itu benar, hari berbangkit itu benar dan pembalasan juga benar.
Hati mereka berbisik “Rupanya huru hara yang dilihat adalah petanda kliamat. Di mana akan kami ditempatkan?, adakah bagi kami jalan keluar dari azb neraka?. Sudah pasti kami akan ditempatkan ke dalam neraka selama-lamanya. Wahai Iblis, sungguh engkau sudah mencelakakan dirimu, engkau juga telah menyesat dan mencelakakan kami”.
Tiba-tiba terdengarlah suara yang dilaungkan.”Sekarang sudah datanglah ketentuan Allah, maka jangan kamu minta untuk diperlambatkan lagi.” Seluruh mereka terkejut dan berdiri setiap bulu roma mereka. Kiamat nyata semakin hamper, air mata penyesalan mencurah-curah ke muka bumi. Mereka semakin menyesal dan menjerit “ Tidak, tidak wahai tuhanku. Wahai tuhanku, berilah aku masa, berilah aku peluang untuk bertaubat. Aku belum mahu mati lagi, aku ingin hidup. Berikanlah aku masa untuk bertaubat, jika ada peluang itu untukku, kurniakanlah aku masa yang panjang untuk hidup dan kesemua waktu yang ada akan ku gunakan untuk bertaubat dan mengabdikan diri kepada-Mu. Suruhlah aku apa sahaja yang engkau kehendaki dan aku pasti akan patuh dan tunduk kepada-Mu wahai tuhanku. Aku mohon pada-Mu, terimalah doa hamba-Mu yang cukup hina ini. Yang betul-betul mengharapkan pertolonganMu wahai tuhanku. Kurniakanlah aku peluang yang terakhir wahai Tuhan Yang Maha Penyayang. Aku tidak akan tahan dibakar di dalam Neraka. Kasihanilah hamba-Mu ya Allah, dengan rahmat-Mu ya tuhanku Yang Maha Agung. Sekarang aku beriman kepada-Mu. Engkaulah Tuhanku, dan Engkaulah Tuhan Sekalian Alam.”
Bukan syaitan-syaitan sahaja yang berbuat demikian bahkan iblis pun sentiasa sujud. Dia betul-betul menyesal, menangis dan berkata “Wahai tuhanku, sekarang perintahkanlah aku sujud kepada sesiapa sahaja yang Engkau kehendaki, maka aku akan melakukannya”.
Namun permintaan iblis dan syaitan itu tidak dihiraukan, tiupan sangkakala kedua terus berbunyi iaitu tiupan yang mematikan seluruh makhluk. Malaikat Izrail turun ke muka bumi dengan rupa yang ganas dan mencabut nyawa mereka dengan paksa dan kekerasan kerana yang tinggal ketika itu hanyalah orang-orang jahat. Izrail mencabut nyawa semua makhluk kecuali orang-orang yang dikehendaki Allah.
Dari Pemerhatian, Pandangan Serta Kajian
Muhammad Hidayat Bin Kadersa Merican
(Moderator Blog Minda Maya & TerusTeguh.Com)
www.terusteguh.com
www.terusteguh.com/blog

No comments: