Pages

Tuesday, November 1, 2011

Penduduk Bangkok marah kerana isu banjir




AFP - DUA wanita berjalan meredah banjir di Bangkok, Thailand semalam.


BANGKOK - Situasi tegang tercetus antara penduduk dengan pihak berkuasa di beberapa kawasan di sini semalam apabila beratus-ratus orang memprotes bahawa kediaman mereka dikorbankan dalam usaha kerajaan untuk mengelakkan pusat bandar raya ini daripada ditenggelami banjir.
Polis berkata, di antara 200 hingga 300 orang berhimpun kerana mahu pintu air dibuka lebih luas di daerah Khlong Sam Wa, tenggara bandar raya ini tetapi mereka dihalang oleh pihak berkuasa.
Anggota-anggota polis turut membentuk rantai manusia untuk menghalang kemaraan penunjuk perasaan.
"Pusat Operasi Bantuan Banjir (FROC) telah meminta pihak tentera menghantar askar-askar ke kawasan yang dilanda konflik.
"Pihak tentera mengerahkan 200 anggota polis tentera untuk membantu pasukan polis," kata Menteri Pertahanan, Yuthasak Sasiprapha.
Sementara itu, harapan pusat bandar raya ini terselamat daripada ditenggelami air semakin cerah selepas tembok penghadang banjir yang dibina di sepanjang Sungai Chao Phraya berjaya mengekang limpahan air bah pada minggu lalu.
Namun, pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) di sini menyatakan, situasi masih kritikal di beberapa daerah yang dilanda banjir di barat dan utara bandar raya ini dengan beberapa kawasan terbabit ditenggelami air sedalam lebih satu meter. - AFP

No comments: