Pages

Tuesday, November 1, 2011

10 letupan bom gegar selatan Thai

SUNGAI GOLOK: Lima daerah selatan Thailand digegarkan 10 serangan bom dalam masa sejam petang kelmarin, dipercayai dilakukan dua beradik, Suhaidi dan Roslan Kubaru yang menjadi buruan polis negara ini sejak kejadian letupan bom di Sungai Golok mengorbankan tujuh nyawa termasuk enam rakyat Malaysia, sebulan lalu.
Lima daerah berkenaan ialah Sungai Golok; Sungai Padi; Yi-ngo; Takbai dan Rueso. Bagaimanapun, dalam kejadian yang berlaku antara jam 5.50 petang dan 6.20 petang waktu tempatan itu, tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.
Seorang rakyat Malaysia, Wong Tian, 63, yang dilaporkan menginap di Hotel Inter Tower berhampiran dengan kejadian letupan bom di Sungai Golok dipercayai meninggal dunia secara mengejut awal pagi kelmarin yang dipercayai tiada kaitan dengan pengeboman itu.
Sementara itu, Timbalan Pegawai Daerah Sungai Golok, Santi Chuduant, berkata, kejadian serangan bom di Sungai Golok itu berlaku di sebuah kedai menjual alat mainan di Jalan Wangwiwat, jam 6.30 petang kelmarin.

“Dua orang dipercayai menaiki motosikal memasuki kedai berkenaan dan meletakkan tin air buahan yang dipercayai bom buatan sendiri di dalam kedai berkenaan.

“Sepuluh minit kemudian, bom itu meletup tanpa mencederakan sesiapa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang saksi, Nuratikah Jamaluddin, 22, pembantu kedai kasut berhampiran kedai mainan yang kena letupan bom itu berkata, dia sedang melayan pelanggan sebelum terdengar bunyi letupan kuat.
"Saya lihat orang ramai bertempiaran lari dan kedai mainan itu musnah,” katanya. Pada 17 September lalu, enam rakyat Malaysia termasuk seorang budak lelaki berusia tiga tahun maut di Sungai Golok dalam letupan bom disifatkan terbesar pada tahun ini.

Dua beradik Suhaidi dan Roslan, yang mempunyai kerakyatan Thailand dan Malaysia diburu pihak berkuasa Thailand kerana disyaki terbabit dalam pengeboman di situ.

Mereka disyaki anggota kumpulan pengedar dadah terbesar di selatan Thailand, juga dipercayai terbabit dalam kejadian pengeboman pada Ogos dan September 2009 di kawasan sama.

Difahamkan, dalam beberapa serangan bom terbaru, dua bom meletup di Takbai iaitu di sebuah kedai runcit dan berdekatan pagar sekolah di pusat bandar manakala di Rueso, empat letupan berlaku di kedai serbaneka 7-Eleven, kawasan jualan penjaja dan kedai runcit.

Di Yi-ngo, bom tangan dilemparkan ke arah rumah di diami seorang guru sekolah Ban Ku Wae, Kanuengnit Chusing manakala di Sungai Padi, letupan berlaku berhampiran stesen kereta api. Berita Harian Online | 10 letupan bom gegar selatan Thai:

'via Blog this'

No comments: