Pages

Tuesday, November 1, 2011

Jepun perlu 30 tahun tutup loji Fukushima

REAKTOR unit 1 loji Fukushima ditutup   lapisan pelindung ketika laporan mengatakan pihak berkuasa   masih menghadapi masalah  mengatasi kebocoran radiasi.
REAKTOR unit 1 loji Fukushima ditutup lapisan pelindung ketika laporan mengatakan pihak berkuasa masih menghadapi masalah mengatasi kebocoran radiasi.
Kebocoran radiasi masih belum dikawal sepenuhnya

TOKYO: Jepun memerlukan sekurang-kurangnya 30 tahun untuk menutup dengan selamat loji kuasa nuklear Fukushima Dai-ichi yang rosak selepas dilanda tsunami walaupun ia sudah kurang melepaskan radiasi berbanding sebelumnya dan disifatkan sebagai stabil.
Kes loji terbabit adalah kemalangan nuklear terburuk di dunia sejak Chernobyl pada 1986. Ia rosak teruk berikutan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada 11 Mac lalu.
Ia juga dilanda masalah kehilangan kuasa, melebur dan letupan yang melepaskan bahan radioaktif hingga memaksa berpuluh ribu penduduk berpindah dari situ.

Sementara itu, pegawai berkata loji terbabit, kira-kira 240 kilometer ke timur laut Tokyo sudah stabil manakala seorang pakar yang dinamakan Suruhanjaya Kuasa Atom Jepun berkata, mereka akan mengambil masa sehingga 30 tahun atau lebih untuk memastikan ia benar-benar selamat.

Panel terbabit membuat jangkaan itu dalam satu draf laporan yang akan siap akhir tahun ini. Draf berkenaan dimuatkan dalam halaman web suruhanjaya terbabit hujung minggu lalu.

Pekerja loji masih lagi berhadapan dengan masalah untuk mengatasi kebocoran radiasi dari loji terbabit, walaupun kadarnya dikatakan semakin berkurangan.
Panel berkenaan berkata, ia mengambil masa 10 tahun untuk membuang bahan api nuklear selepas kemalangan loji nuklear Three Mile Island pada 1979 di Amerika Syarikat dan menyifatkan proses di Fukushima lebih sukar dan mengambil masa yang panjang.

Ia juga dijangka menelan banyak belanja. Satu laporan Sabtu lalu dalam akhbar Yomiuri menyebut pakar percaya proses terbabit akan membabitkan kos bernilai lebih 1.5 trilion yen (RM58 bilion).

Gempa bumi kuat dan tsunami pada Mac lalu menyebabkan tiga daripada enam reaktor loji terbabit lebur. Letupan juga memusnahkan bangunan mereka selain Unit 4 berhampirannya.

Pegawai di Tokyo Electric Power Co, syarikat yang mengendalikan loji terbabit berkata, mereka berjaya menyejukkan reaktor yang musnah, mencapai matlamat dipanggil ‘cold shutdown’.

Tetapi, pembaikan lanjut dan langkah keselamatan masih lagi dijalankan. Panel itu berkata pengalihan rod kuasa di Fukushima tidak akan bermula sehingga 2021.

Sebagai langkah keselamatan, satu daripada unit yang musnah kini memiliki satu gantian daripada bahan kedap udara yang direka untuk mempertahankan partikel radioaktif dalam bangunan berkenaan. Kaedah yang sama juga dirancang untuk bangunan lain.

Pegawai kerajaan juga perlu berhadapan dengan usaha menghalang kebocoran di kawasan sekitar loji. Zon sekitar 20 kilometer di kawasan loji terbabit masih terjejas.

Ketika masalah buruk hampir berakhir, penemuan kawasan radiasi terbaru di dalam dan sekitar Tokyo mencetuskan kebimbangan penduduk di sana di mana ramai ibu bapa sering menjalankan pemeriksaan radiasi di kawasan kejiranan mereka.

Dalam kebanyakan kes, bacaan berada di bawah had tahunan yang diterima di peringkat antarabangsa tetapi pengkritik berkata, standard berkenaan melebihi had Jepun sebelum kemalangan dan kerajaan perlu memperhebat usaha menghalang radiasi terus bocor. – AP
Berita Harian Online | Jepun perlu 30 tahun tutup loji Fukushima:

'via Blog this'

No comments: